"Pemimpin kami sentiasa merupakan suatu 'enigma' ( yang membingungkan). Luarbiasa sekali, tiada sesiapa yang mengetahui nama benarnya. (Kami) semua, bagaimanapun, hanya biasa dengan aliasnya dalam Parti: Lai Te. Perintah atau arahan yang terbabit dengan Lai Te amat autoritatif, ia sentiasa mendapat perhatian segera, penghormatan mutlak dan dipatuhi tanpa dipersoalkan. "(ms 24)

Justeru manusia "enigma"yang beralias Lai Te (juga dikenali sebagai Chang Hong, Wright, Wong Kim Gyok dan Wong Show Tong) inilah yang menjahanamkan PKM dan perjuangan rakyat Malaya pada zaman pendudukan Jepun dan selepas penjajah British kembali.

Sukar dipercayai, Lai Te yang merupakan pemimpin tertinggi - Setiausaha Agung PKM dari tahun 1938 hingga tahun 1947 pada hakikatnya adalah ejen tiga lapis yang pernah berkhidmat kepada kuasa-kuasa penjajah Perancis, British dan Jepun!

Menurut Chin Peng, bila pertemuan bersejarah di antara pihak SEAC (South East Asia Command) dan PKM dilangsungkan di khemah Belantan pada Disember 1943 yang menghasilkan penandatanganan perjanjian bekerjasama antara SEAC dengan PKM, Major Frederick Spencer Chapman (dari SOE atau Special Operations Executive), salah seorang wakil pihak British, padahal sudah mengetahui belang sebenar Chang Hong (iaitu Lai Te) : iaitu ejen British yang menyeludup ke PKM pada awal tahun 1930an.

Lai Te, dengan bantuan SB British, telah menumpaskan pimpinan PKM di Singapura dan berjaya merampas tampuk pimpinan PKM pada 1938 setelah dilantik sebagai Setiausaha Agung parti itu. Pergerakan PKM di bawah pimpinan seorang ejen British, sudah barang tentu disabotaj secara berterusan, dan sentiasa mengalami serbuan tangkapan dan pembunuhan polis British, sehingga mereka serah diri kepada tentera penceroboh Jepun pada 15 Februari 1942.

Pada 26 Mac 1942, sebulan lebih Singapura jatuh dalam tangan tentera Jepun, Lai Te pun ditahan oleh Kempeitai dan sekali lagi mengkhianati PKM dengan membekali senarai nama ahli-ahli Jawatankuasa Bandar Singapura PKM kepada pihak musuh dan rela menjadi ejen Jepun di bawah Major Satorou Onishi.

Motif Lai Te

Major Onishi, yang akhirnya dijatuh hukuman penjara seumur hidup oleh Mahkamah Jenayah Perang British, demikian menggambarkan Lai Te, ejennya yang berharga itu :

"Motif pertamanya ialah untuk menyelamatkan nyawanya, walaupun dengan (mengorbankan) nyawa-nyawa komradnya. Yang kedua, dia bekerjasama dengan saya untuk mengekalkan kedudukannya dalam Parti dan juga untuk melanjutkan ambisi dirinya. Jelas sekali, orang-orang yang dijualnya ialah mereka yang mencabar kedudukan dan authoritinya dalam Parti."

Lantaran itu, Lai Te mulai menghapuskan pemimpin-pemimpin terunggul PKM secara sistematik, bermula dengan Huang Chen (Zhang Huang Shi) , orang nombor dua selepas Lai Te dan ahli teori terkanan Parti, yang dibunuh setelah dikhianati Lai Te.

Seterusnya Lai Te berkomplot untuk menghapuskan keseluruhan pimpinan PKM dengan memberi arahan agar 40 orang pemimpin tertinggi Parti dari merata tempat menghadiri mesyuarat yang diadakan di Sungei Dua (Shi Shan Jiao), berdekatan Batu Caves, Selangor.

