Kebenaran untuk tatapan Perdana Menteri baru
Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan negara, mahu semua pihak bercakap benar kepadanya. Justeru itu, saya siarkan ulasan buku Speaking Truth to Power tulisan Dr Jeyakumar Devaraj untuk tatapan pembaca amnya dan Pak Lah khasnya.
Saya amat berbesar hati kerana berpeluang mengulas buku Dr Kumar bersama Saudara Arumugam. Ia dilancaran oleh Datuk Dominic Puthucheary di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, pada pertengahan bulan lalu.
Speaking Truth to Power
adalah sebuah buku yang agak unik yang pernah saya baca. Kandungannya terbahagi kepada tiga bahagian yang mempunyai keistimewaan masing-masing.Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi (Pak Lah) yang baru mengambil alih tampuk pemerintahan negara, mahu semua pihak bercakap benar kepadanya. Justeru itu, saya siarkan ulasan buku Speaking Truth to Power tulisan Dr Jeyakumar Devaraj untuk tatapan pembaca amnya dan Pak Lah khasnya.
Saya amat berbesar hati kerana berpeluang mengulas buku Dr Kumar bersama Saudara Arumugam. Ia dilancaran oleh Datuk Dominic Puthucheary di Dewan Perhimpunan Cina Selangor, pada pertengahan bulan lalu.
Speaking Truth to Power
adalah sebuah buku yang agak unik yang pernah saya baca. Kandungannya terbahagi kepada tiga bahagian yang mempunyai keistimewaan masing-masing.Bahagian A buku ini memaparkan catatan penderitaan, perjuangan dan kejayaan/kegagalan komuniti terpinggir, termasuk Orang Asli ( Semenanjung ), pribumi ( Sarawak), peneroka bandar, pekerja ladang, penanam sayur dan mereka yang dibuang kerja.
Saudara Khoo Boo Teik, seorang ahli akademik, telah memberi gambaran yang agak komprehensif dalam bahagian pengenalannya: "di Estet Klebang, Jelapang Baru, Kampung Chepor, dan Kampung Chekkadi, pekerja ladang dan peneroka bandar telah menghancurkan mitos bahawa 'tiada apa yang dapat dilakukan'terhadap kuasa, kekayaan dan intimidasi."
Tulisnya lagi: "Mereka berjaya memperolehi tolakansur bermakna daripada kuasa-kuasa yang ingin mengusir mereka. Kepada beberapa komuniti yang lain, termasuk Kampung Meru, Kuarters DBI, Kampung KTM, Gunung Pari dan Tanah Hitam, aktivis daripada Alaigal telah membantu rakyat menentang pengusiran paksaan "
Bukan keluhan
Dr Nasir Hashim, pengerusi protem Parti Sosialis Malaysia, dengan tepat berhujah dalam kata pengantarnya: "Bagaimanapun, buku Dr Kumar bukan keluhan putus harapan. Terjalin dalam kajian-kajian kesnya ialah contoh-contoh konkrit apa yang sanggup dicapai oleh rakyat biasa jika diberi huraian yang betul dan sedikit ruang demokratik.
"Contoh-contoh ini menunjukkan tatkala rakyat terbabit diberi ruang untuk meluahkan kesengsaraan mereka, pengalaman mereka dihurai dan diterjemahkan menjadi tindakan komuniti, maka mereka akan menjadi pasukan yang kuat yang tidak boleh dipandang ringan oleh penindasnya."
Lebih penting lagi, huraian Dr Kumar mengenai kes-kes terbabit tidak tinggal di fenomena luaran saja, tetapi sampai ke akar umbinya, iaitu sistem kapitalisme dan dasar pembangunan yang memuja kuasa dan keuntungan, dan mengabaikan sumbangan, pengorbanan dan kepentingan komuniti-komuniti terpinggir di negara kita.
Bahagian B buku ini merupakan huraian kritis Dr Kumar secara profesional dalam bidang perubatan negara kita. Melalui rencana-rencana terbabit, pembaca dapat menyaksikan bagaimana Dr Kumar "bermula sebagai seorang pakar teknikal akhirnya menjadi seorang pengkritik sosial", malah seorang aktivis yang menentang ura-ura kerajaan untuk menswastakan hospital-hospital awam.
Surat kepada Menteri Kesihatan bertarikh 25 Mei 1999 telah ditandatangani 79 doktor. Surat ini telah diubahsuai oleh "The Citizens'Health Initiative (CHI)"untuk melancarkan kempen menentang penswastaan hospital awam oleh kerajaan. Akibatnya, beribu-ribu surat bersama tandatangan yang dikumpulkan, telah membanjiri Pejabat Menteri Kesihatan .
Pada pertengahan tahun 1999, Menteri Kesihatan, Datuk Chua Jui Meng mengumumkan kabinet telah membatalkan cadangan untuk menswastakan hospital-hospital awam! Jelas sekali, Dr Kumar dan teman-teman sekerjanya dari Ipoh telah memberi sumbangan penting melalui surat mereka kepada menteri kesihatan seperti yang dinyatakan di atas.
