Dalam surat jawapannya kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Rafidah Aziz, bertarikh 14 Julai 2005, bekas Perdana Menteri kita, Tun Dr Mahathir Mohamad berasa amat sedih kerana seorang menteri kepercayaannya "sanggup membuat dakwaan palsu untuk melindungi kesalahan sendiri".

Menurut Dr Mahathir, dakwaan palsu Rafidah terdapat dalam tujuh perkara berikut:

  1. Dr Mahathir menafi beliau memberi kelulusan supaya kereta Kia Syarikat Naza mendapatkan status nasional bagi kenderaan MPVnya.

  • Rafidah menepis arahan Dr Mahathir untuk menyelidik dan menyemak 'Landed Price' yang terlalu rendah bagi kenderaan yang diimport melalui AP, dengan alasan ianya diverifikasikan oleh JKED, sedangkan Dr Mahathir diberitahu oleh pihak kastam bahawa MITI yang memberi angka tunjuk bagi'landed price'.
  • Mengenai jumlah AP yang dikeluarkan pada tahun 2004, Dr Mahathir membidas Rafidah kerana memberi tiga jumlah berlainan, iaitu 67,000, 53,000, dan 45,580. Beliau anggap AP yang dikeluarkan sepatutnya dihadkan kepada 10 peratus daripada jumlah kereta yang dikeluarkan dalam negara. Ini bermakna, jumlah AP sepatutnya lebih kecil daripada ketiga-tiga angka yang tersebut di atas.
  • Satu jenis AP baru diwujudkan untuk mengimport apa yang dinamakan "Tune-up car" yang kononnya diubahsuai di luar negara. Padahal kebanyakan kereta ini tidak diubahsuai langsung dan pemegang AP bebas mengimport apa juga jenis kereta, kecil atau besar, yang sudah mempunyai dealer, ejen atau loji pemasangan di nehara ini.
  • Kereta berkapasiti 1800cc ke bawah yang diimport melalui AP kononnya hanya berjumlah 17,455. Dr Mahathir menganggap angka ini tidak munasabah. Jumlahnya sepatutnya lebih besar daripada angka tersebut.
  • Artikel 2 Perjanjian AFTA yang penting dan akan menjejaskan kepentingan kenderaan nasional tidak dibangkitkan oleh Rafidah dalam kertas Jemaah Menterinya, menyebabkan Jemaah Menteri mempersetujui perjanjian tersebut. Artikel 2 berbunyi: Produk tersebut hendaklah dianggap berasal dari ASEAN sekiranya 40 peratus kandungannya berasal dari mana-mana negara anggotanya.
  • Pemberian AP dibuat tanpa mengambilkira persediaan bilik pameran, pekerja, bengkel dan lain-lain oleh pemohon untuk mengurus pemasaran kereta berkenaan. Terdapat dua orang yang antara mereka mendapat 13,342 AP pada tahun 2004 dan 16,785 pada tahun 2005. Mereka ini mengguna lebih dari enam syarikat bayangan untuk tujuan ini.
  • Nasihat dan dorongan

    Berkaitan perkara 1, Dr Mahathir menyiarkan surat Naza Kia Sdn Bhd kepada beliau yang bertajuk Per: Cadangan pemasangan kenderaan Kia Carnival sebagai jenama barangan buatan Malaysia Kenderaan Nasional, bertarikh 21 Mei 2002, untuk membuktikan yang dipohon bukan kelulusan sebagai kenderaan nasioinal tetapi "nasihat dan dorongan untuk kami mula merancang ke arah menjadikan kenderaan KIA Carnival sebagai kenderaan duaguna yang berkapasiti 2500cc yang pertama buatan tempatan iaitu kenderaan nasional" seperti yang terkandung dalam para 7.

    Namun, Dr Mahathir telah dimaklumkan oleh para 1 surat tersebut bahawa syarikat Naza Kia Sdn Bhd telahpun mengemukakan permohonan kepada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri bagi mendapatkan lesen bagi pembinaan kilang pemasangan jenama KIA oleh Naza Kia Sdn Bhd, dan para 8 surat tersebut pula mengucapkan penghargaan dan terima kasih kepada Dr Mahathir atas "segala bantuan YAB Datuk Seri dan kerajaan untuk menimbang dan meluluskan cadangan ini."

    Oleh itu, catatan "saya tidak ada halangan" oleh Dr Mahathir di bawah surat terbabit setelah membacanya, juga boleh difahamkan sebagai beliau tidak akan menghalang Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri "menimbang dan meluluskan cadangan ini"!

    Sebab itu, dari surat Naza Kia saja, sukar hendak memastikan sama ada atau tidak, Rafidah sudah membuat dakwaan palsu, terutama sekali memandangkan Dr Mahthir sendiri mengaku: "Memang benar saya yang mengumumkan Status Kenderaan Nasional semasa melancarkannya pada 27 Ogos 2003".

    Kenapa beliau mengumumkan status Kenderaan Nasional bagi KIA Carnival jika beliau tidak setuju?

    Dr Mahathir sendiri memberi dua versi alasan yang berlainan. Versi pertama, menurut laporan Hairulazim Mahmud (Utusan Malaysia ,15 Oktober 2005): Dr Mahathir berkata, semasa melancarkan kenderaan berkenaan, beliau terkejut apabila mendapati ia telah mendapat taraf kenderaan nasional dan dinamakan semula sebagai Naza Ria. Tetapi ia sudah terlambat untuk beliau beredar!

    Versi kedua, menurut kandungan surat Dr Mahathir kepada Rafidah, beliau mengumumkan status Kenderaan Nasional bagi KIA Carnival kerana beliau percaya pada ketika itu MITI telah menyemak bahawa kereta berkenaan telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh MITI, umpamanya kandungan bahan tempatan.

    Kenderaan nasional

    Menurut beliau lagi, dalam mesyuarat Kabinet kemudiannya, beliau diberitahu bahawa kereta berkenaan hanya mempunyai 18 peratus 'kandungan bahan tempatan'. Beliau amat kecewa dan telah menegaskan status kereta nasional tidak patut diberi semudah itu.

    Jika dikaitkan dengan kelulusan status Kenderaan Nasional bagi Naza Ria, maka tidaklah sukar difahami kenapa Rafidah tidak 'membangkitkan' Artikel 2 Perjanjian AFTA.

    Jika bagi Dr Mahathir, 40 peratus kandungan bahan tempatan masih tidak mencukupi untuk sesuatu model kereta dianggap sebagai kereta ASEAN, bagaimana 18 peratus kandungan bahan tempatan dapat diberi status Kenderaan Nasional seperti kes Naza Ria?

    Di samping itu, MITI yang memberi angka tunjuk tentang 'landed price' yang terlalu rendah tetapi menepis arahan untuk menyelidik dan menyemaknya.

    MITI juga memberi angka-angka yang mengelirukan untuk mengecilkan jumlah AP yang dikeluarkan. Kementerian itu juga mengeluarkan AP jenis "Tune-up car" yang sebenarnya kereta-kereta tersebut tidak diubahsuai sama sekali. Selain itu angka jumlah kereta berkapasiti 1800cc ke bawah yang diimport melalui AP juga sengaja dikecilkan.

    Pemberian jumlah AP yang terlalu banyak kepada mereka yang tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan seperti yang didedahkan dalam jawapan Dr Mahathir kepada Rafidah semua ini boleh dianggap sebagai penyelewengan yang menonjol sekali.

    Berdasarkan semua itu, skandal AP boleh dianggap sebagai bom jangka masa yang akan meletup pada bila-bila masa sahaja.

    Sungguhpun kita tidak dapat memastikan siapakah yang membuat dakwaan palsu, tetapi yang pasti ialah dasar Kenderaan Nasional dan AP sudah diseleweng demi kepentingan peribadi, dan fakta sebenar penyelewengan telah ditutup oleh pihak-pihak terbabit dengan permainan statistik dan manipulasi dasar kerajaan.

    Bagaimanapun, pendedahan Dr Mahathir setakat ini sudah mencukupi untuk Badan Pencegah Rasuah BPR) mengambil tindakan terhadap pihak-pihak terbabit. Apa yang hendak ditunggukan lagi jika Dr Mahathir sendiri sudah tampil ke depan?