Sejarah dari kacamata Chin Peng (Bhgn 8)
Semoga Chin Peng dibenar pulang ke tanahairnya....
"Memang telah menjadi keinginan saya untuk menghabiskan sisa-sisa hidup saya di Malaysia. Tetapi ironis sekali, saya dinafikan pulang ke negara yang saya sanggup mati kerananya." (ms 509)
"Setelah termeterai Perjanjian Damai 1989, saya tidak sabar-sabar lagi menunggu untuk pulang ke kampung halaman. Pada penghujung tahun 1990 saya membuat permohonan untuk menetap di Malaysia, tetapi ia ditolak pada akhir Disember 1991. Lapan tahun kemudian, pada awal tahun1999, seorang pegawai cawangan khas di Yala bertanya sama ada saya ingin memohon kebenaran untuk tujuan lawatan dan melancong.
"Sudah tentu jawapan saya positif. Saya membayangkan dapat melawat tempat lahir saya serta dapat memberi penghormatan kepada kuburan nenek moyang, ibu bapa dan adik-beradik saya yang terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Setiawan dan Lumut. Di benak saya, ianya merupakan satu kewajipan yang amat penting bagi saya."(ms.509)
Selepas mengikuti perkembangan sejarah PKM dari kacamata Chin Peng, kita wajar mengaku tanpa prasangka ideologi dan pendirian individu bahawa PKM banyak berkorban dan berjasa dalam perjuangan menentang kuasa penjajahan British dan Jepun, sungguhpun mereka juga bersalah dalam beberapa aspek seperti yang diakui Chin Peng sendiri.
Semoga Chin Peng dibenar pulang ke tanahairnya....
"Memang telah menjadi keinginan saya untuk menghabiskan sisa-sisa hidup saya di Malaysia. Tetapi ironis sekali, saya dinafikan pulang ke negara yang saya sanggup mati kerananya." (ms 509)
"Setelah termeterai Perjanjian Damai 1989, saya tidak sabar-sabar lagi menunggu untuk pulang ke kampung halaman. Pada penghujung tahun 1990 saya membuat permohonan untuk menetap di Malaysia, tetapi ia ditolak pada akhir Disember 1991. Lapan tahun kemudian, pada awal tahun1999, seorang pegawai cawangan khas di Yala bertanya sama ada saya ingin memohon kebenaran untuk tujuan lawatan dan melancong.
"Sudah tentu jawapan saya positif. Saya membayangkan dapat melawat tempat lahir saya serta dapat memberi penghormatan kepada kuburan nenek moyang, ibu bapa dan adik-beradik saya yang terletak di tengah-tengah perjalanan di antara Setiawan dan Lumut. Di benak saya, ianya merupakan satu kewajipan yang amat penting bagi saya."(ms.509)
Selepas mengikuti perkembangan sejarah PKM dari kacamata Chin Peng, kita wajar mengaku tanpa prasangka ideologi dan pendirian individu bahawa PKM banyak berkorban dan berjasa dalam perjuangan menentang kuasa penjajahan British dan Jepun, sungguhpun mereka juga bersalah dalam beberapa aspek seperti yang diakui Chin Peng sendiri.
PKM telah membuktikan sifat patriotiknya kerana memainkan peranan utama dalam melancarkan perang gerila anti-Jepun dalam keadaan serba kekurangan untuk menghadapi krisis nasional akibat pencerobohan tentera Jepun dan penyerahan tentera British.
Apabila Jepun menyerah diri pada 1945 dan kuasa penjajah British cuba hendak kembali ke negara kita, kesilapan PKM ialah mensia-siakan peluang keemasan untuk memperjuangkan kemerdekaan negara kita daripada dijajah semula oleh British, akibat pengkhianatan Lai Te.
Serang hendap
Fakta sejarah membuktikan Britishlah yang memulakan keganasan terhadap kader dan penyokong PKM melalui pelbagai barisan bersatunya yang pada umumnya bergerak secara halal dan aman.
Pengisytiharan Darurat dan kejadian serangan hendap yang membawa kepada penangkapan secara beramai-ramai dan pengharaman parti dan pertubuhan barisan bersatu PKM, memaksa PKM bergerak di bawah tanah dan bergerak di hutan untuk melancarkan perjuangan bersenjata menentang British.
Dalam perang anti-Jepun dan anti-British, PKM turut disokong oleh rakyat pelbagai bangsa terutamanya kaum Cina dari desa-desa di seluruh negara. Justeru, ratusan ribu rakyat desa yang disyaki menyokong PKM dihukum dan dianiayai oleh Rancangan Briggs yang memusnahkan rumah dan kebun mereka.
Malah, mereka ditempatkan di dalam ratusan "kem pengasingan" ( kampung baru sekarang) di mana kebebasan mereka untuk bergerak telah disekat. Hakikatnya, Rundingan Baling membuktikan PKM tidak menentang kerajaan pilihan rakyat untuk menuntut kemerdekaan daripada penjajah British.
Malah, dalam Rundingan Baling, Chin Peng berjanji, sekiranya kerajaan Persekutuan dan kerajaan Singapura yang dipilih melalui pilihanraya, mempunyai kuasa untuk membuat keputusan sendiri dalam soal keselamatan dalam negeri dan pertahanan negara, maka PKM rela menghentikan perang dengan segera.
