Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Idea untuk menjadi perdana menteri Malaysia tidak pernah terlintas di fikiran saya, walaupun Perlembagaan Malaysia membenarkan mana-mana rakyat Malaysia menjadi perdana menteri."

Demikian ditegaskan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dalam kenyataannya pada 9 April lalu, seperti dilapor Roketkini.

Untuk saya berita ini amat-amat mustahak - satu kenyataan untuk kita bersama-sama memahami psikik Melayu.

Tulisan-tulisan yang lalu saya telah menerangkan sejarah kemunculan dan sebab musabab yang melahirkan psikik Melayu yang kita semua hadapi hari ini. Saya telah memberi penjelasan, teromba dan salasilah asal usul psikik Melayu. Juga persejarahan psikik Melayu dari zaman kolonial hingga keluarnya Singapura dari ibunda Tanah Melayu.

Saya juga telah menerangkan dari mana asal usul konsep slogan Malaysian Malaysia. Saya juga telah menunjukkan cita-cita dan niat Lee Kuan Yew dari People Action Party (PAP) yang mahu menobatkan dirinya sebagai perdana menteri Malaysia. Ini kerana ketika Singapura bersama Malaysia, Bani Cina menurut kiraan Lee Kuan Yew telah menjadi majoriti. Dalam sistem demokrasi berparlimen, sesiapa yang memiliki majoriti akan berkuasa.

Lalu timbul persoalan - Kenapa Melayu tidak mahu Lee Kuan Yew menjadi perdana menteri pada tahun 1964?

Soalan yang sama juga boleh kita tanyakan kepada Lim Kit Siang kerana dalam kenyataannya, Lim Kit Siang minggu lalu masih jelas menyatakan tentang haknya atau untuk sesiapa saja menjadi perdana menteri mengikut perlembagaan.

Kenapa Bani Melayu akan menolak Lim Kit Siang menjadi perdana menteri? Mungkin ini bukan soalan yang tepat. Soalan yang tepat kenapa dan mengapa timbulkan persoalan Lim Kit Siang mahu menjadi perdana menteri?

Jawapan untuk kedua-dua soalan ini tercakup dalam persoalan nasional yang sedang saya huraikan.

Bani Melayu ketika ini amat jelas kurang yakin dan tidak percaya dengan Bani Cina dan Bani India. Bani Melayu melihat bahawa kedatangan pendatang asing ini ke Tanah Melayu bukan atas jemputan mereka tetapi kolonial Inggeris.

Inggeris pula mahu memunggah harta kekayaan Tanah Melayu.

Bani Cina dan Bani India menjadi warga Tanah Melayu bukan atas sikap ahlan wa sahlan Bani Melayu. Bani Melayu tidak menyambut pendatang asing ini dengan kompang dan bunga manggar tetapi ia diusahakan oleh kolonial Inggeris.

Jika hari ini Bani Melayu ditanya apakah mereka bersedia menerima Bani Cina dan India sebagai warganegara, saya cukup yakin jawapannya, “Pergi mampuslah orang putih”.

Meminta-minta hak keistimewaan

Bayangkan betapa kayanya Bani Melayu dengan bijih timah, minyak, emas dan kayu kayan tanpa perlu berkongsi dengan Bani Cina atau Bani India. Bayangkan betapa lumayan kehidupan Bani Melayu. Walhal hari ini Bani Melayu meminta-minta hak keistimewaan yang dirukunkan.

Hakikatnya Bani Melayu menjadi Red Indian di bumi tumpah darahnya. Bani Melayu menjadi Orang Abo di Australia. Bani Melayu menjadi Maori di New Zealand apabila tanah air mereka dijarah oleh Pakeha.

Inilah lagu dan naratif yang disebarkan oleh Biro Tata Negara (BTN) kepada anak-anak mahasiswa Melayu sebelum mereka melangkah masuk ke kampus. Inilah tema lagu Anak Kecil Main Api yang menjadi 'lagu rasmi' BTN. Lagu dan tema naratif ini juga diguna pakai dalam kursus-kursus kakitangan awam. Tema ini tersebar luas, meresap dan menunggu masa muncul kembali.

Roh dan psikik Melayu ini memiliki asas sejarah yang ilmiah. Tulisan saya ini kali ini cuba memperlihatkan bagaimana psikik Melayu ini telah digunakan sepenuhnya oleh United Malays National Organisation.

Pada hemat saya kekuasaan yang dimiliki oleh United Malays National Organisation ini seratus peratus adalah hasil dari menunggang dan mengeksploitasi psikik Melayu.

Untuk mereka yang mengingati sejarah. Untuk mereka yang tidak melupakan sejarah, pasti akan teringat bagaimana Lee Kuan Yew, PAP dan Singapura telah dijadikan yang lain dalam membentuk kesetiaan Bani Melayu terhadap United Malays National Organisation pada tahun 60-an.

Pada piliha raya 1964, Lee Kuan Yew yang lucah dan kasar telah membawa masuk PAP ke Tanah Melayu. Untuk anak muda segala bangsa, saya ingin memberitahu bahawa kawasan Bangsar – kini Lembah Pantai – adalah kubu kuat yang dimenangi oleh PAP pada tahun 1964.

Ini bukan putar alam sejarah Hishamuddin Rais. Ini adalah fakta sejarah Tanah Melayu.

Parti United Malays National Organisation secara senyap-senyap dengan bijak telah mempersatukan Bani Melayu untuk menyokong Tunku dengan menggunakan psikik Melayu.

Roh dan semangat Melayu ini telah ditunggang oleh United Malays National Organisation dalam usaha mencari sokongan. Psikik Melayu telah dipergunakan dengan maksimum untuk memastikan United Malays National Organisation terus berkuasa.

Psikik Melayu - roh dan perasaan Bani Melayu, perasaan cinta tanah tumpah darah Bani Melayu telah dieksploitasi. Bani Melayu melihat tanah air mereka terjual kepada Bani Cina. Perasaan ini telah dieksploitasi oleh United Malays National Organisation untuk menegakkan kuasa parti ini. Justeru parti ini dari awal lagi telah meniupkan slogan “Hidup Melayu”. Dan parti ini mendabik diri sebagai Parti Ketuanan Melayu.

Gentar di tanah air sendiri

Psikik Melayu - perasaan cintakan tanah tumpah darah itu telah dikalihkan oleh United Malays National Organsiation sahinggakan Bani Melayu menjadi takut dan gentar dalam tanah airnya sendiri. Bani Melayu ditakut-takutkan.

Dalam suasana ketakutan ini Bani Melayu mencari payung untuk berlindung. Maka muncul peranan United Malays National Organsiation. Parti Ketuanan Melayu seperti Superman muncul sebagai penyelamat Bani Melayu.

Hari ini Bani Melayu masih tebal perasaan takut bahawa Bani Cina dari DAP akan memerintah Malaysia. Psikik Melayu yang melihat Tanah Melayu dipecah-pecah kini beralih menjadi takutkan DAP. Perasaan ini menular dan kini menjadi sebahagian daripada psikik Melayu.

Inilah suasana politik kita Malaysia hari ini. Seratus tahun dari hari ini, pengkaji sejarah akan melihat bahawa psikik Melayu inilah yang menjadi penggaris dan juru kemudi politik PRU14. Selain penipuan-penipuan dalam PRU14, psikik Melayu ini akan membawa kemenangan mutlak untuk Najib dan Rosmah.

Wajib juga saya memberi penjelasan bahawa sejarah, tingkah laku dan tidak tanduk politik DAP juga memberi keyakinan kepada Bani Melayu untuk mempercayai hujah-hujah karut United Malays National Organisation. Justeru inilah latar belakang kenapa kita tetiba terbaca berita bahawa Lim Kit Siang ingin menjadi perdana menteri.

Tohmahan, propaganda, fitnah dan berita palsu ini diyakini kerana ia berasaskan apa yang telah dilakukan oleh PAP dan Lee Kuan Yew ketika Singapura dalam Malaysia.

Bani Melayu sedar, sejarah parti PAS adalah pecahan dari United Malays National Organisation. Sejarah parti AMANAH adalah pecahan daripada PAS. Parti DAP juga adalah peninggalan dari parti PAP Singapura.

Justeru hingga ke hari ini kita masih melihat dan membaca DAP masih menggunakan slogan yang dibenci dan menyakitkan hati Bani Melayu – Malaysian Malaysia. Ini adalah slogan yang bertelur, mengeram dan menetas dalam tapak tangan PAP dan Lee Kuan Yew.

Hakikatnya adalah mustahil untuk Lim Kit Siang menjadi perdana menteri. Suasana politik dan kesedaran politik Bani Melayu hari ini telah memustahilkan Bani Cina menjawat kerusi PM - walau dari parti mana sekali pun.

Mustahil yang saya katakan ini samalah seperti mustahilnya orang Pakistan atau orang India atau pendatang asing yang telah bermastautin puluhan tahun di Bandar Seri Begawan untuk menjadi warga negara Brunei. Atau mustahil untuk Orang Melayu menjadi warga negara Kuwait walau pun telah duduk di Kuwait berpuluh tahun.

Kesedaran politik Bani Melayu dan zaman ‘dipaksa oleh kolonial Inggeris' telah berlalu.

Tetapi psikik Bani Melayu cintakan tanah tumpah darahnya masih terus dieksploitasi ke tahap maksimum yang menggila babi oleh United Malays National Organisation. Lihat bagaimana baru-baru ini ada berita tentang bagaimana Pulau Pinang mahu dijadikan Wilayah Persekutuan sama seperti Kuala Lumpur dan Labuan. Apa sebenarnya latar belakang berita ini?

Kafir harbi’

Jika diselidik, jika diberi perhatian rapi maka kita akan mendapati psikik Melayu sebagai sebab musabab yang menimbulkan berita Pulau Pinang akan menjadi Wilayah Persekutuan.

Berita ini masih lagi berlatarkan persoalan nasional yang saya timbulkan. Parti Ketuanan Melayu yang hilang kuasa di Pulau Pinang menggunakan psikik Melayu untuk memperlihatkan pengulangan sejarah. Yang tersirat ialah United Malays National Organisation telah memberi ingatan bagaimana Singapura telah disonglap oleh Lee Kuan Yew dan PAP. Kini Pulau Pinang sedang disonglap oleh Lim Guan Eng dan DAP.

Ketika pilihan raya 1964 dan 1969, Lee Kuan Yew dan PAP telah menjadi musuh utama untuk menyatupadukan Bani Melayu. Pemuda United Malays National Organisation dalam tahun 1969 telah memulakan kempen gelap menjadikan Lee Kuan Yew sebagai ‘kafir harbi’ yang wajib dilawan. Kumpulan Pemuda Tahan Lasak telah diberi kursus khas tentang PAP dan Lee Kuan Yew. Ini juga bukan fitnah dan tohmah dari Hishamuddin Rais. Ini fakta sejarah.

Pada tahun 2017 ini, untuk menghadapi PU14, saya amat yakin yang dijadikan ‘kafir harbi’ pastilah Lim Kit Siang dan DAP.

Lalu persoalan timbul, bagaimana pula dengan MCA – Malaysian Chinese Association? Apa peranan Bani Cina ini? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS