Risiko besar di Pengkalan Pasir
Pilihanraya kecil bagi kawasan DUN Pengkalan Pasir Kelantan akan diadakan pada 6 Disember 2005, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaffar pada 31 Oktober 2005.
Suatu pertarungan sengit akan berlaku antara PAS dengan Barisan Nasional (BN), kerana pilihanraya kecil tersebut bukan saja mengenai kalah menang satu kerusi DUN, tetapi juga mungkin menentukan jatuh bangunnya Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS.
Sejak pilihanraya umum ke-11 tahun 2004, Kerajaan Kelantan PAS sudah menghadapi kemungkinan disabotaj oleh BN pada bila-bila masa saja, memandangkan perbezaan majoriti tiga kerusi saja - 24 kerusi PAS, berbanding 21 kerusi yang dimenangi BN.
Justeru, jika Pengkalan Pasir jatuh ke tangan BN, bermakna majoriti PAS hanya tinggal dua satu kerusi saja. Masa itu, adakah BN akan secara "gentleman" membiarkan PAS terus memerintah Kelantan menurut amalan demokrasi?
Pilihanraya kecil bagi kawasan DUN Pengkalan Pasir Kelantan akan diadakan pada 6 Disember 2005, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS, Wan Abdul Aziz Wan Jaffar pada 31 Oktober 2005.
Suatu pertarungan sengit akan berlaku antara PAS dengan Barisan Nasional (BN), kerana pilihanraya kecil tersebut bukan saja mengenai kalah menang satu kerusi DUN, tetapi juga mungkin menentukan jatuh bangunnya Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS.
Sejak pilihanraya umum ke-11 tahun 2004, Kerajaan Kelantan PAS sudah menghadapi kemungkinan disabotaj oleh BN pada bila-bila masa saja, memandangkan perbezaan majoriti tiga kerusi saja - 24 kerusi PAS, berbanding 21 kerusi yang dimenangi BN.
Justeru, jika Pengkalan Pasir jatuh ke tangan BN, bermakna majoriti PAS hanya tinggal dua satu kerusi saja. Masa itu, adakah BN akan secara "gentleman" membiarkan PAS terus memerintah Kelantan menurut amalan demokrasi?
Dari perang propaganda yang dilancarkan BN baru-baru ini, rasanya menggulingkan Kerajaan Kelantan PAS untuk mencorak semula politik Kelantan, telah jelas menjadi agenda BN.
Tidaklah keterlaluan jika Kerajaan Kelantan kini diibaratkan "telur di hujung tanduk" memandangkan kerakusan yang diperlihatkan BN terhadap kuasa politik Kelantan.
Pemimpin BN, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, telah menggesa supaya PAS membubarkan DUN Kelantan jika mereka tewas di Pengkalan Pasir, sebagai petanda hasrat rakyat Kelantan telah berubah, dan PAS perlu mendapatkan mandat baru daripada rakyat Kelantan untuk terus memerintah.
Exco Kerajaan Kelantan, Husam Musa yang Naib Presiden PAS, mencabar semua 21 ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN supaya melepaskan jawatan bagi membolehkan pilihanraya kecil diadakan untuk mengukur kekuatan kedua-dua parti.
Perang saraf
Kesemua 21 Adun BN menerima cabaran tersebut dengan syarat 23 Adun PAS turut meletakkan jawatan. Cabar-mencabar antara PAS dengan BN merupakan perang saraf untuk melemahkan semangat juang lawan masing-masing.
Padahal, hanya Sultan Kelantan di bawah nasihat Kerajaan Negeri Kelantan PAS, yang berhak untuk membubarkan DUN Kelantan bagi membolehkan pilihanraya diadakan untuk mencari mandat baru rakyat.
Sudah pasti PAS tidak akan melayan cabaran BN untuk membubarkan DUN Kelantan jika ia tidak yakin boleh menang lebih banyak kerusi bagi menstabilkan kerajaan negeri daripada disabotaj oleh BN.
Jika tewas dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, dalam suasana yang tidak menguntungkan, pasti juga PAS tidak akan begitu bodoh sehingga memperjudikan kuasa politiknya dengan membubarkan DUN Kelantan atas desakan BN.
Tidak dapat dinafikan bahawa majoriti satu kerusi pun masih merupakan mandat rakyat Kelantan yang melayakkan PAS meneruskan pemerintahannya di Kelantan, jika BN patuh kepada prinsip amalan demokrasi dan tidak gila kuasa.
Andainya gesaan BN supaya PAS membubarkan DUN Kelantan sekiranya tewas dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir hanya merupakan perang saraf untuk melemahkam semangat juang PAS, dan tidak lebih dari itu, maka ia masih boleh diterima sebagai taktik pilihanraya.
Andainya gesaan itu mencerminkan hasrat rakyat Kelantan untuk berubah, maka ia dianggap sebagai satu kebenaran yang mesti dipatuhi PAS. Jika PAS tidak tunduk, maka tindakan di luar amalan demokrasi (umpamanya melalui politik wang) akan diambil untuk menambah kerusi majoriti BN, lalu dirampas kuasa politik Kelantan daripada PAS.
Sekiranya rampasan kuasa politik Kelantan dilakukan secara haram seperti yang tersebut di atas, maka ia mungkin mengakibatkan kocakan politik baru yang mungkin meradikalkan sesetengah pemimpin dan petugas PAS yang hilang kepercayaan terhadap perjuangan perlembagaan yang menjadi pegangan parti itu selama ini.
Justeru, pimpinan BN, terutamanya Perdana Menteri, sewajarnya memberi jaminan tegas bahawa sekalipun PAS tewas dalam pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, PAS bebas untuk membuat keputusan sama ada hendak membubarkan DUN Kelantan atau meneruskan pemerintahannya dengan majoriti satu kerusi, serta memberi jaminan bahawa BN tidak akan merampas kuasa politik Kelantan dari tangan PAS dengan cara yang haram.
Jika pilihanraya kecil Pengkalan Pasir diadakan secara adil dan bebas, harapan masih cerah untuk PAS mencapai kemenangan, memandangkan Pengkalan Pasir merupakan kubu kuat PAS - dari 1990 hingga 2004 -- dan tidak pernah ditawan oleh BN, sungguhpun undi majoriti calon PAS pada 2004 merosot sehingga 56 undi sahaja.
Faktor Anwar dan Ibrahim Ali
Selain PAS, Parti Keadilan Rakyat (PKR), khasnya penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, juga akan menjadi tumpuan. Anwar sudah berjanji akan turun padang untuk membantu PAS berkempen.
Rasanya kali ini adalah peluang keemasan bagi Anwar untuk memperlihatkan komitmen penuh dan pengaruhnya dalam mempertahankan kubu kuat PAS dan kuasa politik Kelantan, dan sekaligus membuktikan faktor Anwar masih belum luntur lagi!
Jika bekas Ketua Umno Bahagian Pasar Mas Ibrahim Ali (foto) yang bersedia untuk bertanding sebagai "calon rakyat" tidak jadi bertanding kerana "ada pihak yang boleh membela maruahnya", maka ia mungkin lebih menguntungkan BN, sungguhpun undi yang akan dipecahkan Ibrahim, juga akan kembali kepada calon PAS.
Suatu lagi faktor penting kali ini ialah terdapat hampir 2,000 pengundi baru yang akan mengundi. Puteri Umno sudah mendakwa akan menghantar 2,000 petugas dari seluruh negara untuk bantu berkempen dari rumah ke rumah "ala Kelantan", dan kumpulan sasar mereka ialah wanita muda yang berusia 35 tahun ke bawah.
Pengundi keturunan Cina yang berjumlah 966 orang juga menjadi rebutan kedua belah pihak. Tidak kira parti mana yang menang, undi majoriti dianggarkan tidak besar.
Bagaimanapun, politik wang dan politik pembangunan tetap dua "senjata ampuh" BN yang akan digunakan seperti dalam mana-mana pilihanraya pun. Menurut laporan PAS, harga satu undi sekarang telah meningkat setinggi RM500 hingga RM1,000.
Tentang politik pembangunan, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa telah mencabar Kerajaan Kelantan supaya bersama Kerajaan Pusat mengumumkan projek pembangunan masing-masing di Pengkalan Pasir bagi membuktikan siapakah yang lebih berupaya untuk membawa pembangunan kepada rakyat Pengkalan Pasir.
Apakah bezanya politik pembangunan dengan politik rasuah?

