Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images

Gadis-gadis Himeyuri adalah dara sunti yang sedang kembang mekar antara usia 15 sehingga 19 tahun. Beberapa bulan, malah tahun, mereka sudah dilatih menjadi askar. Nama Himeyuri diberi sebagai nama gelar untuk pelajar sekolah perempuan Okinawa dan sebuah lagi, sekolah tinggi perempuan. Begini; bayangkan sebuah sekolah dambaan remaja. Terdapat laluan sepanjang 260 kaki menuju ke pintu sekolah dengan teduhan dedaun pokok akasia. Sebuah sekolah yang diimpikan kerana mutu pengajaran dan pembelajarannya.

Sekolah-sekolah ini diasaskan ketika era Meiji iaitu antara 1868 sehingga 1912 dan diletakkan berdekatan ketika era Taisho iaitu antara 1912-1926. Ia merupakan syurga untuk anak-anak perempuan. Meskipun dipisahkan daripada ibu-bapa dalam keadaan masih muda, mereka menikmati alam anak-anak bersama teman-teman, bergelak ketawa dan senda gurau. Apatah lagi sekolah mereka amat lengkap; disiap dengan perpustakaan, kolam renang, asrama dan kelas pengajian yang bertaraf tinggi.

Sejak tahun 1890, sistem pendidikan Jepun menerapkan gagasan chuko yang menekankan kesetiaan kepada Maharaja seraya menghormati ibu-bapa. Di Okinawa, di samping Jepunisasi yang sungguh agresif, anak-anak Himeyuri bukan sahaja dipastikan sedar dan faham tentang cita-cita ketenteraan Jepun lantaran bermulanya perang di Manchuria pada tahun 1931; tetapi juga terpaksa meninggalkan budaya Ryukyu sedia ada. Mereka dipaksa berhenti bertutur bahasa mereka, menanggalkan pakaian yang merupakan identiti diri dan memberi tunduk hormat tanda sembah ke arah Istana Maharaja Jepun di Tokyo.

Mulai tahun 1941, pendidikan ala ketenteraan menjadi lebih kental. Pelajar dilatih menggunakan senjata paling asas seperti buluh runcing, menyelamatkan diri ketika serangan udara; dan ada ketika mereka dipaksa berjalan kaki sejauh 68 kilometer, bermula pada pukul dua pagi meredah hutan dan bukit kemudian kembali ke sekolah senja hari berikutnya.

Aku mengelipkan kelopak mata yang mulai basah. Mariko dari Yayasan Keamanan Sasakawa kadang-kala menolongku menterjemahkan keterangan dalam bahasa Jepun. Selepas berada di gua kematian Abuchiragama, satu-satunya tempat yang munasabah untuk memahami persoalan perang yang sungguh dahsyat ini adalah mengunjungi Muzium Anak-anak Himeyuri.

Di mataku terbina wajah gadis-gadis Himeyuri yang sedang galak, berjenaka sesama mereka; bercerita mungkin tentang buku sastera kegemaran, atau berbisik mengenai guru-guru lelaki mereka yang segak, dan kadang-kala menunjuk ajar pelajar yang lebih muda dan baru baligh tentang asas-asas keperempuanan.

Tahun 1941, perang melarat. Pada 8 Disember itu Pelabuhan Pearl di Hawaii diserang tentera Jepun. Amerika secara rasmi menyertai Perang Dunia Kedua. Pada hari yang sama, tentera Jepun mendarat di Kota Bharu dan menggempur Tanah Melayu menuju Singapura.

Demikianlah nasib Okinawa dan Tanah Melayu bertaut, setelah hubungan Ryukyu dan Melaka berakhir ekoran kedatangan Portugis.

Pada awal pagi 23 Mac 1945, tentera Amerika yang sendat dendam Pearl Harbour baru sahaja mendarat di Okinawa. Pengetua anak-anak Himeyuri, Kazuyoshi Nishioka, memberi ucapan kepada kumpulan remaja itu bahawa masanya sudah tiba untuk mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab ketenteraan dan menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi sebagai seorang Jepun. Mereka akan bertugas di hospital. Anak-anak itu, dalam debar, perasaan bercampur entah seronok entah ragu atau bimbang. Mereka membawa sama pakaian seragam sekolah, pensel, buku, bekal makan, sesetengahnya membawa satu dua mainan. Seburuk mana pun perang, mereka hanyalah anak-anak, masakan mereka akan diberi kerja yang rumit. Tentu sahaja mereka akan hanya berperanan sebagai pembantu juru-rawat.

Lapan belas orang guru dan 222 pelajar diagihkan ke pelbagai hospital dan klinik. Ada di antara hospital militari dibangunkan di dalam gua, seperti yang telah aku nyatakan dalam kolum sebelum ini. Pada 26 Mac 1945, tentera Jepun mendarat di Pulau Kerama yang paling dekat dengan kota Naha. Di pihak Amerika, keseluruhan bala tentera mereka adalah 540,000 orang sementara tentera Jepun dari tanah besar berserta tentera yang dipaksakan dari Okinawa berjumlah sekitar 110,000 orang.

Anak-anak Himeyuri tidak tahu, Okinawa akan terakam dalam sejarah sebagai tempat tempur paling ganas dalam sejarah kemanusiaan.

Aku berfikir, mengapa manusia sering ditimpa ketidakadilan. Palestina, Kashmir, Rohingya, dan Okinawa juga. Ryukyu atau Okinawa adalah tempat untuk Jepun melengahkan ketibaan Amerika. Okinawa mestilah menjadi tempat sembelihan agar paling kurang pun sehari dapat ditambah, supaya Jepun tidak dikuasai Amerika. Okinawa mesti menjadi korban. Tambah pula Okinawa hanyalah tanah jajahan Jepun. Orang Ryukyu bukanlah orang Jepun sebenar. Apatah lagi Okinawa memang terletak di laluan paling strategik untuk dijadikan tempat pembakaran.

Jadi di hadapanku adalah kisah anak-anak Himeyuri yang masih bawah umur dan tidak mengenal erti peperangan. Mereka ibarat dilemparkan ke dalam beberapa gua yang ada di selatan Okinawa. Mereka dipaksa melakukan kerja berat di dalam kegelapan gua tanpa henti.

Di Muzium Himeyuri, bertahun-tahun setelah mereka memendam rahsia dan enggan bercakap dek trauma perang, akhirnya para korban yang terselamat mendirikan muzium keamanan ini dengan hasrat agar generasi mendatang mengerti apa yang mereka lalui.

Tugas gadis Himeyuri antara lain ialah menanam atau membuang mayat dari dalam gua ke luar, memasak nasi (yang dikepal sebesar bola pingpong untuk pesakit), membuang anggota tangan atau kaki tentera yang sudah dipotong doktor akibat kecederaan, atau membersihkan luka askar yang kebanyakannya sudah dihurung ulat dan lalat.

Pesakit di dalam gua itu ada yang mengalami kekejangan otot dan kancing gigi. Terdapat mereka yang mengalami kecederaan di kepala dan berleter entah apa. Pesakit mengeluh dan berteriak kerana kesakitan, kehausan, kelaparan, dan kesejukan. Dalam gua yang sungguh basah dan lembab, anak-anak Himeyuri juga ditimpa demam keras kerana haid mereka tertahan dan badan yang kecil tidak dapat menanggung kerja berat yang dipaksakan.

Di Muzium Himeyuri, kisah-kisah penderitaan dan pengalaman di dalam gua itu dikembalikan dengan wajah menerusi foto mereka. Turut dipamerkan barangan sekolah yang mereka bawakan dan tertinggal di dalam gua. Gadis yang terselamat dan kini sudah tua tidak menganggap diri mereka bertuah. Mereka mengalami igauan setiap malam, dan di muzium itu mereka menjadikan ia satu terapi; menceritakan.

Mereka kembali untuk menceritakan agar anak-anak hari ini tidak perlu melalui apa yang pernah terjadi. Muzium itu bukan sekadar tempat longgok barang pameran, tetapi merupakan sebab akibat yang disusun dengan rapi untuk kembali mengenang bagaimana Jepun setelah menakluk Ryukyu atau Okinawa, membiarkan mereka menjadi korban beramai-ramai.

Terdapat dua buah kisah mangsa yang berbekas dalam ingatanku, dan pada malam aku pulang ke hotel; aku merasa sukar tidur.

Pertama, kisah yang disampaikan oleh Tsuneko Kinjo yang pada waktu itu berusia 15 tahun dan bertugas di Gua Ichinichibashi. Setelah ditinggalkan oleh pihak tentera yang berundur, guru anak Himeyuri, Arakaki menganjurkan mereka membunuh tentera musuh yang menghampiri pintu gua. Belum pun sempat apa-apa dilakukan, askar Amerika melontarkan bom fosforus yang dengan segera membakar kulit. Kawan-kawan Tsuneko dalam kesakitan terpaksa menahan pula lemas apabila gas pemedih mata pula dilontarkan askar Amerika ke dalam gua itu. Mereka saling bertimpaan mencari air untuk membolehkan diri bernafas.

Dalam gelap bukat itu, Tsuneko terjatuh ke bahagian gua yang lebih dalam dan pengsan. Apabila tersedar beberapa hari kemudian, dia harus keluar merangkak di atas mayat yang bergelimpangan. Ternyata hanya dia seorang yang masih hidup. Dan dalam gelap dan sunyi, Tsuneko mendengar dengan jelas, bunyi ulat sedang menggerogoti daging dan luka kawan-kawannya yang terbunuh sebelum itu.

Kisah kedua, Hisa Kishimoto yang ketika itu berusia 17 tahun dan bertugas di unit pembedahan kedua. Beliau diminta membantu meredakan ketakutan dan kesakitan seorang tentera yang akan dipotong lengan. Hisa memegang lengan pemuda yang sedang menangis ketakutan itu. Dia menggenggam erat lengan untuk menenangkan pesakit. Saat doktor meleraikan tangan dari badan; dengan jeritan yang kekal bersipongang, Hisa mendapati lengan dan genggaman tangan yang sudah pun terpotong masih melekat di tangannya dan dia tidak dapat menanggalkan. Hisa memberitahu, tangan itu masih panas meski sudah terpisah dari badan tuannya, dan ia masih hidup seolah-olah tidak mahu melepaskan tangannya. Hisa menjerit ketakutan sehingga berhempas pulas meleraikan tangan itu dari tangannya.

Pada 18 Jun 1945, apabila skuad bantuan gadis Himeyuri dibubarkan secara rasminya, anak-anak sunti itu kehilangan panduan. Ada yang memilih untuk tinggal di dalam gua dan terbunuh di dalamnya. Ada yang memilih untuk membunuh sesama sendiri. Ada yang keluar dan kemudian diterkam musuh dan menjadi mangsa. Ada yang terselamat setelah ditawan. Ada yang hilang arah menyusur ke pantai dan ditelan ombak ganas.

Sebuah tugu mengenang gadis Himeyuri didirikan pada 5 April 1946, setahun selepas Perang Dunia Kedua berakhir. Setiap tahun bunga diletakkan. Setiap tahun kenangan lampau dipugar. Setiap tahun mereka cuba menjelaskan kepada roh yang telah pergi, mereka tidak memilih dengan sengaja untuk terus hidup dan membiarkan yang lain mati sia-sia.

Okinawa. Okinawa. Betapa banyak penderitaan Okinawa.

Tahun demi tahun, keamanan dan perdamaian menjarakkan mereka dari luka dan ketakutan perang. Namun ia tidak memadamkan pengalaman yang mereka lalui.

Bersambung...

Bahagian 1: Okinawa melawan
Bahagian 2: Menangis di Haebaru
Bahagian 3: Gua kematian Itokazu Abuchiragama


FAISAL TEHRANI pengarang dan felo pengkaji di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS