Mengenai cabaran dalam negara, Dr Mahathir Mohamad dalam ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno yang lalu, telah menyentuh masalah perpaduan kaum, perpaduan bangsa Melayu /umat Islam, dan perpaduan dalaman Umno sebagai bukan sebarang parti.

Hakikat hubungan kaum negara kita sudah terbukti bahawa selama ketuanan Melayu dan bumiputeraisme merupakan dasar utama Umno, selama itulah hubungan kaum negara kita tidak dapat mencapai perpaduan yang tulen, kerana tanpa kedudukan kaum yang setaraf, perpaduan kaum hanya merupakan retorik politik yang tidak ikhlas.

Dr Mahathir sepatutnya menyedari hakikat ini. Sebab itu, beliau kelihatan ketandusan idea-idea baru, dan hanya memainkan muzik basi: "Generasi pelapis terpisah kerana mereka memilih sekolah-sekolah mengikut kaum."

Beliau sepatutnya tidak memperlekehkan hak setiap kaum negara kita untuk menerima pendidikan ibunda masing-masing, seperti yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan, dan dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan serta Deklarasi Hak Manusia Sejagat.

Prasangkanya amat ketara apabila beliau mengatakan kerajaan telah memperkenalkan pelajaran bahasa Inggeris dan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeri untuk meningkatkan perpaduan kaum.

Sikap pro-majikan

Memang tidak masuk akal penggunaan bahasa Inggeris/bahasa asing didewa-dewakan sebagai bahasa perpaduan, manakala bahasa ibunda kaum-kaum di negara kita didakwa sebagai bahasa pengasingan dan perpecahan!

Dalam bidang ekonomi, Dr Mahathir menggunakan peluang ini untuk membidas rakyat tempatan yang menentang penempatan loji bakar sampah atau insinerator yang kononnya "termoden dan terselamat"dan lebih baik daripada loji bakar sampah yang digunakan di Jepun.

Beliau juga secara terang-terangan menegaskan pendirian kerajaan Umno/Barisan Nasional yang pro-majikan atau anti-buruh, iaitu menentang kenaikan gaji pekerja, menentang kesatuan sekerja mengambil tindakan perusahaan dan tidak setuju untuk membayar elaun pengangguran seperti yang dinikmati kaum pekerja di negara maju.

Menurut Dr Mahathir, kaum pekerja negara kita tidak mungkin naik gaji lagi kerana jumlah pekerja kita sekarang melebihi jumlah peluang kerja dan kenaikan gaji akan menjadikan negara kita tidak kompetitif (baca: majikan kurang untung). Dengan itu tidak akan ada pelaburan baru dan pelaburan yang sedia ada mungkin berpindah ke negara lain.

Jika kaum pekerja negara ini kekurangan jumlah peluang kerja seperti dakwaan Dr Mahathir, kenapa kerajaan masih membenarkan 1 higga 2 juta pekerja asing (yang sah dan haram) berada di negara ini untuk bersaing dengan kaum pekerja negara kita? Adakah ia dasar yang sengaja dilaksanakan untuk menjamin upah yang rendah dan kompetitif?

Hak pekerja

Tindakan perusahaan adalah senjata berkesan dan terakhir kaum pekerja memperjuangkan kebajikan dan bayaran yang berpatutan yang merupakan hak pekerja. Jika kerajaan menafikan hak pekerja untuk mengambil tindakan perusahaan, tidakkah ini bermakna kaum pekerja akan diperhamba dan diperas dan tindas oleh majikan dengan sewenang-wenangnya?

Alasan yang diberi kenapa kerajaan tidak setuju membayar elaun kepada pekerja yang menganggur juga sukar difahami, kononnya supaya si penganggur yang bergantung kepada bantuan keluarga akan merasa malu dan terpaksa mencari kerja.

Soalannya ialah jika jumlah pekerja sudah melebihi jumlah peluang kerja sepertimana yang diakui sendiri oleh Dr Mahathir, ke mana pula si penganggur hendak mencari kerja?

Mengikut analisis Dr Mahathir, bukan saja prospek ekonomi negara kita muram, prospek Umno juga tidak cerah. Menurut beliau, Umno bukan sebarang parti , kerana ia merupakan teras dan tunjang kepada parti pemerintah,. Parti lain, termasuk PAS, Semangat 46 dan Parti Keadilan Nasional, kesemuanya merupakan parti serpihan Umno.

Legitimasi Umno untuk mewakili bangsa Melayu/Islam dituntut Dr Mahathir kerana kononnya "tidak ada parti politik di mana-mana yang lebih berjaya memulihkan maruah sesuatu bangsa, seperti Umno".

Duri dalam daging

Mengikut logik ini, kerana perjuangan bangsa Melayu dan umat Islam belum selesai, demi bangsa agama dan negara, semua parti Melayu/Islam, terutama PAS dikehendaki untuk bekerjasama dengan Umno. Jika tidak, ia akan dipandang sebagai mengkhianati bangsa, agama dan negara. Justeru itu, bagi Umno, PAS dianggap sebagai "duri dalam daging"yang mesti ditentang habis-habisan.

Nasionalisme Melayu/bumiputeraisme yang sempit, merupakan kekuatan dan juga kelemahan Umno. Pemikiran yang berasaskan teori "ketuanan Melayu"tersebut memberi "legitimasi" kepada Umno untuk mewakili kaum Melayu dan bumiputera dalam negara ini.

Mengikut teori "ketuanan Melayu", kaum Melayu melalu Umno "berhak" mendominasi kuasa politik , dan seterusnya ekonomi, pendidikan dan lain-lain bidang di negara kita. Demikianlah kekuatannya sebagai pelindung kaum Melayu. Namun, nasionalisme Melayu yang sempit ini juga telah memecah-belahkan rakyat menjadi bumiputera dan bukan bumiputera..

Bumiputera yang bertongkatkan pelbagai "hak keistimewaan" (padahal kroni-kroni Umno yang banyak membolot faedah) lama-kelamaan kehilangan dayasaing, atau dengan menggunakan perkataan Dr Mahathir sendiri :"telah lumpuh", dan sukar hendak bersaing pada padang yang rata bersama bukan-bumiputera dan pesaing luar negara pada zaman globalisasi sekarang.

Pada masa yang sama, rakyat bukan-bumiputera pula merasa hampa dan kecewa kerana dianaktirikan dalam negara sendiri. Tidak dapat dinafikan inilah punca utama hubungan kaum negara kita tidak dapat mencapai perpaduan tulen. Demikianlah kelemahan nasionalisme Melayu sempit Umno.

Acuan PAS

Dalam zaman kebangkitan Islam di negara kita sekarang, PAS cuba mencabar nasionalisme Melayu Umno yang sempit dengan Islamisme acuan PAS, iaitu memperjuangkan sebuah negara Islam untuk menuntut legitimasi mewakili umat Islam di negara ini .

Seperti bumiputeraisme Umno, Islamisme PAS juga sukar hendak mendapat sambutan baik rakyat bukan Melayu/Islam, kerana ia juga memecah-belahkan rakyat kita menjadi Islam dan bukan-Islam. Dan tidak kira fahaman hegemoni Melayu atau fahaman hegemoni Islam, ia bertentangan dengan lunas-lunas kesetaraan bangsa dan multi-budaya yang adil, demokratik dan progresif.

Di kalangan orang Melayu, terutama pada pilihanraya umum tahun 1999 lalu, PAS yang menyertai gerakan reformasi yang tercetus selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim, bergabung dengan Keadilan, Parti Rakyat Malaysia dan DAP - melalui Barisan Alternatif - telah mendapat sokongan besar yang didakwanya melebihi 50% undi Melayu.

Lantaran itu, Dr Mahathir dalam ucapan dasar dan penggulungan perbahasannya, telah melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap PAS untuk membuktikan Umno lebih Islam daripada PAS yang dituduh sebagai memperalatan Islam semata-mata.

Tentulah umat Islam di negara kita yang lebih layak memutuskan parti manakah yang lebih Islam. Tetapi dari kacamata bukan-Islam, kritikan Dr Mahathir terhadap hasrat Kerajaan Kelantan dan Terengganu untuk melaksanakan Hukum Hudud, dan pendapat beliau bahawa al-Quran sewajarnya ditafsirkan mengikut peredaran masa, rasanya lebih mudah diterima.

Bagaimanapun, yang amat membimbangkan ialah perlumbaan Umno dengan PAS untuk mengIslamisasikan negara kita nescaya akan terus mempolarisasikan rakyat Malaysia sebagai Islam dan bukan-Islam dalam semua bidang, dan gejala kafir-mengkafi sesama Islam juga mungkin mengeruhkan suasana negara kita.

Salah siapa

Namun Dr Mahathir masih yakin bahawa parti pembangkang tidak kuat, mereka tidak pernah menang, hanya Umno yang kalah kerana perebutan kuasa dan sabotaj dalaman. Beliau yakin parti pembangkang tidak dapat menewaskan Umno, melainkan Umno sendiri yang menewaskan Umno.

Dr Mahathir berulang-kali menyeru ahli Umno khasnya dan umat Islam amnya, supaya bersedia berkorban untuk perpaduan Umno dan umat Islam demi bangsa , agama dan Negara.

Tetapi beliau sedar, ramai pemimpin Umno lebih mementingkan kepentingan dan kuasa individu, dan jika berpeluang, mereka akan memulakan perebutan kuasa tanpa mengira perbuatan tersebut akan menghancurkan Umno. Inilah yang paling dikhuatirkan Dr Mahathir.

Namun siapakah yang patut disalahkan? Bukankah wang, politik paternalisme dan authoritarianisme yang merupakan ciri utama pemerintahan Dr Mahathir selama 22 tahun itu, telah dari akar umbinya menjahanamkan sistem demokrasi yang berasaskan pemilihan parti yang adil?

Kenapa peralihan kuasa parti tidak dilakukan melalui pemilihan parti secara demokratik mengikut penetapan perlembagaan parti? Kenapa ia seolah-olah hak istimewa presiden/perdana menteri dan penggantinya ?

Jika sistem demokrasi yang adil dan saksama tidak dapat diamalkan dalam Umno, bagaimana rakyat Malaysia dapat mengharapkan sistem yang sama dapat diamalkan dalam kerajaan Umno/Barisan Nasional? Bukankah nasib rakyat Malaysia lebih penting daripada nasib Umno?


Bahagian 1 : Umno dalam peralihan kuasa