Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
ICERD: Umno beri amaran jangan usik raja, Islam, bahasa
Diterbitkan:  Nov 6, 2018 5:06 PM
Dikemaskini: 9:06 AM

Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini meminta agar tidak ada pihak yang akan mengganggu Perlembagaan sedia ada termasuk menyentuh agama Islam dan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Ahmad Zahid turut menegaskan Umno menolak sekeras-kerasnya ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

“Jangan usik apa termaktub dalam perlembagaan, jangan usik umat Islam atau sama ratakan Islam dengan agama lain, jangan usik kedaulatan Raja-Raja Melayu, jangan ganggu gugat Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Kita bukan mahu jadi perkauman atau ekstremis agama, kita juga tidak minta lebih daripada itu, kita mahu hak-hak yang ada dalam perlembagaan dikekalkan,” katanya dalam ucapan pada majlis Bersama Presiden Umno di Seremban, hari ini.

Tambahnya beliau tidak menghalang hak beragama bagi agama-agama lain termasuk hak berbahasa mengikut kaum masing-masing namun tetap akan mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan sedia ada.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P. Waytha Moorthy mengesahkan kerajaan Pakatan Harapan komited untuk mengesahkan enam konvensyen hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun hadapan.

Katanya, komitmen itu bukan hanya daripadanya sendiri malahan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof.

- Bernama

Lihat Komen
ADS