Paling Popular
Terkini

Kalau dilihat kembali sejarah penerbitan tulisan saya, akan kelihatan cukup banyak rencana berkenaan pentingnya ada hubungan baik dengan PAS.

Saya belum lupa apa yang saya kagumi - atau pernah kagumi - dalam PAS.

Sebagai satu parti politik, ia sangat unik. Mungkin ahli PAS sahaja yang memilih untuk menjadi ahli parti politik bukan kerana motif politik semata-mata.

Bagi ahli PAS, melibatkan diri dalam politik seumpama satu tugas suci.

Perbezaan ini tidak patut dipandang remeh. Wujudnya aktivis bersemangat dari PKR, Bersatu, Umno, DAP dan banyak lagi, tetapi kecenderungan ahli PAS memang lain sikit daripada yang lain.

Semangat ini dulu dirasakan dari akar umbi sehingga pimpinan tertinggi PAS. Bagaimana dengan PAS hari ini?

PAS hari ini yang telah menyelesaikan kes fitnah RM 90 juta di UK di luar mahkamah, juga telah memecahkan tembelang dalam kes pembohongan Ahli Jawatankuasa Pusat Nik Abduh Nik Aziz berkenaan rakaman suara beliau.

Deklarasi ‘kemenangan’ dedah kelemahan

Pada 2 Februari, PAS mengumumkan yang mereka akan selesaikan di luar mahkamah kes saman fitnah mereka terhadap Claire Rewcastle-Brown, editor Sarawak Report yang menyiarkan laporan mendakwa pemimpin PAS telah menerima RM 90 juta daripada Umno.

Dua hari selepas itu, rakan-rakan saya mula mengirim gambar-gambar poster yang dinaikkan di Segamat, memaparkan ucapan tahniah kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang atas ‘kemenangan’ beliau terhadap Sarawak Report.

Tindakan menaikkan poster ini mendedahkan kelemahan yang cukup ketara bagi pihak PAS.

Menafsirkan penyelesaian Abdul Hadi sebagai satu kemenangan tidak masuk akal. Rencana Sarawak Report yang asal masih lagi disiarkan, tanpa sebarang pindaan, penarikan ataupun pernyataan mohon maaf - seakan-akan apa yang dikatakan dalam rencana itu semuanya benar.

Malang sekali, modus operandi PAS memutar belit kebenaran sudah mula sebati dengan darah daging mereka.

Seterusnya, Nik Abduh berbohong secara terang-terangan tentang rakaman suara beliau membincangkan dana yang diterima oleh PAS daripada Umno.

Putar belit yang dilakukan kepimpinan PAS berkenaan isu ini sama sekali tidak masuk akal.

Kenyataan oleh Abdul Hadi dan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, cukup biasa dalam dunia politik.

Walau bagaimanapun, kenyataan Mursyidul Am PAS Hashim Jasin pula sangatlah menghampakan.

Hashim, penyandang jawatan yang dulunya dipegang oleh Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, menyatakan penipuan Nik Abduh ini halal, kerana dalam konteks PAS diserang oleh pihak lain.

Justifikasi yang dihujahkan adalah berdasarkan peristiwa Nuaym Masud.

Cukup jelas saya bukan dari kalangan ulama, tetapi saya rujuk perkara ini kepada rakan-rakan sekerja yang lebih arif berkaitan hal-hal ini.

Berdasarkan penyelidikan awal, saya dapati yang berbohong adalah dibenarkan dalam Islam apabila keadaan melibatkan nyawa.

Nukilan daripada Ihya' 'Ulum al-Din, yang dikarang oleh cendekiawan Parsi abad ke-11 Al-Ghazali, mengatakan:

“Memelihara nyawa seseorang Muslimin adalah wajib, dan berbohong adalah dibenarkan jikalau nyawa seseorang Muslimin itu terancam.”

Mantik ini boleh diguna pakai dalam kes Nuaym Masud, di mana tindakan yang diambil beliau bertujuan untuk mengelakkan peperangan dan menyelamatkan nyawa.

Adalah tidak masuk akal sama sekali untuk mengatakan bahawa Nik Abduh berbohong untuk mengelakkan pertumpahan darah.

Tafsiran yang lebih mudah dipercayai adalah Nik Abduh sedar rakaman suara itu akan mencemarkan reputasi beliau, lalu beliau cuba melepas diri dengan berbohong.

Imej suci PAS tercemar

PAS dan pihak-pihak lain memang berhak mengkritik tindakan Marzuki Yahya, Timbalan Menteri Luar Negeri, yang cuba memalsukan ijazah sarjana beliau.

Tetapi, pada masa yang sama, pembohongan Nik Abduh juga tiada bezanya, malah lebih teruk lagi, daripada kes pemalsuan kelulusan Marzuki.

Kejujuran adalah sifat teras yang diterapkan bukan sahaja dalam Islam, tetapi agama-agama lain juga.

Jikalau pemimpin PAS seperti Nik Abduh pun tidak boleh berpegang kepada nilai yang begitu asas ini, ditambah pula dengan pemimpin-pemimpin tertinggi PAS lain yang dua kali lima sahaja berkucar-kacir mempertahankan tindakan Nik Abduh, kita harus tanya - sejauh manakah integriti PAS telah jatuh?

Yang pastinya, cukup jauh dari zaman Allahyarham Tok Guru Nik Aziz.

Pasti ada sebabnya Allahyarham Tok Guru tegas menolak sebarang kerjasama dengan Umno sepanjang hayatnya. Begitu mudahkah ajaran Allahyarham dilupakan?

Berdasarkan pencapaian politik yang boleh dilihat hari ini, boleh kira wajar juga, tindakan pimpinan Amanah untuk keluar dari PAS beberapa tahun dahulu.

Malangnya, ini juga bermaksud bahawa sudah tiada pimpinan dalam PAS sendiri yang berani berdiri teguh dan menentang wabak ketidakjujuran yang melanda pimpinan PAS hari ini.

Permainan PAS yang bingung

PAS nampak semakin keliru dan terumbang-ambing berkenaan soalan siapa sebenarnya sekutu politik mereka.

Katakan mereka bercakap benar, dan pimpinan PAS berjumpa dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad untuk menyatakan sokongan mereka terhadap beliau sekiranya ada cubaan untuk jatuhkan beliau.

Jikalau perkara ini sahih, apa yang dimainkan oleh PAS ini?

Mereka sepenuh hati menyokong calon Umno yang bertanding lawan Mahathir dalam pilihan raya kecil. Pada masa yang sama, mereka juga menyatakan hasrat untuk menyokong Mahathir dalam parlimen.

Ini kelihatan seperti talam dua muka.

Malaysia pada hari ini memang mempamerkan dinamik politik yang agak kompleks. Namun, sekiranya seseorang memandang tinggi prinsip teras beliau, semestinya terendam sama basah, terampil sama kering.

Melihat geliang-geliut PAS yang licik lagi pelik hari ini, kita hanya boleh buat satu kesimpulan: bahawa PAS zaman ini tidak sama dengan PAS zaman dahulu.

Cukup parah, apabila melihat presiden Amanah Mohamad Sabu membaling kopiahnya akibat rasa kecewa dan marah dengan ‘pengkhianatan’ PAS. Kalau PAS tidak berubah, mungkin satu hari semua ahli-ahli PAS akan membuat perkara yang sama.

PAS memang berhak untuk menubuhkan parti politik berasaskan Islam, terutamanya dengan mengambil kira konsep Islam sebagai ad-Din.

Dalam berbuat demikian, PAS akan dinilaikan mengikut prinsip-prinsip Islam, yang boleh dikatakan prinsip yang paling tinggi dan tegas.

Kalau mereka ingin meyakinkan orang ramai bahawa pendekatan inilah yang terbaik, mungkin mereka harus meletakkan balik integriti dan haluan politik yang jelas sebagai asas perjuangan mereka.


NATHANIEL TAN bekerja di di EMIR Research, sebuah badan pemikir yang berfokuskan penyelidikan polisi berteraskan data, ditunjangi nilai-nilai konsultasi, moderasi, inovasi dan kerapian.

Tulisan ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS