Kegagalan Rundingan Baling...salah siapa?

"Namun pada pendapat saya, tiada apa-apa cara yang akan membawa keamanan selain daripada menawar syarat-syarat yang sesuai supaya Parti Komunis yang dilawan kerajaan hari ini menyerah diri". Demikian petikan kata-kata Tunku Abdul Rahman di muka surat 376 di dalam memoir Chin Peng: "Sejarah Dari Kacamata Saya."

Balas Chin Peng: "Jika kamu (Tunku) menuntut kami menyerah diri, kami memilih berlawan sehingga orang yang terakhir" (ms 386).

Pendirian ini ditegaskan sekali lagi oleh Chin Peng kepada Major John Davis, yang menemani beliau kembali ke hutan: "Jika kamu (Davis) mampu menjadikan matahari terbit dari Barat, maka saya pun sanggup memberi arahan agar tentera saya mengalami penghinaan menyerah diri". (ms 387).

Nyata sekali, Rundingan Baling pada 28 Disember 1955 - di antara rombongan kerajaan yang diwakili oleh Tunku Abdul Rahman, David Marshall dan Tan Cheng Lock, dengan rombongan PKM yang diwakili oleh Chin Peng, Rashid Maiden dan Chen Tien - gagal justeru kerana rombongan kerajaan berkeras menuntut PKM menyerah diri, suatu penghinaan yang sukar ditelani mereka.

Akibat pengkhianatan Lai Te (sila merujuk kepada Bahagian 5 ) dan pelaksanaan Rancangan Briggs, PKM pada masa itu telah berada dalam kedudukan yang amat tidak menguntungkan.

Oleh itu, pada awal 1954, kertas posisi (position paper) PKM yang dibentangkan dalam Perhimpunan Parti-Parti Komunis Empayar British, telah mempelopori pertukaran penting dalam arahtuju PKM.

Kemerdekaan

Kertas posisi ini disediakan oleh Siao Chang dan Ah Hai selaku wakil Jawatankuasa Pusat PKM di Peking tanpa diketahui Chin Peng terlebih dahulu kerana terputus komunikasi.

Menurut Chin Peng: "Selama ini, kami menuntut penubuhan Republik Demokrasi Rakyat Malaya. Kini kami berhujah tentang memperjuangkan kemerdekaan negara bersama parti-parti yang lain. Kami juga ketepikan penekanan dasar terlebih dahulu mengenai peranan pimpinan yang dimainkan oleh PKM. Kami menyeru Darurat ditamat dan dibatalkan.

"Kami menyebut tentang hak-hak manusia tetapi ditinggalkan terbuka tentang bagaimana ia dapat dicapai. Tampaknya makna tersirat dokumen ini ialah PKM sedang mencari suatu strateji baru untuk memperjuangkan kemerdekaan (negara) tanpa melalui perjuangan bersenjata.."

Di pihak yang lain, menjelang pilihanraya umum pada 27 Julai 1955, Perikatan Umno-MCA yang dipimpin oleh Tunku dan Cheng Lock, memberi jaminan jika pakatan itu menjadi parti pemerintah, dalam jangka masa 4 tahun, mereka akan mencapai kerajaan sendiri (self-governed) dan kemerdekaan. Di samping itu, Perikatan juga berjanji akan menamatkan Darurat melalui pengampunan umum.

Chin Peng mengirim sepucuk surat atas nama "Wu Xing" kepada Tunku (salinannya kepada David Marshall) dalam bulan Mei 1955 untuk menjawab dasar Perikatan tersebut.

Sokongan rakyat

Beliau menyampaikan hasrat PKM untuk menamatkan perjuangan bersenjata melalui perundingan. Dicadangkan agar perundingan meja bulat yang meliputi semua parti politik diadakan untuk mencapai tujuan tersebut. Beliau juga mengisyaratkan partinya akan menerima pengampunan tetapi bukan seperti yang dicadangkan Tunku.

Cadangan Chin Peng sepertima yang terkandung dalam surat beliau itu, telah ditolak oleh kerajaan masa itu, dan Pesuruhjaya Tinggi MacGillivray berucap melalui Radio Malaya untuk menyampaikan mesej ringkas kepada PKM: Jika PKM mahu perundingan, mereka harus menyerah diri terlebih dahulu!

