Paling Popular
Terkini

“Kalau saya dibuang kerja bagaimana Dr?” tanya Badrin bagai tidak ada arah lagi.

Aku tidak menjawab langsung. Dalam kepalaku ada perca ingatan yang membawaku melayang ke insiden pada 17 Disember 2010. Aku ingin memberitahu Badrin bahawa Tarek el-Tayeb Mohamed Bouazizi seorang peniaga jalanan di Tunisia telah membakar dirinya kerana kurang berpuas hati dengan sikap dan layanan Majlis Bandaran. Ia menjadi punca kepada Revolusi Tunisia, dan kemudian Arab Spring yang mana rakyat di beberapa negara Timur Tengah menyasarkan kemarahan kepada rejim atau pemerintah autokratik. Aku tidak akan mendorong Badrin membunuh diri tentunya. Ia bukan penyelesaian kepada masalah.

“Dr, kalau saya dibuang kerja bagaimana?” tanya Badrin lagi, kini dengan suara yang lebih perlahan dan lesu.

Badrin adalah seorang staf pentadbiran di sebuah jabatan kerajaan. Beliau diberi jawatan kerani. Tugasnya tidaklah banyak. Kebanyakannya menaip surat itu dan ini, dan menguruskan beberapa surat-menyurat lain. Badrin mempunyai iras dan perawakan pelakon. Meskipun hitam manis, kalau digilap nescaya terbit seorang lagi Remy Ishak. Jikalau aku seorang produser drama sudah tentu aku akan memberikan watak-watak kecil kepada Badrin, siapa tahu dia dapat melesat menjadi bintang?

Pokok masalahnya Badrin dikatakan mempunyai masalah disiplin. Sudah tujuh bulan berturut-turut Badrin datang lewat. Kadang-kala menjangkaui waktu pagi iaitu setelah masa rehat makan tengah hari. Pelbagai sesi kaunseling dan nasihat diberikan tetapi tidak lut. Akhirnya pihak atasan pentadbiran menyerahkan Badrin kepadaku.

“Saya terpaksa berniaga pada waktu malam Dr.”

Aku diam. Dalam ingatanku ada wajah seorang teman lain, peguam, yang terpaksa menjadi pemandu Grab pada malam hari. Juga seorang teman lain, pensyarah, yang mengaku berbisik-bisik kepadaku mengapa dia selalu kantuk dan kurang menghasilkan makalah penyelidikan lagi; “Aku sekarang memandu Uber di malam hari”.

Aku tidak tahu apa yang harus kulakukan kepada Badrin. Dia seorang anak muda yang belum menjangkau 30 tahun. Anaknya sudah tiga. Setahun satu. Isterinya pernah bekerja kilang tetapi diberhentikan kerana kilang tersebut dipindahkan ke Vietnam. Tinggal Badrin terkontang-kanting menyara keluarga. Dia mengaku dengan jujur bahawa komitmennya besar. Dia perlu membayar hutang rumah kepada bank, itu sudah hampir separuh gajinya. Kemudian dia juga menanggung hutang kereta, dan motosikal. Sara hidup isteri dan anak-anak juga sentiasa mendesak. Badrin penerima BR1M tetapi itu ternyata tidak menyelesaikan masalah pokok.

“Tak cukup Dr. Tak cukup… saya terpaksa berniaga malam.”

Sejak Badrin berniaga pada malam hari dia pulang ke rumah dalam pukul tiga pagi. Kalau setelah itu dia senang lelap tak mengapa. Sesuai dengan waktu yang sudah hampir fajar, matanya sukar terpejam. Dia berguling-gelantang di atas katil. Menjelang subuh dia lena dan meski dikejutkan isteri tidak terjaga. Badrin kepenatan. Tiap hari begitu. Silih berganti hari. Akibatnya dia hadir ke pejabat lambat.

Badrin makin stres

Masalah hadir ke pejabat lewat itu ternyata mengganggu tugas harian hakikinya. Prestasi kerjanya menurun. Staf yang lain marah-marah kerana terpaksa membeban tugasnya pula. Bos spontannya juga sering marah-marah. Akibat dari itu Badrin semakin stres. Keadaan Badrin tersebut tidak selesai begitu sahaja, bila sudah kerap ditegur dan tiada perubahan terdapat pula prosedur disiplin yang mengakibatkan gajinya dikerat lantaran Badrin sering cuti dan ponteng kerja.

Masalah Badrin itu merebak lebih lanjut.

“Kemudian hubungan saya dengan isteri pun rapuh. Kami tidak lagi bersenggama. Jumpa anak-anak pun payah. Bila saya terjaga lambat, saya rasa nak marah…bergaduh dengan bekas orang rumah.”

Aku menghela nafas.

Gaji bulan Badrin dipotong mengakibatkan dia benar-benar sesak. Dia sudah banyak berhutang keliling pinggang dan sudah tiada lagi siapa yang menyanggup untuk membantunya. Malah, orang lain juga berdepan dengan masalah kewangan dan kenaikan harga barang yang serupa. Kek ekonomi dan kewangan setiap individu dan keluarga mengecil dan potong kek untuk dinikmati semakin nipis.

Badrin melakukan satu kesilapan lain. Terdapat seekor harimau bintang di jabatan lain. Harimau itu jelita tetapi sudah berusia. Dia berjawatan besar dan sentiasa lapar. Masih belum berpunya tetapi persis harimau bintang, ia mengelapar dan liar. Memang Badrin kalau disuluh cahaya dan diberikan dukungan dia akan menyinar. Harimau bintang tahu titik kelemahan Badrin dan mulai acah-acah menyaranya. Mula-mula Badrin menolak dan malu-malu. Tetapi saat sesak, Badrin termakan umpan dan mahu. Badrin diam-diam dibela harimau bintang. Seisi pejabat mulai mengumpat. Ada kesan cakar dan gigit di leher Badrin akibat sang harimau bintang yang buas itu. Harimau bintang pula jenis tidak tahu segan dan malu, aksi-aksi panas, suam-suam dan sejuknya dirakam di telefon tangan dan dikongsi dengan mereka yang dirasakan wajar.

