Memang sukar dipercayai bahawa Lim Kit Siang dan Karpal Singh boleh kalah di kawasan parlimen Bukit Bendera dan Jelutong - yang selama ini merupakan kubu DAP - pada pilihanraya umum lalu. Dan lebih sukar lagi hendak dipercayai ialah mereka seolah-olah sukar mencari tempat yang 'sesuai' untuk bertanding dalam pilihanraya umum kal ini.

Saya kurang faham kenapa Karpal yang digelar sebagai 'Harimau Jelutong' itu tidak berusaha untuk merampas kembali kawasan parlimen berkenaan sekiranya punca kekalahannya pada 1999 akibat kesilapan strategi kerana bergabung dengan PAS dalam Barisan Alternatif.

Jika beliau tidak yakin untuk merampas kembali Jelutong, bermakna kemungkinan DAP merampas semula kawasan parlimen ini amatlah tipis, kerana sukar dicari calon yang lebih 'berat' daripada Karpal.

Menurut Kit Siang, beliau dan Karpal berpindah ke kawasan baru, bukan untuk mencari tempat lebih selamat, tetapi demi keperluan strategi parti. Jika benar kata Kit Siang itu, maka rasanya mereka patut bertanding di kawasan yang lebih strategik sungguhpun tidak begitu selamat.

Namun, tindakan Karpal meninggalkan kubu DAP (Jelutong) yang dipertanggungjawabkan kepadanya sejak tahun 1974, dan berpindah ke Petaling Jaya Utara, bermakna terpaksalah calon sedia ada , Ronnie Liu yang juga pengerusi DAP Selangor, memberi laluan.

Ronnie Liu yang telah bergerak di kawasan Petaling Jaya Utama selepas kalah pada tahun 1999, tentu berasa hampa. Menurut laporan media, DAP Selangor telah mengadakan mesyuarat tergempar, dan Ronnie Liu masih mendapat sokongan majoriti (8 daripada 13 undi) berbanding dengan Karpal dalam undian bagi menentukan siapakah yang lebih layak menjadi calon di Petaling Jaya Utama.

Disiplin parti

Khabarnya, Jawatankuasa Pemilih Calon DAP yang dianggotai oleh Kit Siang, Karpal dan Kerk Kim Hock, telah mengambil keputusan bahawa Karpal bertanding di Petaling Jaya Utama kerana dirasakan lebih berpeluang untuk memenangi kawasan terbabit. Ronnie Liu terpaksa akur demi menjaga disiplin parti.

Berita terbaru pula mengatakan Karpal tidak akan meninggalkan Pulau Pinang, namun kawasannya bukan Jelutong, tetapi Bukit Gelugor. Menurut Kerk, yang juga setiausaha agung DAP, keputusan itu adalah keperluan strategi parti.

Tempat untuk Kit Siang bertanding juga tidak begitu mudah ditetapkan. Jika beliau tetap di Pulau Pinang, bermakna beliau telah mungkir janjinya akan berundur daripada arena politik Pulau Pinang kerana mahu memikul bertanggungjawab di atas kekalahan teruk DAP di pulau itu.

Maka beliaupun dijemput oleh DAP Perak untuk bertanding di Ipoh Timur, kawasan parlimen yang ingin ditandingi oleh Dr Lee Boon Chai daripada Keadilan yang begitu tekun bekerja di situ sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Menurut laporan media, rundingan antara DAP dengan Parti Keadilan Rakyat berkaitan dengan agihan kerusi untuk ditandingi parti masing-masing, termasuk di negeri Perak, sudah menemui jalan buntu.

Khabarnya, di daerah Ipoh yang mempunyai 3 kawasan parlimen dan 9 kawasan dewan undangan negeri (DUN), Keadilan bersedia tidak bertanding sebarang kerusi parlimen, tetapi meminta 4 Dun. Ini bermakna DAP masih mempunyi 3 kawasan parlimen dan 5 kawasan DUN. Tetapi DAP tidak dapat bersetuju.

Strategi parti

Jika jalan buntu tersebut tidak dapat diatasi, maka pertandingan bebas mungkin tidak dapat dielakkan. Ini juga bermakna Ipoh Timur mungkin menyaksikan pertandingan tiga penjuru yang akan menjahanamkan peluang kemenangan Kit Siang yang sangat-sangat diharapkan oleh DAP.

Seperti Ronnie Liu, Dr Lee Boon Chai juga seorang bakat politik baru yang perlu diberi peluang untuk bertanding di kawasan yang lebih 'cerah' untuk dimenangi agar beliau berpeluang memainkan peranan dalam Parlimen atau DUN.

Jika 'tempat selamat' bukan satu-satunya unsur yang menetapkan kawasan mana yang patut ditandingi Kit Siang dan Karpal sepertimana yang diakui Kit Siang sendiri, rasanya banyak lagi kawasan strategik yang boleh ditandingi mereka.

Mungkin ada baiknya jika mereka bertanding dengan calon-calon BN yang lebih setara dari segi ketokohan untuk meningkatkan semangat juang pembangkang yang agak lembap, memandangkan rakyat Malaysia masih memerlukan perkhidmatan mereka di Parlimen.

Dalam suasana politik yang tidak menguntungkan sekarang, mungkin sudah tiada 'tempat selamat'lagi untuk ditandingi, termasuk Ipoh Timur dan Petaling Jaya Utara. Jika demikian halnya, kenapa tidak bertanding di kawasan yang lebih strategik, di samping memberi laluan kepada bakat-bakat politik generasi baru yang sudah bersiap sedia untuk bertanding di kawasan berkaitan.

Jika Karpal sanggup beredar dari Petaling Jaya Timur, tiada sebab kenapa Kit Siang tidak boleh beredar dari Ipoh Timur untuk memberi laluan kepada Dr Lee Boon Chai, atau sekurang-kurangnya memberi satu kawasan DUN di bawah Ipoh Timur untuk ditandingi Dr Lee, suatu tolak-ansur yang besar ertinya untuk mengelak malapetaka pertandingan bebas yang akan merugikan semua calon pembangkang, baik dari DAP maupun Keadilan.

Penyelesaian

Di samping itu, parti Keadilan telah memberi laluan kepada 4 calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masih belum diluluskan pendaftarannya, iaitu Dr Mohd Nasir Hashim sebagai calon parlimen Subang, V Pannerselvam sebagai calon DUN Bukit Lanjan (dalam parlimen Subang), Dr Jeyakumar Deveraj sebagai calon parlimen Sungei Siput, dan K Gunasegaran sebagai calon DUN Jalong (kawasan Sungei Siput).

Keempat-empat pemimpin dan petugas tersebut dilayakkan menjadi calon PSM kerana mereka telah berkhidmat lebih daripada 5 tahun di kawasan masing-masing, suatu syarat yang harus dipenuhi sebelum mana-mana ahli parti itu dilayakkan bertanding.

Calon-calon yang sudah lama "turun ke padang" dan permintaan yang sekadar ini rasanya patut direstui DAP demi perpaduan pembangkang dan menjamin dasar satu lawan satu menjadi realiti.

Moga-moga agihan kerusi antara parti-parti pembangkang dapat diselesaikan secara berpatutan dan rasional yang berasaskan semangat tolak ansur. Semua pihak harus ingat: pertandingan bebas atau tiga penjuru mungkin boleh melepaskan ketidak-puasan pihak-pihak yang berkaitan buat sementara, tetapi akhirnya ia pasti akan merugikan semua pihak yang berkaitan. Berkompromilah sebelum terlewat!