Sering kali ruangan ini membicara soal politik, soal yang berat-berat. Tetapi kali ini mari kita "beringan-ringan" . Ucapkan Selamat ulang tahun ke-31 kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur!

Nampaknya ibukota kita semakin dewasa, semakin indah dan canggih sesuai dengan peredaran masa. Namun di dalam meniti kedewasaan itu, bandaraya ini juga semakin kalut, hiruk pikuk dan tercemar.

Bagi mereka yang lahir 40 tahun lalu dan menetap di ibukota, tentunya mampu membayangkan KL yang damai dan redup. Jalan Chow Kit yang riuh rendah pada pagi hingga ke malam, Jalan Tuanku Abdul Rahman yang menjadi pusat perdagangan utama dan Central Market yang hanyir dan comot dengan bau ikan dan sayur-sayuran.

Menyusuri Jalan Ampang hingga ke Jalan Tun Razak, amat mendamaikan, sejuk mata melalui di bawah rimbunan sena dan angsana yang rendang. Sungai Gombak yang bertaut dengan Sungai Klang berhampiran Masjid Jamek mengalir lesu, masih jernih.

Ketika itu KL belum menjadi hutan batu. Jalan-jalan utamanya tidak "jam" seperti sekarang. Pengangkutan utama pada waktu itu ialah bas Sri Jaya. Budi bahasa penduduknya juga masih santun. Manusia KL masih tenang, santai dan selamat. Kini semua itu sudah menjadi sejarah. Bertukar menjadi kerinduan.

KL sekarang semakin gawat, sesak dan kasar. Penduduknya juga semakin individualistik, sibuk mengejar masa dan wang, semakin susut sikap toleransi hingga ada ketikanya kurang ajar. Itulah budaya yang sedang meresapi anak-anak kota sekarang. Rasa hormat pada orang tua semakin nipis. Mereka juga semakin malu pada adat resam bangsa dan negara sendiri.

Rezeki melimpah

Dengan ditutupi oleh ketinggian menara Petronas, menara KL, bangunan Dayabumi, menara Tabung Haji dan kehijauan Dataran Merdeka, bandaraya kita semakin lemas. Itulah KL pada alaf baru ini, semakin matang, terkenal, gah dan canggih serta mewah dilimpahi rezeki dari dalam dan luar negara, namun semakin hilang budi bahasa dan jati diri.

Apa yang ada di ibunegara sekarang sebenar tidak terjangkau oleh generasi dahulu. Yap Ah Loy pastinya tidak pernah terbayang kawasan lembah yang diterokainya akan menjadi gah seperti yang ada sekarang.

Dari sebuah kawasan lombong bijih timah, ia telah bertukar menjadi salah sebuah bandaraya tercantik di dunia. Segala yang tertinggi, terbesar, tercantik, terpanjang ada di sini. Anak-anak perantau sering berkata; "Segala-galanya ada di KL kecuali mak bapak"

Namun, di dalam kedewasaan itu, KL tidak dapat lari dari pelbagai ragam dan masalah. Semuanya gara-gara penduduknya yang semakin hilang budi pekertinya. Dalam mengejar kemodenan dan kemewahan, kita sering tenggelam dalam nafsu dan kegilaan yang melampau.

Gejala-gejala dan sifat buruk itu kadangkalanya menjadikan bandaraya kita kurang selamat. Cara hidup warganya yang semakin mementingkan diri sendiri dan kurang ajar, menjadikan jalanraya di ibukota gelanggang maut. Kalau tidak cedera dalam kemalangan, anda mungkin dihentak kepala dengan besi oleh pembuli jalanraya selepas berlaku pergeseran kereta.

Atau anda mungkin terbabas kerana dihimpit oleh Mat Rempit yang berlumba pada 2 pagi di Jalan Kuching. Anda juga akan dikejutkan oleh SMS dari ibu, kakak atau adik perempuan anda yang mengadu beg tangan diragut di Bangsar.

