Apa salah saya? Itulah pertanyaan Tun Dr Mahathir Mohamad kepada para pengkritiknya yang masih terus memburuk-burukkan namanya. Ya!, apa salah wira dunia ketiga itu sehingga beliau tidak dapat bersara dengan tenang? Besar sangatkah dosanya kepada rakyat, negara Malaysia dan dunia, hingga selepas lebih setahun berehat, tidurnya masih diganggu?

Hanya para pengkritik atau mereka yang tidak senang dengan Dr Mahathir sahaja dapat memberikan jawapan yang paling tepat. Kita tahu kalau ditanya soalan itu kepada para penyokong fanatik Datuk Seri Anwar Ibrahim, mereka dengan pantas akan menjawab kerana Dr Mahathir memecat dan mengaibkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Kalau ditanya pada ahli-ahli PAS, mereka dengan tegas akan berkata kerana Perdana Menteri Malaysia yang keempat itu anti-Islam. Jika ditanya pada para pemimpin Barat, khususnya Amerika serta spekulator matawang George Soros, mereka bencikan Dr Mahathir kerana pemimpin kita itu berani bersuara menegur kepincangan budaya, sistem, pemikiran dan tindakan mereka.

Begitulah adanya, masing-masing dengan jawapan tersendiri mengikut kepentingan dan selera sendiri. Kalaupun majoriti rakyat Malaysia sependapat dan menyokong Dr Mahathir, gambaran umum yang cuba diberikan oleh media massa, terutama penerbitan asing, ialah Dr Mahathir tidak popular dan tidak disenangi oleh rakyatnya sendiri.

Dr Mahathir baru-baru ini, seperti hampir hilang sabar menangani kerenah para pengkritiknya. Terbaru, dalam isu perlantikan pengurusan Proton. Beliau sedih kerana dituduh "mengacau" lembaga pengarah syarikat kereta nasional itu.

Dr Mahathir dikatakan memeningkan kepala sesetengah pihak, termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi apabila bertegas mahukan "orangnya" Tengku Mahaleel Tengku Ariff dikekalkan sebagai Ketua Eksekutif Proton.

Mempertahankan diri

Penasihat proton itu dikatakan berselisih pendapat dengan lembaga pengarah Proton hingga Pengerusinya, Datuk Hassan Kendut meletakkan jawatan. Ini bukan kali pertama desas-desus itu disebarkan. Tahun lalu, spekulasi yang sama ditiup. Namun dulu Dr Mahathir hanya membisu, tetapi kali ini beliau mahu mempertahankan dirinya.

Beliau mengaku mahukan Tengku Mahaleel dikekalkan kerana baginya, Ketua Eksekutif Proton itu tiada cacat celanya. Menurut Dr Mahathir, walaupun peribadi Tengku Mahaleel agak kasar, namun prestasi kerjanya cemerlang. Jadi, tidak salah Tengku Mahaleel dikekalkan. Selaku Penasihat Proton, Dr Mahathir juga menegaskan beliau berhak untuk memberi nasihat.

Benar, selaku penasihat, beliau berhak memberi nasihat. Memang itupun kerja seorang penasihat. Kalau beliau tidak memberi pendapat dan buah fikirannya, itu bermakna beliau tidak buat kerja. Kalau begitu keadaannya, beliau tidak layak mernjadi penasihat. Dr Mahathir bukan jenis makan elaun buta. Beliau cuba melaksanakan peranan dan tanggungjawabnya.

Cuma kali ini berlaku perbezaan pendapat. Beliau mempunyai pandangannya sendiri dan lembaga pengarah ada alasan lain. Namun, Dr Mahathir perlu sedar bahawa tidak semestinya nasihat-nasihat yang diberikan, perlu diikuti. Lembaga pengarah juga mempunyai hak untuk menimbang, menerima atau menolaknya.

Mungkin, yang menjadi persoalan sekarang ialah nasihat yang diberikan oleh Dr Mahathir itu adalah "nasihat berbentuk arahan". Satu nasihat yang tidak boleh ditolak!

Ramai yang cemburu

Atau mungkin, selain memberi nasihat, berlaku lobi melobi di peringkat lain bagi memastikan "nasihat" itu diterimapakai. Mungkin inilah yang menimbulkan rasa tidak puas hati hingga keluar berita-berita negatif mengenainya di media-media asing.

Isu proton ini hanya salah satu daripada beberapa perkara yang masih dikaitkan dengan Dr Mahathir. Dalam beberapa isu lain seperti projek-projek mega dan kedudukan kewangan serta dasar fiskal kerajaan sekarang, nama beliau masih disebeut-sebut. Ada yang positif dan tidak kurang yang negatif.

Semua itu sedikit sebanyak melukakan hati arkitek perindustrian Malaysia itu. Sepatutnya, di hujung usianya ini, beliau dibiarkan berehat dengan aman dan tenang bersama cucu-cucu dan kuda-kudanya. Mengapa perlu terus diganggu gugat ketenteraman Dr Mahathir? Mungkinkah masih ramai yang marah dan cemburu dengan kemampuan dan kejayaan beliau?

Mungkin, kalau beliau melepaskan semua jawatan dalam Petronas, Proton, yayasan-yayasan yang dinaungi serta berhenti berceramah mengenai kepincangan Barat di serata dunia, barulah dia akan dibiarkan bersara dengan aman. Nampaknya, selagi beliau membuka mulut menghentam Amerika, PBB, George Soros dan sikap dwi-standard Barat, kritikan terhadapnya tidak akan surut.

Dr Mahathir akan tetap dikritik dan dimusuhi. Beliau akan sentiasa menjadi sasaran media Barat setiap kali membuka mulutnya. Beliau akan terus diheret dalam kontroversi walaupun telah lebih setahun meninggalkan kerajaan dan parti. Kerana apa? Kerana beliau adalah Dr Mahathir.

Begitulah, Dr Mahathir tetap Dr Mahathir. Selagi mampu berdiri, beliau tetap akan mempertahankan pendiriannya yang dirasakannya benar. Kita sepatutnya berbangga dengan beliau walaupun kadangkala kritikan pedasnya mengenai batang hidung sendiri!