Seterusnya Perikatan telah mencapai kemenangan besar dengan menyapu 51 kerusi daripada 52 kerusi yang ditandingkan. Tunku memperolehi modal sokongan rakyat untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah British, dan juga untuk menghadapi PKM dalam perundingan yang bakal dilangsungkan.

Bagaimanapun, persediaan Rundingan Baling diteruskan juga. Dalam sesi perbincangan di peringkat permulaan kali ketiga/akhir di Kroh, Penolong Menteri Pelajaran, Too Joon Hing menyampaikan pesanan peribadi Tunku kepada Chin Peng melalui Chen Tien.

Kata Too: "Saya ada satu pesanan peribadi Tunku untuk disampaikan kepada Chin Peng. Tunku berpesan, tak kira apa sekalipun berlaku, beliau harap Chin Peng akan datang dan berunding dengannya. Jika pusingan pertama perundingan gagal menyelesaikan masalah, bila beliau balik dari London, beliau akan meneruskan perbincangan."

Demikianlah perjanjian mulut Tunku yang menyebabkan Chin Peng "terperangkap" untuk menghadiri Rundingan Baling yang ditakdirkan menuju kegagalan kerana kekurangan keikhlasan dari pihak Tunku di bawah tekanan penjajah British.

Pilihan PKM

Pihak Chin Peng sebaliknya sedia untuk berkompromi dalam Rundingan Baling supaya ianya berhasil. Menurut beliau, mereka mempunyai 'kedudukan maksimum' dan 'kedudukan minimum'.

Mereka akan menuntut kedudukan maksimum jika keadaan izinkan, iaitu agar PKM diiktirafkan sebagai sebuah pertubuhan politik yang sah di sisi undang-undang, dan setelah meletakkan senjata mereka dijamin kebebasan bergerak tanpa ditahan untuk disiasat.

Jika kedudukan maksimum tersebut tidak dapat dicapai, mereka akan berkompromi dan menerima tuntutan kedudukan minimum, iaitu PKM tidak diiktirafkan sebagai pertubuhan politik yang sah di sisi undang-undang, tetapi mereka hendaklah dibenarkan untuk menyertai parti-parti yang sedia ada atau menubuhkan parti baru yang bukan merupakan parti komunis, dan setelah meletakkan senjata, mereka dijamin kebebasan bergerak tanpa ditahan untuk disiasat.

Tak sangka tuntutan kedudukan minimum yang begitu sederhana sekali pun, juga ditolak oleh rombongan Tunku.

Sebagai suatu pasukan bersenjata yang telah mengorbankan ribuan orang ahli dan penyokongnya dalam proses perjuangan menentang penjajah British dan penceroboh Jepun sejak penubuhan PKM dalam 1930, kini ia cuba ditekan oleh Perikatan yang tidak pernah mengalirkan walau setitik darah pun.

Salah siapa

Bagaimanakah penghinaan seperti ini dapat ditelan oleh mereka yang menganggap dirinya sebagai sudah berjasa kepada nusa dan bangsa dalam perspektif anti-penjajah dan anti-pencerobohan ketenteraan Jepun?

Keikhlasan Chin Peng dapat diperlihatkan melalui hujah beliau pada akhir sesi perundingan: "Jika Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Singapura yang dipilih melalui pilihanraya mempunyai kuasa membuat keputusan sendiri dalam bidang keselamatan dalam negeri dan bidang pertahanan negara, maka semua masalah dapat diselesaikan dengan mudah saja. Sebaik saja kedua kerajaan ini mempunyai kuasa membuat keputusan sendiri dalam bidang-bidang berkaitan, kami akan segera menghentikan perang."

Sayang sekali keikhlasan pihak Chin Peng yang ditunjukkan berkali-kali, tidak pernah dihargai Tunku yang barangkali belum berani hendak menentang kehendak penjajah British sebelum dan selepas perundingan beliau di London. Demikian jugalah halnya dengan David Marshall ( gambar ) yang dangkal tetapi bersikap angkuh, sinis dan agresif terhadap Chin Peng dan rombongannya.

Kalau tidak, perdamaian mungkin telah dicapai pada tahun 1955, bukan 34 tahun kemudiannya. Berasaskan fakta sejarah seperti tersebut di atas, siapakah yang menjadi punca kegagalan Rundingan Baling! (bersambung)