Sayang sekali keikhlasan pihak Chin Peng itu tidak pernah dihargai Tunku yang barangkali belum berani hendak menentang kehendak penjajah British sebelum dan selepas rundingan beliau di London.
Proksi penjajah
Rundingan Baling gagal kerana Tunku, atas tekanan British, berkeras mahukan PKM menyerah diri sebagai prasyarat rundingan kedamaian dilanjutkan. Jika tidak, kedamaian sudah pasti telah dicapai pada masa itu.
Dalam hubungan ini, PKM tidak wajar dituduh sebagai melawan 'kerajaan pilihan rakyat". Apa yang berlaku ialah kerajaan Perikatan - selaku proksi penjajah British atau atas dasar anti-komunis - telah menafikan hak PKM untuk berpolitik dalam lingkungan Perlembagaan Persekutuan, termasuk menubuhkan parti politik atau menyertai parti sedia ada.
Kesilapan kerajaan tersebut telah perbetulkan dalam Rundingan Haadyai 1989, di mana prasyarat penyerahan diri telah digugurkan. Di samping itu, hak mereka untuk berpolitik berlandaskan Perlembagaan Persekutuan telah diakui kerajaan Malaysia.
Dan lebih bermakna lagi ialah kerajaan Malaysia, melalui Ketua Perundingnya, Rahim Noor, telah menegaskan secara rasmi bahawa Malaysia tidak menafi atau mempertikaikan sumbangan PKM dalam perjuangan kemerdekaan negara.
Lantaran itu, Perjanjian Damai Haadyai 1989 pun berjaya ditandatangani, dan perjuangan bersenjata yang terpaksa teruskan PKM dari sempadan Thai-Malaysia, pun dapat ditamatkan.
Sebagai pemimpin bagi suatu gerakan politik yang diakui oleh kerajaan Malaysia sebagai telah berjasa dalam perjuangan anti-Jepun anti-British dan demi kemerdekaan negara, kenapa beliau terus dinafikan hak kembali ke negara tumpah darahnya?
Kerajaan Malaysia harus memberi penjelasan sama ada ia telah membelakangi Fasal 3.1 Persetujuan Antara Kerajaan Malaysia dan Parti Komunis Malaya Untuk Menghentikan Permusuhan, yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 di Haadyai, yang berbunyi:
"Ahli Parti Komunis Malaya dan anggota unit bersenjatanya yang dibubarkan yang berasal dari Malaysia dan ingin menetap di Malaysia, akan dibenarkan berbuat demikian mengikut undang-undang Malaysia."
Penghormatan akhir
Ketidakadilan penolakan permohonan Chin Peng untuk menetap di Malaysia atau untuk tujuan lawatan dan melancong, lebih terserlah kerana beberapa pemimpin PKM yang lain telahpun dibenarkan berbuat demikian.
Menurut kenyataan bersama Presiden Keadilan, Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Syed Husin Ali: "Kami tahu, tidak lama dahulu, ramai pemimpin PKM, termasuk Abdullah CD dan Rashid Maidin, dibenarkan melawat kawan dan sanak saudara mereka di Malaysia. Malah, salah seorang daripada mereka, telah diundang menjadi tetamu seorang sultan di jamuan makan malam.
Sikap terbuka dan realistik Wan Azizah dan Syed Husin patut dialu-alukan apabila mereka menegaskan: "Perang dingin di antara Timur dan Barat telah tamat sejak lama dahulu. Kini adalah masanya untuk perdamaian nasional dan masanya untuk menutup satu bab sejarah negara kita.
"Chin Peng patut dibenarkan kembali untuk memberi penghormatan kepada kuburan ibu bapa dan nenek moyang beliau yang dikebumikan di Malaysia. Ini adalah nilai positif semua kaum di Malaysia."
Perjanjian menghentikan permusuhan telah ditandatangani 14 tahun dahulu, tetapi kenapa hingga sekarang Chin Peng masih dimusuhi? Adalah tidak munasabah jika pemimpin veteran berumur 79 tahun ini masih dianggap sebagai "ancaman" kepada keselamatan negara kita.
Atau kerajaan masih bimbang kepulangan Chin Peng akan dialu-alukan sebagai seorang nasionalis yang berjasa dalam perjuangan anti-Jepun anti-British dan demi kemerdekaan negara, kerana kerajaan sendiri masih tidak bersedia untuk berbuat demikian secara terbuka pada masa ini?
Walau apa sekalipun, penilaian semula secara objektif dan adil mengenai tempat PKM dan Chin Peng dalam sejarah Malaya/Malaysia menurut perspektif rakyat, tentu akan dilakukan pada masa akan datang, dan memoir Chin Peng ini tentu merupakan salah satu bahan rujukan penting bagi maksud tersebut.
Impian Chin Peng untuk pulang ke tanahairnya untuk memberi penghormatan akhir kepada kuburan ibu bapa dan nenek moyangnya dan seterusnya menetap di Malaysia, hendaknya tertunai semasa hayatnya masih di kandung badan.
Kerana tindakan terus-menerus memusuhi Chin Peng memang mengingkari apa yang tersurat dan tersirat dalam perjanjian damai yang ditandatangani kerajaan Malaysia dengan PKM 14 tahun lalu!

