Pada 10 Julai 2005 malam, saya telah diundang oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) untuk memberi ucapan ringkas selaku bekas tahanan ISA (1967-1974) dalam roadshow ceramah dan pementasan Teater Rakyat, di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar.

Roadshow tersebut mengakhiri siri kali ini yang meliputi hampir setiap negeri di Semenanjung Malaysia suatu kejayaan yang bukan mudah dicapai memandangkan suasana politik yang agak lembab sekarang.

Siri roadshow ini diiringi dengan pementasan Teater Rakyat. Gabungan seni dalam kempen anti-kezaliman ISA memang patut digalakkan kerana seni bukan sahaja berperanan dalam memuja segala yang indah dan baik, tetapi ia juga patut dijadikan senjata ampuh untuk mendedah dan memerangi segala yang hodoh dan zalim. Selain daripada memuaskan pancarindera dan memurnikan jiwa, seni juga bisa berfungsi untuk meningkatkan kesedaran dan semangat perjuangan rakyat

Justeru itu, dua komedi yang bertajuk "Tok Sloo" dan "Bilik Sulit" karya dan arahan bekas tahanan ISA, Saudara Hishamuddin Rais telah dipentaskan untuk membongkarkan kepincangan pentadbiran kerajaan dan ketidakadilan di sebalik penahanan rakyat Malaysia di bawah ISA.

Sejak penubuhannya pada 2001, GMI, dengan sokongan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan parti-parti yang lain, telah secara berterusan menuntut dan memperjuangkan:

  1. Pemansuhan ISA;
  2. Semua tahanan ISA dibebaskan atau dibicarakan di mahkamah terbuka; dan
  3. Pihak yang bertanggungjawab dalam kes-kes penyeksaan tahanan ISA hendaklah disiasat dan didakwa.

Pantau tahanan ISA

Penubuhan GMI dan usahanya yang gigih dan berterusan, dengan kerjasama Suhakam, Suaram dan NGO serta parti-parti yang lain, memantau agar tahanan ISA yang baru ditahan, diketahui lokasi penahanannya, hak mereka dilawati keluarga, tidak dinafikan bantuan guaman, mereka tidak diseksa, khususnya dalam tempoh 60 hari pertama mereka ditahan untuk siasatan, dan juga selepas mereka dipindah ke Kem Tahanan Kamunting.

GMI juga senantiasa menjaga keselamatan tahanan ISA agar apa yang berlaku di Abu Ghraib tidak berlaku di Kem Kamunting atau tempat tahanan yang lain.

Umpamanya, pada April 2002 apabila reformasi-6, dan pada Mac 2004 (16 tahanan ISA), melancarkan mogok lapar menuntut dibebaskan atau didakwa di mahkamah, GMI segera memantau dengan rapi agar kesihatan dan nyawa tahanan tidak terancam. Pihak berkuasa kem didesak memberi rawatan segera apabila perlu, untuk mengelakkan sesuatu berlaku terhadap tahanan terbabit yang terpaksa memperjuangkan kebebasan mereka melalui mogok lapar.

Pada Disember 2004 pula, kononnya tahanan ISA di Kem Kamunting telah "merusuh" dan beberapa senjata dirampas oleh pihak berkuasa kem. Namun, selepas disiasat oleh GMI, didapati apa yang dinamakan senjata itu sebenarnya alat-alat membuat kraftangan seperti gunting dan pisau kecil.

Lebih penting lagi, bukan tahanan ISA yang merusuh, sebaliknya lebih 100 anggota UKP (Unit Keselamatan Penjara) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) telah masuk ke kem dan mengambil tindakan terhadap tahanan apabila mereka menentang beramai-ramai sehingga ada yang dicederakan dan berdarah.

Layan buruk

GMI juga amat mengambil berat tentang layanan dan kebajikan tahanan ISA. Menurut laporan Edmund Bon, Nik Mohamed Ikhwan dan Joachin Maria selepas mereka melawat tahanan ISA pada 14 Jun 2005, terdedah beberapa masalah dan layanan buruk ke atas tahanan ISA di Kem Kamunting, antaranya:

  • Para tahanan diasingkan dan ditahan dalam blok-blok yang berlainan untuk memecah-belahkan mereka, supaya "tahanan baik" menjauhkan diri daripada "tahanan tidak baik", agar mereka dapat dibebaskan lebih awal
  • Masa lawat keluarga tidak mencukupi dan mereka diasingkan dengan jaring besi
  • Surat ditapis, disuruh tulis semula, difotokopi sebelum ianya dihantar keluar kem, dan surat amat lambat sampai ke tangan penerimanya
  • Digari bila dihantar untuk berjumpa pembantu perubatan, dilayan sebagai pesalah jenayah dan bukan sebagai tahanan yang belum dibicarakan
  • Hukuman sering dijatuhkan tanpa penyiasatan dan perbicaraan terlebih dahulu. Keadaan "bilik hukuman" dan catuan makanannya terlalu buruk, dan tempoh hukuman juga melebihi apa yang ditetapkan oleh peraturan terbabit
  • Tahanan yang merupakan pemimpin JI yang berpangkat tinggi, seperti Iqbal dan Wan Min telah dibebaskan. Yang masih ditahan menganggap diri mereka dijadikan kambing-hitam oleh keperluan politik antarabangsa, khasnya AS untuk memerangi keganasan.

Terdapat dua perkembangan terbaru yang amat memerangsangkan kempen memansuhkan ISA. Pertama, Suhakam sudah mencadangkan kepada kerajaan supaya ISA dimansuh dan diganti dengan undang-undang lain yang lebih bertepatan dengan tujuan memerangi keganasan.

Kedua, Parlimen Malaysia telah menubuhkan Kaukus Parlimen mengenai Hak Asasi Manusia. Baru-baru ini, kaukus tersebut melawat Kem Tahanan Kamunting dengan diketuai Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz, bersama Ketua Pembangkang, Lim Kit Siang, Chong Eng, M Kulasegaran, Dr Rahman Ismail dan Datuk Raja Ahmad Zainudin Raja Omar.

Yang patut dialu-alukan dan diambil tindakan segera ialah cadangan Nazri supaya dibebaskan tahanan ISA yang ditahan lebih daripada dua tahun. Sudah tibalah masanya ISA dimansuhkan seperti saranan Suhakam!