Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Kolum

Dari mana datangnya kontroversi perjanjian Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Penindasan Berdasarkan Kaum (Icerd) ini? [Sengaja saya elak menggunakan perkataan diskriminasi bagi mengelakkan timbul keraguan dan kekeliruan].

Dari mana pula datangnya hujah Icerd ini boleh mengancam orang Melayu, Raja-Raja dan Islam sebagai agama persekutuan, sebagaimana yang dinyatakan pihak penganjur Himpunan Perpaduan Ummah yang membantah pengiktirafan Icerd ini.

Timbul pertanyaan, jika kita membantah penghapusan segala bentuk penindasan berdasarkan kaum, maka adakah kita tergolong umat yang menyokong penindasan kaum? Adakah wajar satu kaum menzalimi atau menganiayai kaum yang lain?

Jika jawapannya tidak wajar, kenapa pula takut, ragu-ragu dan bimbang untuk mengiktiraf Icerd.

Pada September lalu, ketika hadir Persidangan Agung PBB yang ke-73, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan meratifikasi kesemua konvensyen antarabangsa mengenai hak asasi manusia selepas mengkajinya secara mendalam.

"Bagaimanapun, hal ini tidak mudah kerana Malaysia sebuah negara majmuk dengan pelbagai etnik, agama, budaya dan bahasa," katanya ketika berucap di New York.

Pada 23 Oktober lalu, Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) Jerald Joseph berkata Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, yang menyatakan kedudukan istimewa bumiputera, tidak akan terjejas walaupun kerajaan menandatangani Icerd.

Beliau berkata, ini kerana Perkara 153 juga menyatakan peranan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang melindungi semua warganegara.

Klausa 1 Perkara 153 menyatakan "menjadi tanggungjawab YDPA untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini."

"Keabsahan komuniti lain dinyatakan dalam ayat yang sama, jadi tiada pilihan yang pelbagai di sini, anda tidak boleh menjaga satu (komuniti) dan mengabaikan yang lain," katanya.

Kenyataan Jerald ini mengulas MP Rembau Khairy Jamaluddin yang bertanya soalan di parlimen tentang bagaimana Icerd akan menjejaskan Perkara 153 perlembagaan.

Perbahasan hangat mula tercetus selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri P Waythamoorthy mengumumkan pada 24 Oktober, Icerd antara enam konvensyen hak asasi manusia yang akan kerajaan meterai menjelang suku pertama tahun depan.

Sejak itu, bermulalah Icerd menjadi bahan pembangkang Umno dan PAS menyerang pentadbiran Pakatan Harapan dengan menggunakan Waytha sebagai sasarannya.

Kalau menurut suara salah seorang pemimpin veteran PAS yang membantah Icerd, kesilapan pentadbiran Najib Razak yang diulang Dr Mahathir adalah melantik, "orang India tak berparti" ke dalam jemaah menteri.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi pula pada awal November menegaskan Umno menolak sekeras-kerasnya ratifikasi Icerd dan memberi amaran supaya "jangan usik Raja-Raja, bahasa Melayu dan agama Islam."

Pada 17 November lalu, di Pasir Salak, PAS dan Umno berjanji hadir perhimpunan membantah Icerd pada 8 Disember ini.

Menambah kebimbangan apabila Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim sendiri menyatakan keraguan mereka untuk pentadbiran PH mengiktiraf Icerd buat masa ini.

Antaranya, Mahathir menjelaskan PH tidak mempunyai majoriti dua pertiga di parlimen untuk membolehkan pindaan perlembagaan bagi mengiktiraf Icerd.

Anwar pula berkata manakala dokumen Icerd itu baik tetapi pelaksanaannya dapat menimbulkan kegelisahan.

"Tetapi pelaksanaannya atau untuk kita meterai harus kita ambil kira, kebimbangan, keresahan dan kemungkinan mencetuskan ketegangan kaum.

"Jadi tujuannya baik tetapi pelaksanaannya itu menimbulkan satu lagi kegelisahan," jelas beliau yang berkata Icerd wajar ditangguhkan.

Akhirnya, pada 23 November perdana menteri menutup wacana Icerd ini buat sementara waktu apabila memuktamadkan kerajaan PH tidak akan menerima Icerd.

Saya berpendapat mengiktiraf Icerd akan menambah rasa hormat, mengukuhkan serta mengangkat martabat Raja-Raja, orang Melayu dan agama Islam di mata dunia.

Bukankah Islam menentang segala bentuk penindasan berasaskan warna kulit, suku, kaum, agama dan bangsa?

Icerd dipersetujui menjadi konvensyen PBB pada 21 Disember 1965 dan hari ini sebanyak 179 buah negara telah mengiktiraf Icerd.

Maksudnya, daripada 193 negara anggota PBB, tinggal 14 buah negara lagi yang belum menandatangani Icerd, seperti Korea Utara dan Myanmar.

Apabila Dr Mahathir menyuarakan bantahan terhadap Aung San Suu Kyi di pentas Asean dan PBB mengenai nasib penindasan Rohingya, pemimpin Myanmar itu akan dengan mudah mematahkan hujah bahawa Malaysia tidak layak mengkritik hal penindasan kaum kerana masih belum mengiktiraf Icerd.

Begitulah halnya, nasib minoriti etnik Uighur di China dan konflik Israel-Palestin di timur tengah, suara Malaysia hanya laku di kampung sendiri sahaja. Ini kerana China dan Israel juga mengiktiraf Icerd.


Baca berkaitan: 

Dr Mahathir: Saya salam Suu Kyii sikit-sikit saja

Laporan: Anwar mahu bangkit isu Uighur ketika berkunjung ke Beijing

Dijatuhi hukuman mati sebab tunaikan haji - Laporan


Banyak juga negara yang mengiktiraf Icerd dengan syarat dan pengecualian, mengambil kira kedudukan perundangan serta dasar negaranya.

Klausa 4 Fasal 1 Icerd menyatakan:

“Special measures taken for the sole purpose of securing adequate advancement of certain racial or ethnic groups or individuals requiring such protection as may be necessary in order to ensure such groups or individuals equal enjoyment or exercise of human rights and fundamental freedoms shall not be deemed racial discrimination, provided, however, that such measures do not, as a consequence, lead to the maintenance of separate rights for different racial groups and that they shall not be continued after the objectives for which they were taken have been achieved.

(Langkah-langkah khusus yang diambil dengan tujuan tunggal untuk mencapai kemajuan yang mencukupi bagi sesuatu kumpulan kaum atau etnik tertentu atau individu yang memerlukan perlindungan sedemikian supaya memastikan kumpulan atau individu yang sama menikmati atau dilindungi hak asasi manusia dan kebebasan asasinya maka ia tidak akan dianggap diskriminasi (penindasan) kaum, dengan syarat, bahawa langkah-langkah sedemikian tidak mengakibatkan, membawa kepada penyelenggaraan hak-hak yang berasingan bagi kumpulan kaum yang berbeza dan hal ini tidak akan diteruskan setelah tujuan yang dirancang telah dicapai.)

Sistem beraja di Eropah dan lain-lain terus utuh walaupun telah memeterai Icerd; Belanda, Norway, Sweden memeterai Icerd pada 1966.

Thailand dan Jepun yang memeterai Icerd pada 1993 dan 1995 juga masih ada Raja serta Maharajanya.

Di kalangan 57 negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), cuma tinggal dua buah negara sahaja lagi yang belum mengiktiraf Icerd.

Sudan Selatan yang tidak mengiktiraf Icerd masih belum diterima keanggotaannya di dalam OIC.

Negara dengan penduduk Islam majoriti yang belum mengiktiraf Icerd adalah Brunei dan tentulah Malaysia - benteng terakhir daripada penebukan Freemason!

“Akhirnya, Icerd adalah agenda Freemason yang bertujuan merosakkan agama, bangsa dan negara.

“Adapun kepada kita, adalah menjadi keyakinan bahawa mengiktiraf Icerd laksana menebuk lubang dinding rumah kita bagi memberi laluan kepada nyamuk aedes masuk ke dalam rumah kerana hanya melihat pembiakannya daripada air yang bersih, tanpa menyedari terhadap bahayanya yang boleh membawa maut,” kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada 22 November lalu.

Menurut mantik bekas naib ketua Kesatuan Ulama Sedunia, pada tahun 2018 ini Icerd sedang mengancam Islam, bangsa dan negara.

Turki memeterai Icerd pada 13 Oktober 1972, Mesir pada 1966, Jordan pada 1974, Arab Saudi pada 1997 dan Palestin pada 2004.

Iran, Iraq, Bahrain, Oman, Pakistan, Indonesia dan semua negara-negara berpenduduk majoriti Islam lain yang mengiktiraf Icerd telah gugur di tangan Freemason.

Oleh kerana Sudan Selatan mengalami konflik perang saudara berpanjangan, maka benarlah mitos bahawa Imam Mahdi akan muncul dari kalangan bani Tanah Melayu di Asia Tenggara.

Imam Mahdi adalah janji yang pasti akan meruntuhkan pemerintahan Dajjal yang merajai dunia dengan organisasi Freemason.

Mengenai orde baru dunia yang diperintah Dajjal melalui Freemason ini, kita boleh merujuk huraian penceramah popular masyarakat Melayu Islam Malaysia di Youtube, Ustaz Auni Muhammad.

 Betapa umat Melayu Islam perlu bersyukur dengan kemunculan Imam Mahdi bani Ta(nah) Mim(elayu) dan kalimat kata-kata penuh keramatnya terus bergema di dalam sanubari, “ini bukan sekadar menyelamatkan rumah yang kecil, tetapi menyelamatkan kedaulatan umat dan negara.”

Saya tidak menuduh ‘imam Tamim’ ini ada niat gelap mahu menyelamatkan para pemimpin Umno yang sedang berhadapan tuduhan rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa dengan menggunakan isu-isu kaum dan agama.

Ini bukan zaman budaya lisan, mendengar-dengar tanpa menyelidik kesahihan maklumat.

Bacalah betul-betul Icerd pada pautan dokumen PBB di sini.

Jika masih tidak yakin lagi, terutamanya kepada bakal PM kita, saya minta jasa baik Pengarah Pengurusan Perpaduan, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Zulkifli Hashim memberikan kuliah khas dan taklimat tuntas mengenai Icerd. Seperti yang pernah beliau sampaikan dalam siri syarahan awam di Universiti Malaysia Sabah pada tahun 2017 lalu.


RAHMAT HARON ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS