Kolum Malaysiakini

PRU14 & kelemauan mahasiswa

Faisal Tehrani  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Imbas kembali pilihan raya 5 Mei 2013, berlaku pertembungan sengit antara dua kumpulan politik iaitu BN dan Pakatan Rakyat. Kumpulan pembangkang yang diketuai oleh ketua gerakan siswa dalam era 1970-an; Anwar Ibrahim menguasai 89 kerusi parlimen dari jumlah besar 222 kerusi. Meskipun meraih lebih 51 peratus undi popular, sistem pilihan raya FPTP yang diwarisi oleh Malaysia dari British tidak memungkinkan Pakatan Rakyat untuk membentuk kerajaan. Pakatan Rakyat kemudian menganjurkan siri bantahan besar dan menuduh parti yang menguasai kerajaan bersekongkol dengan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menipu pilihan raya yang lalu.

Pada 13 Mei 2013, badan bukan kerajaan bernama Solidariti Anak Muda Malaysia dan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), antara lain diketuai Adam Adli (siswa Universiti Pendidikan Sultan Idris) telah menganjurkan sebuah acara iaitu ‘Rapat Rakyat 13 Mei: Hari Bangsa Malaysia — Selamatkan Demokrasi’ di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur & Selangor (KLSCAH). Adalah jelas perhimpunan tersebut untuk menolak keputusan pilihan raya 2013 di mana retorik untuk mengajak peserta ke acara tersebut antara lain menyatakan ‘demokrasi dinafi’, ‘kemenangan rakyat dinafikan’, ‘kecurangan pilihanraya diatur’ dan ‘pilihan raya terkotor dalam sejarah’. Adam Adli adalah salah seorang dari panel yang berucap di acara tersebut. Ekoran dari ucapannya, pada 18 Mei 2013, aktivis mahasiswa tersebut telah ditahan bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan ditahan di lokap di Jinjang.

Penahanan Adam Adli di Jinjang serta merta mencetus kebangkitan peers mahasiswa di Facebook. Selain wujudnya akaun ‘We Are All Adam Adli’ dengan jumlah ‘likes’ melebihi 48,000, sebuah akaun bernama ‘Mama Wants Adam Home’ turut dilancarkan. Setiap malam selepas penahanan beliau, sejumlah besar anak muda pelbagai kaum mulai berhimpun di luar lokap Jinjang untuk menyatakan solidariti. Penahanan Adam Adli serta merta meraih simpati awam.

Peguam Syahredzan Johan menggambarkan suasana di Jinjang sepanjang penahanan Adam Adli sebagai sesuatu yang fenomenal di mana tembok perkauman terburai. Apatah lagi jumlah demonstran yang ramai di Jinjang tersebut adalah mereka yang beretnik Cina datang mempertahankan nasib seorang remaja beretnik Melayu; Syahredzan menulis:

“Realitinya, keputusan PRU ke-13 adalah tsunami bandar, tsunami kelas menengah dan tsunami orang muda, bukan tsunami Cina. Realitinya, semakin hebat tekanan yang dikenakan oleh pihak pemerintah, semakin utuh jalinan perpaduan. Realitinya Adam Adli bukan lagi seorang Melayu, tetapi seorang anak Malaysia yang diperlakukan dengan tidak adil. Dan apa yang berlaku di Jinjang selama minggu lepas adalah contoh terbaik realiti baru ini.”

Pada 22 Mei 2013, satu kekecohan berlaku selepas polis menahan 18 orang yang hadir memegang lilin di luar balai polis Jinjang. Kumpulan anak muda yang ditahan tersebut kemudian dibebaskan dan dirai sebagai wira dengan sorakan dan tepukan. Pada 23 Mei, Mahkamah Seksyen membebaskan Adam Adli dari tahanan reman dengan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.Rentetan dari insiden di atas tidak berakhir begitu sahaja. Pada 25 Mei, lebih 70,000 orang awam berhimpun di padang hadapan Amcorp Mall, Petaling Jaya untuk memprotes keputusan pilihan raya ke 13. Acara tersebut adalah anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) bersama 58 buah badan bukan kerajaan yang lain.

Persenda Zahid

Di acara tersebut, Mohd Safwan Anang, mahasiswa Universiti Malaya telah mempersendakan kenyataan Menteri Dalam Negeri, Ahmad Zahid Hamidi yang sebelumnya menganjurkan rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya ke-13 supaya berhijrah ke luar negara; “Ada sesetengah orang tak faham bahasa, mereka kata jika orang yang tidak puas hati dengan keputusan pilihan raya, boleh keluar dari Malaysia. Ini kenyataan bodoh, betul atau tidak?”.

