Pada 28 November 2005, hanya empat hari selepas rakaman video tahanan wanita rakyat China diarah berbogel dan membuat ketuk ketampi ditayangkan di lobi parlimen, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan penubuhan sebuah badan bebas bagi menyiasat kes tersebut, sebaik sahaja pulang daripada menghadiri Mesyuarat Ketua-ketua Kerajaan Komanwel di Malta.

Apabila mengetahui kes yang "memalukan perkhidmatan polis" itu, Perdana Abdullah yang "berang dan kecewa", terus mengarahkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan supaya menyiasat rapi kejadian tersebut tanpa sebarang "cover up".

Di samping itu, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Azmi Khalid pula diarah supaya bergegas ke negeri China untuk meminta maaf di atas kesilapan yang dilakukan, dan meyakinkan rakyat China bahawa pihak bekuasa Malaysia tidak pernah mensasarkan wanita negara itu atau menganggap mereka masuk ke Malaysia untuk tujuan yang tidak diingini.

Menurut media, laporan penuh siasatan kes tersebut, termasuk maklumat terperinci mengenai mereka yang bertanggungjawab melakukannya dan bagaimana ia boleh berlaku, serta laporan siasatan awal mengenai empat pelancong wanita dari China yang dipaksa menanggalkan baju dan diaibkan di balai polis, telahpun disampaikan di tangan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar.

Langkah segera mengumumkan penubuhan badan siasatan bebas tersebut amat perlu dan bijak memandangkan kejadian itu sukar lagi dilihat sebagai satu kes terpencil, baik oleh rakyat negara kita, maupun oleh rakyat China.

Sesiapa yang pernah melayari laman-laman web di China berkaitan kes ini, tentu bersetuju bahawa jika tidak diselesai dengan cepat dan adil, dan ia mungkin menyebabkan rakyat China 'hilang sabar' dan menyemarakkan kemarahan mereka terhadap negara kita dan memburukkan hubungan baik antara kedua-dua China.

Kita tidak menafikan keyakinan Menteri Luar Datuk seri Syed Hamid Albar bahawa China mengiktiraf ketelusan dan keikhlasan langkah Malaysia menubuhkan badan siasatan bebas yang jarang kita lakukan.

Pulihkan keyakinan

Namun, kita juga tidak harus lupa bahawa inisiatif negara kita untuk segera menghantar Menteri Hal-Menteri Dalam Negeri ke negeri China untuk meminta maaf bagi kesilapan yang telah dilakukan itu, telahpun ditangguhkan oleh pihak China.

Duta Besar China ke Malaysia Wang Chungui berharap kes itu akan diselesaikan "secara adil dan sewajarnya" (kata diplomatik yang tidak sukar diertikan) untuk memulihkan keyakinan rakyat China terhadap Malaysia, terutamanya para pelancong yang telahpun kian merosot.

Jurucakap Kerajaan China dalam suatu kenyataan yang disiarkan pada 29 November pula, menuntut supaya diambil tindakan bagi melindungi maruah dan keselamatan peribadi warga China, dan mencegah berulangnya insiden yang mengaibkan wanita China itu.

Di samping itu, Kerajaan China menegaskan bahawa negara itu memandang berat beberapa insiden kebelakangan ini di mana wanita China telah diaibkan, dan menuntut agar mereka yang bertanggungjawab melakunya, dikenakan tindakan sewajarnya.

Selain latarbelakang tersebut, badan siasatan bebas itu amat diperlukan memandangkan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Musa Hassan dan Timbalan Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Datuk Noh Omar, secara terang-terangan melindungi polis wanita yang terbabit, dengan mengatakan dia tidak bersalah kerana mengikut apa yang dinamakan "standard procedure", yang telah dipertikaikan oleh kalangan peguam.

Noh menekankan wujudnya peraturan di bawah undang-undang mengenai pemeriksaan badan. Mengenai definasi 'pemeriksaan badan' dan setakat mana pakaian patut ditanggalkan, beliau tetap percaya "polis bertindak mengikut arahan dan peraturan yang dibenarkan". Tambahan pula, ia bukan kes terpencil. Dalam aspek ini, hujah Presiden Majlis Peguam, Yeo Yang Poh cukup meyakinkan (terjemahan:

" Sesetengah pihak mungkin menganggap ini satu insiden yang jarang berlaku. Bagaimanapun, adakah sesiapa yang benar-benar dan secara jujur percaya bahawa ia satu insiden terpencil? Untuk berhujah bahawa ini adalah satu insiden terpencil, seseorang itu mesti puashati bahawa banyak kisah-kisah yang menakutkan yang diceritakan itu hanya pembohongan semata-mata, yang sengaja direka oleh begitu ramai orang yang berlainan kepercayaan, di berlainan tempat dan masa; dan mereka ini, walaupun tidak kenal satu sama lain, entah mengapa berkomplot untuk memperdaya rakyat kita dengan mereka-reka cerita sebegitu terperinci dan sebegitu mirip kisahnya."

Kes dalam negeri

Jika Kerajaan Barisan Nasional ikhlas dan bertanggungjawab, ia tidak harus menubuhkan badan siasatan bebas hanya untuk meredakan kemarahan rakyat China demi memulihkan keyakinan pelancong negara itu supaya terus datang ke Malaysia pada masa yang akan datang.

Kes-kes yang membabitkan rakyat negara kita juga patut disiasat, umpamana kes Norazimah Nor yang sudah tampil di bangunan Parlimen baru-baru ini, untuk mendedahkan bahawa pada 5 November 2000, beliau telah diarahkan berbogel dan melakukan tekan tubi atas bangku di dalam lokap. Kes Norazimah telah dilaporkan kepada Suhakam Malaysia.

Puluhan, malah ratusan kes penyeksaan atau mengaibkan tahanan ISA atau tahanan yang lain yang lebih serius yang berlaku di tempat tahanan dari semasa ke semasa, termasuk mereka yang masih dalam Kem Tahanan Kemunting sekarang ada antaranya telahpun dikemukakan kepada Suhakam juga patut disiasat satu persatu.

Amaran Presiden Majlis Peguam itu patut dipandang berat (terjemahan): Jika kita berterusan tidak mengambil tindakan sewajarnya, jika kita terus menerus menafikannya, jika kita memandang remeh keseriusan masalah itu, dan jika kita tidak berani mengakui wujudnya masalah yang cukup besar di sini akibat kelalaian sejak berdekad-dekad lalu dan keruntuhan yang sudah sekian lama berlaku, sehingga nanti sudah terlewat untuk menyekat terjerumus sepenuhnya menjadi sebuah negara polis, satu kebimbangan telah disuarakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Aziz baru-baru ini secara yang patut dipuji.