Bantahan terhadap BI adalah perjuangan semua kaum
Persidangan membantah pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah berlangsung pada 10 Disember 2005 di Kolej New Era Kajang. Ia dianjurkan oleh Dong Jiao Zong (DJZ) ringkasan untuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), dan disertai hampir 3,000 wakil lebih 600 badan pendidikan dan budaya pelbagai bangsa dan latarbelakang.
Suatu perkembangan penting DJZ ialah persidangan ini dianjurkan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dari masyarakat India Majlis Belia India Malaysia, Persatuan Dravidia Malaysia, Yayasan Pembangunan dan Penyelidikan Pendidikan Tamil Malaysia dan Kumpulan Rakyat Prihatin.
Kerana kesuntukan masa dan faktor-faktor lain, maka beberapa NGO Melayu yang terkenal dengan pendirian nasionalis mereka dan menentang dasar bahasa pengantar Inggeris, tidak dapat menghantar wakil-wakil mereka, meskipun dijemput menyertai persidangan tersebut.
Bagaimanapun, Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Kumpulan Media Independen (KAMI) bersetuju menjadi penganjur bersama persidangan itu bagi menunjukkan solidariti masyarakat Melayu dalam membela hak bahasa ibunda semua bangsa sebagai bahasa pengantar pengajaran/pembelajaran matapelajaran Sains dan Matematik.
Persidangan membantah pengajaran matapelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris telah berlangsung pada 10 Disember 2005 di Kolej New Era Kajang. Ia dianjurkan oleh Dong Jiao Zong (DJZ) ringkasan untuk Persekutuan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan Guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), dan disertai hampir 3,000 wakil lebih 600 badan pendidikan dan budaya pelbagai bangsa dan latarbelakang.
Suatu perkembangan penting DJZ ialah persidangan ini dianjurkan bersama badan bukan kerajaan (NGO) dari masyarakat India Majlis Belia India Malaysia, Persatuan Dravidia Malaysia, Yayasan Pembangunan dan Penyelidikan Pendidikan Tamil Malaysia dan Kumpulan Rakyat Prihatin.
Kerana kesuntukan masa dan faktor-faktor lain, maka beberapa NGO Melayu yang terkenal dengan pendirian nasionalis mereka dan menentang dasar bahasa pengantar Inggeris, tidak dapat menghantar wakil-wakil mereka, meskipun dijemput menyertai persidangan tersebut.
Bagaimanapun, Jemaah Islah Malaysia (JIM) dan Kumpulan Media Independen (KAMI) bersetuju menjadi penganjur bersama persidangan itu bagi menunjukkan solidariti masyarakat Melayu dalam membela hak bahasa ibunda semua bangsa sebagai bahasa pengantar pengajaran/pembelajaran matapelajaran Sains dan Matematik.
Di samping itu, ramai juga wakil Parti Keadilan Rakyat, PAS, serta ahli MCA dan Gerakan yang hadir. Setiakawan dan keberanian mereka untuk membela kebenaran, patut disanjung tinggi. Persidangan itu berlangsung dalam suasana yang meriah dan bersatu padu.Bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Inggeris digunakan secara bebas.
Penggunaan pelbagai bahasa ditumpukan kepada tujuan dan hasrat bersama, iaitu mempertahankan bahasa ibunda Melayu, Cina dan Tamil sebagai bahasa pengantar dalam pengajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah.
Penggunaan pelbagai bahasa secara bebas itu tidak menggangu kelancaran perjalanan persidangan. Sungguhpun 80 peratus yang hadir adalah kaum Cina, namun bahasa Melayu yang merupakan bahasa utama persidangan, digunapakai dengan berkesan dan disambut baik oleh para hadirin.
Dasar BI rugikan Melayu
Mereka memberi tepukan gemuruh kepada Saudara Ahmad Lutfi Othman, jurucakap KAMI, apabila beliau mengatakan NGO Melayu sepatutnya tidak teragak-agak untuk bersama-sama menganjurkan persidangan tersebut kerana anak-anak Melayulah yang menjadi mangsa utama dasar bahasa pengantar Inggeris itu!
Wakil JIM Wilayah Persekutuan, saudara Zahir Hassan pula membidas kerajaan bahasa Inggeris yang ingin ditingkatkan, tetapi bahasa pengantar Sains dan Matematik pula yang ditukar, umpama kepala yang sakit, tetapi kaki yang diubati!
Perbandingan beliau ini juga disambut dengan sorakan gemuruh. Apabila Pengerusi Kumpulan Rakyat Prihatin, Saudara K. Arumugam memulakan ucapannya dalam bahasa Tamil untuk kemudahan dan keselesaan hadirin India, beliau diberi tepukan hangat sebagai tanda hak beliau untuk menggunakan bahasa ibundanya, dihormati.
Bila beliau menggunakan bahasa Melayu dan menyentuh kritikan Pengerusi Dong Zong, Dr Yap Sin Tian terhadap sikap petualang atau oportunis setengah parti politik dan persatuan yang duduk di atas pagar, secara bergurau beliau berkata masyarakat Cina masih ada pagar untuk duduk, tetapi masyarakat India langsung tiada pagar untuk ditumpangi!
Presiden Yayasan Tamil pula, Saudara M. Manogaran menyebut tentang "position paper 2003 UNESCO" yang menegaskan: "Mother tongue instruction is essential for initial instruction and literacy and should be extended to as late a stage in education as possible."(Terjemahan: "Pengajaran bahasa ibunda adalah amat penting di peringkat awal pengajaran dan celik huruf dan seharusnya dilanjutkan ke tahap yang setinggi mungkin dalam pendidikan.")
Golongan miskin terkorban
Beliau juga menyebut tentang rungutan ibubapa pelajar India bahawa keluarga yang termiskinlah yang menerima kesan paling buruk dari dasar bahasa pengantar Inggeris itu. Rungutan itu selaras dengan pendirian UNESCO: "In a situation where the parents are illiterate if the medium of instruction in school is a language that is not spoken at home, the problems of learning in an environment characterized by poverty are compounded, and the chances of drop-out increase correspondingly."(Terjemahan: "Dalam keadaan di mana ibubapa buta huruf sekiranya bahasa pengantar di sekolah bukan bahasa yang dituturkan di rumah, maka masalah pembelajaran akan menjadi lebih buruk, apatah lagi jika bercirikan persekitaran kemiskinan, dan peluang keciciran akan bertambah mengikut keadaannya.")
Dalam ucaptamanya di majlis itu, Dr Yap menekankan usaha menuntut penggunaan semula bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan dalam peperiksaan matapelajaran Sains dan Matematik, bagi memastikan keunikan dan status bahasa ibunda pelbagai kaum dapat dipelihara adalah selaras dengan semangat Deklarasi Hak Asasi Sedunia dan Perlembagaan Persekutuan.
Beliau juga mendedahkan dasar kerajaan untuk mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah pelbagai aliran pada tahun 2003 telah mengakibatkan pelajar menghadapi kecacatan dari segi bahasa, pemahaman, dan seterusnya mengurangkan motivasi pelajar untuk belajar, serta membantutkan perkembangan mental dan fizikal mereka.
Seterusnya Pengerusi Jiao Zong, Ong Chiow Chuen pula mengingatkan para hadirin bahawa persidangan tersebut bukan semata-mata untuk mempertahankan hak pendidikan bahasa Cina, tetapi memperjuangkan hak bahasa ibunda setiap kaum.
Tambah beliau, walaupun banyak pertubuhan menyuarakan perasaan bimbang terhadap kesan negatif dasar terbabit, namun sehingga hari ini, kerajaan masih belum megambil sebarang tindakan munasabah untuk menangani krisis yang dihadapi oleh semua kaum itu.
Menurutnya, isu tersebut juga merupakan krisis negara dan ia memerlukan penyelesaian segera.
Selain itu, prinsip 4M yang dikemukakan oleh Pengerusi Dewan Perhimpunan Cina Selangor, Dato Bong Hon Liang juga patut dipandang berat, malah dijadikan panduan, iaitu:
Menggantikan manipulasi politik dengan pimpinan profesionalisme/pakar pendidikan.
Menggantikan pelaksanaan tergesa-gesa dengan perancangan yang rapi.
Menggantikan keputusan mutlak birokratik dengan permuafakatan pendapat umum.
Menggantikan komunikasi melalui orang tengah dengan dialog secara langsung .
Persidangan diakhiri dengan menerima sebulat suara resolusi-resolusi berikut:
Menyeru kerajaan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Bahasa Inggeris dengan bersungguh-sungguh, berdasarkan prinsip pengajaran dan pembelajaran bahasa bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan rakyat.
Menyeru kerajaan menimbang semula kesan negatif pengajaran dan pembelajaran Sains dan Maatematik dalam bahasa Inggeris di sekolah rendah.
Menyeru kerajaan memulihkan penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa pengantar dan peperiksaan bagi matapelajaran Sains dan Matematik di sekolah rendah.
Menyeru parti-parti dan pertubuhan-pertubuhan menegakkan pendirian untuk menyokong dan memastikan pendidikan bahasa ibunda terus berkembang dan kepelbagaiaan budaya semua kaum terus terjamin.
Sentimen perkauman
Dasar bahasa pengantar bahasa Inggeris ini dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, dan terpaksa diterima oleh parti-parti komponen BN seperti MCA, Gerakan dan MIC. Keengganan pemimpin dan parti-parti komponen BN itu bersuara, telah menyebabkan mereka hilang kewibawaan dan tidak dipercayai lagi masyarakat yang mereka wakili.
Lebih dikesalkan lagi, Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein secara melulu menuduh Dong Jiao Zong sebagai cauvinis dan menjadikan isu pendidikan ini satu isu politik.
Beliau cuba membangkitkan sentimen perkauman. Beliau telah menonjolkan kejahilannya dari segi pendidikan, dan masih terjerumus dalam politik perkauman yang sudah ketinggalan zaman.
Dalam keadaan ini, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sewajarnya tidak berlengah lagi untuk bertemu dengan delegasi persidangan tersebut supaya suatu dialog yang telus dan membina, dapat diadakan demi menyelesaian krisis pendidikan ini. Ini selaras dengan imej sederhana dan mesra rakyat yang beliau cuba bina. Ia juga bertepatan dengan hasrat beliau yang ingin mendengar hanya yang benar dari rakyat!

