Paling Popular
Terkini

Kata arwah penyanyi dan penulis lagu puisi Zubir Ali, “Penantian suatu seksa yang tidak tertanggung,” sementara “kepastian suatu penawar dalam suka dan duka.”

Lama saya menanti kehadiran pahlawan Melayu yang berani. Lebih-lebih lagi berani hendak menerajang 'kepala komunis'.

Pada awalnya saya menyangka, penantian saya itu suatu yang sia-sia atau barangkali tidak akan sempat semasa hayat saya ini. Ibarat menunggu kedatangan 'Imam Mahdi' atau umpama mitos Jawa menanti kemunculan Ratu Adil Nyi Roro Kidul yang akan menegakkan kebenaran di dunia ini.

Penantian saya itu bermula semenjak PRU13 lagi. Tapi syukurlah, menjelang PRU14 ini, muncul seorang pahlawan berbaju merah menyatakan keberaniannya untuk menerajang 'kepala komunis'.

Saya dapat rasakan di dada pahlawan berbaju merah itu membuak-buak perasaan marah kepada komunis. Ingin juga saya tegaskan saya tiada masalah dengan komunis, komunisme dan parti komunis selagi ia demokratik, adil dan tidak berbuat zalim.

Ingin saya perbetulkan juga kerana sebagai manusia tiada yang tidak pernah terkhilaf dan ralat itu biasa. DAP bukan parti komunis dan pimpinannya bukan 'kepala komunis'. Cuma saya fikir, pahlawan berbaju merah yang sangat berani itu tersasul apabila menuduh pemimpin DAP sebagai 'kepala komunis'. Dalam erti kata lain, pahlawan berbaju merah itu salah sasaran untuk menghalakan kemarahan dan kebenciannya terhadap komunis.

Di dunia ini tidak ada lagi kepala segala kepala komunis melainkan China Merah, ini untuk membezakan dengan China Taiwan.

Seperti dalam negara juga, tidak sama orang Cina DAP dan Cina MCA dan lagilah jauh untuk menyamakan Cina-Cina ini dengan Cina Jho Low. Apakah orang Melayu terlalu jahil untuk membezakan Cina-Cina ini semua, saya tidak pasti?

Apapun, saya bersyukur kerana sebenarnya masih ada lagi pahlawan Melayu yang hendak menerajang 'kepala komunis' itu. Betapa hebat dan gagahnya wira wirawati Melayu berbaju merah yang mahu menerajang 'kepala komunis' itu.

Barangkali 'menerajang' itu bahasa berkias dan bukanlah atas pengertian literal semata-mata, suatu tendangan ke bawah, ke depan dan lain-lain dengan tapak kaki. Tetapi makna tersirat yang dibawa dengan perkataan 'menerajang' itu pastilah menunjukkan keberanian dan menunjukkan tingkatan semangat perlawanan atau ketidakpuasan hati paling tinggi terhadap 'bapak komunis'.

Pakatan Harapan berulang kali menyatakan kebimbangannya terhadap pelaburan China di Malaysia. Banyak hartanah dan kepentingan strategik Malaysia yang telah dibeli China.

Tetapi China Merah bukan sahaja sedang membeli Malaysia, ia sedang membeli seluruh dunia - segala syarikat dan firma, seluruh tanah dan laut di segenap penjuru alam semesta.

Saya tidak katakan kritikan HARAPAN terhadap pelaburan China Merah itu sebagai sudah terlambat atau lebih baik kita berdiam diri saja.

Mentimun dan Musang King

Menjelang PRU13 lalu, saya berasa amat terseksa menanggung malu apabila maruah dan kedaulatan negara saya dicabar dan saya tidak dapat berbuat apa-apa. Maklum, saya hanya mentimun dan China Merah itu pencinta durian Musang King.

Sebenarnya bukanlah pertama kali armada laut Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) melakukan rondaan di Laut China Selatan, termasuk ke kawasan-kawasan yang menjadi wilayah pertikaian dan tidak terkecuali ke beting Zengmu Ansha (China) atau Beting Serupai (Sarawak) atau James Shoal (UK).

Zengmu Ansha terletak kira-kira 80km dari Sarawak dan hampir 2,000km dari tanah besar China.

Pada 26 Mac 2013, PLA menghantar empat buah kapal perang armada lautnya ke Zengmu Ansha.

Kapal Jinggangshan, lambang pemodenan armada laut China, seberat 19,000 tan dan panjang kira-kira 700 kaki itu dilaporkan mengetuai misi mengawal Laut China Selatan itu.

“Kesemua anak kapal ikut serta majlis angkat sumpah (mempertahan kedaulatan wilayah) pada jam 8.30 pagi.

“Dalam majlis itu, anggota dan petinggi armada laut PLA berkata mereka membulatkan tekad untuk menjaga kedaulatan negara dengan khidmat mereka di Laut China Selatan,” lapor Xinhua.

Di sebalik laporan agensi berita rasmi China, Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia ke-15, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar menafikan China menceroboh perairan Malaysia.

Sebenarnya jika peristiwa tersebut berlaku di negara-negara lain, katakanlah di Indonesia atau Filipina menjelang pilihan raya umum, ia akan menjadi antara isu hangat yang dibincangkan semasa pilihan raya.

Namun, hal yang demikian tidak berlaku untuk PRU13. Barangkali saya silap tetapi kelihatannya media massa Malaysia pada ketika itu tidak terlalu mengheboh-hebohkan peristiwa tersebut.

Sumpah di Zengmu Ansha

Barangkali kerana fokus negara yang sibuk menghadapi suatu lagi peristiwa besar pencerobohan, pendaratan pengganas Sulu di Lahad Datu. Tentang hal itu, kita bersyukur kerana Ops Daulat telah berjaya mengembalikan maruah dan kedaulatan negara.

Mungkin juga kerana Dr Mahathir Mohamad belum lagi menjadi calon PM pembangkang ketika itu.

Pada 26 Januari 2014, sekali lagi majlis angkat sumpah PLA dibuat di Zengmu Ansha.

Saya tidak berharap pimpinan PAS dapat mengupas hal berkenaan. Saya amat memahami jika mereka tidak faham isu ini kerana ia tiada kaitan dengan RUU355.

Setelah itu, saya tidak ambil kisah lagi. Saya akui, bukan tugas saya menjaga kedaulatan wilayah laut Malaysia. Saya sedar hakikat diri saya ini hanyalah seorang ‘gagalis’ yang lemah, miskin dan tidak berkuasa.

Jika pada masa akan datang, PLA masih mengadakan majlis angkat sumpah di Beting Serupai itu, maka saya merayu serta berdoa agar pahlawan dan pasukan wira wirawati berbaju merah itu akan mara ke barisan paling hadapan untuk ‘menerajang’ armada perang Parti Komunis China itu.

Saya fikir, masanya buku bertemu ruas. Pahlawan Melayu (berketurunan Jawa) berbaju merah itu patut menerajang China Merah. Oh ya, baru saya teringat kisah pahlawan baju merah dan lawatan pak duta komunis ke Petaling Street.

(Seorang guru silat Jawa memberitahu saya, pahlawan yang berani itu tidak riak, takbur dan sombong atau hanya berani kepada golongan yang lemah dan tidak berkuasa. Justeru, adat memakai keris Jawa itu disisip di belakang pinggangnya, bukan untuk menunjuk-nunjuk.)


RAHMAT HARON seorang seniman 'outsider'.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS