Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Satu persoalan yang sentiasa membelenggu pemikiran rakyat ialah mampukah sistem politik negara berubah demi kebaikan dan kemajuan negara?

Sebagai seorang rakyat biasa, sudah pasti ini sesuatu yang kita semua impikan untuk berlaku kerana sudah 60 tahun lebih kita merdeka. 

Maka sepatutnya sistem politik negara sudah cukup matang. Lagipun bukankah negara kita sedang menuju ke arah status negara maju?

Apakah erti kemajuan jika sekiranya sistem politik masih di takuk yang lama iaitu dengan membawa tradisi dan mentaliti politik kelas ketiga? 

Kita sering membandingkan bagaimana menteri-menteri di negara-negara maju sanggup melepaskan jawatan jika berlaku sebarang kelemahan yang membabitkan portfolio atau kementerian masing-masing.

Kita juga melihat bagaimana ahli-ahli parti politik sendiri sanggup dan bersedia untuk berbeza dengan pandangan pemimpin parti sendiri. Lebih uniknya tindakan ini boleh diterima pimpinan parti dengan hati yang terbuka.

Harapan hanya debu

Ini semua merupakan idealisme yang kita cemburui dan mengharapkannya untuk berlaku di negara kita. 

Namun, harapan ini hanya menjadi debu apabila melihat sikap yang ada di kalangan para pemerintah sekarang.

Oleh itu, saya ingin menggariskan 20 ciri umum ahli politik negara yang memimpin negara pada ketika ini, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang.

Sama ada terima atau tidak, itu saya serahkan kepada anda untuk menilainya:

1. Pentingkan diri.

2. Amalkan rasuah.

3. Boleh berbohong.

4. Sanggup menikam belakang kawan sendiri.

5. Mementingkan parti bukan rakyat.

6. Melawat kawasan hanya pada musim pilihanraya.

7. Diri kaya tetapi rakyat miskin.

8. Boleh lompat parti.

9. Boleh 'dibeli'.

10. Bercuti di luar negara dengan belanja yang besar.

11. Talam dua muka

12. Masih menyokong ahli parti walaupun memang didapati bersalah.

13. Nampak berkelahi tetapi sebenarnya akrab.

14. Pandai bercakap tetapi tak pandai buat.

15. Suka putar belit untuk menang berhujah.

16. Boleh buat pusingan-U jika perlu.

17. Lain cakap, lain dibuatnya.

18. Tidak kena pertuduhan di mahkamah walaupun bersalah.

19. Boleh bangkang perkara yang betul.

20. ‘Pemenang kaut semua'.

Pilihan apa yang ada

Kesemua ciri ini tidak perlu dijelaskan lagi kerana rakyat secara umumnya pasti setuju dengan senarai di atas. Cuma mereka mungkin tidak ada pilihan selain dari terpaksa memilih apa yang ada sahaja.

Dengan sikap sebegini rupa, maka tidak hairanlah rakyat pada hari ini sentiasa tertipu dan ditipu oleh para politikus.

Walaupun polisi yang sedia ada sudahpun baik untuk rakyat tetapi ianya mustahil untuk dicapai dengan perangai pemimpin-pemimpin kita yang masih tidak berubah.

Tanah rezab Melayu akan terus hilang, sungai-sungai akan terus tercemar, syarikat-syarikat akan terus rugi, rakyat miskin akan terus papa kedana, yang kaya akan terus mengkaut keuntungan, yang lemah akan tetap ditindas, hubungan antara agama akan terus tegang, ahli agama akan terus bercakaran antara satu sama lain, maksiat akan terus berleluasa, sampah akan terus bertaburan di kaki-kaki lima, penjara akan terus penuh dengan banduan, rasuah akan masih berleluasa dan pelbagai lagi.

Pindaan demi pindaan dibuat terhadap undang-undang tetapi hasilnya tetap sama.

Politik kenegaraan lawan kepartian

Sistem politik yang berlaku pada hari ini boleh saya sifatkan sebagai politik kepartian; dalam erti kata lain ialah parti lebih penting dari segala-galanya.

Setiap kali tamatnya musim pilihanraya, maka mereka akan memikirkan terus tentang musim pilihanraya yang akan datang. Ini semua bertujuan untuk mengekalkan kuasa mereka.

Inilah punca sebenar yang melahirkan ahli politik yang mempunyai ciri-ciri yang saya senaraikan di atas.

Selagi sistem politik sebegini kekal, maka selagi itulah negara akan tidak mampu mencapai kemajuan yang sihat; dari segi ekonomi, sosial dan modal insan.

Negara perlu berubah kepada satu bentuk politik yang baru, iaitu yang saya istilahkan sebagai politik kenegaraan.

Fakta bukan sentimen

Politik kenegaraan ialah politik yang mementingkan rakyat dan kesejahteraan negara mengatasi parti, apatah lagi kepentingan diri.

Ciri utama politik kenegaraan ialah setiap parti politik mesti bersetuju dengan dasar-dasar dan asas-asas utama negara tanpa ada rasa khilaf. Mana-mana ahli politik yang merentasi garis sempadan ini perlu disingkirkan.

Contohnya, semua ahli politik mesti bersetuju untuk menolak semua cubaan pihak asing untuk campur tangan dalam pentadbiran negara.

Ciri politik kenegaraan yang kedua ialah penggabungan pemikiran daripada semua parti perlu digembelengkan tanpa ada mana-mana pihak rasa terancam kedudukannya. Maknanya, elemen 'pemenang kaut semua' perlu dihapuskan.

Faktor ketiga ialah perlu diadakan etika khas untuk setiap ahli politik dari kedua-dua belah pihak yang menyentuh soal disiplin, moral dan akhlak. Nilai-nilai murni ini harus dipegang dan diterima oleh semua parti dan kaum tanpa pengecualian.

Contohnya, berhujah hanya dengan fakta bukan sentimen semata-mata.

Banyak lagi ciri lain yang harus dipersetujui bersama sekiranya setiap ahli politik benar-benar ikhlas dalam perjuangan mereka untuk rakyat dan negara.

Jika tidak, saya sangat yakin bahawa negara bukan sahaja akan mudah diperkotak-katikkan oleh bangsa lain, malah rakyat akan terus menderita menagih perhatian, maka akan terhapuslah satu tamadun manusia yang sukar untuk dibina kembali.


AMINUDDIN YAHAYA ialah presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS