Paling Popular
Terkini

Kami melihat video pengarah Khazanah Nasional Bhd diberi penghormatan oleh para pegawai pada hari terakhir beliau berkhidmat.

Dan ia memberikan gambaran bagaimana beliau amat dihormati oleh orang bawahannya.

Mereka bersalaman dan berpelukan seperti orang waras. Tidak ada seorang pun daripada mereka cuba mencium tangan pegawai yang bersara itu - atau sekurang-kurangnya ia tidak berlaku dalam video berkenaan.

Agaknya beliau seorang ketua yang baik justeru semua yang berada di bawahnya berasa kehilangan, lalu mereka memberikan penghormatan sebegitu rupa kepada beliau.

Kita lupakan politik sementara dan mari melihat ini sebagai hubungan antara manusia dengan manusia lain.

Kami tidak mahu melihat suatu kebaikan dan segera mencari buruk yang pasti ada terselit di mana-mana.

Budaya membeli jiwa

Kemudian jika kamu melihat seorang ketua kerajaan yang melulu mencium tangan menteri yang datang ke pejabatnya dan berasakan ini kebodohan yang melampau, tentu saja kamu tidak salah.

Bayangkan seorang yang sudah tentu berpendidikan tinggi dan ‘digeruni’ oleh orang bawahnya lalu merendahkan diri dengan perilaku yang amat memualkan.

Tidak nampak langsung perbuatan itu lahir kerana tanda hormat beliau kepada orang atasannya.

Kita masih lagi dibayangi budaya gemar membeli jiwa untuk mendapat kedudukan atau pangkat. Ini adalah suatu kejahatan yang perlu dibuang dengan segera.

Sesiapa saja yang diserahkan dengan sebarang tugas hendaklah melakukannya dengan amanah dan sebaik mungkin.

Biar prestasi kerja yang menjadikan kita dihormati oleh orang atasan - atau mungkin juga orang bawahan - bukan menjilat sedemikan rupa.

Amalan membodek akan merosakan banyak pihak dan mengambil hak orang yang serius berkerja.

Lebih malang lagi apabila mereka yang dicium tangannya itu berasakan mereka duduk di tempat yang benar kerana ‘dihormati’ sedemikian rupa.

Tidak dapat tidak, mereka akan menjadi megah dan berasa berkuasa ke atas si pencium. Dan ini akan kemudiannya membuahkan kezaliman.

Budaya cium tangan pemimpin harus dihapuskan dengan amat segera kerana budaya Melayu hanya membenarkan kita untuk mencium tangan ayah dan ibu. Atau datuk dan nenek serta waris terdekat yang lebih tua daripada kita sebagai tanda hormat.

Mencium tangan pemimpin - walau dilihat dari sudut mana sekalipun - adalah kebodohan yang tidak dapat dimaafkan. Dengan berbuat demikian kita memperlihatan kepada umum betapa kita ini adalah macai bila berbuat demikian.

Jaga diri jangan sampai kita menghina diri hanya kerana sedikit ghanimah setelah selesai perang baru-baru ini.

Sementara itu, untuk tajuk yang lain, kami rasa Tun Mahathir masih hidup dalam ‘kejayaan’ masa lalu. Ia kira-kira samalah macam kumpulan Kopratasa yang ke mana-mana pergi pun, sibuk dengan lagu Permata itu.

Dikenang sepanjang hidup

Mahu memulakan satu lagi projek kereta nasional dan menghidupkan kembali lumba kereta Formula 1 - yang semua tahu adalah air tangan beliau - adalah antara isunya.

Bagaimanapun, dalam hal Formula 1, Mahathir yang terkenal sarkastik itu hanya mengatakan "mungkin" apabila ditanya adakah pertandingan itu akan dihidupkan kembali.

Namun ianya tidak menghalang para musuh politik beliau dari menyebarkan cerita yang beliau mahu mengembalikan acara tersebut untuk memberikan peluang perniagaan kepada ahli keluarganya.

Politik memang begitu. Jika diberikan kepada musuh maka ianya adalah jahat dan jika dibahagi-bahagikan sesama sendiri maka ia adalah hak.

Semua orang akan berasa dia ada di puncak dan waktu itu akan kita kenang sepanjang hayat.

Begitu juga dengan Mahathir.

Beliau berasakan bahawa semasa menjadi perdana menteri pada pusingan pertama dulu adalah masa negara paling berjaya. Beliau kini nampak seperti mahu melakukan atau mengulang kembali kejayaan itu dan mengambil semula apa yang telah dirampas daripadanya sebagai langkah untuk kembali gemilang.

Sebenarnya kita sudah melepasi zaman gembira mempunyai kereta nasional.

Zaman menjadi budak-budak yang gembira kerana diberi gula-gula sudah lama berlalu.

Jika kita jujur maka kita akan mengatakan bahawa Formula satu itu tidak memberi bekas kepada kehidupan kita sama ada ia diberhentikan atau diteruskan.

Jika Mahathir bimbang beliau tidak dikenang, maka kebimbangan itu sepatutnya sudah lama terhapus. Tidak ada sesiapa di kalangan genarasi ini bakal melupakan jasa-jasa beliau.

Walau apa pun yang berlaku beliau sekurang-kurang akan diingati sebagai seseorang yang dua kali menjadi perdana menteri dan juga seorang yang telah melepaskan negara ini daripada menjadi negara yang diperintah oleh satu partai semata-mata.


Baca Kini kami rakyat yang kuat


Kita kini yakin bahawa kita benar-benar bebas untuk memilih siapa yang kita fikir layak untuk menerajui negara yang kita cintai ini.

Jika terbukti kerajaan yang ini juga adalah jahat, maka nanti apabila tiba masanya untuk kita memilih, mata kita bebas membuat keputusan untuk menukar lagi.

Sementelah pula PAS kini sudah mesra benar dengan Umno.

Mengenai hal itu, sebenarnya jika dari awal lagi mereka menyatakan kesepakatan, tentu keputusan piliharaya yang lalu lebih berwarna. Tapi itulah...

Kejayaan Mahathir membawa negara ini ke arus kemodenan, membuka mata dunia tentang hebatnya negara kecil bernama Malaysia dan sebagainya adalah sesuatu yang minor jika dibandingkan dengan kebebasan politik yang mungkin masih bayi di negara ini.

Akhirnya, Najib Razak juga tidak perlu bimbang apakah legasinya bakal dilupakan kerana semua tahu beliau adalah pemimpin yang paling suka tangannya dicium sewaktu bersalaman.

Malah ianya adalah sesuatu yang amat lumrah bagi beliau dan isteri beliau.

Kami cuma terfikir, apa agaknya yang menyebabkan mereka yang pelahap mencium tangan pemimpin politik ini mahukan?

Wang ringgitkah atau kasih sayangkah? Mahu dikenangkah atau mahu menahan lukahkah?


ABDULLAHJONES ialah penulis, penyair, pelukis, jurufoto, pengembara dan ninja yang sedang cuba menyertai Kiki Challange.

Rencana ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS