Sehingga 25 Jun lalu, hanya 1,929 calon atau 22.5 peratus daripada 8,559 calon Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang diberi peluang kedua, telah tampil mendaftarkan untuk mengikuti program tersebut.

Tegas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak: "Ini bererti baki yang tidak melaporkan diri ini, kalau tidak hadir juga pada latihan siri khas 25 Julai ini, maka pada masa itu, dia telah melakukan satu kesalahan di bawah undang-undang."

Di bawah Akta Latihan Khidmat Negara 2003, mereka yang terpilih menjalani khidmat negara, tetapi gagal menghadirkan diri, boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

Menurut Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), Dr Ahmad Fawzi Mohd. Basri, senarai nama mereka yang ingkar akan diserah kepada pihak polis untuk tindakan mengheret mereka ke mahkamah.

Ini bermakna, tidak kira apa sebab pun mereka gagal mendaftarkan diri, mereka akan diburu seperti penjenayah, ditangkap dan diheret ke mahkamah untuk diadili. Satu program yang kononnya banyak bermanfaat kepada pelatih, akhirnya menyebabkan beribu-ribu calon pelatih menjadi buruan polis. Dari apa segi pun, sudah terbukti program ini adalah gagal .

Pada zaman Darurat di bawah pemerintahan British dahulu, juga terdapat ramai remaja yang mengelak melaporkan diri untuk menyertai Khidmat Negara. Perbuatan mereka mudah difahami kerana selepas dilatih sebagai anggota angkatan bersenjata, mereka akan dihantar untuk berperang dengan gerila komunis. Sebab itu, keluarga mereka tidak mahu mereka menyabung nyawa untuk kepentingan penjajah.

Paksa

Namun, PLKN, nama saja Khidmat Negara, tetapi bukan berkhidmat sebagai anggota angkatan bersenjata untuk berperang. Oleh itu, negara sewajarnya tidak perlu "memaksa"mereka mengikuti program tersebut melalui undang-undang.

Sebaliknya calon-calon terbabit boleh "diwajibkan"untuk mengikuti program tersebut seperti mengikuti kursus-kursus persekolahan yang lain, tanpa gertakan untuk mengheret mereka ke mahkamah.

Jika program ini benar-benar seperti yang dialu-alukan oleh sebahagian besar 80,000 remaja yang menjalani PLKN, yang "mereka lebih yakin, ingin berdikari, ada jati diri, bersemangat dan sedia menghadapi cabaran" seperti lidah pengarang Berita Harian , 25 Jun 2004, pastinya ramai merebut-rebut untuk menyertai sesi PLKN akan datang. Mereka yang melepaskan peluang ini akan rugi, jadi buat apa paksa mereka?

Menurut Najib lagi, terdapat tiga kategori calon yang gagal melaporkan diri:

  • Kategori pertama, mereka yang berada di kawasan pedalaman, yang tidak akses kepada media;

  • Kategori kedua, mereka tidak fikir kerajaan akan mengambil tindakan tegas (mengheret mereka ke mahkamah) terhadap mereka; dan
  • Kategori ketiga, mereka yang betul-betul degil, mereka sanggup menghadapi apa juga tindakan.
  • Kategori pertama mungkin yang terbesar jumlahnya. Tiada akses kepada media kerana kemunduran persekitaran sosial-ekonomi tempat kediaman mereka, bukanlah salah mereka. Kini, mereka bukan saja terlepas peluang untuk mengikuti suatu program yang bermanfaat mereka, sebaliknya mereka diburu polis seperti penjenayah! Aadakah kesemua ini adil kepada mereka?

    Bukan degil

    Kategori kedua dan ketiga ada persamaan, iaitu mereka enggan menyertai PLKN. Hanya yang berbeza ialah kategori kedua akan mengalah jika mereka mengetahui kerajaan bertegas, tetapi kategori ketiga yang "betul-betul degil"itu tidak akan mengalah walaupun mereka akan diheret ke mahkamah, dan menghadapi kemungkinan didenda tidak lebih RM3,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.

    Soalan saya ialah kenapa mereka rela menghadapi denda dan hukuman penjara daripada melaporkan diri? Adakah kerana mereka menganggap melaporkan diri lebih menakutkan daripada didenda dan dipenjara? Jika inilah sikap mereka, terbukti dalam benak mereka wujud salah persepsi yang serius sekali. Rasa saya, mereka bukan "betul-betul degil" tetapi "betul-betul takut"!

    Jika Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) enggan dijadikan kem PLKN lagi, kerana tidak mahu menghadapi vandalisme terhadap kemudahan-kemudian mereka, yang mengakibatkan kerugian berjuta-juta ringgit, maka ada kemungkinan ibu-bapa juga tidak membenarkan atau calon peserta itu sendiri enggan melaporkan diri kerana khuatirkan keselamatan mereka, umpamanya dirogol, diculik, dicederakan atau dianiaya seperti yang sering dilaporkan berlaku?

    Jika kebimbangan dan ketakutan ini menjadikan mereka "betul-betul degil", mereka sebenarnya patut mendapat simpati dan bukannya dianiaya sekali lagi melalui buruan polis dan diheret ke mahkamah, malahan didenda atau/dan dipenjarakan kerana "kedegilan"mereka itu.

    Pendek kata, PLKN adalah Khidmat Negara yang palsu. Ia hanyalah program pendidikan disiplin dan perpaduan yang boleh (dan jelas lebih baik dan munasabah) diserapkan melalui kurikulum persekolahan dan diwajibkan.

    Oleh itu, Akta Latihan Khidmat Negara 2003 patut dimansuhkan, dan tiada sesiapapun yang patut diheret ke mahkamah, kerana jika tidak akses kepada media atau berwas-was terhadap PLKN dan menolaknya, itu bukan salah mereka. Memang keterlaluan jika Akta Khidmat Negara 2003 digunakan untuk menganiaya mereka yang menjadi mangsa persekitaran dan salah persepsi yang timbul akibat kekurangan PLKN sendiri, akibat dasar yang perlaksanaan yang pincang.