Tanggal 3 Ogos 2003 sudah menempa sejarah, bukan saja kerana pelancaran Parti Keadilan Rakyat - gabungan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dengan Parti Nasional Keadilan - telah disempurnakan di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, tetapi lebih penting lagi, kerana komitmen untuk memainkan peranan sebagai penjana politik baru negara kita.

Majlis pelancaran Keadilan dihadiri hampir dua ribu ahli, petugas dan pemimpin kedua-dua parti yang bergabung itu, tetamu jemputan daripada kedutaan luar negeri, parti pembangkang, badan bukan kerajaan dan individu terkemuka dalam pelbagai bidang.

Suasana majlis itu boleh dikatakan meriah, hangat dan adakalanya mengharukan. Selain ucapan pemimpin parti yang bernas dan disambut baik oleh hadirin, ia berselang-seli pula dengan gema pekikan "reformasi "dan "hidup rakyat "di dewan yang bersejarah itu.

Pelancaran parti baru disempurnakan oleh presiden parti, Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail dan timbalan presiden, Dr Syed Husin Ali di babak akhir persembahan pentas yang simbolik dan diiringi muzik rancak dan dinamik.

Kemuncak majlis itu ialah apabila barisan pimpinan parti yang terdiri daripada 62 tokoh politik lama dan baru, diperkenalkan satu persatu, dan dijemput berbaris di pentas untuk menyanyikan lagu parti ciptaan Anwar Ibrahim "Kami Arus Perjuangan"dengan penuh semangat manakala hadirin turut berdiri bertepuk tangan sebagai menunjukkan sokongan dan sanjungan yang begitu kuat sekali.

Lagu ciptaan Anwar

Saya amat tertarik dengan senikata - "membujur lalu, melintang patah" - dalam lagu tersebut kerana selain membawa makna kita bertekad untuk mematahkan segala rintangan yang menyongsangkan arus perjuangan, perumpamaan itu juga mengajar kita agar berjuang dengan strategi dan taktik yang bijak dan sesuai dengan keadaan: Jika "melintang" akan "patah "(gagal), maka biarlah kita "membujur"untuk "lalu" (mencapai kejayaan)!

Seperti salam sambutan dari Anwar selaku penasihat Keadilan: "Kita menyaksikan gabungan kekuatan PRM yang progresif dengan landasan perjuangan yang hebat menentang imperialisme dan dengan tuntas berjuang membebaskan rakyat dari belenggu derita-sengsara, dan Parti Keadilan yang muncul di tengah gelombang tuntutan reformasi setelah berlakunya penghakisan hak rakyat terparah dalam sejarah negara."

Presiden PRM, Syed Husin, selaku timbalan presiden Keadilan (PKR) telah menegaskan: "Kita berhasrat merintis politik baru dan mempelopori reformasi dalam semua bidang ekonomi, politik dan sosial untuk kemajuan negara dan rakyat.".

Beliau juga berjanji bercita-cita untuk memberikan pimpinan yang berkesan kepada gerakan alternatif ini. Mengenai politik baru, Dr Syed Husin memberi huraian selanjutnya:

"Politik baru mempunyai sikap terbuka, membuka serta menggalakkan penyertaan dari rakyat semua kaum dan agama dalam urusan parti dan negara. Dasar atau program politiknya menyuarakan isu-isu yang menjadi rintihan, keprihatinan, tuntutan dan keperluan semua rakyat, terutama dari kalangan bawahan dan pertengahan yang terbiar, terpinggir dan tertindas.

Ia menolak politik yang menjelmakan semangat, desakan serta tindakan perkauman dan keagamaan yang sempit. Namun ia bersandar kepada ajaran agama, unsur kebudayaan dan nilai moral yang unggul."

Politik perkauman

Presiden Keadilan, Wan Azizah pula menegaskan perjuangan parti gabungan itu bersifat pelbagai kaum, yang berteraskan Melayu. Perjuangan bagi setiap kaum sama penting, tetapi lagi penting lagi ialah perjuangan untuk golongan rakyat jelata, kaum itu, bukan golongan elit yang menindas.

