Perhimpunan Agung Umno ke-54 (19-21 Jun 2003) telah dilangsungkan tanpa kejutan besar seperti yang dinanti-nantikan oleh mereka yang masih tidak percaya bahawa Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad akan berundur pada Oktober akan datang.

Dan didesas-desuskan juga kononnya penyokong Perdana Menteri akan mengemukakan usul meminta supaya beliau menarik balik keputusannya untuk bersara.

Mereka yang membuat tekaan/spekulasi juga tidak boleh disalahkan, kerana politik kurang telus Dr Mahathir memang penuh dengan kejutan yang mengundang tekaan.

Malah isteri beliau, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali sendiri terpaksa berdoa supaya suaminya dapat menyampaikan ucapan dasarnya dengan tenang tanpa berlaku sesuatu yang terlalu emosi dan menggemparkan.

Nyata sekali tema pokok perhimpunan kali ini tertumpu kepada bagaimana proses peralihan kuasa Umno dapat dijalankan secara licin.

Tak kira apa pandangan penganalisis politik sebelum perhimpunan, kini dua perkara sudah pasti: Pertama, Dr Mahathir akan berundur Oktober depan seperti yang diumumkan tahun lalu.

Kedua, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan mengumumkan calon timbalannya setelah beliau menyandang jawatan perdana menteri nanti, bersama jaminan daripada pemimpin veteran Umno - Tan Sri Musa Hitam dan Tengku Razaleigh Hamzah - bahawa mereka tidak akan mencabar jawatan presiden Umno.

Nasib timbalan Mahathir

Jaminan yang sama juga datangnya daripada ketiga-tiga naib presiden Umno - Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Muhammad Muhd Taib -bahawa mereka akan akur dengan tradisi Umno, dan menyokong sesiapa sahaja yang dilantik oleh Abdullah sebagai timbalannya.

Sewaktu 22 tahun dahulu, ketika Dr Mahathir menggantikan Tun Hussein Onn sebagai perdana menteri, beliau telah berjanji akan menyerahkan Umno dalam keadaan kukuh dan bersatu padu kepada penggantinya, sepertimana yang telah beliau terima.

Namun, tidak dapat dinafikan, berbanding dengan bekas timbalan-timbalan Dr Mahathir yang telah disingkirkan, iaitu Musa, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, nampaknya Abdullah adalah yang terlemah dari segi sokongan.

Oleh itu, Dr Mahathir amat khuatir Abdullah akan dicabar sebagai presiden Umno, dan calon yang Abdullah lantik sebagai timbalan perdana menteri, juga akan dicabar sebagai timbalan presiden Umno.

Jika Abdullah dilantik oleh Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan calon yang dilantik Abdullah sebagai timbalan perdana menteri, pula ditewaskan dalam pemilihan parti akan datang, bermakna akan tercetus sekali lagi krisis kepemimpinan dalam Umno .

Walaupun selepas berlaku pertandingan, Abdullah dan timbalannya berjaya dipilih sebagai presiden dan timbalan presiden parti, Umno juga akan berpecah-belah sepertimana yang pernah berlaku sebelum ini.

Berlagak kaya

Dan Dr Mahathir tentu akan disalahkan sebagai punca berlakunya perebutan kuasa kerana menyingkirkan pengganti-penggantinya sebelum ini, dan gagal melicinkan proses peralihan kuasa dalam Umno sekarang.

Dalam keadaan sedemikian, Dr Mahathir terpaksa mengulangi strategi nasionalisme Melayu yang stereotaip dan lapuk:

Pertama, memperbesar-besarkan ancaman penjajahan semula oleh apa yang dinamakan Bangsa Eropah yang serba jahat, angkuh dan biadab, dan suka berperang, membunuh dan mencerobohi negara orang lain.

Kedua, menuduh PAS sebagai pengkhianat agama, bangsa dan negara kerana memecahbelahkan ummah dan bangsa Melayu;

Dan ketiga, Umno bukan sebarang parti. Tiada mana-mana parti yang sanggup menewaskan Umno melainkan Umno sendiri.

Dr Mahathir membidas rakyat negara kita yang masih miskin, tetapi cuba berlagak sebagai orang kaya. Cara beliau menghina bangsa Eropah seolah-olah negara kita sudah merupakan kuasa besar yang tidak dapat ditewaskan , bukan saja berani mencabar Amerika Syarikat dan sekutunya, tetapi juga cuba memusuhi kesemua negara yang dinamakan bangsa Eropah!

Melukut di tepi gantang

Berbanding dengan kuasa besar dunia sekarang, negara kita terlalu lemah dan kecil, hanya seperti melukut di tepi gantang! Jika orang miskinjangan berlagak sebagai orang kaya. Maka negara lemah juga jangan berlagak sebagai negara kuasa besar.

Maklumlah bukan saja ekonomi negara kita masih tergantung kepada apa yang dinamakan bangsa Eropah itu, malah keselamatan dan pertahanan rantau ini juga tergantung kepada mereka.

Apabila Dr Mahathir asyik membelasah bangsa Eropah, pada masa yang sama, tentera kita sedang melakukan latihan ketenteraan bersama pasukan Britain, Australia dan New Zealand!

Selama 22 tahun pimpinan Dr Mahathir, ekonomi dan pertahanan negara kita masih banyak bergantung kepada bangsa Eropah yang dihina beliau. Dan menjelang persaraannya, beliau tiba-tiba memberitahu kaum Melayu bahawa bangsa Eropah adalah musuh dan ancaman utama negara kita .

Jika dakwaan Dr Mahathir itu adalah benar, tidakkah beliau telah menggadaikan negara kita kepada bangsa Eropah semasa beliau memegang tampuk pemerintahan negara kita sejak 22 tahun dahulu?

Rasa tersinggung

Sungguhpun berkali-kali Dr Mahathir menjelaskan bahawa beliau bukan seorang perkauman yang anti-Eropah, tetapi bidasan kerasnya sukar tidak dianggap oleh orang putih sebagai berprasangka terhadap mereka sebagai satu bangsa.

Perasaan dan maruah bangsa mana yang tidak akan tersinggung sekiranya bangsanya, antara lain, digambarkan sebagai:

  • Tamak dan suka merampas wilayah dan hak orang lain. Dua ribu tahun tak buat kerja lain, tiap-tiap tahun perang. Ini tabiat mereka dan bila nampak harta orang nak samun saja.

  • Budaya dan nilai hidup yang akan dipaksa kita terima ialah hedonisme, iaitu keseronokan yang tidak terhad, kebebasan mengikut nafsu, khususnya nafsu seks.
  • Kalau kita pecah botol brandy atas New York, habis bukan saja New York, New York World Trade Centre, semua New York habis tenggelam.
  • Tidak dapat dinafikan bahawa penjajah dan imperialis bangsa Eropah memang bersifat tamak, suka berperang membunuh dan merampas hak dan harta benda tanah jajahan. Tetapi penjajah dan imperialis tidak terhad kepada bangsa Eropah saja, dan dosa-dosa dan kezaliman mereka juga tidak boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat awam bangsa terbabit.

    Pertukaran rejim

    Sungguh tidak adil mana-mana bangsa dituduh sebagai kaki botol, gila seks dan mengamalkan falsafah hidup hedonisme.

    Tak kira barat atau timur, tak kira apa bangsa sekalipun, tentu ada yang berbuat "jahat"atau "baik", dan melakukan perkara-perkara yang dianggap "bermoral"atau "tidak bermoral"mengikut ukuran masing-masing.

    Dan kaki botol, gila seks dan mengamalkan falsafah hidup hedonisme misalnya, juga pasti bukan monopoli orang putih saja.

    Dari segi strategi politik, ternyata juga amat tidak bijak Amerika, Britain dan Australia digabungkan dengan negara Eropah yang lain. Umpamanya dasar "pertukaran rejim" di Amerika dan sekutu-sekutunya malah ditentang oleh setengah negara Eropah, terutamanya Perancis dan Jerman.

    Di samping itu, banyak negara Eropah, umpamanya negara-negara Scandinavian (Sweden, Norway, Denmark dan Finland) yang patut kita berkawan dan mempelajari pencapaian mereka.

    Pendek kata, memperbesar-besarkan ancaman bangsa Eropah untuk menyatupadukan kaum Melayu tidak semestinya berkesan, malah mungkin membawa musibah kepada negara kita.

    Saya akan menyentuh ancaman PAS dan ancaman dalaman Umno dalam rencana berikut.