Pencalonan untuk 219 kerusi Parlimen dan 505 kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) bagi pilihanraya umum ke-11 telah disempurnakan pada 13 Mac seperti yang dijadualkan, dan BN telah memenangi 15 kerusi Parlimen dan 7 DUN tanpa ditandingi.

Di pihak pembangkang, Barisan Alternatif (BA) merupakan petanding utama Barisan Nasional (BN), di mana PAS meletak 86 calon Parlimen dan 262 calon DUN, manakala Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) meletak 58 calon Parlimen dan118 calon DUN. DAP yang telah menarik diri daripada BA pula telah meletak 44 calon Parlimen dan 106 calon DUN.

Sungguhpun Keadilan meletakkan calon yang agak banyak kali ini, tetapi rasanya sukar hendak mencapai kemenangan yang lebih cemerlang daripada piliharaya umum yang lepas kerana selain dari masalah dalaman, parti tersebut mengalami pukulan demi pukulan daripada BN.

ISA, OSA, dan akta-akta zalim yang lain sering digunakan untuk menahan dan memenjarakan pemimpin-pemimpin parti itu, yang terbaru ialah tiga pemimpin berpengaruh mereka, iaitu Mohd Ezam Mohd Nor , Mohd Azmin Ali dan Irene Fernandez telah dilucutkan kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya umum kali ini.

Minta maaf

Lebih dikesali ialah Timbalan Presiden mereka, Dr Syed Husin Ali ( kanan ) yang telah ditugaskan oleh parti untuk bertanding di kawasan Parlimen Kota Bahru Kelantan, telah dibantah oleh pemimpin PAS Nik Aziz Nik Mat dengan alasan Dr Syed Husin berlatar belakang Sosialis dan tidak cukup Islamik.

Perbuatan pemimpin PAS ini amat tidak bijaksana, angkuh dan menentang amalan pakatan BA yang saling hormat-menghormati ideologi masing-masing. Dr Syed Husin padahal seorang pemimpin politik veteran dan ahli akedemi yang cukup dihormati dalam arena politik negara kita yang rencam. Beliau juga pernah ditahan di bawah ISA selama enam tahun. Dari apa segi pun, sumbangan dan pengorbanan beliau patut dihargai .

Sungguhpun Keadilan masih tetap menyokong Dr Syed Husin untuk bertanding di Kota Bahru, kerana ia adalah hak Keadilan untuk menetapkan calon parti itu di situ, namun sebagai seorang ahli politik yang bermaruah dan berprinsip, beliau memilih untuk tidak bertanding seperti maksud asalnya sebelum dipujuk untuk bertanding di Kota Bahru oleh pemimpan parti.

PAS, terutamanya Nik Aziz patut meminta maaf kepada Dr Syed Husin dan Keadilan kerana kekasaran dan keangkuhan yang melampau yang telah melukai seorang pejuang tulen dan pemimpin penting dalam BA dan menjejaskan hubungan baik antara PAS dengan Keadilan.

Jika Dr Syed Husin boleh ditolak, bermakna Parti Rakyat Malaysia juga boleh ditolak, dan sekaligus Parti Keadilan Rakyat yang merupakan cantuman Parti Rakyat Malaysia dengan Keadilan juga boleh ditolak. Adakah Nik Aziz dan PAS mengetahui implikasi ini?

Agihan kerusi

Suatu lagi keadaan yang tidak menguntungkan calon pembangkang kali ini ialah rundingan agihan kerusi antara Keadilan dengan DAP telah menemui kebuntuan, banyak tandingan tiga penjuru akan berlaku di Perak dan Pulau Pinang antara calon-calon Keadilan, DAP dan BN, termasuk kawasan Bukit Gelugor yang ingin ditandingi Karpal Singh dan Ipoh Timor yang ingin ditandingi Lim Kit Siang.

Atas permintaan Karpal dan Kit Siang agar Keadilan mengenangi jasa mereka dalam membantu Anwar Ibrahim, dan seruan mereka supaya Keadilan menarik balik calon-calon mereka untuk mencerahkan peluang Karpal dan Kit Siang untuk merebut kedua-dua kerusi terbabit, usaha terakhir pimpinan tertinggi Keadilan telah diambil dan suatu persetujuan telah dicapai, iaitu:

  1. Keadilan berjanji tidak akan meletak calon dalam kawasan-kawasan Parlimen Bukit Gelugor dan Ipoh Timor, Dr Lee Boon Chye akan pindah ke kawasan Parlimen Gopeng.

  • DAP bersetuju pada prinsipnya tidak akan meletak calon di kawasan-kawasan DUN Kajang, Jelapang dan Simpang Pulai.
  • Sungguhpun amat tidak disetujui pimpinan negeri Perak dan Pulau Pinang, pimpinan tertinggi Keadilan dengan tegas mengarahkan calon-calon Bukit Gelugor dan Ipoh Timor untuk berundur sebagai balasan positif terhadap permintaan dan seruan Karpal dan Kit Siang, namun, pihak DAP masih meletak calonnya di Jelapang dan Simpang Pulai. Selain dari itu, banyak lagi kawasan Parlimen dan DUN yang akan bertanding tiga penjuru.

    Karpal sudah tampil ke depan dan berjanji akan menyeru Kit Siang untuk berunding lagi dengan Keadilan supaya pertandingan tiga penjuru di kawasan-kawasan berkaitan dapat dielakkan untuk menjaga kepentingan bersama pembangkang. Pendekatan ini patut dialu-alukan selagi masih ada masa untuk menarik diri dari bertanding tiga penjuru.

    Sungai Siput

    Tandingan tiga penjuru di Sungai Siput juga amat dikesali, Dr D Jeyakumar ( kiri ) yang bertanding pada pilihanraya umum yang lepas sudah berjaya mengurangkan majoriti S Samy Vellu lebih daripada 10,000 undi, suatu pencapaian yang begitu cemerlang sekali.

    Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, beliau telah berkhidmat di kawasan tersebut secara tekun dan konsisten, dan mungkin mendapat sokongan yang lebih menggalakkan pada pilihanraya umum kali ini, buat apa DAP perlu meletakkan calon untuk menjejaskan peluang Dr Jeyakumar, seorang pemimpin politik yang berprinsip dan unggul?

    Pimpinan BN begitu berkeyakinan dan angkuh sekali, sehingga ada yang menjadikan "zero pembangkang" sebagai matlamatnya. Dalam suasana yang tidak menguntungkan ini, sekiranya pembangkang masih asyik untuk bertanding tiga penjuru, siapakah yang patut disalahkan , jika pembangkang mengalami kekalahan teruk?


    LEE BAN CHEN, yang dilahirkan di Johor, pernah diusir dari Singapura oleh Lee Kuan Yew pada tahun 1966. Pasa masa itu, Ban Chen sedang melanjutkan pelajarannya di Universiti Nanyang. Beliau juga pernah ditahan dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama tujuh tahun dari 1967 kerana terlibat dalam pemogokan petani di Ladang Bukit Asahan, Melaka and Ladang Triang, Pahang. Ban Chen juga pernah bertugas sebagai editor di akhbar Sin Chew Jit Poh selama satu tahun pada 1976.