Tewas di Pengkalan Pasir, kini apa pilihan PAS?
Sah, Pengkalan Pasir sudah menjadi milik Barisan Nasional (BN) walaupun dengan majoriti tipis 134 undi. Saya ada di Pengkalan Pasir dari 2 hingga 4 Disember 2005 ketika kempen sedang hangat dan diberitahu tentang harapan cerah calon PAS untuk menang, antaranya faktor Anwar Ibrahim, faktor Ibrahim Ali, faktor perubahan sikap pengundi Cina dan faktor Annuar Musa yang sudah menjadi beban BN.
Sah, Pengkalan Pasir sudah menjadi milik Barisan Nasional (BN) walaupun dengan majoriti tipis 134 undi. Saya ada di Pengkalan Pasir dari 2 hingga 4 Disember 2005 ketika kempen sedang hangat dan diberitahu tentang harapan cerah calon PAS untuk menang, antaranya faktor Anwar Ibrahim, faktor Ibrahim Ali, faktor perubahan sikap pengundi Cina dan faktor Annuar Musa yang sudah menjadi beban BN.
Kehadiran 10 ribu orang di majlis ceramah Anwar telah dilaporkan secara besar-besaran di dalam dan luar negara, sebagai bukti karisma dan pengaruh politik bekas Timbalan Perdana Menteri itu masih gah, dan kehebatannya kembali ke arena politik tanahair.
Namun kita tidak tahu berapa orang pengundi atas pagar atau penyokong BN yang dapat diyakinkan oleh Anwar, lalu mengundi calon PAS dalam pilihanraya kecil itu. Namun kemungkinan besar, jika Anwar dan tokoh BA lain turun padang beramai-ramai untuk berkempen, sepertimana yang dilakukan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak bersama tokoh BN lain, lebih banyak undi akan diraih oleh calon PAS.
Sayang sekali mereka tidak begitu berminat untuk berkempen dan berkampung bersama pengundi. Hingga sekarang, saya masih tertanya-tanya, kenapa tokoh BN lebih rela dan bersemangat untuk turun padang bagi memenangi pilihanraya kecil Pengkalan Pasir, malah merampas kuasa politik Kelantan?
Tentang Ibrahim Ali pula, beliau diyakini mampu membantu PAS, kerana dalam pilihanraya umum lalu, beliau mendapat kira-kira 1,500 undi daripada kawasan Pengkalan Pasir. Daripada jumlah itu, dianggarkan dua pertiga daripadanya adalah ahli Umno.
Oleh itu, dipercayai beliau akan memecahkan lebih banyak undi Umno berbanding yang bakal diperolehi oleh PAS. Harapan ini hancur kerana Ibrahim tidak begitu serius untuk berkempen. Siapa tahu jika ada udang di sebalik batu!
Suatu lagi tanda baik bagi calon PAS ialah pengundi Cina telah mulai mengubah sikap mereka menjadi pro-PAS, sehingga ada cogankata yang berbunyi: Masyarakat Cina sudah menyokong PAS, bagaimana dengan orang Melayu?
Petugas luar
Namun suatu kelemahan nyata ialah sebahagian besar perayu undi Cina terdiri daripada petugas luar dan hampir tiada petugas tempatan langsung. Ini bermakna PAS gagal bertapak dalam masyarakat Cina walaupun di kubu tradisi parti itu.
Bagaimanapun, kempen bertubi-tubi oleh puluhan perayu undi yang terdiri daripada petugas Parti Keadilan Rakyat, terutamanya di pekan Pasir Mas, nampaknya berjaya menarik lebih 100 undi Cina, tetapi belum mencapai 30 peratus seperti yang disasarkan.
Faktor-faktor lain seperti undi rosak yang tinggi (158 undi), peratusan keluar mengundi yang meningkat kepada 83.4 peratus, undi pos (261 undi), dan mungkin juga pengundi hantu yang didakwa oleh PAS, adalah penyebab kekalahan PAS.
Masalah pengundi pos dan pengundi hantu bukan isu baru, tetapi isu yang dibangkitkan dalam setiap pilihanraya kecil atau umum. Rasanya sudah tibalah masanya bagi parti pembangkang mencari penyelesaian tuntas berhubung pengundi pos, pengundi hantu dan sebagainya untuk menjamin pilihanraya yang adil dan bebas sebelum turun padang.
Setiap kali pembangkang kalah, tentu ada pihak yang menyeru supaya memboikot pilihanraya yang tidak menguntungkan pembangkang, melainkan undang-undang dan peraturan pilihanraya diubahsuai sehingga dapat menjamin pilihanraya yang betul-betul adil dan bebas.
Ini sesuatu yang amat penting tetapi sukar untuk dicapai kata sepakat di kalangan parti pembangkang terbabit. Segala bantahan, malah ura-ura hendak membawa setengah kes ke mahkamah, bukan saja sukar hendak berjaya, sebaliknya mensia-siakan tenaga dan wang serta melemahkan semangat perjuangan petugas pembangkang.
Jentera PAS lemah
Satu lagi faktor yang saya kesan ialah kelemahan jentera pilihanraya PAS. Jika ia berfungsi seperti yang sepatutnya, Pengkalan Pasir dapat dipertahankan dan sekaligus mengukuhkan kuasa politik PAS di negeri itu.
Ketika di sana, saya tidak terasa kesungguhan dan keberkesanan jentera pilihanraya PAS berfungsi. Seorang kawan daripada media mengadu sukar untuk mendapat jadual aktiviti calon dan bahan-bahan kempen yang terbaru daripada pihak PAS. Sidang akhbar harian juga tidak diadakan.
Beliau merasa sukar hendak mendapatkan bahan-bahan kempen daripada pihak PAS untuk mengimbangi bahan-bahan BN yang terlalu banyak. Kini, yang terpenting sekali mungkin bukan lagi mencari bukti kewujudan pengundi hantu, kerana bukankah lima bas "pengundi hantu" telah berjaya ditahan, dan akhirnya dilepaskan sebagai "pelancong"?
Yang amat penting ialah mencari strategi yang berkesan untuk menyelamatkan kuasa politik PAS di Kelantan daripada dirampas oleh BN yang mendakwa ia "tidak mabuk kuasa". Dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia keluaran 27 November 2005, Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Annuar Musa sudah secara terang-terangan mendedahkan:
"Apabila kita menang di Pengkalan Pasir, ia akan membawa kepada proses pilihanraya negeri sebelum tamat tempoh dan ada pula yang meramalkan kemenangan BN itu akan menghidupkan semula proses 'menyeberang' kerana keyakinan di kalangan pemimpin PAS semakin terhakis dan tergugat."
'Seberang' parti
Nyata sekali telah wujud agenda Umno Kelantan untuk "membawa kepada proses pilihanraya negeri sebelum tamat tempoh"serta "akan menghidupkan semula proses "menyeberang". Dalam keadaan genting ini, adakah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS dijamin 100 peratus tidak akan 'menyeberang'jika ditawar habuan besar?
Dalam ceramah, seorang tokoh PAS dengan nada sinis mengatakan jika mahu 'menyeberang', sudah lama mereka 'menyeberang'!
Keyakinan seperti ini mungkin perlu dalam propaganda, tetapi dalam realiti menghadapi krisis, kita mesti mengaku kemungkinan itu memang wujud, dan tindakan pencegahan mesti diperketatkan supaya risikonya dikurangkan serendah-rendahnya.
Memang sukar hendak mencegah sebarang proses 'menyeberang', maka tindakan tegas dan cepat untuk membubarkan kerajaan Kelantan dengan diperkenan Sultan mungkin perlu diambil, demi mengelakkan pertukaran kerajaan Kelantan akibat Adun PAS 'menyeberang' ke pihak BN.
Kadang-kadang menyerang adalah taktik terbaik bagi mempertahankan diri. Jika menahan secara pasif bermakna PAS menunggu masa sahaja untuk diambil alih kuasa politiknya di negeri itu. Oleh itu, mungkin lebih bijak dibiarkan sahaja rakyat Kelantan menentukan sama ada mereka mahu PAS atau BN memerintah Kelantan!


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.