Pada 1 Ogos 2005, saya berpeluang memberi testimoni kepada Suhakam tentang penyeksaan yang saya alami 28 tahun dahulu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bersama lapan orang lagi bekas tahanan ISA dari tahun 1960-an sehingga awal tahun 2000.

Saya berasa amat kesal kerana selepas 45 tahun bermaharajarela, ISA masih belum dimansuhkan. Namun, saya juga berasa sedikit optimistik kerana wujudnya saluran di mana kes-kes (ratusan sekurang-kurangnya) penyeksaan tahanan di bawah ISA yang lama dan baru, dapat diadu secara rasmi kepada Suhakam yang berjanji akan menyiasatnya.

Berikut ialah testimoni saya kepada Suhakam:

Ketika ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 1967, saya adalah Setiausaha Organisasi Kesatuan Pekerja-pekerja Ladang Malaya Bersatu (UMEWU) yang secara aktif terlibat dalam memimpin mogok pekerja Ladang Bukit Asahan di Melaka dan Ladang Triang di Pahang.

Mogok pekerja Ladang Bukit Asahan tercetus pada 25 Februari 1967, dan kembali bekerja semula pada 11 Mei setelah mencapai penyelesaian selepas berjuang selama 75 hari. Manakala mogok pekerja Ladang Triang tercetus pada 22 Mac 1967. Mogok itu gagal setelah (pekerja) ditindas secara kekerasan pada 12 Jun. Ia disusuli dengan pemecatan kesemua pekerja yang mogok pada hujung bulan Jun, dan mereka akhirnya diusir keluar dari Ladang Triang pada awal bulan Ogos 1967.

Mogok terbabit diadakan semata-mata untuk mempertahankan hak pekerja berkesatuan, menentang pemecatan pekerja secara sewenang-wenangnya, dan menuntut layanan dan kebajikan pekerja yang sewajarnya.

Oleh kerana Kerajaan Perikatan ketika itu mengamalkan dasar pekerja pro-pemodal asing dan majikan, dan bermusuhan dengan kesatuan pekerja yang progresif, maka majikan-kerajaan telah bersekongkol untuk menumpaskan perjuangan kaum pekerja.

Bukan saja kekerasan samseng, pasukan FRU dan Polis Pencegah Rusuhan sering digunakan untuk mematahkan mogok. Pendaftaran UMEWU telah digantung dan seramai 21 pemimpin dan petugas kesatuan itu, ditahan di bawah ISA, untuk tempoh antara beberapa tahun sehingga 15 tahun.

Seksaan mental dan fizikal

Maksud penahanan jelas sekali ialah supaya kami turnover dan mengkhianati perjuangan pekerja dan menyokong dasar kerajaan yang pro-pemodal asing dan majikan. Sepanjang tujuh tahun dalam tahanan, terutama 60 hari pertama, saya mengalami pelbagai seksaan mental dan fizikal, termasuk:

  1. Saya tidak dibenarkan berjumpa dengan peguam dan ahli keluarga pada peringkat penyiasatan.
  2. Saya dituduh sebagai anggota kongsi gelap dan dimaki hamun, dilucutkan semua pakaian, diugut oleh beberapa orang SB yang berbadan besar dan berwajah bengis.
  3. Saya ditawarkan jawatan dalam SB dengan jaminan masa depan yang cerah kerana kononnya saya lebih hebat daripada Lim Chin Siong dan Fong Swee Suan dua tokoh gerakan pekerja dan politik kiri di Singapura.
  4. Saya dipujuk untuk "balik tongsan" secara sukarela. Hujah mereka, saya lebih sesuai dengan keadaan di China yang telah melaksanakan sistem sosialisme. Kerajaan akan membiayai segala perbelanjaan perjalanan saya ke sana, termasuk ahli keluarga yang sudi pergi bersama saya.
  5. ' Brainwash ' oleh pakar-pakar psikologi yang terdiri daripada "veteran revolusi" supaya saya patah semangat dan mengkhianati perjuangan pekerja.
  6. Saya diberi pilihan, sama ada bekerjasama dengan SB dan dibebaskan atau "reput dalam penjara".
  7. Saya dibelasah bersama beberapa tahanan lain oleh beberapa warden yang diketuai oleh seorang warden dengan nama jolokan "Pantat Besar", dianggap "teroris" dalam Kem Batu Gajah pada sekitar tahun 1967 kerana kami menyanyi dalam bilik tahanan. Saya mogok lapar untuk membantah insiden tersebut dan meminta pihak kem meminta maaf, menghukum pesalah, dan menjamin hak tahanan untuk menyanyi, tidak akan diganggu masa yang akan datang. Akibat mogok lapar simpati yang dilakukan oleh seluruh tahanannya di situ, pihak kem akhirnya tunduk dan memenuhi tuntutan kami tetapi 'Si Pantat Besar' itu tidak dihukum seperti yang dijanjikan.
  8. Saya hampir cacat kerana punci kencing saya cedera parah sewaktu serbuan Pasukan Pencegah Rusuhan ke Kem Batu Gajah pada 29 Disember 1973. Kejadian jam 12.29 itu, telah mencetuskan mogok lapar tahanan ISA yang paling lama 47 hari untuk membantah insiden bunuh diri seorang tahanan ISA yang bernama Wong Swee Sang dan serbuan Polis Pencegah Rusuhan yang mencederakan puluhan tahanan ISA.

Trauma keganasan

Berbanding dengan tahanan ISA lain yang diseksa sehingga sakit jiwa atau terus menjadi tidak waras, cuba membunuh diri atau sudah pun membunuh diri, maka seksaan mental dan fizikal yang saya alami itu adalah minimal, yang berlaku terhadap hampir setiap tahanan ISA.

Boleh dikatakan terlalu ramai mangsa dan insiden penyeksaan tahanan berlaku di negara kita. Tentu ramai sudah meninggal. Ramai yang belum pulih dari trauma keganasan dan 'terror putih' yang mereka lalui. Ramai yang cuba hendak melupakan pengalaman dahsyat itu. Mungkin ramai juga enggan tampil ke depan untuk membuat testimoni kerana takut dibalas. Dan tentu pula ramai yang tidak percaya siasatan yang berkesan akan dilakukan dan keadilan akan ditegakkan.

Bagaimanapun, saya harap Suhakam akan berusaha dan mengambil tindakan yang telus dan berkesan agar lebih ramai mangsa seksaan ISA akan tampil ke depan. Moga-moga, pada suatu hari nanti, pesalah dan penjenayah terbabit dapat didedah, dikenalpasti dan dibawa ke mahkamah untuk diadili. Dan yang penting sekali, ISA hendaklah dimansuhkan segera, dan semua tahanan ISA dibebaskan atau didakwa dalam mahkamah terbuka.