Pada 28 Mei 2013, Safwan Anang dari Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) telah ditahan bersama tiga aktivis Pakatan Rakyat iaitu Naib Presiden PKR Chua Tian Chang, aktivis Asalkan Bukan Umno, Haris Ibrahim dan Tamrin Ghafar. Hari berikutnya, keempat mereka didakwa di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948. Safwan Anang bagaimanapun enggan diikat jamin kerana menyifatkan tindakan dakwaan tersebut adalah bermotif politik. Beliau juga menyatakan tindakan menolak ikat jamin sebagai satu protes dan sebagai mesej jelas bahawa siswa benar-benar serius dalam ‘melawan penipuan’:

“Tindakan saya juga demi sayangkan negara dan ingin memulihkan demokrasi yang makin tenat. Ini juga mesej jelas kepada anak muda bahawa kita benar-benar serius perjuangkan hak kita. Saya di dalam tetapi saya yakin kalian di luar sana tetap akan terus bangkit berjuang lawan penipuan.”

Safwan kemudian telah dihantar ke penjara Sungai Buloh. Rakan segenerasi atau peers telah mencipta pula akaun Facebook ‘We Are All Safwan Anang’ dengan lebih 13,000 ‘likes’. Seperti situasi yang berlaku sebelumnya di Jinjang, awam terutama anak muda telah menyatakan solidariti dan mulai berhimpun di luar penjara Sungai Buloh pada malam hari. Himpunan tersebut dimeriahkan dengan ucapan, bacaan sajak dan lain-lain lagi.

Nyalaan lilin di Jinjang pada tahun 2013 itu terpadam begitu sahaja. Menjelang pilihan raya umum ke-14, suara melawan mahasiswa tidak lagi semarak lima tahun lalu. Hanya terdapat beberapa insiden kecil yang tidak menggelombang seperti pada tahun 2013.Adakah api siswa itu terpadam ekoran apa yang berlaku pada tahun 2016? Dua tahun lalu, 15 orang mahasiswa universiti tempatan menerima hukuman disiplin kerana hadir perhimpunan 'Tangkap MO1' di Dataran Merdeka. Ia disebut-sebut menjadi sebab mengapa suara mahasiswa kelihatan berlalu begitu sahaja malah menyebabkan kedinginan siswa terhadap aktiviti berpolitik.

Awal tahun 2018 ini terdapat suara lemah dari mahasiswa. 100 orang mahasiswa diketuai Faizzuddin Mohd Zar dari Sekretariat Ummah Siswa Malaysia (Ummah Siswa) dan Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahaya berhimpun di Sogo dengan melilit kain putih di kepala pada 10 Mac 2018 sempena pelancaran himpunan dan kempen dinamakan Himpunan Anak Muda Selamatkan Tanah Rizab Melayu anjuran Sekretariat Ummah Siswa Malaysia (Ummah Siswa). Sehingga hari ini apakah nasib kempen yang dilancarkan itu tidak kedengaran.

Pada 14 April 2018 pula sekumpulan aktivis yang menamakan diri mereka “Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL)” mengadakan “Perhimpunan Tangkap Pencuri”. Kumpulan siswa ini menjelaskan objektif rapat tersebut iaitu ‘mahu menyelamatkan negara kita, yang kini berdepan dengan masalah hutang yang parah, rentetan dari skandal 1MDB’. Rapat tersebut bagaimanapun kurang mendapat sambutan.

Tak daftar mengundi

Kehadiran Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang rancak berpolitik ketika masih menuntut di Universiti Islam Antarabangsa dan kini menjadi calon Pakatan Harapan di Muar, Johor tidak membawa sama arus jelas mahasiswa dalam PRU yang ke 14 ini. Sementara nama Safwan Anang, dan Adam Adli yang pernah menggelora pada tahun 2013 tidak lagi ditagih seperti dulu.

Lebih lemau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mendakwa “kebanyakan pelajar institusi pendidikan tinggi tidak berdaftar sebagai pemilih” kerana empat sebab iaitu pertama; beranggapan mereka tidak perlu mendaftar. Kedua, siswa memberi alasan tidak tahu tempat pendaftaran. Ketiga, terdapat siswa memberi alasan enggan terbabit dalam politik dan keempat, siswa juga berpendapat undi mereka tidak bermakna hingga tidak mahu mendaftar sebagai pemilih.

Pada Januari 2018, Penolong Pengarah Akademi Pilihan Raya, Abdul Fatah Mohd Pilus mendedahkan kelemauan golongan siswa ini apabila terdapat sebuah universiti dengan 5,000 orang siswa berumur 21 tahun tidak mendaftar mengundi. Adalah dipercayai seramai 3.6 juta orang muda berusia 21 tahun ke atas termasuk golongan mahasiswa masih belum menjalankan tanggungjawab mendaftar sebagai pemilih.

Tidak keterlaluan untuk dikatakan bahawa pada 9 Mei 2018 ini, Malaysia akan sekali lagi melangkah ke gerbang amalan demokrasi dengan kesakitan. Demokrasi kita melangkah dengan kaki tempang. Rata-rata anak muda, atau mahasiswa yang sepatutnya menyumbang kepada suara penentuan masa depan negara, memilih untuk tidak terlibat. Tekanan, dan pemomokan bertahun lamanya, dan pelunyaian terhadap mahasiswa sejak 2013 telah berjaya menjauhkan mereka dari penyertaan untuk membangunkan negara ini.

Inilah antara lain hakikat sedih demokrasi di Malaysia.


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.