Persaraan Kerk Kim Hock dan teori konspirasi
Kekalahan mengejut Setiausaha Agung DAP, Kerk Kim Hock di Parlimen Kota Melaka yang merupakan kubu kuat DAP sejak 1969, pasti memuramkan kegembiraan parti itu selepas berjaya menambahkan kerusi Parlimen (dari 10 kepada 12) dan mengembalikan pemimpin veterannya Lim Kit Siang dan Karpal Singh ke Dewan Rakyat yang tanpa mereka sejak lima tahun dahulu.
Dan keputusan beliau untuk meletak jawatan setiausaha agung DAP pada 28 Mac lalu, juga adalah di luar sangkaan. Serentak dengan itu, beliau turut mengumumkan keputusannya untuk bersara daripada politik.
Kekalahan beliau di Kota Melaka merupakan suatu pukulan hebat terhadap DAP. Sungguhpun keperluannya meletak jawatan sebagai tanda bertanggungjawab akibat kekalahan itu, boleh dipertikaikan, tetapi budaya politik seperti itu, rasanya patut dialu-alukan memandangkan DAP sering mendesak pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya berbuat demikian.
Namun, pengumumannya untuk terus bersara dari politik bukan saja di luar dugaan, tetapi seolah-olah mendedahkan krisis dalaman DAP yang selama ini gagal diatasi, sungguhpun retorik pembaruan atau reformasi, tidak putus-putus dicanangkan dari masa ke semasa.
Dengan tegas beliau menafikan bahawa kekalahannya di Kota Melaka menjadi punca beliau bersara, kerana beliau bukanlah jenis manusia "kiasu" (dialek hokkien, yang bermakna tidak berani menghadapi kegagalan).

Malah, beliau juga menegaskan bahawa soal kesihatan (penyakit kanser) yang dihidapinya, juga tidak menghalang beliau daripada terus berkecimpung dalam kancah politik.
Konflik puak
Dalam sidang akhbar yang diadakan pada 28 Mac lalu, beliau antara lain, mendedahkan fakta-fakta berikut:
Dalam pilihanraya umum kali ini, pengikut Lim Guan Eng bukan saja memboikot/tidak membantu beliau, malah menyebarkan khabar angin yang beliau tidak berkhidmat kepada rakyat .
Ada pula yang mengatakan kesemua calon DAP di Melaka kecundang, kecuali isteri Guan Eng, Betty Chew.
Beliau cuba menyelesaikan perselisihan puak dalam DAP, tetapi sebaliknya beliau sendiri yang dijadikan sasaran .
Konflik puak begitu berleluasa, sehingga Teng Chang Kim ditegah untuk berkempen di sesetengah kawasan.
Nampaknya, Kerk sudah menjadi sasaran, malah korban konflik puak yang makin hari semakin menjadi-jadi dalam DAP, terutama di Melaka yang melibatkan Guan Eng, anak Kit Siang yang sudah lama dianggap sebagai bakal pengganti ayahnya untuk menerajui DAP.
Kerk, dari mula lagi, telah dipandang sebagai setiausaha agung peralihan yang bakal diambilalih oleh Guan Eng, yang dilarang oleh undang-undang untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya umum serta menyandang apa-apa jawatan dalam parti selama lima tahun, akibat dihukum penjara.
Justeru, latarbelakang inilah yang menimbulkan "teori konspirasi" di mana Kerk disabotaj dan dikorbankan akibat suatu "konspirasi politik" bagi menamatkan riwayat politiknya untuk memberi laluan kepada Guan Eng, yang akan muncul semula selepas genapnya tempoh lima tahun dilarang memegang sebarang jawatan dalam parti.
Menjadi sasaran
Sungguhpun Kerk tidak melibatkan Guan Eng secara langsung, beliau telah menyebut pemboikotan pengikut Guan Eng terhadapnya dan membidas pemimpin-pemimpin yang terlibat dalam perlawanan puak, serta mendedahkan beliau sendiri telah dijadikan sasaran .
Kesemua ini amat menghampakan Kerk sehingga beliau mengambil keputusan untuk bersara daripada politik , atau dalam perkataan beliau: "Sebagai seorang setiausaha agung, sudah cukup setakat ini, saya tak mau kembali kepada DAP lagi."
Kata Kerk, beliau telah memberi tahu Guan Eng tentang desas-desus di pusat parti bahawa kekalahannya di Kota Melaka adalah akibat sabotaj pengikut Guan Eng.
Guan Eng menafi desas-desus itu. Kerk mengingatkan Guan Eng tentang kemungkinan pengikutnya berbuat demikian tanpa diketahuinya. Jawapan Guan Eng ialah beliau tidak akan menyandang jawatan setiausaha agung DAP!
Logik Guan Eng ialah jika beliau tidak berniat merebut jawatan setiausaha agung DAP, maka para pengikutnya pun tidak perlu mensabotaj Kerk.
Memang sukar untuk kita mengetahui sama ada Guan Eng ingin atau tidak, menjadi setiausaha agung DAP. Tetapi, yang pasti ialah Kerk sudah bertekad untuk bersara daripada politik.
Teori konspirasi
Kerk menolak tawaran "setiausaha agung bergaji" untuk mempertahankan "kewibawaannya". Ini menunjukkan dalam DAP, pemimpin bergelar YB berkedudukan lebih tinggi daripada mereka yang bukan YB, dan seorang setiausaha agung yang bukan YB dan terpaksa bergaji pula, akan hilang "kewibawaannya" hakikat ini bunyinya ganjil , tetapi benar!
Dalam keadaan demikian, untuk mematahkan "teori konspirasi"dan membuktikan keikhlasan yang beliau tidak akan menyandang jawatan setiausaha agung, rasanya Guan Eng terpaksa melupakan jawatan tersebut, sekurang-kurangnya buat sementara waktu ini!
Menurut Kerk, pelapis muda DAP tidak bersetuju dengan perletakan jawatan dan persaraannya daripada politik kerana beliau telah dianggap sebagai simbol pembaharuan DAP. Tanpa beliau, dikhuatiri akan kembalinya "Zaman Pimpinan Orang Tua".
Perwatakan sederhana beliau telah mengendurkan dasar cantas-mencantas dalam parti. Kerk menganggap hanya dasar inklusif dan toleransi tulen yang dapat memberi ruang kepada puak-puak penentang atau mereka yang berbeza pendapat dalam parti.
Beliau yakin tiada sesiapa yang tidak dapat digantikan. Hanya dengan mengakui pembatasan individu, barulah kepintaran kolektif dapat ditimba, dan barulah dasar yang lebih liberal, serta dada yang lebih lapang dapat diwujudkan untuk menangani kontradiksi dalaman parti.
Dalam desas-desus "teori konspirasi", Kerk telah tampil untuk mempertahankan Lim Kit Siang yang dianggap sebagai "sifu"politik beliau. Dalam sidang akhbar itu, Kerk menegaskan: "Kit Siang tidak pernah menganiayai saya".
Pimpinan orang tua
Bagaimanapun, bila Kerk menyentuh "Pimpinan Orang Tua", secara automatik kita akan membayangkan pemimpin-pemimpin generasi tua yang dikepalai Kit Siang dan Karpal.
Bila Kerk menyebut tiada orang yang tidak dapat digantikan, sekali lagi secara automatik kita akan membayangkan Kit Siang dan Karpal, sungguhpun Kerk merujuk kepada persaraannya sendiri.
Bila ditanya apakah yang paling dikesali beliau semasa bersara daripada politik, jawapannya ialah beliau terpaksa bersara daripada politik setelah ditewaskan dalam pilihanraya umum.
Tambah beliau: "Kit Siang dan Karpal telah bejaya kembali ke Parlimen. Mereka sudah banyak berjasa kepada demokrasi kita, mereka patut meninggalkan arena politik sebagai pemenang."
Sekali lagi kita akan mengaitkan Kit Siang dan Karpal. Mungkin sudah tiba masanya, Kit Siang dan Karpal menetapkan jadual persaraan daripada politik sebagai seorang "pemenang", seperti harapan Kerk!
Saya berpeluang bersama Kerk kira-kira lima tahun dalam DAP. Dalam ingatan saya, Kerk memang seorang yang serba sederhana, tetapi melalui pancaroba politik DAP sebagai setiausaha agungnya dalam tahun-tahun kebelakangan ini, terutamanya setelah beliau tewas di Kota Melaka, beliau menjadi lebih matang, bijak dan juga berani.
Dari segi ini, beliau sebenarnya seorang "pemenang dalam kekalahan" yang masih berdaya untuk memberi nasihat kepada mereka yang mungkin "tewas dalam kemenangan" jika tidak berhati-hati!
Sekian, selamat bersara Sdr Kerk!