Bahagian Pertama: Sedutan daripada kertas kerja bertajuk Sistem 'Vernakular' dan Gerakan kiri di Malaysia, oleh kolumnis dan K Arumugam

Suatu agenda gerakan kiri yang asas tetapi belum diselesaikan ialah mengenai bahasa. Selain menjadi alat komunikasi, bahasa telah dikembangkan menjadi ikon-ikon identiti dan kebudayaan. Kertas kerja ini cuba mencari suatu penyelesaian dari segi mempertahankan bahasa-bahasa "vernakular".

Menurut Kamus Dewan, vernakular ditakrifkan sebagai: ...yang berkaitan dengan atau yang menggunakan bahasa atau dialek yang dipertuturkan oleh sesuatu golongan atau kaum dalam masyarakat.

Oxford Fajar Advanced Learner's English-Malay Dictionary pula menakrif vernakular sebagai: bahasa atau dialek yang dituturkan di negara atau kawasan tertentu, berbanding dengan bahasa yang formal atau bahasa bertulis.

Jelas sekali, vernakular dirujuk kepada bahasa (terutamanya pertuturan) yang tidak formal yang digunakan oleh sesuatu golongan atau kaum dalam masyarakat. Dalam zaman penjajahan British umpamanya, bahasa/sekolah/pendidikan vernakular dirujukkan kepada bahasa/sekolah/pendidikan Melayu, Cina dan Tamil dan kaum minoriti lain, berbanding bahasa/sekolah/pendidikan Inggeris yang dipandang sebagai formal dan rasmi.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, dan bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, maka hanya bahasa/sekolah/pendidikan Cina, Tamil dan kaum minoriti lain, yang masih dianggap sebagai vernakular, berbanding bahasa/sekolah/pendidikan Melayu yang rasmi.

Tidak dapat dinafikan di negara kita rasmi atau vernakular membayangkan kedudukan atau hubungan 'mendominasi-didominasi' dari segi kuasa politik atau hubungan memerintah-diperintah.

Pada zaman penjajahan, berasaskan prinsip anti-kolonialisme, penentangan dasar dominasi dan diskriminasi bahasa/sekolah/pendidikan Inggeris terhadap bahasa/sekolah/pendidikan vernakular, tidak menjadi masalah bagi gerakan kiri pelbagai kaum.

Demikian juga halnya dalam penentangan dasar dominasi bahasa/sekolah/pendidikan Jepun, dan dasar penghapusan bahasa/sekolah/pendidikan vernakular pelbagai kaum dalam jangka masa pendudukan tentera Jepun.

Manifesto sembilan perkara

Dalanm Manifesto Sembilan Perkara Anti-Jepun yang dikemukakan oleh Parti Komunis Malaya (PKM) pada 1943 , perkara (6) menegaskan: Pembangunan kebudayaan kebangsaan melalui pelaksanaan pendidikan percuma dalam bahasa pelbagai kaum . (ms. 77, alias Chin Peng, my side of history, versi bahasa Cina).

Pada 25 Ogos 1945, dalam Program Lapan Perkara yang diisytiharkan oleh PKM juga, perkara (6) tetap menegaskan: Pendidikan lama dihapuskan dan digantikan dengan pendidikan demokratik, serta pembangunan kebudayaan kebangsaan melalui pelbagai bahasa. (ms. 105, alias Chin Peng, my side of history, versi bahasa Cina)

Sayang sekali tradisi kiri tentang kesamarataan kedudukan bahasa dan kebudayaan semua kaum, sepertimana yang ditegaskan dalam Manifesto Sembilan Perkara Anti-Jepun 1943 dan Program Lapan Perkara 1945, telah dikompromikan atas desakan nasionalisme Melayu yang diwakili PUTERA (Pusat Tenaga Rakyat) dalam proses penggubalan Sepuluh Prinsip Perlembagaan Rakyat Malaya pada 1947 oleh AMCJA-PUTERA.

Selepas mencapai kemerdekaan dan dominasi bahasa Inggeris beransur diambilalih oleh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, maka bahasa/sekolah/pendidikan Cina, Tamil dan kaum minoriti yang lain pun, sering didiskriminasikan di bawah kerajaan Perikatan/Barisan Nasional yang mengamalkan politik perkauman.

Adakalanya gerakan kiri sendiri juga tidak sepakat mengenai isu yang dianggap kontroversi dan sensitif ini. Mungkin sekarang masanya bagi gerakan itu mengambil pendirian dan penyelesaian lebih tegas dan memuaskan. melalui perbincangan demokratik dengan pihak-pihak terbabit.

Sepuluh Prinsip Perlembagaan Rakyat dan nasionalisme Melayu

Cadangan Perlembagaan Rakyat Malaya yang yang didraf oleh PUTERA-AMCJA (Majlis Tindakan Bersama Se-Malaya) yang mewakili kira-kira 400,000 ahli parti politik, kesatuan pekerja, persatuan wanita dan organisasi pemuda semua kaum dan kelas, pada 22 Disember 1946 adalah berasaskan kepada enam prinsip berikut:

1. Singapura disatukan dengan Malaya.

2. Sebuah kerajaan pusat dan majlis-majlis negeri yang dipilih.

3. Raja-Raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar, bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat.

4. Satu perlembagaan baru bagi Malaya menyediakan keistimewaan tertentu bagi kemajuan orang Melayu dari segi politik dan ekonomi.

5. Adat istiadat Melayu dan agama Islam dikawal sepenuhnya oleh orang Melayu melalui majlis khas.

6. Kerakyatan yang serata bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu sebagai tempat tinggal tetap dan sanggup mencurahkan kesetiaannya tanpa berbelah bagi.

Di pihak yang lain, PUTERA atau Pusat Tenaga Rakyat yang mewakili kira-kira 150,000 ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkat Pemuda Insaf (API) , Kesatuan Tani, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dan 80 lagi pertubuhan lebih kecil lain, ditubuhkan pada 22 Februari 1947, berasaskan kepada 10 prinsip enam prinsip di atas dan ditambah empat prinsip berikut:

7. Bahasa Melayu haruslah menjadi bahasa rasmi bagi Malaya..

8. Pertahanan dan hal-ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawab bersama kerajaan Malaya dan kerajaan British.

9. Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu.

10. Merah dan putih haruslah dimasukkan sebagai latar belakang bendera kebangsaan Malaya.

Tidak dapat dinafikan bahawa empat prinsip yang dikemukakan oleh PUTERA lebih bersifat Nasionalisme Melayu. Namun, ia diterima AMCJA secara bertolak-ansur, dan disokong oleh PKM yang berpengaruh.

Dasar pendidikan British/Perikatan/BN

Kewujudan sistem vernakular sering dianggap sebagai dasar "pecah dan perintah" British yang memang berniat jahat untuk berbuat demikian. Namun, patut diketahui juga Barnes Report 1951 yang disediakan pihak British, menyarankan penghapusan sekolah Tamil dan sekolah Cina: " kaum Cina dan India diminta supaya secara beransur-ansur menyerahkan sekolah vernakular mereka, dan menghantar anak-anak mereka ke sekolah di mana bahasa Melayu adalah satu-satunya bahasa timur untuk diajar".

Laporan ini ditentang kaum Cina dan India. Tambahan pula Fenn-Wu Report 1951 telah mengambil pendirian mempertahankan sistem vernakular dengan menyatakan: "pemaksaan yang dihadkan kepada satu atau dua bahasa terhadap rakyat Malaya, tidak akan memberi suasana yang sihat terhadap pemahaman komuniti dan kesatuan nasional." Bagaimanapun, Barnes Report 1951 tidak dapat dilaksanakan.

Penyata Razak 1956 yang disediakan menjelang kemerdekaan negara kita, telah memperkenalkan 'the ultimate objective' (matlamat muktamad) dasar pendidikan negara kita untuk meletakkan semua pelajar di bawah satu sistem persekolahan, dengan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar utama.

Mujurnya "matlamat muktamad" yang mengancam kewujudan sekolah Cina dan sekolah Tamil itu digugurkan sementara dalam Ordinan Pelajaran 1957, selepas penentangan agak hebat, terutamanya, dari masyarakat Cina di bawah pimpinan Dong Jiao Zong (ringkasan bagi Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia dan Gabungan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia). Ordinan Pelajaran 1957 tanpa "matlamat muktamad" itu, disambut baik oleh rakyat pelbagai kaum.

Namun, dalam masa yang singkat saja, Laporan Rahman Talib 1960, berpatah balik kepada "matlamat muktamad" untuk meghapuskan sekolah bahasa ibunda di peringkat menengah dengan alasan "perpaduan nasional".

Dasar sistem mono-bahasa dan mono-budaya kerajaan Perikatan amat menonjol dalam Akta Pelajaran 1961, kerana kuasa diberi kepada Menteri Pelajaran untuk mengambil tindakan agar sekolah menengah bahasa ibunda, ditukarkan kepada sekolah menengah kebangsaan, dan SJKC dan SJKM, ditukarkan menjadi sekolah kebangsaan pada bila-bila masa yang dianggap sesuai.

"Matlamat muktamad" dasar mono-bahasa negara kita dilaksanakan menurut Akta Pelajaran 1996 dengan pengecualian kepada sekolah yang ditubuh sebelum 1996 atau mana-mana sekolah yang mendapat pengecualian daripada menteri pelajaran.

Di samping itu, Dasar Budaya Negara 1971 juga bersifat mono kerana berasaskan kepada tiga perkara berikut:

Budaya kebangsaan harus berlandaskan Budaya Orang Melayu.

Elemen sesuai dari bangsa lain, boleh dimasukkan dalam budaya kebangsaan.

Islam adalah komponen penting untuk membentuk budaya kebangsaan ini.

Prinsip kesamarataan kaum

Menurut prinsip kesamarataan kaum, dalam masyarakat majmuk seperti negara kita bahasa/sekolah/pendidikan semua kaum sepatutnya dianggap sama rata, tidak dibezakan sebagai yang rasmi dan yang tidak rasmi, yang formal dan yang vernakular semuanya berhak untuk wujud dan berkembang menurut kehendak pelajar, ibu-bapa dan kaum masing-masing.

Jika perpaduan nasional dijadikan dalih untuk menafikan hak kaum terbabit terhadap bahasa/sekolah/pendidikan "vernakular"nya, yang akan tercapai, mungkin bukan perpaduan, tetapi sebaliknya penyisihan dan perpecahan yang lebih lanjut.

Dalam masyarakat majmuk, ciri kepelbagaian sewajarnya dipelihara dan dihargai sebagai kekayaan dan kekuatan masyarakat. Sebarang tindakan menyeragamkan kepelbagaian semula jadi, terutamanya secara paksaan melalui kuasa perundangan atau pentadbiran tidak kira atas alasan apa sekalipun tetap merupakan penindasan kaum.

Pendek kata, prinsip kesamarataan kaum hendaklah dijadikan prinsip utama dalam menangani hubungan kaum dalam masyarakat majmuk, termasuk bahasa/sekolah/pendidikan "vernakular". Setiap kaum berhak memelihara dan mengembangkan bahasa dan sekolah/pendidikan bahasa ibundanya secara bebas.

Hak asasi manusia dan hak kaum

Di negara kita, kewujudan tiga kaum majoriti (dari segi bilangan penduduk secara relatifnya) Melayu, Cina dan India, serta puluhan kaum minoriti adalah hakikat sosial kita yang majmuk.

Kaum terbabit dicirikan dengan jati diri (keturunan, bahasa, agama, kebudayaan, aktiviti ekonomi dan sosial, ciri psikologi dsb ) yang berbeza juga sesuatu yang tidak dapat dinafikan.

Patut juga ditegaskan beberapa hak bahasa bagi sesuatu kaum atau komuniti bahasa yang telah diakui dunia. Umpamanya artikel-artikel 15 dan 25 Deklarasi Sejagat tentang Hak-hak Bahasa, Barcelona 1996 (Universal Declaration on Lingustic Rights, Barcelona 1996) yang berbunyi:

Artikel 15: 1.. Semua komuni bahasa berhak menggunakan bahasanya sebagai bahasa rasmi dalam wilayahnya.

Artikel 25: Semua komuniti bahasa berhak menggunakan sumber manusia dan bahan yang diperlukan untuk menjamin bahasa mereka digunakan pada peringkat yang mereka hasratkan dalam semua tahap pendidikan di wilayah mereka: guru-guru yang terlatih , kaedah-kaedah pengajaran yang sesuai, buku-buku teks, kewangan, bangunan dan peralatan, teknologi tradisional dan innovatif.

Keperluan mempertahankan hak-hak bahasa sesuatu kaum atau komuniti juga boleh dipandang dari segi kepelbagaian kebudayaan. Menurut Deklarasi Sejagat tentang Diversiti Kebudayaan, UNESCO, 2001 (Universal Declaration on Cultural Diversity, Unesco, 2001) yang menyeru supaya dihentikan homogenisasi (homogenisation) yang menyebabkan lenyapnya bahasa-bahasa, Artikel 1 Deklarasi itu menegaskan:

"Diversiti kebudayaan adalah perlu untuk umat manusia seperti perlunya diversiti-bio untuk alam semula jadi. Dalam pengertian ini, ianya adalah warisan bersama humaniti dan harus diakui dan ditegaskan demi kepentingan generasi kini dan generasi pada masa yang akan datang."

Lebih penting lagi, tidak membenarkan kewujudan sekolah bahasa ibunda boleh dianggap sebagai melakukan kesalahan "genosid bahasa "seperti yang ditakrifkan oleh Konvensyen Antarabangsa tentang Pencegahan dan Hukuman terhadap Jenayah Genosid Bangsa-bangsa Bersatu, 1948:

Artikel III (1): Bahasa sesuatu kumpulan dilarang digunakan dalam hubungan harian atau dalam sekolah-sekolah, atau mencetak dan mengedar penerbitan dalam bahasa kumpulan terbabit.

Analisis Tove Skutnabb-Kangas dalam kertas kerjanya yang bertajuk: "Dasar-dasar Bahasa dan Pendidikan: peranan pendidikan dalam memusnahkan atau menyokong diversiti bahasa dunia", boleh menjadi rujukan kita dalam menangani masalah bahasa dan sekolah ibunda.

Menurutnya, pendidikan dengan tujuan assimilasi, di mana kanak-kanak pribumi dan minoriti diajar melalui bahasa pengantar dominan, akan menyebabkan kerosakan mental. Selepas satu atau dua generasi, anak-anak mereka akan dialih secara paksaan ke kumpulan dominan, dari segi bahasa dan cara-cara yang lain.

Jika tiada guru minoriti di pra-sekolah atau sekolah, dan jika bahasa minoriti tidak digunakan sebagai bahasa pengantar utama dalam pendidikan, maka penggunaannya boleh dianggap sebagai dilarang secara tidak langsung dalam hubungan harian atau dalam sekolah yang terbabit dan ia juga berkaitan dengan masalah genosid bahasa.

BN telah memaksakan dasar pengajaran-pembelajaran matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris di semua sekolah rendah dan menengah kebangsaan. Kesalahan dasar ini amat berat mengikut analisis Skutnabb-Kangas selanjutnya:

"Untuk kepentingan mereka, kebanyakan kanak-kanak jelas sekali ingin mempelajari bahasa rasmi negaranya dan juga ingin mempelajari bahasa Inggeris jika ianya bukan salah satu bahasa rasmi negaranya. Namun, mempelajari bahasa baru, termasuk bahasa dominan, tidak harus dilakukan secara mengurang, tetapi hendaklah dilakukan secara menambah, iaitu tambahan kepada bahasa mereka sendiri. Pendidikan formal secara mengurang, iaitu mengajar kanak-kanak bahasa dominan dengan mengurangkan masa ajaran bahasa pertama mereka, adalah genosid."

Pendapat terkini Unesco yang terdapat dalam dokumen "Pendidikan dalam dunia pelbagai bahasa" menegaskan: "Pendidikan adalah alat serta cermin diversiti kebudayaan. Di samping itu, kajian menunjukkan pelajar belajar dengan berkesan sekali melalui bahasa ibundanya sebagai asas dan komplemen kepada pendekatan pendidikan dwibahasa."

Unesco menghasilkan tiga prinsip:

Prinsip I "Unesco menyokong pengajaran bahasa ibunda sebagai cara meningkatkan kualiti pendidikan melalui pembinaan pengetahuan dan pengalaman para pelajar dan guru."

Prinsip II "Unesco menyokong pendidikan dwibahasa dan/atau pelbagai bahasa dalam semua tahap pendidikan sebagai cara mempromosi kesamarataan sosial dan jantina dan sebagai elemen utama masyarakat berbagai jenis bahasa".

Prinsip III "Unesco menyokong bahasa sebagai unsur penting dalam pendidikan antara kebudayaan untuk menggalakkan pemahaman antara kumpulan penduduk yang berlainan dan menjamin penghormatan terhadap hak-hak asasi."