Isu azan dicetuskan oleh laporan polis yang dibuat oleh ahli jawatankuasa Umno bahagian Shah Alam, Mohd Azhar Othman berhubung artikel Sdr Yang Pei Keng bertajuk " Local authorities ought to be sensitive to individual rights " (versi PDF) (Pihak berkuasa tempatan perlu sensitif terhadap hak individu) dalam edisi Infoline Mei/Jun 2004, penerbitan Majlis Peguam Malaysia.

Perenggan yang didakwa menghina Islam itu berbunyi :"Benar, anjing mungkin bising pada ketika tertentu tetapi itu isu berlainan.

"Dalam kes pemaju membina masjid di kawasan kediaman bukan Islam, sementara seseorang mengiktiraf hak sesuatu komuniti melaksanakan kewajipan agama dengan menggunakan pembesar suara, kepada sesetengah orang pula, ia adalah pencemaran bunyi dilakukan hingga mengganggu penduduk sesuatu kawasan kediaman."

Dari dua perenggan tersebut, kita dapat merumuskan tiga fakta, iaitu:

Anjing mungkin bising pada ketika tertentu;

  • Pengiktirafan hak sesuatu komuniti untuk melaksanakan kewajipan agama dengan menggunakan pembesar suara (pendirian ini diulangi dalam perenggan keempat yang berbunyi: Ini tidak pernah menjadi isu setakat ini, semata-mata kerana masyarakat bukan Islam mengakui hak kebebasan beagama masyarakat Islam); dan

  • Sesetengah pihak menganggap (laungan azan melalui pembesar suara) adalah "pencemaran bunyi" (bising).
  • Untuk berlaku adil kepada penulis artikel, ketiga-tiga fakta tersebut ada kebenarannya, dan dari fakta-fakta tersebut saja, sukar disimpulkan bahawa penulis atau Majlis Peguam Malaysia berniat jahat untuk menghina Islam melalui tulisan atau siaran artikel tersebut.

    Salahfaham

    Justeru, Haji Kuthubul Zaman Bukhari, Presiden Majlis Peguam Malaysia dalam kenyataan akhbar beliau pada tanggal 6 Ogos 2004, telah menegaskan bahawa mesej yang dibawa oleh artikel terbabit adalah sikap kesederhanaan dan timbang rasa, namun malang sekali pendirian ini telah disalahfaham dan mesejnya disalahmengertikan.

    Awang Selamat dalam Bisik-bisik Mingguan ( Mingguan Malaysia , 8 Ogos,2004) dengan tepat memberikan latarbelakang artikel tersebut: "Ia sebenarnya mempersoalkan peraturan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang mengeluarkan garispanduan supaya sesiapa yang mahu memelihara anjing hendaklah terlebih dahulu mendapatkan persetujuan jirannya sebelum memohon lesen untuk haiwan itu"

    Kepada Awang Selamat, yang menjadi masalah ialah "persamaan yang digunakannya". Menyamakan bunyi bising dari salakan anjing dengan "bunyi bising"dari masjid tentulah tidak kena."

    Kemarahan orang Islam mudah difahami, jika sesiapa dengan sengaja menyamakan azan dengan salakan anjing untuk menghina Islam. Namun, jika dibaca dengan lebih teliti tanpa prasangka, akan didapati yang disamakan bukan bunyi salakan anjing dengan laungan azan, tetapi perlunya sikap toleran terhadap bunyi salakan anjing dan laungan azan dua kes yang berlainan.

    Banyak pengkritik artikel Sdr Yang bersetuju dengan pendirian beliau bahawa sikap toleran terhadap salakan anjing adalah perlu. Perlu diingatkan juga isu salakan anjing bukan ditimbulkan oleh Sdr Yang, tetapi berpunca dari garispanduan MPSJ yang membelakangi sikap toleran yang diamalkan selama ini, Sdr Yang hanya mengaku anjing mungkin bising pada ketika tertentu, dalam hubungan inilah salakan anjing ditimbulkan.

    Sudah pasti semua pihak (termasuk Sdr Yang dan Majlis Peguam Malaysia) telah bersetuju bahawa toleransi (bukan-Islam) terhadap azan sudah tidak menjadi masalah lagi dalam negara kita, dan artikel Sdr Yang bukan saja tidak mempertikaikan toleransi ini, malah menjadikannya sebagai contoh untuk mengingatkan MPSJ tentang perlunya sikap toleran dalam pengeluaran lesen anjing.

    Aktiviti agama

    Tidak dapat dinafikan dalam negara kita, masih wujud mereka yang tidak bersikap toleran, termasuk tidak toleran terhadap aktiviti agama. Kepada mereka, "bising"itu adalah "bising", tidak kira ianya berpunca daripada pergaduhan anjing dengan kucing, berpunca daripada muzik yang rancak dan berkumandang, atau berpunca daripada aktiviti agama seperti bunyi gendang, loceng atau laungan azan.

    Berbalik kepada artikel Sdr Yang, justeru "sesetengah pihak" yang menganggap laungan azan sebagai "pencemaran bunyi" (bising) yang mengganggukan, adalah mereka yang tidak bersikap toleran seperti yang tersebut di atas.

    Dalam masyarakat majmuk yang menjamin hak kebebasan beragama dan mempertahankan hak individu, jika mereka hanya berpendapat seperti tersebut di atas tanpa membuat apa-apa, bolehkah masyarakat Islam bersimpati dengan perasaan mereka dan mengambil sikap lebih toleran? Atau mereka mesti dianggap sebagai menghina Islam dan patut diajar dan hukum?

    Saya cukup lega membaca komen Anak Perelih dalam Tranung Kite bahawa apa yang perlu kita lakukan kepada mereka yang berpendapat azan, terutama azan subuh adalah sesuatu yang mengganggu mereka, ialah memberi penerangan tentang Islam, terutama mengenai makna azan supaya mereka faham dan tidak lagi menganggap ianya adalah sesuatu yang mengganggu.

    Saya tidak tahu sama ada Anak Perelih itu seorang Islam atau bukan, namun saya pasti jika masyarakat Islam negara kita bersikap toleran seperti beliau, agama Islam tentu lebih dihormati dan lebih dialu-alukan.

    Sebagai agama rasmi negara dan di bawah dominan politik kaum Melayu, antara pelbagai agama, kedudukan Islam adalah yang terkukuh dan terunggul sekali. Yang dikhuatiri sepatutnya bukan Islam dihina (siapa berani?), atau azan tidak akan berkumandang lagi di udara Malaysia pada suatu hari nanti, tetapi kemungkinan hak rakyat bukan-Islam yang akan terhakis akibat pelaksanaan program Islamisasi.

    Tidak bersalah

    Jika anggapan sesetengah orang bahawa azan itu bising dan mengganggu, ada ruang untuk difaham dan disimpati, dan cara penyelesaiannya ialah melalui penerangan dan pendidikan, bukan melalui hukuman. Maka membuat laporan polis tentang siaran artikel Sdr Yang di Infoline jelas merupakan tindak balas melampau (overreaction).

    Dari analisis di atas, nyata sekali penulis artikel dan Majlis Peguam Malaysia tidak pernah menganggap laungan azan itu pencemaran bunyi, apatah lagi ia sengaja disamakan dengan salakan anjing seperti yang didakwa. Jika ada pihak yang perlu meminta maaf, maka tentulah bukan Sdr Yang dan Majlis Peguam Malaysia yang tidak bersalah.

    Sekarang nama baik Sdr Yang dan Majlis Peguam Malaysia telah terjejas dan mereka mungkin disalahfaham, malah dimusuhi masyarakat Islam yang sudah dikelirukan. Siapakah yang dapat memberi keadilan kepada mereka?

    Melalui isu azan kali ini, beberapa ajaran mungkin boleh dirumuskan:

    • Penulis dan editor hendaklah lebih berhati-hati dalam menangani isu-isu agama supaya ianya tidak dieksploitasikan oleh pihak-pihak tertentu.

  • Cara penjelasan, kritikan malah perdebatan/polemik secara rasional dan seimbang patut digunakan untuk menyelesaikan perselisihan pandangan individu (umpamanya perselisihan pandangan Sdr Yang dengan pandangan ahli jawatankuasa Umno bahagian Shah Alam, Mohd Azhar Othman), bukan dengan cara membuat laporan polis untuk meributkan riak dalam cawan kopi untuk melibatkan agama dan kaum.
  • Pemimpin negara, pemimpin parti dan badan bukan kerajaan, mesti berhati-hati tidak kerana sentimen agama dan kaum, dengan mudah saja terlibat dalam isu-isu palsu seperti isu azan ini. Kesal sekali, Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Presiden dan Setiausaha Agung PAS, malah pemimpin Parti Rakyat, dan beberapa pengulas, secara sedar atau tidak sedar, telah dikeliru dan diperalatkan untuk memberi tekanan kepada Sdr Yang dan Majlis Peguam Malaysia yang padahal tidak pernah menghina Islam;
  • Melalui isu azan, dalam kaca mata masyarakat bukan Islam, masyarakat Islam seolah-olah makin tidak rasional dan menakutkan, mereka mungkin akan lebih tersisih dan mengasingkan diri mereka daripada agama itu, supaya tidak membawa mala petaka kepada diri mereka. Dalam keadaan ini, semua teori mengenai pembentukan Bangsa Malaysia menjadi begitu pucat sekali.
  • Moga-moga tekanan yang tidak adil terhadap Sdr Yang dan Majlis Peguam Malaysia berhenti dengan segera, dan ajaran-ajaran tersebut mendapat perhatian semua pihak yang benar-benar menghargai perpaduan nasional dalam masyarakat majmuk kita ini.