Salahanggap
Selain merupakan seorang profesional perubatan dan aktivis yang unggul, Dr Kumar juga telah memperlihatkan kebolehannya menganalisa melalui empat artikel dalam bahagian C buku tersebut.
Di bawah tajuk'Komuniti Ladang: Satu Kes Pelucutan Sosio-ekonomi dan Marginalisasi Politik', beliau tidak setuju dengan ahli ekonomi dan penganalisa yang selalu menyalahkan komuniti ladang sendiri yang mengakibatkan penderitaan mereka, seperti menjadi kaki minum, tidak pandai membuat bajet, ibu bapa tidak bertanggungjawab dan sebagainya.
Beliau sebaliknya telah mengenalpastikan empat punca akar-umbi seperti berikut:
- Sikap tamak pemilik ladang untuk meraut keuntungan sebanyak mungkin;
- Kerajaan sering berpihak kepada pemilik ladang;
- Kecenderungan perancang ekonomi dan penggubal dasar untuk meremehkan masalah ladang sebagai masalah kaum minoriti; dan
- Kekurangan perwakilan politik yang berkesan untuk komuniti ladang.
Dalam rencana bertajuk 'Masalah Kaum India: Isu yang Sebenar', beliau telah memberi lima alasan untuk menentang pendekatan perkauman yang mencadangkan penubuhan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) untuk mewakili kaum India dalam Barisan Alternatif (BA) seperti berikut:
1. Ethnik bukan punca utama masalah yang dihadapi golongan miskin kaum India;
2. Kedudukan golongan miskin kaum India hanya dapat ditingkatkan apabila masalah utama ekonomi mereka dapat diatasi;
3. Sebuah NGO kaum India akan mengaburkan isu-isu yang sebenarnya yang dihadapi oleh golongan miskin kaum India;
4. Titik-tolak tidak sepatutnya merupakan perhimpunan besar untuk menubuhkan sebuah organinasi kebangsaan; dan
5. Titik-tolak harus merupakan mobilisasi lapisan-lapisan sosial yang terpengaruh.
Pemodal kroni
Dalam rencana bertajuk'Mahathir dan Gore: Pilihan Hobson?' Dr Kumar telah membuat huraian yang meyakinkan dan membuat kesimpulan yang bijak: "Hak-hak ekonomi dan demokratik rakyat Malaysia sama-sama diancam oleh pemangsa modal antarabangsa seperti yang diwakili oleh Al Gore dan oleh pemodal kroni yang disokong Mahathir.
"Rakyat Malaysia perlu menubuhkan suatu barisan bersatu untuk tenaga-tenaga demokratik yang bebas daripada modal antarabangsa dan klik Mahathir, jika kita ingin menghalang penindasan politik dan kemerosotan ekonomi Malaysia daripada meluncur ke tahap yang lebih buruk ."
Bagi saya satu lagi rencana yang bertajuk- 'Melocengkan Kucing: Tugas dan Cabaran yang dihadapi Aktivis Malaysia'? - patut dibaca oleh setiap aktivis di negara kita.
Antara lain, beliau membidas kelemahan parti pembangkang yang kebanyakannya hanya menangani isu-isu semasa pada lahiriah saja tanpa menekankan bahawa masalah utama ialah dasar pembangunan kerajaan yang mementingkan keuntungan pemodal.
Di samping itu, beliau juga berpendapat parti-parti tersebut masih belum secara berkesan memobilisasikan komuniti-komuniti terpinggir terbabit untuk memberi tekanan kepada kerajaan.
Realiti kehidupan
Beliau mempelawa intelektual dan aktivis yang ingin 'melocengkan kucing' harus menganggap diri mereka sebagai "pelakon"dalam realiti sosial-ekonomi Malaysia, dan mulai bertanya kepada diri mereka apa yang boleh mereka lakukan.
Menurut beliau, terlalu banyak kerja yang harus dilakukan. Yang kurang ialah petugas yang sudi melibatkan diri secara berkeyakinan dan bersedia untuk memulai kerja.
Beliau juga memberi nasihat kepada kaum intelektual yang ingin membantu menghasilkan bahan ideologi, supaya turun ke padang untuk mengetahui apa yang difikir dan dirasakan oleh orang ramai. Hujah Dr Kumar, penghasilan ideologi yang tidak berasaskan pengalaman dan realiti orang ramai adalah tandus akademik dan tidak begitu berguna kepada apa yang ingin kita buat.
Moga-moga buku Dr Kumar yang dihasilkan selepas 20 tahun berkecimpung dalam bidang profesional perubatan, dalam kerja membantu kumpulan terpinggir, dalam mengkaji dan menganalisa punca akar-umbi kepincangan sosial-ekonomi kita, dapat dihargai oleh para aktivis khasnya dan disambut baik oleh kaum intelektual amnya.
Diharapkan juga "buku ini akan membantu menggerakkan gergasi yang masih tidur dengan nyenyaknya dalam diri kita "seperti harapan penyajak kita Saudara Nazir. Saya akhiri dengan sekalong tahniah dan terima kasih kepada Dr Kumar.

