Saat termeterainya Perjanjian Damai Haadyai

"Kami bertekad untuk mengambil iktibar dari (Rundingan) Baling. Sejak 1955, PKM berikrar tidak akan menuntut kedamaian jika ia bermakna menyerah diri kepada musuh atau, untuk tujuan yang sama, menerima sebarang cara penyelesaian yang berunsur kapitulasi. Saya, dan juga ahli politbiro dan ahli jawatankuasa pusat yang lain, tidak akan berganjak dalam perkara ini.

"Kini, pada penghujung tahun 1980-an, kami mahu kedamaian setulen kami tuntut dalam (Rundingan) Baling. Tapi ia mesti diperolehi secara mulia. Kedamaian harus diperolehi secara bermaruah - sesuatu yang telah dinafikan dalam rundingan saya dengan Tunku (Abdul Rahman) dan (David) Marshall 33 tahun dahulu. Penderitaan komrad kami selama 4 dekad menuntut tidak kurang daripada itu."(ms 479)

Justeru pendirian tidak berganjak ini, menurut Chin Peng, yang telah menyebabkan PKM menolak tawaran Thailand pada awal tahun 1987 supaya meletak senjata atas syarat-syarat yang sama, yang telah diterima oleh puak Marxist-Leninist dan puak revolusioner yang sudah terpisah daripada PKM.

Chin Peng menganggap syarat-syarat tersebut sebagai "meletak senjata dan serah diri", dan atas sebab itu, terus menolaknya. Pasukan PKM sanggup mempertahankan pendirian tidak menyerah diri itu kerana mereka masih mampu mengekalkan perjuangan yang berpangkalankan hutan buat jangka masa yang panjang.

Kemampuan ini teruji sekali lagi dari pertengahan 1987 hingga tahun 1988, apabila pasukan Thailand melancarkan serangan besar-besaran terhadap mereka kerana menolak tawaran untuk menyerah diri.

Latarbelakang ini amat berguna sebagai rujukan kepada Polis Cawangan Khas Malaysia apabila mereka memulakan projek khas untuk mencapai perdamaian dengan PKM pada 1988, kerana sedar jika tidak membatalkan presyarat "serah diri' sepertimana yang ditawarkan dalam Rundingan Baling, usaha itu pasti tidak berhasil.

Bantuan dihentikan

Hubungan baik antara Kerajaan Malaysia dengan Kerajaan China juga memberi sumbangan kepada usaha mencari perdamaian dengan PKM. Ketika Deng Xiao Ping melawat Kuala Lumpur pada November 1978, beliau membuat kenyataan bahawa mulai masa itu, China menganggap hubungannya dengan PKM sebagai satu sejarah yang harus dilupakan.

Sejak itu, China telah melaksanakan dasar yang digariskan oleh Mao, iaitu dasar dua paras - paras negara-kepada-negara dan paras parti-kepada-parti, dan prioriti diberi kepada paras negara-kepada-negara.

Berasaskan dasar dua paras tersebut, China, secara beransur-ansur, menghentikan bantuan kepada PKM, termasuk bantuan kewangan dan menamatkan siaran radio Suara Revolusi dari Hunan China pada 30 Jun 1981.

Deng , menurut Chin Peng, telah menggalak PKM mencari jalan untuk berdamai dengan Kerajaan Malaysia. Apabila Rundingan Haadyai diadakan, Chin Peng dinasihat jangan memainkan peranan utama, satu tindakan yang jelas bertujuan mengelakkan sebarangan keraguan tentang campurtangan dari pihak China.

Nasihat China itu diterima oleh Chin Peng atas pertimbangan aspek yang lain. Beliau tidak mahu kesilapan sewaktu Rundingan Baling berulang, di mana rombongan PKM terlalu sarat dengan pemimpin yang penting, termasuk Chin Peng selaku setiausaha agungnya, sehingga memberi tanggapan kepada Tunku bahawa PKM dalam keadaan terdesak untuk mencari kedamaian.

Oleh itu, rombongan perunding PKM kali ini diketuai Siao Chang (diambilalih oleh Wu Yit Shih dalam pusingan ketiga rundingan kerana Siao Chang terlalu uzur), Ah Yen (sebagai pesuruh dan penasihat Chin Peng) serta Rashid Maidin. Rombongan Kerajaan Malaysia diketuai Datuk Rahim Noor - Ketua Polis Negara ketika itu - dengan bantuan Yau Kong Yew sebagai penasihat. Rombongan Thai - selaku pengantara dalam rundingan itu - diketuai oleh Mejar Jeneral Kitti.

Tujuh tuntutan

Seperti di Baling, PKM juga menetapkan kedudukan maksimum dan minimumnya. Kedududan maksimum, menurut Chin Peng, meliputi tujuh tuntutan, iaitu:

  1. Mengiktiraf PKM sebagai gerakan politik yang sah;

  • Membebaskan semua tahanan politik di Malaysia;
  • Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA);
  • Merobohkan Tugu Peringatan Perang yang menggambarkan gerila komunis yang terkorban dipijak oleh askar Komanwel British;
  • Pengakuan sumbangan PKM terhadap peroses kemerdekaan negara;
  • Pembubaran secara rasmi pasukan PKM dan dibayar sejumlah wang ganjaran;
  • Kebebasan untuk mereka yang ingin kembali ke kampung halaman mereka di Malaysia untuk berbuat demikian tanpa ditahan atau melalui proses pemulihan.
  • Chin Peng tidak menyebut kedudukan minimum PKM dalam bukunya, tetapi rasanya tidak banyak berbeza daripada kedudukan minimum yang dikemukakan sewaktu Rundingan Baling (sila merujuk kepada Bahagian 6 ) .

    Namun begitu, mereka, sejak mula lagi tidak menaruh harapan besar yang PKM akan diiktiraf sebagai gerakan politik yang sah. Mereka juga sedar bahawa harapan Akta Keselamatan Dalam Negeri akan dimansuhkan juga tipis. Dan ternyata, selepas rundingan dijalankan, semua sangkaan mereka itu memang tepat - Kerajaan Malaysia tidak berganjak terhadap kedua-dua tuntutan itu.

    Tuntutan pembebasan tahanan politik menjadi lebih mudah kerana pada masa itu, kebanyakan mereka telah dibebaskan, kecuali kumpulan 15 tahanan yang dituduh kerajaan sebagai pelampau Islam yang tidak diakui kerajaan sebagai tahanan politik.

    PKM mempertahankan kedudukan mereka sebagai tahanan politik, dan meminta mereka dibebaskan atau didakwa dalam mahkamah, tetapi ianya ditolak oleh Kerajaan Malaysia.

    Kali ini, PKM mencapai suatu tuntutan minimum penting yang sebelum ini, telah ditolak sewaktu Rundingan Baling, iaitu mereka dibenarkan menubuhkan parti atau menyertai parti-parti politik sepertimana yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang Malaysia.

    Sumbangan PKM diakui

    Dan lebih bermakna lagi, menurut Chin Peng, dan memungkinkan penyelesaian Haadyai dianggap sebagai penyelesaian yang membanggakan ialah apabila akhirnya, Rahim Noor - ketika berucap dalam Bahasa Melayu dari notanya kepada mesyuarat yang dirakamkan sepenuhnya - membuat pengumuman bahawa Malaysia tidak menafi atau mempertikaikan sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan.

    Mengenai setakat manakah sumbangan ini, tambah Rahim, tidak perlu didebat dalam forum ini. Ia merupakan suatu isu yang patut ditinggalkan kepada ahli sejarah.

    Kedua-dua "pencapaian" tersebut menyebabkan rombongan PKM lebih mudah berkompromi dalam tuntutan-tuntutannya yang lain, termasuk perobohan Tugu Peringatan Perang dan pembubaran secara rasmi pasukan PKM .

    Kerajaan Malaysia memberi alasan ia memerlukan Akta Parlimen yang baru untuk merobohkan Tugu Peringatan Perang kerana ia dibina mengikut akta yang diluluskan oleh Parlimen, dan ini sukar dilakukan pada masa itu.

    Pembubaran secara rasmi pasukan PKM dianggap tidak perlu kerana Malaysia tidak mengaku pasukan PKM sebagai angkatan tentera. Ia hanya dianggap sebagai unit bersenjata. Oleh itu, ia hanya perlu ditamatkan.

    Lima pusingan rundingan kedamaian berlangsung di Hotel Thavorn Palm Beach di Pantai Karon, Phuket. Pusingan pertama diadakan pada 2-4 Februari 1989, dan pusingan akhir berlangsung pada 2-4 November 1989. Perlu ditekankan bahawa rundingan awal Kerajaaan Malaysia dengan pemimpin Melayu PKM telah diadakan pada penghujung 1988.

    Senjata dimusnahkan

    Chin Peng tiba di Bangkok pada 27 Oktober 1989 sebagai tetamu Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Thai, Jeneral Chavalit Yongchaiyudh. Pada 3 November 1989, Chin Peng diundang oleh Rahim Noor untuk menyelesaikan masalah yang lebih rumit dan sensitif, iaitu masalah senjata.

    Kepada PKM, senjata itu pantang diserahkan. Penyerahan senjata bermakna penyerahan diri .

    "Mujurnya dalam suasana yang agak mesra, suatu kompromi telah dicapai - 1188 senjata C - yang bermakna 1188 anggota pasukan kami (PKM) yang setiap seorang memiliki satu senjata C, akan dimusnahkan secara rahsia dengan disaksikan oleh pemerhati dari pihak Thai dan Malaysia. Peristiwa pemusnahan senjata ini tidak akan difilemkan atau diambil gambar."

    Senjata berlebihan yang dimiliki PKM akan ditawarkan dalam pasaran dan dijual kepada sesiapa yang memberi harga yang lebih berpatutan, termasuk pedagang yang dilantik oleh Kerajaan Malaysia. Penyelesaian masalah senjata yang lebih rumit dan sensitif itu, bermakna rundingan telah mencapai kejayaannya.

    Maka, berlangsunglah majlis penandatanganan Perjanjian Damai Haadyai yang bersejarah pada 2 Disember 1989 di Hotel Lee Gardens di Haadyai dengan dihadiri wakil tiga pihak - PKM, Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Thai - dengan disaksikan oleh 300 wartawan tempatan dan luar negara.

    Tiga dokumen telah ditandatangani secara rasmi. Namun, hanya Kenyataan Bersama saja yang diisytiharkan. Manakala dua lagi perjanjian yang dicapai antara PKM dengan kerajaan Malaysia dan antara PKM dengan Pemerintah Operasi Keselamatan Dalam Negeri Thai masih diklasifikasikan sebagai dokumen rahsia rasmi.

    Perjanjian Damai Haadyai membabitkan 1188 anggota PKM, antaranya 694 peranakan Thai, 479 berasal dari Semenanjung Malaysia, dan 15 dari Singapura. Anggota yang berasal dari Malaysia terdiri daripada 402 Cina dan 77 Melayu. Akhirnya, 330 bekas anggota PKM kembali ke kampung halaman mereka di Malaysia. (Bersambung)