Anwar menghadapi jurang kebolehpercayaan?
Hari Ahad lalu, ketika menghadiri Majlis Perlancaran Pusat Khidmat Rakyat kawasan Subang, Parti Sosialis Malaysia, saya sempat berjumpa dengan beberapa orang aktivis parti pembangkang dan petugas gerakan reformasi. Mereka begitu gembira dengan berita "Umno menutup pintu terhadap Anwar" untuk kembali ke pangkuan parti itu.
Suasana kegembiraan ini mendedahkan kekhuatiran mereka tentang desas-desus perjanjian sulit yang kononnya akan membawa Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali ke pangkuan Umno. Maklumlah dalam arena politik, memang "tiada kawan yang kekal dan juga tiada lawan yang kekal". Namun ianya mungkin lebih menonjol jika dikaitkan dengan riwayat politik Anwar.
Misalnya, siapa dapat mendugakan Anwar yang memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan begitu rapat sekali dengan PAS, boleh masuk Umno pada tahun 1982? Siapa pula dapat mendugakan selepas 16 tahun diasuh oleh Dr Mahathir Mohamad sebagai penggantinya, Anwar sebagai Timbalan Perdana Menteri tiba-tiba boleh disingkirkan dan dicampak ke dalam penjara?
Begitu juga siapa dapat mendugakan selepas enam tahun dipenjarakan, Anwar masih berpeluang dibebaskan dan menjadi tumpuan kawan dan lawan, sedangkan musuh ketatnya Dr Mahathir sudahpun bersara dan kian menjadi sejarah?
Oleh kerana khabar angin mengenai perjanjian sulit itu tersebar dengan begitu luas sekali, ianya seolah-olah telah menggugat sesetengah pemimpin Umno yang kedudukan mereka dalam Umno dan kerajaan, dianggap belum kukuh lagi.

Gandingan terbaik
Untuk mengelakkan Umno menjadi kucar-kacir, dilaporkan Perdana Menteri Abdullah terpaksa menegaskan pendirian Umno dan Barisan Nasional dalam Kabinet di samping menafikan kewujudan sebarang perjanjian sulit, bahawa:
Umno menutup pintu kepada Anwar untuk kembali ke pangkuan parti;
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak ada tempat dalam Umno dan kerajaan;
Beliau (Perdana Menteri Abdullah) dan Datuk Seri Najib Tun Razak adalah gandingan terbaik dalam satu pasukan yang mantap untuk terus melaksanakan matlamat jangka panjang, termasuk program yang memasuki fasa kedua ke arah merealisasikan Wawasan 2020; dan
Beliau menyokong penuh keputusan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu pemecatan Anwar .
Pada 14 September, Majlis Tertinggi Umno sebulat suara membuat keputusan menutup pintu terhadap Anwar untuk menyertai semula parti itu, dengan kata Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi: "Pintu untuk Anwar masuk Umno tertutup pada waktu ini."
Menurut Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi Jawatan usul Perhimpunan Agung Umno, perwakilan Umno dipercayai akan membawa usul menolak sebarang usaha membawa Anwar kembali ke pangkuan parti di perhimpunat itu yang akan bermula 23 September ini.
Kuasa politik
Rasanya ramai pemimpin Umno sekarang, terutamanya mereka yang berkedudukan tinggi dan perkepentingan, masih terus memusuhi Anwar. Ini tidak sukar difahami, kerana mereka tentu takut kedudukan dan kepentingan mereka akan tergugat oleh Anwar yang masih begitu berkarisma serta berpengaruh di dalam dan luar negara, sungguhpun dipenjarakan selama enam tahun dan diaibkan oleh Umno/kerajaan.
Kini, kembali ke pangkuan Umno sudah mustahil (sekurang-kurangnya "pada waktu ini") kerana pintu sudah ditutup oleh musuh politik Anwar dalam Umno. Andainya pintu Umno akan terbuka kepada Anwar pada suatu ketika nanti, ia juga sukar sekali akan membawa Anwar ke kedudukan politik yang memungkinkan beliau mencapai kemuncak kuasa politik.
Contoh bagaimana Tengku Razaleigh Hamzah dipinggirkan selepas kembali ke Umno patut menjadi iktibar. Desas-desus bahawa Anwar akan mengambil tempat Najib Razak, juga lebih mirip dongeng politik yang direka-rekakan oleh mereka yang demam politik syok sendiri.
Di kalangan Umno, tidak sukar difahami kenapa timbulnya khabar angin mengenai Anwar akan kembali ke pangkuan parti itu. Namun, jika ia menjadi isu atau kekhuatiran di kalangan parti pembangkang, malah di antara petugas-petugas gerakan reformasi, ia mungkin menandakan Anwar telah menghadapi jurang kebolehpercayaan (credibility gap) di kalangan penyokongnya.
Krisis kebolehpercayaan telah dikemukakan secara terus-terang dalam kolum Kirdatun Borhan dalam Malaysiatoday yang bertajuk: Siapa Anwar sekarang? Rencana itu ditamatkan dengan pertanyaan yang cukup tajam sekali: " Mungkinkah Anwar sudah berubah? Atau mungkinkah dia masih seorang politikus yang dahagakan kuasa demi kuasa? Masa akan menentukan. Yang pasti, kita bakal tahu sama ada reformasi suatu pembaharuan yang benar-benar islah tulen atau cuma pembohongan seorang politikus licik yang bergeliga otaknya ."
Kepintaran berpolitik Anwar sudah diakui umum. Namun ia seharusnya berbeza dengan politikus licik yang tidak berprinsip. Dalam hubungan ini, hujah-hujah beliau selepas dibebaskan tentang politik jalanan, pembangkang bertanggungjawab, dan penyatupaduan rakyat demi kepentingan kestabilan politik, pertumbuhan ekonomi dan kemajuan semua rakyat Malaysia, mungkin memerlukan definasi yang lebih konkrit dan dihubungkaitkan dengan kenyataan politik gerakan reformasi dan perjuangan pembangkang sekarang.
Gerakan reformasi
Maklumlah perjuangan jalanan gerakan reformasi yang pada pokoknya aman dan damai dulu itu, sering diputarbelitkan sebagai keganasan puak pelampau yang mengancam keselamatan negara, dan ramai pemimpin gerakan reformasi telah ditahan di bawah ISA justeru berasaskan tuduhan tersebut.
Padahal perhimpunan dan demonstrasi secara damai selama ini telah dipertahankan sebagai hak demokrasi yang asas dan hak perlembagaan rakyat Malaysia yang tidak patut dirampas atau dinafikan oleh mana-mana pihak.
Di samping itu, parti-parti pembangkang sering pula dituduh sebagai tidak bertanggungjawab, dan kestabilan politik dan pembangunan, justeru menjadi dua senjata yang paling ampuh milik Barisan Nasional sehingga kini. Anwar tentu mengetahui kesemua latarbelakang ini, dan dipercayai masih bertapak di pihak gerakan reformasi dan barisan pembangkang .
Tidak dapat dinafikan bahawa konsisten sebagai seorang reformis yang berprinsip, dan berlagak sebagai seorang politikus yang dapat diterima oleh semua pihak termasuk Umno, rasanya sukar hendak dikompromikan.
Dalam saat kritikal ini, rasanya tiga perkara berikut, yang dikemukakan oleh Parti Sosialis Malaysia, patut diambil perhatian:
1. Pada prinsipnya, hendaklah dibina sebuah parti pelbagai kaum, bukan sebuah parti Melayu seperti Semangat 46 untuk bersaing dengan Umno;
2. Hendaklah dibina suatu gerakan untuk menggemblingkan tenaga seluruh rakyat, bukan dibina sokongan untuk pribadi; dan
3. Hendaklah dipertahankan negara kita daripada tenaga-tenaga global yang beragenda untuk menjajah negara lain melalui penguasaan ekonomi.
Rasanya, Anwar perlu mengeluarkan suatu kenyataan mengenai pendiriannya yang lebih komprehensif, telus dan bersinambungan dengan gerakan reformasi yang dimulakan beliau untuk menangani jurang kebolehpercayaannya seperti yang tersebut di atas.
Moga-moga sekembalinya dari luar negara nanti, dan selepas Anwar mengadakan rundingan bulat meja bersama parti-parti pembangkang, gerakan reformasi, dan badan bukan kerajaan terbabit seperti dijanjikan, suatu deklarasi politik yang bersejarah yang menggariskan prinsip, halatuju, dasar, strategi dan rancangan jangka panjang serta jangka pendek untuk reformasi politik negara kita, dapat diisytiharkan, dan peranan Anwar dalam reformasi politik negara kita juga dapat ditetapkan melalui muafakat demokrasi.