Perdana Menteri Singapura Goh Chok Tong, dalam ucapannya di Parlimen pada 5 April 2002 lalu menegaskan: "Sebarang pelanggaran Perjanjian Air akan menjejas Perjanjian Pemisahan dan menjejas kewujudan kita."

Kepada Singapura, "perjanjian air adalah perjanjian yang sah, bukan hanya satu perjanjian komersial biasa. Ia merupakan perjanjian khas yang telah dimaktubkan dalam Perjanjian Pemisahan dan didaftar di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Ia adalah asas kewujudan singapura sebagai sebuah negara merdeka."

Oleh itu, Singapura menegaskan: "Isu utama bukan sebanyak mana kami bayar, tetapi bagaimana sesuatu perubahan harga dicapai." Apa yang dikhuatiri Singapura ialah perjanjian air hanya dianggap sebagai "secebis kertas usang".

Nyata sekali, yang memomokkan Singapura ialah sensitiviti atau kecenderungan yang keterlaluan untuk menginterpretasikan sebarang semakan harga air sebagai ancaman kepada kewujudan Singapura sebagai sebuah negara berdaulat.

Sensitiviti yang keterlaluan ini tidak sukar difahami memandangkan latarbelakang sejarah Singapura yang tidak terpisahkan daripada sejarah Malaya/Malaysia. Dan mungkin juga beberapa hujah dan cadangan pemimpin negara kita dalam pertikaian ini, telah merunsingkan mereka.

Umpamanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Rais Yatim, telah mengisytiharkan pada 24 Oktober 2002 bahawa sebagai huraian, Malaysia boleh menggubal undang-undangnya sendiri untuk membatalkan perjanjian air. Malah Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Luar Syed Hamid Albar juga pernah menyentuh masalah berperang.

Isu utama

Tidak dapat dinafikan rakyat Singapura dan Malaysia pernah berkongsi sejarah dalam perang anti-Jepun dan anti-British yang merupakan kuasa penceroboh dan penjajahan rantau ini.

Namun, tidaklah bijaksana, sebaliknya bertentangan dengan kepentingan rakyat kedua negara, jika Singapura atau Malaysia dijadikan musuh andaian oleh negara jirannya, dan rakyatnya diperlengkap dan disiapsediakan untuk berperang dengan musuh andaian itu.

Memandangkan sensitiviti dan kekhuatiran Singapura itu, maka amatlah dialu-alukan kesimpulan pihak kita dalam iklan dan buku kecil yang diterbitkan, bahawa "isu utama ialah satu harga yang patut bagi kedua-dua belah pihak", dan menekankan sekali lagi "kami (Malaysia) sentiasa akur kepada komitmen undang-undang dan kita akan terus berbuat demikian dalam komitmen kami pada masa akan datang."

Jaminan pihak Singapura bahawa mereka kekal komited terhadap usaha mencari huraian berasaskan rasa percaya-mempercayai, hormat-menghormati dan saling memberi manfaat, juga patut dialu-alukan, kerana menghuraikan pertikaian secara damai adalah trend dunia sekarang.

Jika musuh ketat seperti Israel-Palestin juga sedang berusaha untuk mencari perdamaian, tiada sebarang alasan Singapura-Malaysia tidak menghargai hubungan baik dua negara yang dinikmati selama ini.

Lantaran itu, kedua-dua pihak hendaklah memelihara kesabaran masing-masing, dengan sedaya upaya melenyapkan salahfaham yang masih wujud, dan balik ke meja rundingan. Jika jalan masih buntu setelah segala usaha sudah diikhtiarkan, maka ia masih boleh dirujuk kepada Mahkamah Antarabangsa untuk ditimbangtarakan.

Ketepikan emosi

Buku kecil negara kita memberi amaran bahawa dengan memanjangkan pertikaian Singapura menghadapi risiko merosakkan hubungannya dengan negara jiran yang selama ini telah banyak berkongsi sejarah dan yang sapatutnya sama-sama berkongsi masa depan yang menjanjikan harapan, digerakkan dengan jalinan persahabatan, saling hormat-menghormati dan saling menikmati manfaatnya.

Pendirian yang rasional dan bijaksana ini sepatutnya menjadi pegangan kedua-dua negara Singapura-Malaysia bagi mengelak risiko merosakkan hubungan baik Singapura-Malaysia.

Kedua-dua kerajaan Singapura dan Malaysia harus menyedari akibat buruk yang akan menimpai rakyat dan negara kita sekiranya emosi kaum tidak dapat dikawal. Semua pihak terlibat hendaklah berhati-hati agar emosi nasionalis Melayu maupun Cina , tidak diapi-apikan dan diperalatkan oleh mana-mana pihak demi kepentingan nasionalis sempit atau rejim yang memerintah.

Tidak dapat dinafikan Melayu dan Cina merupakan dua bangsa utama dalam rantau ini, dan hubungan baik antara kedua-duanya akan merupakan jaminan kepada kestabilan rantau ini. Dalam hubungan ini, kedua-dua kerajaan Malaysia dan Singapura harus memberi jaminan tidak akan mengizinkan sebarang emosi nasionalis sempit dibangkitkan oleh mana-mana pihak.

Kerana menemui jalan buntu dan hilang kepercayaan terhadap Malaysia, pihak Singapura cuba mengitar semula air terpakai sebagai NEWater atau memproses air yang dinyahgaramkan dengan kos yang agak tinggi (RM7.50 bagi setiap 1,000 gelen NEWater, dan RM7.65 bagi setiap 1,000 gelen air yang dinyahgaramkan), supaya republik itu tidak terlalu bersandar kepada bekalan air negara kita kelak.

Pada satu hari nanti, Singapura mungkin dapat mengatasi bekalan airnya berasaskan prinsip berdikari jika tiada kompromi dicapai mengenai harga air bekalan dari Johor, sungguhpun dengan kos yang lebih tinggi, tetapi masih mampu ditanggung oleh rakyat dan negaranya.

Kepentingan rakyat

Dan Malaysia juga tidak akan jatuh miskin akibat Singapura tidak memerlukan air kita lagi. Tetapi bagaimana pula keadaan hubungan rakyat dan kerajaan Malaysia-Singapura?

Akibat propaganda kerajaan, adakah rakyat Singapura akan mempunyai kenangan pahit, seolah-olah Malaysia pernah cuba memutuskan bekalan air kepada mereka?

Dan adakah rakyat Malaysia juga akan berasa tersinggung, seolah-olah rakyat Singapura amat sombong dan tidak mengenang budi Malaysia yang membekalkan air mentah dengan harga yang begitu murah selama berpuluh-puluh tahun?

Kerajaan Singapura dan Kerajaan Malaysia - untuk menjaga ego dan kepentingan rejim masing-masing - mungkin tidak akan mengambil berat tentang apa yang akan dirasa dan difikirkan oleh rakyat kedua-dua negara.

Tetapi rakyat mereka yang mempunyai talian kekeluargaan dan keturunan, pasti tidak ingin kelihatan timbulnya salahsangka yang akan menjadi punca dendam, benci dan permusuhan antara kedua-dua negara.

Dari segi ini, pertikaian air bukan hal-ehwal Kerajaan Singapura dan Kerajaan Malaysia sahaja, tetapi hal-ehwal rakyat dan negara yang akan mempengaruhi setiap rakyat Singapura-Malaysia.

Oleh itu, parti pembangkang dan badan bukan kerajaan mesti memainkan peranan untuk mendesak dan memantau kerajaan Malaysia dan Singapura, dengan segera kembali ke meja rundingan untuk mencari penyelesaian secara saksama dan memanfaatkan kedua-dua negara.

Kesimpulannya, harga yang berpatutan itu penting, dan komitmen terhadap Perjanjian Air juga penting. Namun , yang lebih penting ialah hubungan baik dan persahabatan rakyat kedua negara yang berkongsi sejarah dan hari depan!


Bhgn 1 : Isu air: Malaysia selalu 'tukar tiang gol'?