Saya sangsi mengapa ditekankan parti itu "berteraskan Melayu". Adakah politik baru yang menentang politik perkauman masih menggalakkan "parti yang berteraskan Melayu", "parti yang berteras Cina", "parti yang berteraskan India"dan seterusnya? Bukankah ia merupakan saki-baki pemikiranan politik perkauman yang patut dilenyapkan?

Penekanan Keadilan (PKR) "berteraskan Melayu" telah melemahkan hujah beliau seterusnya yang patut dialu-alukan: "Parti kita tidak mahu terlibat dalam permainan untuk menunjukkan kita lebih Melayu dari Umno, atau lebih Cina dari MCA atau lebih India dari MIC. Jawapan kepada "one-upmanship" adalah "statesmanship". Kita tidak mahu menjadi lebih Melayu atau lebih Cina, atau lebih India, atau lebih Iban atau lebih Kadazan. Kita hanya menjadi lebih adil untuk semua."

Dalam latar belakang penggabungan itu, timbalan presiden PRM, Rustam A Sani, selaku Ketua Penerangan Keadilan, berpendapat ia bukan sekadar menjadi pelopor politik baru di Malaysia, tetapi juga menjadi pewaris sah bagi sejarah perjuangan rakyat untuk mencapai keadilan sosial dan demokrasi di negara ini.

Malah, beliau menganggap "17 tujuan dan matalamat perjuangan"yang dikemukakan Keadilan merupakan penerusan, pelengkapan dan penyempurnaan kepada "10 prinsip rakyat" yang dikemukakan Putera (Pusat Tenaga Rakyat)- AMCJA(All Malayan Council of Joint Action).

Pejuang tulen

Dan menurut beliau lagi, Anwar, Syed Husin dan Wan Azizah akan dapat mengambil tempat mereka yang sah dalam barisan pejuang rakyat yang tulen dalam sejarah perjuangan rakyat negara ini, yakni Ibrahim Yaacob, Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhammad dan Ahmad Boestaman.

Memang penting untuk mengetahui kesinambungan sejarah perjuangan rakyat negara ini. Tetapi rasanya mungkin terlalu awal untuk meletakkan mana-mana pemimpin Keadilan sebaris dengan para pejuang rakyat yang tulen itu, sungguhpun mereka memberi sumbangan besar dalam penubuhan Keadilan sebagai wadah penjana politik baru.

Justeru seperti huraian Anwar:"Cabaran dan liku pergerakan masih sulit dan rencam. Parti Keadilan Rakyat terpaksa bergerak dalam ruang kebebasan yang amat terbatas, dan iklim politik yang menekan. Ia tetap akan menguji keikhlasan dan kesabaran kita sejauh mana kita bertindak kerana kepedulian kepada nasib negara-bangsa mengatasi pertimbangan dan karenah lainnya."

Mungkin selepas "keikhlasan dan kesabaran"mereka teruji, dan ditimbang jasa mereka dari segi perjalanan sejarah, barulah diketahui sama ada mereka layak dimasukkan ke dalam barisan para pejuang rakyat yang tulen dalam sejarah perjuangan rakyat negara ini.

Saya akhiri rencana ini dengan pesanan Dr Syed Husin: "Kejayaan tidak akan datang bergolek. Kita perlu terus berusaha dan bekerja kuat, mengorbankan tenaga, fikiran dan harta, setakat yang terdaya, untuk memastikan perjuangan kita akhirnya mencapai kemenangan. Tiada kemenangan tanpa perjuangan, tiada perjuangan tanpa pengorbanan."

Memang betul, saya ulangi: tiada kemenangan tanpa perjuangan, dan tiada perjuangan tanpa pengorbanan!


Nota pengarang : Istilah Keadilan digunakan sebagai singkatan kepada Parti Keadilan Rakyat.