Kata seorang strategis agung Cina: "Apa yang ditentang musuh hendaklah kita sokong, dan apa yang disokong musuh hendaklah kita tentang."

Dari segi strategi, ukuran dialektik ini boleh digunapakai untuk menimbang kebijaksanaan sesuatu langkah strategik yang telah dicorak oleh mana-mana pihak, di samping menilai sambutan rakyat.

Baru-baru ini, Timbalan Menteri Penerangan Datuk Zainuddin Maidn mencabar pemangku Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya menafikan yang PAS akan melaksanakan dasar "talam dua muka"dengan menggunakan dua manifesto berbeza di peringkat negeri dan pusat dalam pilihanraya umum ke-11 nanti.

Jika menurut ukuran di atas, mungkin ia mendedahkan kebimbangan Barisan Nasional (BN) terhadap "Formula untuk Kejayaan" PAS itu.

Menurut laporan , strategi yang digariskan oleh Abdul Hadi dalam taklimat perdananya di Auditorium Angkasa, Kuala Lumpur pada 18 Januari lalu itu, telah diedarkan kepada semua pemimpin kanan PAS sebagai 'Amanat Perdana Pemangku Presiden'. Tetapi sayang sedikit, pemimpin DAP seolah-olah masih tidak menyedari kewujudan amanat tersebut. Antara lain, amanat tersebut dilaporkan berbunyi:

"Justeru itu isu negara Islam dan pelaksanaan hudud dan syariah menjadi punca perpecahan BA dahulu, maka PAS perlu membuat satu pengorbanan besar dan ijtihad besar untuk tidak memasukkan persoalan negara Islam dan pelaksanaan hudud di peringkat federal. Peruntukan mengenai Islam adalah mencukupi sekadar apa yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan seperti yang diamal kini di peringkat federal.

"Seandai menang dalam pilihanraya akan datang, BA atau pembangkang akan menubuhkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di peringkat federal atau pusat yang mendukung Perlembagaan Persekutuan yang ada."

Dua manifesto

Dalam ucapan presiden di kongres ke-36 Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Syed Husin Ali dengan tepat berhujah bahawa isu negara Islam dan hudud yang dibawa oleh PAS membuka peluang kepada Umno-BN menggunakannya sebagai senjata bagi memburukkan PAS serta melemahkan BA, dan sebagai alat mendapatkan sokongan masyarakat bukan Islam serta golongan Melayu-Islam yang sederhana dan sekular.

Namun beliau berpendapat masalah-masalah yang dihadapi kini boleh diatasi dan perlu diatasi secara strategik oleh BA, terutamanya untuk menghadapi pililhanraya umum akan datang.

Malah, beliau menegaskan PRM bersedia untuk menjalin pakatan yang lebih longgar seandainya BA tidak berkemungkinan kekal dalam bentuknya yang ada sekarang jika PAS tidak bersedia "berundur selangkah untuk mara dua langkah".

Jika PAS tidak berkeras untuk memasukkan isu negara Islam dan hukum hudud dalam Manifesto BA, dan sudi bersama parti komponen BA lain untuk memperjuangkan sebuah kerajaan demokratik dan adil di peringkat pusat, seperti kandungan Amanat Perdana Pemangku Presiden PAS itu, maka PAS mengambil langkah bijak untuk"berundur selangkah" sebelum terlewat, sekaligus isu dapat diatasi secara stategik sepertimana harapan Syed Husin.

Tuduhan "talam dua muka"mudah saja dapat dijawab, memandangkan Manifesto PAS dan Manifesto BA merupakan dua manifesto yang berlainan. Negara Islam dan hukum hudud merupakan idealisme jangka panjang PAS dan dimasukkan ke dalam Manifesto PAS, sedangkan platform bersama BA ialah memperjuangkan sebuah negara demokratik dan adil berlandaskan Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, keputusan tidak memasukkan isu negara Islam dan hukum hudud ke dalam Manifesto BA juga wajar sekali. Di manakah wujudnya "dwi-standard dan hipokrit "jika ianya tidak dilihat melalui kacamata yang berprasangka?

Dalam sejarah negeri China umpamanya, Parti Komunis China bekerjasama dengan Kuomingtang yang anti-komunis untuk menentang pencerobohan Jepun pada tahun 30-an melalui Barisan Bersatu Anti-Jepun .

Tentu tidak masuk akal jika ada pihak yang berkeras hendak memasukkan idealisme komunisme atau pendirian anti-komunis dalam manifesto atau kenyataan bersama barisan tersebut. Ianya tentu dianggap cetek dan dungu jika ada sesiapa yang menuduh Parti Komunis China atau Kuomingtang mengamalkan"dwi-standard dan hipokrit"!

Cabaran untuk PAS

Jika PAS dapat berpegang teguh kepada Amanat Perdana Pemangku Presiden itu sebagai suatu dasar tetap berjangka panjang dan konsisten, ia mencerminkan kerelaan dan kemampuan PAS menghadapi situasi politik negara kita yang majmuk secara realistik dan inklusif, serta memberi sumbangan besar dalam memperjuangkan sebuah negara demokratik dan adil berlandaskan Perlembagaan Persekutuan bersama rakyat bukan-Islam .

Salah satu prinsip strategi ialah kepentingan bahagian (dalam kes ini negeri ) tertakluk kepada kepentingan keseluruhan (dalam hal ini pusat). Maknanya jika negara demokratik dan adil yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan adalah matlamat keseluruhan PAS di peringkat ini, maka ia bukan saja akan diperlihatkan melalui dasar-dasar kerajaan pusat sekiranya BA berkuasa, tetapi juga dalam dasar-dasar kerajaan negeri yang dikuasai BA atau PAS.

Dengan lain perkataan, di peringkat ini, PAS harus menjadikan negeri yang diperintahnya sebagai model negeri demokratik dan adil yang dapat diterima dan demi kepentingan rakyat Islam dan bukan-Islam, bukannya model negeri Islam yang eksklusif dan sesetengah dasarnya sukar diterima bukan-Islam.

Ini amat penting, jika PAS tidak menggubal dan melaksanakan dasar-dasar demokratik dan adil di negeri yang diperintahnya, keikhlasannya untuk memperjuangkan sebuah kerajaan pusat yang demokratik dan adil, mungkin diragui.

Di samping itu, penggubalan dan pelaksanaan dasar-dasar demokratik dan adil juga bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan komitmen dan penglibatan mendalam dan menyeluruh semua pihak serta nilai-nilai majmuk dan berkepentingan kepelbagaian.

Proses pendemokrasian sendiri mungkin melibatkan proses penyerapan nilai-nilai sejagat dari pelbagai agama, budaya serta aliran teori sosial, ekonomi serta politik, manakala konsep adil juga mungkin bercanggah menurut kelas, kaum, agama dan budaya yang berlainan.

Pendek kata, komitmen untuk memperjuangkan sebuah negara demokratik dan adil berlandaskan Perlembagaan Persekutuan bermakna PAS sendiri perlu mengambil bahagian dalam proses pendemokrasian dan penyelarasan konsep adil parti itu.

Mungkin inilah cabaran yang lebih sukar yang perlu dihadapi PAS pada masa depan sekiranya Amanat Perdana Pemangku Presiden itu merupakan suatu dasar yang tetap berjangka panjang dan konsisten.

Seandainya PAS dapat mengatasi segala cabaran yang tersebut, parti itu sudah barang tentu akan memainkan peranan amat penting dalam BA untuk menawarkan kerajaan alternatif yang demokratik dan adil kepada rakyat pelbagai kaum dalam pilihanraya umum akan datang. Dan peluang BA berkuasa pada suatu hari nanti menjadi lebih cerah!