Akhirnya, mereka dikepung oleh tentera Jepun, dan diserang pada pagi 1 September. Setelah pertempuran sengit , hanya separuh para hadirin yang berjaya meluluskan diri daripada kepungan dan serangan musuh. Yang lain telah gugur dalam pertempuran. Kejadian ini dinamakan Kejadian 1 September, dan hari tragis itu telah dijadikan Hari Martir PKM.

Lei Te tidak hadir dengan alasan keretanya telah rosak dalam perjalanan ke Batu Caves! Menurut Chin Peng, pada masa itu, mereka bukan saja tidak mensyaki pemimpin agung mereka, malah bersyukur kerana beliau telah terselamat akibat "kerosakan keretanya"!

Selepas itu , Chin Peng ditugaskan untuk menyediakan perjumpaan antara Lai Te, Chai Ke Ming, Ah Nan dan timbalannya. Perjumpaan ini juga dikhianati Lai Te, menyebabkan Setiausaha Negeri Perak Ah Nan dan timbalannya ditahan oleh musuh . Ah Nan dibunuh dan timbalannya mengkhianati Parti.

Kawalan mutlak

Chai Ke Ming yang merupakan pengganti Huang Chen bernasib baik tidak jatuh dalam tangan musuh kerana keretapi yang dinaikinya lambat tiba ke stesen Kampar. Namun, Lai Te tidak melepaskannya. Chai diarah supaya ke Singapura untuk berjumpa dengannya, dan "lenyap secara misteri"!

Selepas Ah Nan dikorbankan, Shiao Ping yang dianggap berdekatan dengan Lai Te diarahnya mengambil alih pimpinan negeri Perak mengganti Ah Nan. Dia bertolak dari Selangor ke Perak menaiki keretapi dan ditahan oleh Kempeitai. Dia mengkhianati Parti dan bekerjasama dengan Kempeitai .

Selain daripada menghapuskan pimpinan PKM secara sistematik, Lai Te juga mengarahkan pembubarkan unit-unit gerila (arahan ini tidak dipatuhi oleh kebanyakan negeri) dan melaksanakan dasar "Kawalan Pemusatan Sepenuh", agar dia dapat menguasai PKM secara total dan mutlak.

Bila Jepun menyerah diri pada 16 Ogos 1945, Lei Te pun menjadi ejen penjajah British semula dengan mengeluarkan Program 8 Perkara untuk menggantikan Manifesto 9 Perkara .

Antara lain, perjuangan bersenjata PKM telah digantikan dengan perjuangan aman melalui perlembagaan, dan matlamat asas PKM untuk penentuan nasib sendiri (self-determination) negara kita pun dikhianati, dan suatu peluang keemasan bergabung dengan pasukan Jepun demi mengusir penjajah British daripada kembali ke tanahair kita turut disia-siakan oleh ejen British tersebut (Sila merujuk kepada Bhgn 3 ).

Lai Te dengan segera menubuhkan "Jawatankuasa Ketenteraan Pusat" (JKP) dan menjadi komander tertinggi JKP untuk menguasai pasukan bersenjata PKM, Chin Peng dijadikan timbalannya, dan seorang lagi ahli PKM yang lain ialah Liew Yao. Hanya Lai Te seorang saja yang berkuasa untuk menetapkan segala dasar perjuangan PKM.

Maka Lai Te pun mempromosi dasar perjuangan secara aman dan halal dalam bidang pekerja, dan membubarkan pasukan bersenjata anti-Jepun (juga dikenali sebagai pasukan terbuka) serta pasukan bersenjata PKM (juga dikenali sebagai pasukan sulit) .

Tangkapan beramai-ramai

PKM dan pertubuhan-pertubuhan barisan bersatunya yang berada dalam kedudukan pasif dan tidak menguntungkan ini memberi kesempatan kepada penjajah British untuk melancarkan tangkapan beramai-ramai dan mengharamkan PKM dan pertubuhan-pertubuhan barisan bersatunya setelah Darurat diisytiharkan pada 18 Jun 1948 , dan seterusnya mencetuskan perang anti-British yang terpaksa dilakukan oleh PKM (Sila merujuk kepada Bhgn 4 ).

