Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Demo 'tangkap pencuri' 14 April
Diterbitkan:  Mar 26, 2018 11:41 AM
Dikemaskini: 4:21 AM

Sekumpulan aktivis yang menamakan diri mereka “Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL)” hari ini mengumumkan akan mengadakan “Perhimpunan Tangkap Pencuri” pada 14 April depan.

Perkara itu diumumkan dalam sidang media di sebuah restoran berdekatan pintu masuk Universiti Malaya (UM) di ibu negara, Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Himpunan itu akan diadakan berdekatan pusat beli belah Sogo di ibu negara pada jam 2 petang sebelum berarak ke ke Dataran Merdeka.

“AMCJL digerakkan kerana berhasrat untuk membantu pihak berkuasa di seluruh dunia menjejak dan menangkap lelaki yang paling dikehendaki susulan skandal 1MDB, iaitu ahli perniagaan Jho Taek Low atau Jho Low,” menurut kenyataan mereka.

Himpunan itu dilihat bertujuan memberi tekanan kepada kerajaan BN menjelang pilihan raya umum yang mesti diadakan sebelum Ogos beberapa bulan lagi.

Menurut kenyataan media itu, AMCJL merupakan gerakan pelbagai kumpulan anak muda, NGO dan parti-parti politik seluruh Malaysia.

AMCJL, kata mereka, telah menganjurkan sembilan program jelajah forum dan penerangan di pelbagai negeri dan mendapat sambutan hangat masyarakat.

Justeru, kata mereka, himpunan itu adalah kemuncak kepada program-program mereka sebelum ini.

“Himpunan Tangkap Pencuri' ini adalah tanda bahawa, anak muda dan seluruh rakyat, sayangkan Malaysia dan mahu menyelamatkan negara kita, yang kini berdepan dengan masalah hutang yang parah, rentetan dari skandal 1MDB.

“Justeru itu, kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, NGO, semua perkumpulan dan individu yang bersimpati dan menyokong perjuangan kami, untuk turut hadir bersama-sama dalam Himpunan Tangkap Pencuri ini,” kata mereka.

Nama Jho Low kembali disebut-sebut selepas kapal mewah RM1 bilion Equanimity yang dikaitkan dengan Jho Low dirampas polis Indonesia di Bali awal bulan ini.

Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho melalui jurucakap dilapor berkata rampasan itu tidak berasas dan bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Menteri Multimedia dan Komunikasi Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata tiada bukti yang menunjukkan Low sebagai pemilik Equanimity.

Lihat Komen
ADS