Gimik politik parti perkauman
Pada tanggal 18 Disember 2003, sewaktu Majlis Jamuan Perpaduan MCA-Gerakan, satu pengumuman yang tidak disangka-sangka, dibuat bahawa Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting dan Presiden Gerakan, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik telah bersetuju pada dasarnya mengenai cadangan penggabungan kedua-dua parti berkenaan.
Perkembangan terbaru ini sungguh "menghairankan", kerana dua parti komponen BN yang berlumba-lumba untuk mewakili masyarakat Cina ini tidak pernah menjalin hubungan yang baik. Dengan kata lain, kedua-dua parti itu sukar hendak bekerjasama, apatah lagi hendak bergabung?
Namun, hairan atau tidak, isu penggabungan MCA-Gerakan memang sudah dikemukakan, malah terpilih sebagai antara 10 berita utama bagi tahun 2003 oleh media Cina aliran perdana.
Ini bermakna ia adalah realiti politik yang tidak dapat diabaikan, terutama memandangkan ia berlaku semasa peralihan kuasa dalam Umno/Barisan Nasional (BN), menjelang pilihanraya umum akan datang.
Suatu fakta yang tidak dapat dipertikaikan ialah penggabungan MCA-Gerakan -- jika bukan mustahil, juga bukan sesuatu yang mudah dijayakan dalam jangka masa yang pendek -- kerana ia berkaitan dengan dua entiti politik yang berbeza falsafah politiknya (misalnya, mono-ethnik dan multi-ethnik), dan pengagihan semula kepentingan dalam parti dan BN (umpamanya bilangan kerusi dan kedudukan dalam parti dan kerajaan).
Jika ia hanya suatu kemungkinan jangka masa panjang yang belum tentu hujung pangkalnya, kenapa ia perlu diheboh-hebohkan sangat, seolah-olah ia sudah menjadi suatu keutamaan yang perlu dilaksanakan?

Pengundi Cina
Ada pemerhati politik tempatan menganggap, mungkin ini satu cadangan dari "atas", bagi mengelak berlakunya perebutan kerusi dan sabotaj di antara MCA dan Gerakan dalam pilihanraya umum akan datang memandangkan sokongan pengundi Cina kali ini amat penting bagi menjamin kemenangan BN.
Analisa ini masuk akal dari dua aspek. Pertama, sebelum ini memang tiada apa-apa tanda yang menunjukkan kedua-dua parti terbabit pernah berbincang atau mengkaji kemungkinan penggabungan itu.
Kedua, tidak dapat dinafikan bahawa penggarisan semula geo-politik BN boleh dianggap sebagai pengubahan imbangan kuasa parti-parti komponennya yang berteraskan dominasi Umno. Jika ura-ura penggabungan MCA-Gerakan sebagai cubaan kedua-dua parti itu untuk memperkuatkan kuasa tawar-menawar mereka dalam BN, terutama apabila Umno dianggap lemah sekarang, ia boleh menjadi sensitif dan menimbulkan ketidak-puasan di pihak Umno.
Pemimpin MCA dan Gerakan yang pada amnya dianggap sebagai "jinak", rasanya tidak berani membuat sesuatu yang dianggap "drastik" atau mencabar kewibawaan Umno. Reaksi pemimpin Umno dan media pro-kerajaan yang agak positif dan sederhana terhadap ura-ura penggabungan MCA-Gerakan itu, mungkin menunjukkan sikap restu mereka.
Jika analisa tersebut benar, maka tiada "gempa bumi" akan berlaku. Yang ada mungkin hanya riak di dalam cawan. Segala-galanya akan kembali tenang dan ura-ura penggabungan MCA-Gerakan akan beransur dilupakan sebagai suatu "gimik politik" menjelang pilihanraya umum.
Satu kemungkinan lagi -- sekurang-kurangnya pada teorinya -- ialah tamatnya era Dr Mahathir telah menggalakkan parti-parti komponen BN untuk mengubah imbangan kuasa yang terlalu condong kepada Umno, malah terpusat di Dr Mahathir dan beberapa orang kroninya.
Kuasa tawar-menawar
Dalam keadaan ini, kuasa tawar-menawar di antara Umno dan parti-parti komponen BN yang lain mengenai agihan kerusi (yang lama dan baru) untuk ditandingi dalam pilihanraya umum yang akan datang, mungkin menjadi lebih runcing berbanding dengan era Dr Mahathir. Ini kerana dalam jangka masa peralihan kepimpinan, kuasa Pak Lah masih belum kukuh dan kewibawaannya juga perlu dipupuk.
Di pihak yang lain, parti-parti komponen BN juga mungkin meminta beberapa dasar Dr Mahathir yang tidak popular umpamanya sekolah wawasan dan pengajaran matapelajaran sains dan metamatik dalam Bahasa Inggeris -- dikaji semula bagi menjamin sokongan lebih padu dalam pilihanraya umum akan datang.
Dari pertimbangan politik perkauman, cita-cita Umno untuk merebut jawatan Ketua Menteri di Sabah, malah di Pulau Pinang, juga amat membimbangkan. Ura-ura penggabungan MCA-Gerakan sekurang-kurangnya akan membolehkan kedua-dua parti itu menubuhkan suatu jawatankuasa bersama untuk menangani hal-ehwal berkaitan kepentingan bersama, sudah barang tentu termasuk agihan kerusi antara MCA-Gerakan dan juga dalam hubungan BN.
Bagamanapun, gimik politik MCA-Gerakan boleh jadi telah menghidupkan imaginasi politik perkauman rakyat bukan-Melayu yang selama ini dikorbankan oleh sikap menyerah parti-parti komponen BN di bawah dominasi Umno dan autokrasi Dr Mahathir.
Mereka menaruh harapan baru terhadap penggabungan MCA-Gerakan untuk mengimbangi Umno secara lebih berkesan dalam memperjuangkan kepentingan rakyat bukan-Melayu, kononnya.
Yang cukup memalukan ialah pimpinan Gerakan yang selama ini mencanangkan politik pelbagai kaum, tidak merasa segan sedikitpun dalam menyetujui cadangan penggabungan MCA-Gerakan pada dasarnya.
Parti itu sudah menunjukkan belang perkaumannya dan hairan juga kenapa pemimpin dan ahli bukan-Cina dalam Gerakan dapat bertoleransi dengan perkembangan yang tidak sihat ini!
Negara Islam
Selain menjamin penggabungan MCA-Gerakan tidak akan menjejaskan kepentingan BN, kedua-dua parti itu juga mengeksplotasikan sentimen ketakutan bukan-Melayu/Islam terhadap Negara Islam yang dikemukakan PAS. Kononnya cadangan penggabungan MCA-Gerakan adalah demi mempertahankan Perlembagaan Persekutuan daripada dipinda oleh PAS.
Apabila diwawancara, Prof Madya Dr Oong Hak Ching dari UKM (sila merujuk Wawancara, Mingguan Malaysia 28 Disember 2003) memberi amaran ia akan meningkatkan isu perkauman yang berbangkit daripada konsep Negara Islam yang dikemukakan oleh PAS, jika ia dipermainkan dengan terlalu kuat oleh parti masyarakat Cina.
Tambah Prof Oong:" Semakin kuat tentangan itu dari masyarakat Cina, saya melihat semakin kuat pula keinginan mahu menubuhkan negara Islam di kalangan masyarakat Melayu dalam PAS."
Namun, Prof Oong menafikan penggabungan MCA-Gerakan akan menjadikan masyarakat Cina lebih kuat, kerana keduduan masyarakat Cina sekarang semakin menurun dari segi saiz penduduk dan juga jumlah pengundi. Jadi kuasa tawar-menawar mereka memang lemah, kecuali Umno itu betul-betul lemah. Tetapi Umno pun sekarang kuat.
Sungguhpun demikian, penulis nasionalis Melayu, di satu pihak, telah memuji-muji "kematangan" kaum Cina dalam berpolitik, tentang "kebijaksanaan" kaum Cina mengambil peluang untuk memperkuatkan kedudukan tawar-menawar mereka.
Di pihak yang lain, penulis nasionalis Melayu juga membidas kaum Melayu yang berpecah-belah, bukan saja dalam bidang politik, juga dalam bidang agama, dan menyeru agar Umno dapat bergabung semula dengan PAS demi perpaduan bangsa dan agama.
Demikianlah, belum pun ada bayang-bayang berhubung cadangan penggabungan MCA-Gerakan, bahang politik perkaumannya sudah terasa di sana-sini. Tidakkah tendensi perlumbaan penggabungan politik mengikut kaum ini patut dihentikan dengan segera?