Namun, sebelum Darurat diisytiharkan, Lai Te telah menghilangkan diri bersama wang PKM sebanyak satu hingga dua juta pada penghujung Januari 1947, bila menyedari kedudukannya dalam parti telah goyah.

Ini kerana tindakannya untuk menyingkirkan Yeung Kuo, seorang pemimpin veteran PKM dari Selangor yang tidak percayainya, telah menghadapi rintangan. Malah Chin Peng, pemimpin pilihannya juga memperlihatkan sikap "memberontak"terhadapnya , kerana tidak sudi diperalatkan bagi tujuan taktik "pecah-dan-perintahnya".

Nampaknya Yeung Kuo yang lebih bertekad untuk menghapuskan Lai Te, beliau meyakinkan Chin Peng bahawa Lai Te adalah spai antarabangsa berasaskan, antara lain, alasan-alasan berikut:

  • Dalam jangka masa sebelum perang, dia selalu tidak hadir pada mesyuarat yang diserbu polis British, ia tidak mungkin kebetulan kerana terlalu sering berlaku ;

  • Malah ia telah ditangkap pada suatu serbuan, tetapi dibebaskan begitu saja tanpa disoalsiasat;
  • Selepas pendudukan Jepun, Ahli Jawatankuasa Pusat ditahan seorang lepas seorang;
  • Kejadian Pembunuhan Batu Caves.
  • Chin Peng bersetuju dengan kesimpulan Yeung Kuo, kerana di samping hal-hal tersebut, beliau mempunyai dua bukti lain mengenai ketidak-jujuran Lai Te.

    Akhirnya dibunuh

    Kejadian pertama mengenai kandungan sepucuk surat yang dihantar oleh Lao Hey (Li Chee Shin) kepada Lai Te melalui Chin Peng. Lao Hey ialah Setiausaha Agung Parti Komunis Siam, yang pernah bergerak di Singapura pada awal tahun 1930an sebagai pembantu Setiausaha Agung PKM kawasan Singapura sebelum beliau diusir ke negeri China dan kemudian bergerak di negeri Siam.

    Dalam surat tersebut, Lao Hey memberi tahu Lai Te bahawa bila beliau bergerak di Singapura, beliau tidak pernah mendengar nama Lai Te dalam kalangan Parti. Chin Peng berpeluang membaca surat tersebut kerana Lai Te memberi surat itu kepadanya setelah membaca.

    Bila Chin Peng pulangkan surat itu kepada Lai Te, dia pun berkata: "Lao Hey ini seorang yang amat baik, saya telah berkenalan dengan beliau banyak tahun!"Komen ini bukan saja mendedahkan Lai Te tidak mengerti bahasa Cina, ia juga mendedahkan ketidak-jujurannya!

    Maklumat yang lebih bernilai diperolehi dari pemimpin Parti Komunis Indonesia yang terkemuka, Alimin, yang pernah bekerja dalam Biro Timur Jauh Comintern di Shanghai Moscow dan berhubungan rapat dengan Markas Comintern. Menurut Alimin, beliau juga tidak pernah mendengar nama Lai Te yang kononnya pernah bertugas dalam Comintern!

    Setelah Lai Te melarikan diri, PKM pun mengambil keputusan untuk menghapuskannya. Chin Peng ditugaskan untuk menjalankan hukuman tersebut. Selepas buruan dilakukan dan berhasil, dengan bantuan Parti Komunis Siam, tiga komrad Siam telah menyerbu Lai Te di sebuah hotel sederhana di Bangkok .

    Kerana tidak berpengalaman, Lai Te yang dicekik lehernya mati kelemasan, dan dicampak dalam sungai Chao Praya yang mengalir dengan derasnya!

    Lai Te sudah mendapat hukumannya, tetapi yang belum terjawab ialah bagaimana seorang ejen tiga lapis mungkin menyelulup ke dalam PKM untuk mensabotaj dan mengkhianati Parti selama 15 tahun, dan merampas pucuk pimpinan sebagai Setiausaha Agung selama 9 tahun ? Tidakkah struktur dan cara pimpinan PKM sendiri juga wujud kelemahannya? (Bersambung)