Masjid Kersik bermandi darah
Majid Kersik di wilayah Pattani di selatan Thailand memang bersejarah, simbolik dan tragik. Ia dibina dalam abad ke-16 pada zaman kegemilangan pemerintahan kerajaan Melayu-Pattani sebelum ianya ditakluk oleh penjajah Thailand yang kebanyakan rakyatnya beragama Buddha selepas abad ke-18.
Ia bersejarah kerana menyaksikan kebangkitan dan kejatuhan Pattani Raya yang meliputi wilayah-wilayah Melayu/Islam termasuk Pattani, Yala, Satun dan Narathiwat, yang berasal daripada kerajaan Langkasuka zaman dahulu.
Ia juga menyaksikan bagaimana Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis ditakluk penjajah Thailand dan menerima nasib yang sama dengan rakyat serumpun dan seagama di selatan Thailand, serta bagaimana setelah percaturan penjajah Thailand dengan penjajah British, keempat-empat negeri itu dikembalikan kepada penjajah British pada tahun 1909.
Lebih-lebih lagi, ia telah menyaksikan percaturan dan pergelutan kuasa-kuasa penjajah dalam perang dunia pertama dan kedua, dan pergolakan dan perjuangan rakyat Melayu/Islam dalam menentang dasar penindasan dan asimilasi kerajaan Thailand, dan menuntut hak untuk menentukan nasib sendiri, di samping mempertahankan identiti kaum dan agama mereka.
Majid Kersik di wilayah Pattani di selatan Thailand memang bersejarah, simbolik dan tragik. Ia dibina dalam abad ke-16 pada zaman kegemilangan pemerintahan kerajaan Melayu-Pattani sebelum ianya ditakluk oleh penjajah Thailand yang kebanyakan rakyatnya beragama Buddha selepas abad ke-18.
Ia bersejarah kerana menyaksikan kebangkitan dan kejatuhan Pattani Raya yang meliputi wilayah-wilayah Melayu/Islam termasuk Pattani, Yala, Satun dan Narathiwat, yang berasal daripada kerajaan Langkasuka zaman dahulu.
Ia juga menyaksikan bagaimana Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis ditakluk penjajah Thailand dan menerima nasib yang sama dengan rakyat serumpun dan seagama di selatan Thailand, serta bagaimana setelah percaturan penjajah Thailand dengan penjajah British, keempat-empat negeri itu dikembalikan kepada penjajah British pada tahun 1909.
Lebih-lebih lagi, ia telah menyaksikan percaturan dan pergelutan kuasa-kuasa penjajah dalam perang dunia pertama dan kedua, dan pergolakan dan perjuangan rakyat Melayu/Islam dalam menentang dasar penindasan dan asimilasi kerajaan Thailand, dan menuntut hak untuk menentukan nasib sendiri, di samping mempertahankan identiti kaum dan agama mereka.
Menurut laporan, Masjid Kersik mulai dibina pada 1578 oleh Lam To Khieng, seorang pendatang China beragama Buddha yang kemudiannya memeluk Islam. Kononnya pembinaan masjid itu tidak dapat disiapkan kerana disumpahi adik perempuan Lam yang membunuh diri kerana gagal membawa abangnya balik ke kampung halaman mereka.
Mengikut yang empunya cerita, setiap kali masjid itu cuba disiapkan, ia akan dimusnahkan oleh ribut taufan. Oleh itu, masjid itu pun terpaksa dibiarkan dalam keadaan setengah siap sehingga sekarang. Bagaimanapun, saya merasa sangsi (dengan kisah itu), mungkin diskriminasi dan kemiskinan antara punca Masjid Kersik dibiarkan setengah siap.
Tanah perkuburan Gadis Lam itu sebaliknya dijadikan tempat tarikan pelancong yang dibina dengan serba lengkap . Ia merupakan bandingan yang menjolok tentang kedudukan dan layanan agama yang tidak seimbang.
Cerita sumpahan memang karut, tetapi maklumat tersirat perlu dihuraikan. Rasanya tragedi keluarga Lam mungkin telah diperalatkan oleh prasangka dan sentimen keagamaan yang kurang sihat dalam suasana yang mengeruhkan.
Sentimen keagamaan
Cerita sumpahan yang karut mungkin hanya bayangan simpati terhadap tragedi gadis Lam di satu pihak, dan prasangka terhadap agama Islam di pihak yang lain. Masyarakat yang mengizinkan cerita karut itu tersebar secara turun-temurun, mungkin juga memperlihatkan psikologi masyarakat yang berat sebelah.
Tragik Masjid Kersik menjadi lebih tragik lagi, selepas berlakunya kejadian pembunuhan beramai-ramai 32 (juga dilaporkan 34) orang militan Islam yang terkepung dalam masjid tersebut pada 28 April 2004 . Mereka yang kebanyakannya remaja belasan tahun yang bersenjatakan parang dan pisau, telah dibedil dengan tembakan gas pemedih mata, roket dan senjata automatik.
Kesemua 32 orang militan Islam yang tersembunyi dalam Masjid Kersik itu mati ditembak dan merupakan antara 113 nyawa yang terkorban setelah melancarkan serangan ke atas 15 balai polis dan pos keselamatan di wilayah Pattani, Yala dan Songkhla selatan Thailand.
Sejak Januari tahun ini, militan Islam telah melancarkan serangan-serangan terhadap pos-pos keselamatan untuk merampas senjata, serta membunuh anggota polis dan sami, serta membakar sekolah-sekolah. Ramai terkorban dalam serangan-serangan tersebut.
Adakah tindakan polis dan tentera Thailand yang melampau itu berunsur membalas dendam terhadap keganasan yang dilakukan oleh militan Islam sebelum ini? Jika tidak, kenapa keganasan dan pembunuhan dilakukan sewenang-wenangan terhadap mereka yang hanya bersenjatakan parang dan pisau? Dan kenapa tidak berunding dan berikhtiar supaya mereka yang terkepung itu menyerah diri? Kenapa terus membunuh, bukan mencedera dan melucutkan senjata mereka saja?
Menurut laporan perisikan Thailand, kononnya kira-kira 30,000 pemuda Islam di selatan Thailand sedang bersiap sedia untuk menyerang pasukan keselamatan. Ini menunjukkan pembunuhan sewenang-wenangnya itu, telah menimbulkan kemarahan masyarakat Melayu/Islam di selatan Thailand, dan keganasan akan dibalas dengan keganasan.
Jumlah 30,000 ini sungguh menakjubkan, kerana penduduk Islam di Selatan Thailand hanya 5 peratus daripada 66 juta penduduk Thailand. Adakah maklumat ini sengaja diperbesar-besarkan untuk memberi gambaran situasi krisis agar pihak polis dan tentera dapat mengambil tindakan selanjutnya terhadap mereka?
Pertubuhan Pembebasan Pattani Bersatu (Pulo) pula dilaporkan memuji dan menganggap mereka yang terkorban itu sebagai pejuang yang mati syahid. Tidakkah pujian seperti ini akan mengorban lebih ramai lagi remaja militan Islam sepertimana mereka yang terbunuh dalam kejadian berdarah pada 28 April lalu?
Dasar diskriminas
Selain Pulo, Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pergerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP) adalah antara badan militan yang memperjuangkan pemisahan wilayah selatan daripada Thailand. Namun, hingga sekarang masih tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab atas serangan kali ini.
Kemungkinan serangan militan Islam tersebut berkaitan dengan golongan pemisah, atau diperalatkan oleh JI atau al-Qaeda, atau kuasa-kuasa berkepentingan yang lain, tidak boleh ditolak memandangkan kedudukan strategik wilayah terbabit di selatan Thailand.
Namun demikian, anti-keganasan juga tidak boleh dijadikan dalih untuk menafikan punca ekonomi-sosial-budaya yang dihadapi oleh masyarakat Melayu/Islam di wilayah selatan Thailand yang melibatkan aspek-aspek sejarah, identiti dan dasar-dasar diskriminasi kerajaan Thailand.
Perdana Menteri Thailand Thaksin Shinawatra, setelah menemui delegasi Malaysia yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak, bersetuju untuk menangani masalah Melayu/Islam selatan Thailand dengan pendekatan "memenangi jiwa dan hati umat Islam selatan Thailand", melalui pembangunan dan pendidikan ala Malaysia mengatasi militan Islamnya.
Thaksin mungkin boleh membuktikan keikhlasannya bermula dengan siasatan terhadap pembunuhan di Masjid Kersik oleh pasukan polis dan tentera, menghukum mereka yang sabit bersalah, memberi gantirugi kepada mangsa yang terkorban, dan memberi jaminan pembunuhan seumpama itu tidak akan berlaku lagi pada masa yang akan datang.
Yang lebih penting ialah Kerajaan Thailand patut, dengan bantuan negara-negara Islam di rantau ini dan dunia, berusaha untuk memulakan rundingan perdamaian dengan badan-badan militan yang berjuangkan pemisahan wilayah selatan Thailand, bagi mencapai suatu penyelesaian yang dapat diterima oleh semua pihak umpamanya pengiktirafan kuasa autonomi dalam bidang-bidang tertentu atau bentuk persekutuan misalnya dapat dicapai demi mempertahankan identiti dan kepentingan masyarakat Melayu/Islam di wilayah selatan Thailand .
Dalam segi pembangunan, kerajaan Thailand patut memecahkan sumpahan Gadis Lam dengan membantu membangun semula Masjid Kersik sehingga siap dan sempurna, untuk menandakan tamatnya sejarah tragik agama Islam di selatan Thailand!

