Membuka pekung di dada
Episod "perang mulut" di antara Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz dengan Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Datuk Nordin Ismail, tidak ubah seperti "membuka pekung di dada' tatkala Pak Lah mengisytiharkan perang terhadap rasuah.
Banyak kelemahan BPR telah terdedah dalam episod ini. Sikap Pak Lah terhadap kelemahan-kelemahan tersebut akan merupakan ujian terhadap keikhlasannya untuk memerangi rasuah.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim, Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang digunapakai sekarang, tidak menetapkan had masa tertentu untuk pegawai penyiasat menyelesaikan siasatan sesuatu kes, sehingga menyebabkan ada kes yang berlarutan begitu lama.
Lantaran itu, BPR telah dibelasah oleh Nazri dan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Azmi Khalid.
Nazri mempertikaikan kelambatan siasatan BPR terhadap dakwaan pemberian 6,000 permit teksi kepada seorang individu menerusi 19 syarikat. Siasatan sudah melebihi tempoh tiga bulan sehingga beliau dipandang serong oleh masyarakat dan sanak saudaranya.
Manakala Azmi pula mendakwa, dua tahun sudah berlalu, namun pendedahan beliau mengenai penyelewengan yang membabitkan agensi-agensi di bawah kementeriannya, masih belum selesai disiasat oleh BPR.

Waran tangkap
Di bawah tekanan, Nordin pun membalas dengan mengeluarkan kenyataan bahawa agensinya akan meminta polis mengeluarkan waran tangkap terhadap saksi, termasuk menteri, yang enggan memberi keterangan bagi membantu siasatan.
Nyata sekali, Nordin telah menuduh secara tidak langsung bahawa ada menteri yang enggan memberi keterangan bagi membantu siasatan. Rakyat perlu diberi tahu, benarkah ada menteri yang enggan memberi keterangan? Jika benar, siapakah mereka?
Rakyat juga patut diberi tahu, sama ada pihak BPR berkuasa untuk meminta polis mengeluarkan waran untuk menangkap seseorang menteri jika enggan bekerjasama? Jika agensi itu berkuasa berbuat demikian, kenapa Nazri melonjak? Jika BPR tidak berkuasa atau tidak berani untuk berbuat demikian, maka bagaimanakah agensi itu dapat menyelesaikan siasatan mereka?
Siapa makan cili, dialah yang berasa pedas. Nazri mencabar Nordin untuk menangkap beliau - adakah kerana sebelum ini beliau enggan membantu siasatan BPR? Bagaimanapun, Nazri telah bekerjasama dengan pihak BPR kerana sudi diambil keterangan selama lebih 3 jam berhubung kes tersebut pada 10 Disember 2003.
Dalam kemarahannya, Nazri telah mendedahkan mentaliti menteri yang kononnya menjadi 'tuan' kepada kakitangan awam dan hanya bertanggungjawab kepada kabinet sebagai badan tertinggi. Oleh itu, Nordin tiada hak untuk mengkritik seorang menteri.
Jika Pengarah Siasatan BPR tidak berhak mengkritik atau memberi amaran akan mendapatkan waran tangkap terhadap menteri yang enggan membantu siasatan, tidakkah ini bermakna menteri dikecualikan daripada siasatan, jika enggan bekerjasama?
Kritik menteri
Menurut Nazri, larangan kakitangan mengkritik menteri tertakluk di dalam Perintah Am Kerajaan dan ia pernah dilaksanakan semasa zaman pemerintahan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak.
Namun, menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Samsudin Osman, sepanjang ingatannya, tiada peruntukan dalam Perintah Am Kerajaan yang menyebut penjawat awam tidak boleh mengkritik menteri secara terbuka.
Akan tetapi, tambah beliau, ia bukanlah amalan kepada pegawai kerajaan sejak dari dahulu lagi untuk menegur atau mengkritik mana-mana menteri kabinet secara terbuka.
Jelas sekali, kakitangan sebenarnya berhak untuk mengkritik menteri, tetapi bukan amalan mereka untuk berbuat demikian. Kenapa? Reaksi Nazri terhadap Nordin yang mengkritik beliau sudah memberi jawaban yang terbaik!
Di sini timbul pula soalan kenapa Nordin berani mengkritik, malah memberi amaran kepada Nazri? Sokongan Pak Lah mungkin jawabannya, dan mungkin juga ia berkaitan teori mangsa politik cantas-mencantas (sila merujuk ' Nazri Aziz jadi mangsa politik cantas-mencantas ' oleh Nash Rahman, Malaysiakini, 8 Disember 2003 ).
Jika analisis Nash Rahman tersebut berasas, maka sekali lagi terbukti bahawa BPR telah dijadikan alat oleh perdana menteri untuk melindungi atau mencantas pemimpin BN, termasuk menteri dan menteri besar yang terlibat dalam salahlaku rasuah.
Bidangkuasa BPR
Dari aspek ini, campurtangan Pak Lah dalam kontroversi Nazri dengan Nordin adalah tidak diingini. Akan tetapi, mengikut sistem sekarang, kerana BPR di bawah Jabatan Perdana Menteri, maka Pak Lah memang berhak untuk bercampurtangan dalam kontroversi tersebut.
Oleh itu, jika kebebasan BPR hendak dijamin, maka agensi itu hendaklah secara langsung bertanggungjawab kepada Parlimen. Oleh itu, BPR berkuasa untuk menyiasat, bukan saja menteri, malah perdana menteri sekalipun, jika terlibat dalam salah laku rasuah.
Pak Lah mewarisi BPR yang merupakan itik tempang dari era Tun Dr Mahathir Mohamad yang menggunakan agensi itu sebagai alat politik untuk memperkukuhkan regim pemerintahannya.
Justeru itu, berpuluh-puluh kes salahlaku rasuah sepanjang jangka masa 22 tahun pemerintahan Dr Mahathir yang telah dilaporkan oleh parti-parti pembangkang kepada pihak polis, masih belum disiasat hingga beliau bersara.
Berbalik kepada kes pemberian 6,000 permit kepada seorang individu menerusi 19 syarikat, satu perkara yang agak aneh ialah di satu pihak, pihak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan dakwaan terbabit tidak berasas.
Tetapi, pada masa yang sama, beliau menjelaskan pula, terdapat beberapa perkara yang menimbulkan persoalan dikesan dalam proses pemberian permit tersebut, dan mengarahkan BPR meneruskan siasatannya.
Permit teksi
Nyata sekali, hanya peguam negara saja yang berkuasa untuk membawa seseorang yang diragui sebagai perasuah ke mahkamah, sedangkan pihak BPR tidak berkuasa untuk berbuat demikian, Maka jika peguam negara dipengaruhi pihak-pihak tertentu (umpamanya perdana menteri), maka BPR pun tidak dapat melakukan apa-apa, jika beliau enggan berbuat demikian.
Dalam kes terbabit, andainya BPR tidak bersetuju dengan pendapat peguam negara bahawa kes terbabit tidak berasas, sebaliknya ingin meneruskan siasatan terhadapnya, adakah agensi itu berkuasa untuk berbuat demikian?
Jika agensi itu tidak berkuasa dalam bidang ini, bermakna agensi tersebut tidak dapat berfungsi sepenuhnya tanpa kerjasama pihak peguam negara.
Nampaknya, atas arahan 'sila lulus' daripada Menteri Pembangunan Usahawan, Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) telah meluluskan kira-kira 1,200 permit teksi kepada tujuh syarikat teksi. Adakah ini selari dengan dasar Barisan Nasional (BN), seperti dakwaan Nazri, atau ia jelas berkaitan dengan salahlaku rasuah?
Bersama-sama kita menanti keputusan siasatan BPR, meskipun rakyat biasa mungkin sudah membuat keputusan sendiri!