Pilihanraya umum ke-11 yang kacau-bilau masih belum selesai undian semula bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lembing akan diadakan semula Ahad ini tetapi kemenangan besar Barisan Nasional (BN) sudah menjadi kenyataan selepas memenangi 198 daripada 219 kerusi parlimen dan 451 daripada 505 kerusi DUN.

Yang kalah teruk ialah parti pembangkang, terutamanya PAS dan Parti Keadilan Rakyat yang merupakan parti komponen Barisan Alternatif (BA). PAS bertanding di 84 kerusi parlimen dan 264 DUN. Bagaimanapun, parti itu hanya memenangi 8 parlimen dan 36 DUN. Manakala hampir kesemua calon Keadilan 59 parlimen dan 123 DUN hampir kecundang kesemuanya, kecuali Permatang Pauh yang dipertahankan oleh Presidennya, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Hanya DAP yang bertanding 44 kerusi parlimen dan 104 DUN, mampu mengekang 'amukan' gelombang biru, dengan berjaya memenangi 12 kerusi parlimen dan 15 kerusi DUN suatu pencapaian yang lebih baik daripada pilihanraya umum 1999.

Menjelang pilihanraya umum kali ini, PAS begitu berkeyakinan dan angkuh. Selain berjanji akan mempertahankan Kelantan dan Terengganu, parti itu memberi harapan untuk menawan Perlis dan Kedah. Malah, presiden PAS, Abdul Hadi Awang, mengundang Umno untuk membentuk kerajaan campuran sekiranya parti itu memperolehi majoriti kerusi orang Melayu!

Kini, di Perlis PAS hanya memenangi satu daripada 15 kerusi DUN yang dipertandingkan dan calonnnya juga tewas di ketiga-tiga kerusi Parlimen. Manakala di Kedah pula, parti itu hanya memenangi satu daripada 15 kerusi Parlimen dan hanya 5 daripada 36 kerusi DUN.

Kekalahan PAS di Terengganu lagi teruk di mana BN menyapu bersih kelapan-lapan kerusi parlimen dan 28 daripada 32 kerusi DUN. PAS hanya menang empat kerusi DUN.

Dikurantin

Di Kelantan pula, 14 kerusi parlimen dan 45 kerusi DUN dipertandingkan kali ini. Bagaimanapun, PAS hanya mampu memenangi 6 kerusi parlimen dan 24 kerusi DUN untuk menang dengan majoriti mudah. Walaupun terus memerintah Kelantan, mengikut laporan, sudah ada pihak yang menawarkan RM 12 juta (harga masih terus meningkat) untuk mana-mana ahli DUN PAS yang sudi "melompat".

Justeru untuk mengelakkan YB-YB PAS daripada "dibeli", khabarnya pada masa kritikal itu, kesemua mereka telah "dikuarantin"di Ibu Pejabat PAS di bawah jagaan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat.

Babak ini mendedahkan kehodohan kenyataan politik negara kita, iaitu politik wang masih berleluasa dan masih memainkan peranannya secara terang-terangan. Dalam keadaan ini, kemungkinan pemerintahan Kelantan beralih tangan pada bila-bila masa saja, tidak dapat dinafikan.

Kecundangnya nama-nama besar PAS seperti Abdul Hadi Awang, Nasharuddin Mat Isa, Dr Harun Din, Mahfuz Omar, Mohamad Sabu, Datuk Mustafa Ali, Dr Hasan Mohad Ali dan Ismail Kamus, telah memberi pukulan yang hebat terhadap parti itu, terutamanya jika dibandingkan dengan kemenangan pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang dan Karpal Singh yang sebelum ini telah diibaratkan oleh presiden PAS sebagai "fosil dinosaur"dan "ubat yang luput tempoh".

Kekalahan teruk PAS kali ini dengan jelas membuktikan dasar Negara Islam dan dasar-dasar fundamentalis (Hudud dan sebagainya) yang diperjuangkan parti itu bukan saja sudah ditolak oleh bukan Islam, malah, ia juga mungkin tidak begitu dialu-alukan oleh Melayu/Muslim sepertimana yang diyakini parti itu .

Oleh kerana PAS terlalu menonjolkan Negara Islam dan dasar-dasar fundamentalis parti itu, dan keghairahan DAP, MCA dan Gerakan menentangnya, menjadi isu tunggal pilihanraya umum kali ini, atau mengikut istilah BN, pembangkang kali ini seolah-olah ketandusan isu.

Persetujuan

Sungguhpun Manifesto BA tidak memasukkan Negara Islam PAS sebagai matlamat perjuangan BA, tetapi peristiwa PAS menolak timbalan parti Keadilan Rakyat, Dr Syed Husin Ali untuk bertanding di Kota Bharu Kelantan, sudah menjejaskan kedudukan Keadilan sebagai parti komponen yang sama rata.

Begitu juga dengan tawaran Presiden PAS tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan Keadilan untuk membentuk kerajaan campuran bersama Umno jika PAS memenangi majoriti kerusi Melayu, juga memperlihatkan keangkuhan PAS - belum menang lagi sudah berlagak seumpama Umno dalam BN!

Kerana kelemahan dari segi organisasi dan kelembapan semangat juang selepas Keadilan yang terus ditindas oleh Kerajaan BN, meletakkan terlalu ramai calon tanpa memikirkan kemampuan parti, dan gagal mencapai persetujuan satu-lawan-satu dengan DAP, maka kegagalan Keadilan bukanlah di luar dugaan, cuma tak disangka begitu teruk sekali.

Saya pernah bertanya kepada seorang pemimpin Keadilan yang agak teguh pendiriannya tentang nasib Keadilan sekiranya ia mengalami kekalahan yang teruk dalam pilihan raya umum kali ini.

Jawab beliau, dalam senario parti itu tidak memenangi sebarang kerusi, tetapi jika masih ada 10 pemimpin Melayu dari Keadilan yang masih bersedia untuk terus berjuang, maka parti itu tidak akan dibubarkan.

Kepimpinan Parti Rakyat Malaysia yang telah dicantumkan dalam Parti Keadilan Rakyat sudah barang tentu tidak akan meninggalkan parti hanya kerana kegagalan dalam pilihanraya umum. Kerana itulah, kewujudan parti itu rasanya tidak menjadi masalah, cuma patut dikaji semula halatuju parti itu supaya dapat diterima oleh rakyat pelbagai bangsa demi agenda reformasi yang diperjuangkan.

Pemimpin pelapis

Masa depan DAP juga tidak begitu cerah sungguhpun kali ini parti itu memenangi lebih banyak kerusi. Kekalahan Kerk Kim Hock, Setiausaha Agung parti itu dan pengumuman beliau untuk meletak jawatan dalam parti dan bersara dari politik , bermakna masalah kepimpinan parti timbul kembali, kerana siapa pula yang akan dilantik sebagai setiausaha agung DAP?

Keputusan Kerk untuk bersara selepas tewas dalam pilihanraya umum, menonjolkan dua perkara - Pertama, konflik dalaman parti itu yang merupakan salah satu faktor beliau tewas serta kekecewaannya selepas ditewaskan.

Kedua, masih belum wujud golongan pemimpim pelapis yang teruji dan tahan lasak dan kalah menang dalam pilihanraya punyai kaitan penting dalam hierarki kepimpinan parti itu. Jumlah kerusi Parlimen ditambah 25 kerusi kepada 219, tetapi sebaliknya ahli Parlimen pembangkang telah merosot daripada 45 menjadi 21 orang.

Dan sekiranya Kit Siang kembali semula menjadi ketua pembangkang, beliau sebenarnya hanya dapat mewakili 12 ahli Parlimen daripada DAP yang bermusuhan dengan PAS, malah Keadilan. Mungkin inilah yang menyebabkan Kit Siang memikir panjang apabila hendak kembali menyandang jawatan ketua pembangkang .

DAP berpuas hati dengan 12 kerusi Parlimen (daripada 44 kerusi yang ditandingi) dan 15 kerusi DUN (daripada 102 yang ditandingi) yang dimenanginya, sedangkan MCA dan Gerakan juga berpuas hati dengan prestasi masing-masing.

MCA memperolehi 31 kerusi Parlimen (daripada 40 kerusi yang ditandingi) dan 76 kerusi DUN (daripada 90 yang ditandingi) dan Gerakan memperolehi 10 kerusi Parlimen (daripada 12 kerusi yang ditandingi) dan 30 kerusi DUN (daripada 31 kerusi yang ditandingi).

DAP dari pembangkang, dan MCA dan Gerakan dari BN, ketiga-tiga parti yang mendakwa mewakili kepentingan kaum Cina, seolah-olah sudah mencapai kejayaan masing-masing, adakah ini bermakna kaum Cina adalah pemenang terbesar dalam pilihan raya umum kali ini?

Jangan lupa, Umno memenangi 109 daripada 117 kerusi Parlimen yang ditandingi, dan 300 daripada 336 kerusi DUN yang ditandingi. Parti inilah yang menjadi pemenang terbesar kali ini, dan Umno jugalah parti yang mengisytiharkan bahawa Malaysia sebuah negara Islam.

Dengan 12 kerusi Parlimen, bagaimanakah Kit Siang hendak membendung Umno daripada melaksanakan dasar-dasar Islamisasinya?