Bila ada yang melaporkan kepada isteri Badrin, rumah tangga Badrin karam. Dia lemas di daratan. Menjadi makin melarat. Harimau bintang mempunyai mangsa lain. Badrin dibiar terkapar terlentang. Masalahnya kini ditimpa bertimpa-timpaan. Badrin dikecam sebagai lelaki tidak guna, penghutang, jantan bodoh, tak ada agama dan macam-macam lagi. Badrin mengalami depresi yang tak dapat bebas.

Badrin di hadapanku, tetapi ingatanku ditujah-tujah oleh gagasan Syed Hussein Alatas seperti yang disampaikan oleh al-Marhum dalam bukunya Kita Dengan Islam – Tumbuh Tiada Berbuah (1979).

Alatas menyatakan setiap anggota masyarakat berhak untuk memiliki tempat, pakaian dan makanan berzat yang mencukupi. Selain keperluan asas, kehendak anggota masyarakat untuk kepuasan diri misalnya seperti dapat membeli dan memiliki buku, dapat menonton wayang dan sebagainya mestilah dapat dibantu agar dapat dicapai oleh mereka. Sekali fikir dan imbas, pandangan Alatas itu kelihatan enteng dan remeh. Tetapi apabila melihat keadaan Badrin yang tidak cukup serba-serbi, terganggu produktiviti, kacau peribadi dan moral, dan kini berganda-ganda masalah menyebabkan aku merasakan apa yang diutara Alatas itu benar.

Permintaan Alatas

Badrin ada menyatakan, pernah sekali dia meminjam along kerana anak-anaknya sekali tiga jatuh sakit. Antibiotik di klinik pakar kanak-kanak mahal sekali, dan tidak mampu dibeli dengan kad kredit lagi kerana sudah tepu hutangnya. Aku tergugah oleh permintaan Syed Hussein Alatas dalam buku yang sama bahawa, dalam soal kesihatan, ubat-ubatan daripada kerajaan mestilah mampu untuk dibeli oleh tiap-tiap anggota masyarakat. Tiap-tiap anggota masyarakat ini bahkan berhak untuk mendapatkan ubat daripada kerajaan tanpa sebarang diskriminasi.

Kasihan Badrin. Hidupnya tidak lagi selesa dan tenteram. Menurut Syed Hussein Alatas, sesebuah masyarakat itu mestilah sentiasa menjalani kehidupan dengan rasa senang, terjamin, tenteram dan selamat. Hal ini disebut Alatas, “harus juga terdapat perasaan bahwa nyawanya, hartanya dan kehormatan peribadinya terjamin.”

Ini disebut oleh beliau sebagai jaminan kemerdekaan peribadi. Tanpa jaminan tadi, masyarakat akan sentiasa berdepan dengan kegelisahan dan ketakutan walaupun dalam keadaan negara yang serba makmur. Tteapi Badrin tidak merdeka. Untuk melawan pun dia tidak berani. Dia tidak tahu siapa harus dilawan. Dia tidak tahu mengapa dia harus dikawan.

Inilah hak asasi manusia yang diperjuangkan oleh kaum liberal, yang hari ini dimomokkan oleh mimbar sebagai agama baru, ajaran sesat dan pengkhianat bangsa. Iaitu untuk memberikan kasih sayang dan ketenteraman. Untuk semua, tanpa ada pengecualian.

Apabila Badrin ditolak kepadaku untuk dikaunseling, aku tahu masalah Badrin tidak akan selesai dengan sepotong ayat Quran, atau hadis seuntai. Agama tidak menyelesaikan masalah ekonomi orang seperti Badrin. Bukan dia tidak tahu sembahyang atau membaca al-Quran. Sama sekali bukan. Badrin mungkin bukan Iqram Dinzly untuk mendapat perhatian mufti yang sukakan selebriti. Badrin hanya kerani yang murung dan terperuk. Badrin keliru. Hilang punca dan saat dia bertanyakan “kalau saya dibuang kerja bagaimana?’ terasa sangat belas untuk aku membantu, tetapi aku sendiri ketidakcukupan.

Aku tidak tahu berapa banyak orang seperti Badrin di luar pada tahun 2018. Siapa yang dapat menghubungkan dirinya dengan Badrin silalah angkat tangan.

“Bad dah daftar mengundi?” aku bertanya. Badrin tampak bingung. Apa hubungannya masalah peribadi yang berselirat ini dengan pilihan raya?

Badrin geleng. Segala masalah Badrin bermula dari kehadiran kerja lambatnya adalah mikro. Ada akar masalah. Yang makro. Yang perlu perhatian tetapi tidak diberi analisa lengkap.

Bos aku mungkin tidak cukup akal dan pengetahuan apabila mengugut Badrin untuk memecatnya.

Wajah Tarek el-Tayeb Mohamed Bouazizi, peniaga jalanan di Tunisia yang membakar dirinya kerana kesempitan hidup melayah lagi. Aku ingin memberitahu Badrin, jangan bakar diri…jangan. Jangan. Tetapi wajah Badrin yang kulihat kusam, rambutnya yang kusut dan riak Badrin yang bingung membuat aku juga hilang kata-kata.

Rasanya beginilah orang karam di darat.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS