Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Kolum
Antara si tua di Malaysia dan budak sekolah di Sweden

Usai perhimpunan kesyukuran Icerd, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad memandu di sekitar Kuala Lumpur. Sehari sebelumnya beliau mengingatkan peserta supaya menjaga aspek kebersihan.

Bekas pengerusi Bersih Ambiga Sreevenasan memuji penganjur yang berjaya melangsungkan dengan tertib, manakala Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada agensi kerajaan dan pasukan keselamatan yang bertugas.

Syukur, himpunan yang bertujuan membantah konvensyen PBB mengenai keadilan dan kesaksamaan kaum berlangsung aman, dengan kehadiran puluhan ribu manusia yang membanjiri Dataran Merdeka.

Timbul pertanyaan, benarkah Malaysia baru telah benar-benar merayakan apa yang telah termaktub dalam Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan?

Bersediakah pentadbiran PH dan masyarakat negara ini untuk menjadikan perhimpunan aman sebagai salah satu budaya nasion moden ini? Sebagaimana yang disebut setiausaha politik kepada MP Iskandar Puteri, Syahredzan Johan, “berhimpunlah kamu dalam Malaysia baru.”

Di sebalik kebebasan bersuara, hak berhimpun secara aman dan berpersatuan yang merupakan hak asasi manusia sejagat ini, perkara yang tidak kurang pentingnya adalah persoalan apa yang ingin disuarakan dalam persatuan dan perhimpunan aman itu?

Protes Thunberg

Saya ingin mengambil contoh, bantahan tunggal Greta Thunberg dari Sweden. Thunberg mogok tidak hadir ke sekolah sejak Ogos lalu bagi menyuarakan masalah perubahan iklim.

Pelajar berusia 15 tahun ini melakukan tunjuk perasaan di hadapan bangunan parlimen Sweden, dan berkata mogoknya hanya akan berhenti apabila Sweden mengurangkan 15 peratus pengeluaran karbonnya setahun.

“Sweden negara kaya dan kami memiliki pelepasan karbon untuk per kapita yang tinggi, jadi kami perlu lebih banyak mengurangkannya berbanding yang lain,” katanya, petik The Guardian.

Protes Thunberg ini memberi inspirasi kepada ribuan pelajar sekolah untuk ikut serta bantahannya. Mogok tidak ke sekolah itu telah merebak ke paling kurang 270 kota di serata dunia, termasuklah di United Kingdom, Belgium, Amerika Syarikat dan Jepun.

Pada 30 November lalu, ribuan murid-murid sekolah rendah dan menengah di Australia keluar berdemontrasi di bandar-bandar utama di seluruh negara bagi menggesa kerajaan bertindak menangani masalah perubahan iklim.

Mereka tidak peduli amaran Perdana Menteri Scott Morrison yang berkata, “murid-murid patut berada di sekolah dan belajar.”

Reaksi negatif

Tulisan terakhir saya mengenai Icerd banyak mengundang maklum balas negatif yang menandakan saya telah menyinggung perasaan ramai pihak. Beberapa malam saya tidak dapat tidur sebenarnya, barangkali ini kerana doa mereka yang merasa tertindas dengan tulisan saya.

Di dalam kepala saya pula, saya asyik teringat doa-doa jahanam pengkhianat yang telah diaminkan 100,000 orang yang paling beriman di antara umat Melayu kerana mereka menentang Icerd dan lebih tepat lagi PBB.

MP Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman mengungkapkannya dengan bahasa yang cukup jelas ketika berucap pada perhimpunan ‘syukur Icerd.’

"Go to hell with United Nation (pergi jahanam PBB)!”

“Mereka (PBB) hendak kita menerima konvensyen ini dan akan kenakan syarat-syarat, bagaimana kita hendak hidup dalam negara kita sendiri.

“Mereka nak kuasai sosiobudaya kita, minda kita, politik kita, hala tuju perjuangan kita orang Islam dan Melayu di negara ini,” katanya lantang.

Untuk itu dan bagi kesalahan-kesalahan saya yang lalu saya mohon kemaafan kepada sesiapa pun – kerana bermaaf-maafan tidak perlu menunggu Hari Raya. Telah banyak silap dan salahnya saya selama menumpang – selagi hayat di kandung badan - di tanah air ini.

Saya akui saya cuma pendatang sementara di dunia ini dan saya bukan manusia atau warga negara yang benar-benar baik, suci serta tinggi akhlak atau molek tata susilanya seperti bekas perdana menteri Najib Razak atau Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, jauh sekalilah Presiden PAS Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Lebih menyedihkan, saya mengakui perangai 'syaitan' saya yang buruk, saya sebenarnya menyimpan sikap iri, busuk hati dan dengki kerana saya tahu pada pandangan mereka, Abdul Azeez rahim, bekas pengerusi Tabung Haji itu atau ahli perniagaan dalam buruan Jho Low lebih baik tahapnya daripada saya:

“Ni spesies Melayu dan Islam murtad yang takdak maruah dah sebab hari2 makan tahi DAP...Takkan tak tau kot,” kata salah seorang yang meninggalkan komen di tulisan saya. Malah ada yang berkata, “mayat dia nanti bakar saja.”

Kesan buruk perubahan iklim

Di sebalik Icerd dan segala rencam serta rencah politik orang-orang dewasa dan matang di Malaysia baru ini, ingatlah juga pesan budak-budak sekolah dari Sweden, Australia dan negara-negara kafir itu.

Kerana tanpa planet bumi ini, tanpa alam yang boleh didiami, tidak ada ertinya lagi semua bentuk kehidupan bermasyarakat, negara, jual beli, niaga, politik - nikmat, seronok, sedap – persoalan nasional – sudah tidak penting lagi.

Kesan perubahan iklim akan menjadikan kita sekadar binatang sosial yang tidak ada bezanya dengan haiwan-haiwan lain yang diancam kepupusan. Kalau badak sumbu boleh pupus dari Malaysia, tak mustahil jika alam tidak dijaga, Malaysia pun akan pupus juga. Di mana Malaysia – kaum-kaum, nasion, negara - tanpa alam, tanah dan airnya?

Benar menurut saintis kesan buruk perubahan iklim itu bakal dirasai dalam kapasiti maksimumnya sekitar 50 ke 100 tahun lagi. Ramai di antara kita yang sudah arwah pada waktu itu.

Tetapi fikirkanlah nasib anak, cucu, cicit kita yang kita pinjam bumi ini daripada mereka. Jika kita memulangkan alam yang tercemar, hutan dan haiwan yang pupus kepada generasi akan datang, mereka yang terpaksa menanggung kesan cuaca melampau akibat perubahan iklim yang berpunca daripada perbuatan kita sekarang. Ini tentulah tidak adil namanya.

Dengan nama cinta, walaupun saya ini 'pengkhianat', di dalam dada dan jantung hati saya tersemat hasrat Malaysia yang sebenarnya bukan baru. Harapan sejagat yang akan terus saya semaikan selagi terdaya sebagaimana yang termaktub dalam cita-cita Rukun Negara 1970:

“Bahawasanya Negara kita, Malaysia mendukung cita-cita hendak:

• mencapai perpaduan yang lebih erat di kalangan seluruh masyarakatnya;

• memelihara satu cara hidup demokratik;

• mencipta satu masyarakat adil di mana kemakmuran Negara akan dapat dinikmati bersama secara adil dan saksama;

• menjamin satu cara liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaannya yang kaya dan berbagai corak; dan

• membina satu masyarakat progresif yang akan menggunakan sains dan teknologi moden.”

ARTIKEL BERKAITAN:

Amaran terakhir saintis: 12 tahun lagi

'Pencapaian' liar di Hari Hidupan Liar

Perubahan cuaca: Antara 'no way' dan Norway

Jangan ikut 'bye-bye' Trump pada Paris


RAHMAT HARON ialah wartawan Malaysiakini.

Tulisan ini tidak mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS