Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Bani apa pun dalam dunia ini yang tidak tahu dari mana asal usul mereka akan terus memiliki jiwa hamba. Bani yang berjiwa hamba terus merasa merasa rendah diri, merasa terkepung, manai intelek dan bebal fikrah. Contoh terbaik yang boleh saya nyatakan ialah Bani Melayu.

Dalam kebebalan dan berjiwa hamba ini, sesekali dilihat dan terbaca keangkuhan dan bodoh sombong Bani Melayu yang berpotensi menjadi lawak benua.

Siapa yang tidak mengingati hari semalam akan lupa hari ini. Dan pasti tidak sedar hari esok. Ini syarat sosial dan hukum tamadun kewujudan negara bangsa.

Apabila dinyatakan bahawa tamadun Lembah Bujang, Langkasuka dan Ganga Negara sebagai permulaan tamadun Bani Melayu, ramai yang buta fikrah tidak mahu menerima hakikat. Apabila dikatakan bahawa Parameswara itu seorang putera Hindu maka ada Bani Melayu yang mahu pitam.

Biar saya terangkan, memang betul agama Parameswara itu Hindu tetapi Parameswara ini Bani Melayu dari Palembang, bumi asal usul Wan Empok dan Wan Malini. Betul di Lembah Bujang yang wujud ialah candi Hindu tapi warga di Lembah Bujang ialah Bani Melayu.

Betul agama Hindu ini berasal dari Bharat atau India. Tapi ini tidak bermakna warga di Lembah Bujang yang ke sawah atau ke bukit mencari damar dan rotan bukan Bani Melayu. Yang menyembah Dewata Mulia Raya itu bukan Bani India dari benua Bharat. Sang Dewata Mulia Raya ialah tuhan Bani Melayu ketika Batu Bersurat Terengganu diukir.

Hindu ini hanyalah kepercayaan. Hindu ialah agama seperti agama Kristian, Buddha atau Islam.

Bani Melayu pun banyak pegangan agama. Di Bali ada Bani Melayu Hindu. Di Filipina ada Bani Melayu Kristian. Di pedalaman Semenanjung Tanah Melayu, Bani Melayu dari suku Senoi, Jakun, Temiar, semua tidak beragama. Untuk Bani Melayu yang tidak beragama ini tidak ada konsep syurga, neraka atau bidadari. Ertinya Hindu atau Kristian atau tak beragama ini bukan bani. Melayu tetap Melayu kalau pun dia beragama Hindu, Kristian, Islam atau tidak memiliki agama.

Jiwa hamba Bani Melayu yang paling jelas ialah menumpang bangga atas kejayaan orang lain. Menumpang bangga kerana kejayaan orang lain ini adalah psikik jiwa hamba. Media Bani Melayu sering heboh dengan kejayaan pemikir dan ahli falsafah di era Baitul Hikmah di Baghdad.

Selalu kita terbaca tentang Al-Farabi, Ibu Sinna, Biruni, Khwarazmi - yang dipapar agar Bani Melayu dapat menumpang glamor. Ini pun salah berglamor kerana ini sosok-sosok ini bukan jenis Arab Saudi. Mereka ini adalah Bani Parsi. Intelektual dan pemikir di zaman Baitul Hikmah kebanyakan bukan Arab dari Saudi tetapi Bani Parsi.

Malah Abu Nawas yang menjadi sebutan-sebutan Bani Melayu itu bukan sahaja berasal dari Parsi, malah seorang homoseksual yang puisinya dirayakan di Baghdad oleh Khalifah Harun al-Rashid hingga ke hari ini.

Ini fakta bukan labun Hishamuddin Rais. Kalau kurang yakin sila tanya Lebai Google. Semua asal usul sosok-sosok ini akan dinyatakan dengan jelas.

Saya bukan ingin menafikan kejayaan sosok-sosok pemikir zaman Baitul Hikmah atau pemikir zaman mana pun atau tidak merayakan fikrah mereka. Fikrah berasal usul dari bani mana pun amat penting untuk tamadun dunia. Yang saya cuba paparkan ialah kita tak perlu menumpang kejayaan Bani Parsi sahaja, kita sendiri wajib mengeluarkan pakar, pemikir, intelektual dan ilmuwan untuk dirayakan oleh warga dunia. Menumpang bangga sahaja adalah tanda jiwa hamba dan intelek manai.

Pedoman moral

Bani Melayu wajib memiliki jati diri yang kukuh. Tidak memiliki jati dari yang kukuh hasilnya ialah Orang Melayu yang kita semua lihat pada hari ini.

Bani Melayu hari ini telah hilang pedoman moral. Betul Bani Melayu zaman ini telah meningglkan Sang Dewata Mulia Raya dan menyembah Allah. Mereka telah dijanjikan syurga, neraka dan bidadari - ini janji sambungan dari zaman Hindu mereka. Tapi Bani Melayu yang menyembah Allah ini telah juga meninggalkan garis asas pedoman agamanya - amal makruf nahi mungkar.

Justeru kerana jati diri Bani Melayu ini simpang siur, kacau bilau dan tunggang langgang, maka Bani China dan Bani India melihat bahawa Bani Melayu ini tidak memiliki kualiti dan tahap kepimpinan.

Bani China dan Bani India dan yang lain di Tanah Melayu ini melihat Bani Melayu ini senang dirasuah. Bani Melayu ini cakapnya tidak boleh dipakai - 'kluk klak' – dolak dalik. Bani Melayu sesudah sembahyang tangannya sentiasa menampung berdoa kepada Allah tapi tangan yang sama cukup ligat menerima rasuah.

Kerana tanpa jati diri yang kuat, maka Bani Melayu ini sedang dilihat sebagai bani yang amat senang dibeli. Kalau tidak dengan duit, dibeli dengan amoi. Kalau gagal dibeli dengan amoi mereka boleh dibeli dengan kuasa dan kedudukan. Hati Bani Melayu akan cair apabila melihat Mini Cooper atau AudiQ7.

Inilah tahap jati diri Bani Melayu hari ini.

Justeru kerana ini kita melihat bagaimana Malaysia hari ini dalam keadaan kacau bilau. Bani Melayu dari sejarahnya Lembah Bujang, dari sejarah arkeologi Orang Perak adalah Orang Asal di bumi ini. Tetapi telah gagal memainkan peranan mereka untuk melahirkan sebuah negara bangsa dalam masyarakat majmuk.

Saya cukup yakin semua ini berlaku kerana Bani Melayu tidak memiliki jati diri yang kukuh. Bani Melayu tidak dapat mengajukan budaya penakrif untuk Malaysia kita.

Apa dia budaya penakrif ini?

Budaya penakrif ialah budaya induk dalam mana-mana tamadun. Kalau kita ke Jerman, budaya penakrif ialah budaya Jerman. Kalau kita ke United Kingdom, budaya penakrif ialah budaya Anglo-Saxon. Di Jepun budaya penakrif ialah budaya Jepun. Kalau kita ke Tanah Besar China budaya penakrif ialah budaya Han.

Tetapi di Tanah Melayu ini Bani Melayu telah gagal untuk memunculkan satu budaya penakrif untuk diikuti dan dihayati oleh Bani China dan Bani India yang datang ke Tanah Melayu yang dibawa oleh Inggeris.

Tanpa jati yang kukuh dan kompak Bani China dan Bani India memperlekehkan segala bentuk percubaan Bani Melayu untuk memunculkan budaya penakrif ini. Contoh terbaik terjadi pada tahun 2008 apabila kerajaan Selangor bertukar ganti. Ini berkaitan dengan pemakaian songkok - simbol Bani Melayu.

Peristiwa songkok di DUN

Ada suara-suara dari pemimpin parti DAP telah tidak bersetuju memakai songkok untuk anggota Dewan Undangan Negeri. Lihat bagaimana angkuhnya Bani China ini. Kenapa Bani China ini berani angkuh? Ini kerana Bani Melayu sendiri tidak memiliki jati diri yang kukuh.

Saya berani berkata demikian kerana Bani China ini tidak pula menentang memakai pantalon dan kemeja dalam hidup harian mereka. Mereka sedia terbuka hati menggunakan pakaian Bani Eropah. Tetapi dengan lucah mereka berani menolak songkok. Ini kerana mereka tahu Bani Melayu ini sebising mana pun akan senyap jika duit bertukar tangan. Ini hakikat.

Bani Melayu sebagai Orang Asal Tanah Melayu telah gagal untuk melahirkan satu tamadun bangsa. Simpang siur budaya, kacau bilau bahasa hanyalah manifestasi dari kegagalan Bani Melayu ke hadapan menjadi teraju pimpinan untuk melahirkan budaya penakrif di Malaysia.

Lihat sahaja dalam hal bahasa. Kalau di Perancis ada Akademi Perancis yang menjaga bahasa Perancis. Mustahil imigran dari Algeria yang telah duduk bertahun-tahun di Perancis tidak mengetahui bahasa Perancis. Mustahil ini adalah jawapan budaya penakrif Perancis.

Akademi ini mengawal dan menjaga kesucian bahasa penakrif Perancis. Tidak akan terselit bahasa Arab dalam drama TV Perancis walau ada hampir 10 juta warga keturunan Arab di Perancis.

Begitu juga di United Kingdom. Budaya penakrif ialah budaya Anglo-Saxon. Cerita-cerita rakyat, dongeng dan mitos budaya semuanya berasaskan Anglo-Saxon. Sesiapa yang datang ke UK untuk ‘cari makan’, wajib mengikuti dan taat kepada budaya penakrif ini. Bahasa Inggeris adalah bahasa penakrif walaupun wujud Bahasa Wales, Scottish dan Irish.

Justeru tidak pernah termasuk sepatah pun bahasa Melayu dalam drama TV BBC, Chanel4 atau ITV. Mustahil BBC sebagai induk penjaga bahasa dan budaya penakrif akan membenarkan sepatah dua kata penggunaan bahasa Melayu dalam laporan berita mereka. Mustahil sampai kiamat pun ini tidak akan terjadi.

Di Siam, budaya penakrif diatur oleh lembaga budaya Siam. Perkataan baru atau objek baru yang wujud dalam dunia akan diberi nama Siam. Telefon misalnya ialah “tali bersuara”. Manakala TV ialah “kaca bergambar”. Ini peranan budaya penakrif.

Malah kita baca nama-nama warga Siam yang berasal dari Bani Khamer, Bani Laos, Bani Burma atau Bani Melayu, disiamkan nama mereka. Perkara yang sama dilakukan di Indoesia. Justeru kita bertemu dengan Basuki Chahaya Purnama aka Tjung Bang Hok aka Ahok.

Kewujudan budaya penakrif ini penting untuk mendirikan tamadun negara bangsa.

Semua ini tidak terjadi di Tanah Melayu. Ini kerana jati diri Bani Melayu tidak kukuh dan simpang siur. Kenapa simpang siur? Jawabnya kita wajib kembali kepada sebab musabab yang paling asas. Ekonomi menentukan segala-gala. Budaya penakrif juga ditentukan oleh ekonomi.

Ekonomi Bani Melayu lembik dan tidak kukuh maka manifestasinya ialah jati diri yang lembik dan kacau bilau. Akhirnya kita kembali ke persoalan nasional. Ke mana kita dari hari ini? Tunggu minggu hadapan.


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS