Ingatan, kemajuan dan politik baru BA
Tulisan ini cuba mengimbas masa lalu, yang ingin ditafsirkan semula, atau diberi penilaian baru, atau ditolak, atau diberi dukungan. Lebih tepat mengenai desakan dan permintaan yang muncul sewaktu era reformasi 1998-2001.
Ia juga adalah satu cubaan untuk mengenal hubungan di antara kemajuan, pengetahuan dan ingatan manusia dalam lingkungan peristiwa-peristiwa politik di Malaysia. Novelis dari Itali, Umberto Eco menyebut: "Kemajuan dapat difahami dengan dua jalan."
Dia juga melihat "kemajuan sebagai transformasi, satu hukum semula jadi dan budaya".
"Maka sekalipun kita berpatah balik ke belakang kita memikirkannya dalam jalur yang menghasilkan sesuatu yang baru (kebaruan)," katanya.
Satu lagi jalan yang disebut oleh profesor semiologi (sains tanda dan simbol) dari Universiti Bologna itu ialah"berfikir semua yang baru datang, lebih baik daripada apa yang wujud sebelumnya".
'Politik baru' bukanlah perkara baru, baik di Malaysia atau di mana-manapun jua. Saya cuma ingin menimbulkan wacana yang timbul dan rancak diwar-warkan sebagai slogan politik di era cuaca politik sedang memanas itu.
Benarkah politik Malaysia semakin baik, selepas tercetusnya gerakan reformasi pada 1998, gerakan reformasi yang kemudian dikudakan parti-parti politik pembangkang, yang telah menghasilkan pemisahan atas pendirian politik pada kesimpulan mudah: BA lawan BN = 'Politik Baru' lawan 'Politik Lama'?
Tulisan ini cuba mengimbas masa lalu, yang ingin ditafsirkan semula, atau diberi penilaian baru, atau ditolak, atau diberi dukungan. Lebih tepat mengenai desakan dan permintaan yang muncul sewaktu era reformasi 1998-2001.
Ia juga adalah satu cubaan untuk mengenal hubungan di antara kemajuan, pengetahuan dan ingatan manusia dalam lingkungan peristiwa-peristiwa politik di Malaysia. Novelis dari Itali, Umberto Eco menyebut: "Kemajuan dapat difahami dengan dua jalan."
Dia juga melihat "kemajuan sebagai transformasi, satu hukum semula jadi dan budaya".
"Maka sekalipun kita berpatah balik ke belakang kita memikirkannya dalam jalur yang menghasilkan sesuatu yang baru (kebaruan)," katanya.
Satu lagi jalan yang disebut oleh profesor semiologi (sains tanda dan simbol) dari Universiti Bologna itu ialah"berfikir semua yang baru datang, lebih baik daripada apa yang wujud sebelumnya".
'Politik baru' bukanlah perkara baru, baik di Malaysia atau di mana-manapun jua. Saya cuma ingin menimbulkan wacana yang timbul dan rancak diwar-warkan sebagai slogan politik di era cuaca politik sedang memanas itu.
Benarkah politik Malaysia semakin baik, selepas tercetusnya gerakan reformasi pada 1998, gerakan reformasi yang kemudian dikudakan parti-parti politik pembangkang, yang telah menghasilkan pemisahan atas pendirian politik pada kesimpulan mudah: BA lawan BN = 'Politik Baru' lawan 'Politik Lama'?
Politik baru
Barisan Alternatif (BA) mewakili suara baru, dan Barisan Nasional (BN) mewakili 'politik lama'. Formula yang galak dipropagandakan ini, akhirnya berjaya dipasakkan dalam fikiran ramai orang.
Ia hadir sebagai fesyen yang ' trendy ', yang mengikut perubahan dan kemajuan, sepertimana pengalaman yang melanda Eropah pada abad ke-19.
Tetapi, memetik Umberto Eco lagi: "Zaman telah menyedarkan kita, kemajuan tidak semestinya berterusan dan berganda-ganda sifatnya. Kita dapat melihat kemajuan hanya sebagai fasa-fasa penaikan dan penurunan saja.
"Dalam cubaan membuat sesuatu yang lain dari yang lain berbeza dari masa lalu, kita juga boleh menelurkan momok dan hantu yang menakutkan," tegas Eco sewaktu diwawancara oleh Catherine David, Frederic Lenoir dan Jean-Philippe de Tonnac dalam buku Conversations about the end of time , terbitan Penguin.
Sebelum pergi lebih jauh lagi, lebih baik saya memberi kriteria gelanggang 'politik baru' dan ciri-cirinya yang masih segar dalam BA, khususnya dan parti pembangkang amnya.
Melihat menerusi kaca mata Eco dalam memilih sesuatu yang baru dari BA, kita seharusnya berhati-hati dan tidak jatuh dalam perangkap retorika politik kosong kerana sifat parti politik itu sendiri yang bermatlamatkan untuk memperolehi keuntungan di pasar perebutan kuasa.
Perjuangan kolektif
Kata 'politik baru' mungkin tidak lebih dari slogan pemasaran dan promosi bagi meraih sokongan pengguna yang terbeli.
Kelahiran BA sewaktu pilihanraya 1999 dan penangkapan aktivis parti dan reformasi pada 10 April 2001 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), berterusan tanpa tema yang sistematik, mungkin berpunca dari persamaan perjuangan secara kolektif oleh parti alternatif PAS, Keadilan, Parti Rakyat Malaysia dan DAP.
Namun, ia akhirnya menjadi beban di antara satu dengan lainnya, dalam keadaan masing-masing yang berbeza anutan aqidah, mazhab atau tingkat iman perjuangan politiknya.
Mekanisme perkongsian ini diasaskan kepada seni perang kuno, Sun Tzu Art of War , di mana "musuh kepada musuh kamu ialah kawan kamu.". Dalam percubaan parti-parti pembangkang ini membangkitkan sesuatu yang baru, selagi tidak timbul isu yang menimbulkan konflik, maka ia tidak menjadi masalah.
Tetapi apabila kita timbulnya isu negara Islam misalnya, maka barulah kita dapat melihat kerumitan masalah. Justeru itu, retorik dan slogan menjadi penting daripada hakikat intipatinya.
Melihat kepada kes hudud misalnya, PAS secara terburu-buru hendak melaksanakannya hingga melupakan agenda pendemokrasian dan hak asasi manusia yang dipersetujui sebagai landasan BA.
Kebebasan maklumat
Apalah maknanya PAS menentang ISA, tetapi pada masa yang sama membentangkan falsafah hudud taksirannya yang terbukti bertentangan dengan konsep hak asasi manusia? Dan ini menimbulkan persoalan sejauh manakah lebarnya spektrum demokrasi dan hak asasi manusia yang ingin ditawarkan mereka?
Apakah mungkin ianya demokrasi terpimpin, seperti yang sering digunakan oleh kerajaan autokratik di Dunia Ketiga atau hak asasi untuk manusia terpilih sahaja?
Kita perlu menjadikan persoalan ini sebagai sebuah wacana fundamental pendemokrasian idea wacana dalam erti kata suatu proses perbincangan yang membabitkan seramai mungkin rakyat hingga ke dasar praktikalnya.
Kebebasan penyaluran kebebasan maklumat, juga perlu diamati dengan lebih dalam lagi, umpamanya soal penerbitan dan pengedaran bahan yang bertentangan dengan taboo masyarakat seperti seks, tafsiran agama serta kaum.
Misalnya, apakah maklum balas 'politik baru' BA mengenai penerbitan bahan agama (tidak hanya Islam) dalam bahasa Melayu dan disebar serta didakwahkan kepada orang ramai tanpa mengira latar belakang agama dan kepercayaannya?
Atau hak asasi kaum gay dan transeksual, pernahkah ia dibincangkan? Atau mungkin BA juga mempunyai pandangan tipikal tentang golongan ini masalah moral yang merosakkan, bukan sebagai hal pilihan kecenderungan seksual.
Keseragaman politik
Selalu dihujahkan bahawa ia bukanlah hal paling utama, sepertimana kesombongan Fasisme Nazi di Jerman, yang menganggap Aryan sebagai manusia lebih unggul daripada lainnya.
Maka timbullah hujah tentang soal pokok yang perlu diselesaikan terlebih dahulu, berbanding dengan soal remeh-temeh dan dipandang sinis itu. Ketakburan dan keriakan semacam inilah yang dilihat hadir sebagai ruh dalam tubuh BA.
Masalah orang politik di Malaysia BA dan BN ialah kurangnya kecintaan pada ilmu pengetahuan, maklumat, falsafah, seni, sastera dan budaya. Rasa cinta terhadap hal-hal ini, sebenarnya tidak dapat dicairkan dalam keseragaman dan formaliti serta kekurangan wacana, apatah lagi ia terbina dalam ruanglingkup parti-parti politik sedia ada yang kaku.
Soal hiburan, keseronokan, kegembiraan dan perayaan, jarang dibincangkan. Atau mungkin cuba melupakan apa yang terjadi kepada hasil kesenian atau perayaan tradisional di Kelantan dan Terengganu.
Misalnya, Mak Yong, wayang kulit, dikir barat (sebelum rundingan dan peraturan baru) diharamkan kerajaan PAS sama saja seperti tindakan kerajaan Melaka yang mengharamkan konsert kumpulan rock Amuk atau Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menarik balik permit pementasan The vagina monologues arahan Hari Azizan.
Tetapi, kitapun tahu parti-parti yang terlibat dalam pakatan BA itu, bukanlah parti-parti baru. Meskipun parti Keadilan baru dibentuk, mereka yang menjadi penggeraknya bukanlah buta politik atau terlalu naif dengan cacamarba permainan parti politik.
Saya ada mendengar cerita bagaimana pada awal episod pemecatan Anwar Ibrahim, sewaktu Allahyarham Fadzil Noor menghadiri sidang akhbar bekas timbalan perdana menteri itu, maklum balas dari aktivis PAS ialah lebih banyak meragukan kewibawaan Fadzil Noor itu sendiri.
Memikul amanat
Ini didorong oleh rasa tidak percaya dan prejudis terhadap Anwar. Ia menjadi satu desakan kuat untuk menjarakkan diri mereka dari Anwar. Tetapi dalam suasana sebegitu, feudalisme kuno pun timbul dari kulit mereka apabila presiden PAS mengeluarkan arahan untuk ikut serta, semua ahlinya taat memikul amanat.
Lebih mustahak lagi, ialah untuk melihat bagaimana Anwar dijual sebagai 'produk politik' yang laris, yang keuntungannya kadangkala bukan untuk Anwar dan gerakan reformasi yang dilancarkannya.
Di acara-acara awal gerakan reformasi, sebelum Keadilan tertubuh, kita dapat melihat keahlian PAS bertambah berganda-ganda, melalui pembukaan kaunter keahlian. Isu Anwar sebagai icon iklan yang mahal, yang dapat membantu cita-cita untuk berkuasa.
Teori inilah yang didakwa sebagai petunjuk kemenangan PAS di Terengganu. Peluang inilah juga yang mendorong DAP kemudiannya keluar dari BA, dengan alasan menolak negara Islam bawaan PAS.
Walhal, kedua-duanya sama-sama tahu BA hanyalah modal politik yang sangat sementara sifatnya. Kedua-duanya juga sedar cita-cita dan aqidah perjuangan masing-masing jauh berbeza, malah berlawanan. Sebab itulah, tema umum yang sistematik tidak dapat diwujudkan dalam BA.
Tetapi itulah kenyataannya. Kemeriahan dan kegilaan politik orang politik dan parti politik serta keserakahan kuasa politik tidak melahirkan sesuatu yang baru. Akhirnya ramai mengeluh parti-parti politik semuanya 'sama saja', tidak banyak berbeza.
Saya tidak mahu berdepan dengan krisis identiti dalam memberi kriteria dan pengertian hak asasi manusia dan demokrasi pula. Formula 'politik baru' yang mahu digubal itu pula makin susah, melangkaui sempadan terhad BA-BN. Sebab tidak ada perkara mudah, apatah lagi bila kita atau saya? ingin meruntuhkan conventional wisdom .
RAHMAT HARON bekas aktivis mahasiswa era reformasi. Dia pernah bertugas sebagai pengarang akhbar Roket (versi Melayu) dan wartawan berita radio mandiri, RadiQ Radio . Sekarang penulis bebas, dia boleh dihubungi di rahmat_haron@yahoo.com