Sarang aedes

Tidak cukup dengan itu, mungkin ketika minum petang di rumah anda di Cheras, anda tiba-tiba mendengar berita banjir kilat berlaku di Jalan Masjid India. Dalam bencana itu mungkin puluhan kereta sedang tenggelam di bawah tempat letak kereta Dataran Merdeka.

Keseronokan kita membeli belah mungkin juga terencat apabila tiba-tiba roda Monorail yang ditumpangi meletup atau tercabut. Atau mungkin perjalanan anda ke pejabat terlewat dua jam kerana terkandas dalam Putra/LRT gara-gara terputusnya bekalan eletrik.

Keasyikan anda menonton kepetahan Wan Kammaruddin membaca berita di NTV7 mungkin disentak oleh berita kematian seorang kanak-kanak akibat demam denggi di Ampang. Rupa-rupa bandaraya kita juga menjadi sarang aedes!

Malah, para pemandu di Kuala Lumpur bukan sahaja akan dihimpit oleh kesesakan lalulintas" malah perlu berbelanja lebih untuk membayar tol yang kini memagari bandaraya ini. Jatuh bangun plaza tol di Kula Lumpur ibarat patah tumbuh hilang berganti.

Tamatnya kutipan tol di Jalan Kuching, Jalan Pahang dan Jalan Cheras segera diganti dengan plaza tol Pencala-Kerinchi Link, plaza tol Cheras-Kajang, lebuhraya Besraya, Kesas dan LDP. Terbaru kita dikhabarkan akan muncul plaza tol dalam terowong SMART di Jalan Tun Razak.

Itulah Kuala Lumpur selepas bergelar bandaraya taman, "bandaraya bunyi dan cahaya" kini bertukar menjadi bandaraya tol!

Kita tidak boleh merungut, bayar sahaja berapa yang dikenakan kerana tiada yang percuma di dalam kehidupan moden ini. Sedangkan membuang air di tandas rumah sendiri anda dikenakan bayaran RM8 sebulan, inikan pula apabila meletak kereta di KLCC atau melalui lebuhraya bertingkat yang bersimpang siur di sekitar ibunegara.

Kesedaran beragama

Kemajuan dan pemodenan ada harganya. Kita tidak boleh lari dari hakikat itu. Warga KL perlu menerimanya sebagai satu cara hidup. Kalau takut dilambung tsunami jangan berumah di tepi pantai, kalau lokek berbelanja jangan datang ke KL!

Namun, bukanlah segala-gala negatif di Kuala Lumpur. Bagaikan longgokan gula yang mengundang semut, ibunegara kita menjadi lubuk rezeki untuk rakyat Malaysia. Malah warga asing, termasuk pendatang tanpa izin menikmati kekayaan dan sikap pemurah ibukota dan warganya.

Tidak semua warga kota sudah hilang sopan santun dan keluhuran budi. Semangat kejiranan masih dipelihara di kebanyakan kawasan perumahan. Masih ada anak muda yang sudi memberi tempat duduknya kepada wanita tua atau kakak yang hamil di dalam LRT. Masih ada warga kota yang sudi mendermakan sebelah buah pinggang atau matanya untuk insan lain.

Di celah-celah pemodenan itu, kesedaraan beragama semakin subur. Sedekah jariah dan amalan korban terus dipertahankan dan paling ketara, sekolah-sekolah agama sama ada milik kerajaan atau swasta dipenuhi oleh para pelajar.

Kita masih beruntung kerana masih dapat tidur lena. Keruntuhan moral dan kegiatan jenayah di ibunegara masih terkwal. Dalam kita mengeluh dan mengenang nostalgia 40 tahun lalu, kita perlu tabik pada kebijaksanaan dan ketegasan pihak berkuasa meletakkan bandaraya kita dalam keadaan selamat dan terurus.

Itulah Kuala Lumpur, semakin dewasa, semakin kuat pancarobanya. Kuala Lumpur kita punya, sama-samalah kita membersihkannya dan melindunginya. Harga diri dan imej Kuala Lumpur ada pada anda!