Dalam ulasan Fathi Aris Omar " Seriouskah Pas mereformasi pilihanraya? ", beliau telah dengan kritis sekali meragui yang PAS konsisten dan serius dalam memperjuangkan reformasi pilihanraya. Kritiknya juga boleh diperluaskan kepada sesetengah parti pembangkang yang lain.

Tidak dapat dinafikan, kecacatan (terdedah atau tersembunyi) sistem pilihanraya kita di bawah pengendalian Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang kebebasannya boleh diragui, memang bukan sesuatu yang baru.

Malah, seawal tahun 1969, Front Socialist yang merupakan gabungan Parti Buruh dan Parti Rakyat Malaysia yang telah dilumpuhkan oleh penindasan ISA, telah memulau pilihanraya umum pada tahun itu.

Kesimpulan mereka ialah sistem demokrasi kita merupakan demokrasi kapitalis yang palsu, parti pembangkang yang mewakili rakyat jelata tidak berpeluang untuk memenangi kuasa pemerintahan melalui sistem pilihanraya yang diperdayakan oleh kaum pemerintah.

Kesimpulan itu yang dibuat berdasarkan amalan dan pengalaman perjuangan mereka, telah menyebabkan barisan tersebut menjadi lebih radikal dan perjuangan jalanan yang dinamakan perjuangan massa, telah dilancarkan dengan lebih gigih lagi.

Namun ia telah mengundang penindasan yang lebih kejam dan menyeluruh. Dan akhirnya, Parti Buruh yang sudah dilumpuhkan, menemui ajalnya, dan Parti Rakyat terpaksa menyambungkan perjuangan perlembagaannya dalam serba kepayahan.

Menjadi radikal

Demikianlah pusingan pertama paradoks pilihanraya dan jalanraya: parti pembangkang yang kecewa kerana tertipu oleh pilihanraya, akan menjadi radikal dan melancarkan perjuangan massa/jalanraya. Namun ia nescaya mengundang tindasan yang lebih kejam dan menyebabkan parti pembangkang terbabit dilumpuhkan.

Masa itu, setengah ahli pembangkang telah putus asa dengan perjuangan berparlimen/perlembagaan melalui pilihanraya. Mereka menghilangkan diri dan menyeludup bawah tanah untuk menjalankan "gerakan haram" anti-kerajaan.

Malah ada yang menyertai perjuangan bersenjata yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya (telah menandatangani Perjanjian Damai Haadyai dengan Kerajaan Malaysia pada 1989 dan menamatkan perjuangan bersenjata mereka) di sempadan Thai-Malaysia.

Mereka yang masih percaya akan, atau terpaksa mengambil bahagian dalam perjuangan berparlimen/perlembagaan tanpa pilihan yang lain seperti Parti Rakyat dan PAS, meneruskan perjuangan mereka dalam keadaan yang amat tidak menguntungkan, kerana terpaksa bersaing dengan lawan politik mereka dalam "padang permainan yang tidak sama rata".

DAP yang ditubuhkan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Parti Buruh, timbul tenggelam mengikut ayunan "pendulum" dan isu semasa (kali ini isu Negara Islam), rasanya berpuas hati menjadi sebuah parti pembangkang yang menyandarkan sokongan pengundi bukan Melayu, terutamanya pengundi Cina.

Parti Keadilan yang muncul sebagai produk gerakan reformasi yang dicetuskan oleh pemecatan Anwar Ibrahim, menyaksikan gelombang pasang perjuangan jalanraya secara besar-besaran yang jarang ditemui dalam sejarah perjuangan politik negara kita . Gerakan reformasi dan perjuangan jalanraya dibantutkan dengan penangkapan reformasi 10 pada bulan April 2001.

Kalah teruk

Gelombang pasang perjuangan jalanraya dan kemarahan rakyat, terutamanya orang Melayu terhadap Umno kerana kezaliman terhadap Anwar, menyebabkan Umno kalah teruk dalam pilihanraya 1999. Sebaliknya, PAS berjaya menawan Terengganu, di samping Kelantan, dan turut memenangi kerusi negeri dan Parlimen di Kedah, Perlis, Selangor dan Pahang.

BA telah dilanda gelombang biru dan kalah teruk berbanding tahun 1999, kerana di satu pihak, gerakan reformasi berada dalam pasang surut akibat penindasan ISA, pengunduran DAP daripada Barisan Alternatif (BA), percanggahan antara PAS dan Keadilan, serta konflik dalaman parti komponen BA.

Dan di pihak yang lain ialah faktor persaraan Dr Mahathir Mohamad dan imej baru Umno pimpinan Perdana Menteri baru, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tidak dapat dinafikan, menjelang pilihanraya umum kali ini, PAS gagal "menghidu" kekalahannya. Sebaliknya, parti itu bukan sahaja begitu yakin mampu mengekalkan Kelantan dan Terengganu, malah meramalkan akan menawan Kedah dan Perlis.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga begitu yakin untuk mengundang parti-parti komponen Barisan Nasional (BN), termasuk Umno untuk membentuk kerajaan campuran yang ditunjangi PAS andainya parti itu memenangi banyak kerusi di negeri-negeri majoriti Melayu!

PAS memang ada alasan untuk tidak mengakui keputusan pilihanraya umum kali ini memandangkan "terlalu banyak ruang-ruang samar yang membolehkan orang bermain silap mata".

Negara Islam

Namun ia juga tidak patut dijadikan justifikasi untuk menutup kelemahan-kelemahan parti itu, terutamanya dengan memberi persepsi kepada umum seolah-olah parti itu, secara unilateral berkeras hendak memperjuangkan Negara Islam yang tidak disetujui parti-parti komponen BA yang lain.

Menuntut, malah memperjuangkan penubuhan sebuah badan penyiasat bebas untuk menyiasat kepincangan SPR seperti yang didakwa oleh parti-parti pembangkang, memang kena pada masanya.

Bukankah Kerajaan Abdullah telah memberi jaminan akan memberi keadilan kepada rakyat? Bukankah pihak SPR juga bersedia untuk disiasat? Bukankah ketelusan juga merupakan ciri Islam Hadhari yang diheboh-hebohkan oleh pemimpin Umno?

Kritikan Fathi tentang keghairahan calon-calon pembangkang untuk melobi dan merebut kerusi selesa, dan keghairahan mereka untuk bertanding tanpa mengira sama ada padang permainan itu sama rata atau tidak, malah sudi ditipu berkali-kali seperti seorang bodoh, harus dipandang berat oleh semua pihak yang berkaitan.

Rasanya, tibalah masanya untuk orang politik kita, menepuk dada tanya selera dan memberi jawapan kepada pertanyaan Fathi: Adakah perjuangan mereka itu untuk bertanding dan memenangi kerusi, bercakap di dewan perwakilan, dan menerima gaji saja; atau berjuang untuk menegakkan sistem demokrasi tulen, meratakan padang permainan, dan menreformasikan sistem pilihanraya?

Sudah pasti, menyertai permainan tanpa memastikan peraturan permainan itu adil kepada pesertanya, adalah perbuatan orang bodoh yang sudi diperdayakan. Yang aneh ialah orang politik kita memang mengetahui peraturan pilihanraya kita itu tidak adil, tetapi mereka terus ghairah untuk bertanding dan ditewaskan!

Yang lebih memanfaatkan sistem demokrasi kita, mungkin bukan mereka yang ghairah untuk bertanding, tetapi bertekad untuk menreformasikan sistem pilihanraya kita yang pincang supaya pertandingan adil dapat diwujudkan pada masa akan datang!

Tidak dapat dinafikan bahawa tanpa reformasi sistem pilihanraya, BN adalah amat sukar untuk ditumbangkan jika pun bukan mustahil.