Paling Popular
Terkini

Tiada pilihan yang sempurna dalam hidup manusia. Pulangan datang dengan risiko, dan kita terpaksa menyerah sebelum menerima sesuatu. Begitu juga dengan undi kepada Pakatan Harapan dalam PRU14, yang mengundang keghairahan dan kekeluhan selepas 9 Mei 2018.

Untuk satu ketika, pengundi yang memangkah PH disindir sebagai “dikencing PH”, apabila menyaksikan pusingan U yang dilakukan oleh kerajaan yang baru setahun mendapat lesennya, dalam isu PTPTN, Lynas dan sebagainya.

Apapun, perkembangan terbaru sedikit mengujakan, apabila Dewan Rakyat meluluskan usul penurunan usia kelayakan pengundi kepada 18 tahun, disusuli dengan pendaftaran secara automatik; pembentangan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang tertangguh untuk 14 tahun selepas dicadangkan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Perjalanan dan Pengurusan PDRM, dan juga pelantikan jawatan utama perkhidmatan awam yang akan ditentukan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) pada masa depan.

Pembaharuan yang mencipta sejarah ini adalah hasil perjuangan rakyat yang menuntut perubahan, agar kepincangan dan kebobrokan institusi negara boleh dihentikan, dan kemudian diperbaiki, jika bukan dibina semula. Akhirnya, kita mula mengorak langkah menerokai jalan keluarnya, setelah sekian lama terhimpit dalam kebuntuan politik.

Ironinya, tatkala kita menaruh harapan agar langkah-langkah reformasi ini dipacu momentumnya, skandal seks gay pula mengalihkan tumpuan khalayak ramai. Perjuangan “reformasi” yang tercetus kerana “tuduhan liwat”, kini seakan-akan kembali semula ke titik asal setelah mengharungi liku-liku selama lebih dua dekad.

Tumbangkan Anwar dengan pembinaan sistem

Biar kita berdepan dengan realiti, bahawa video seks gay ini terjelma dalam konteks peralihan tampuk kuasa tertinggi, sebagaimana yang berlaku pada tahun 1998. Dan kita harus akur, tiada parti tanpa kabilah. Selagi manusia belum pupus, pergelutan kuasa akan tetap berlaku.

Jikalau diimbas sejarah dua dekad kebelakangan, terdapat dua faktor utama yang menjurus kepada kemelut politik Malaysia. Pertama, sistem semak imbang yang pincang; kedua, ketiadaan mekanisme peralihan kuasa daripada perdana menteri kepada pewarisnya. Ringkasnya, kuasa dipusatkan dalam genggaman PM untuk menentukan jatuh naik pewarisnya, yang juga pesaingnya.

Selagi kita tidak terkeluar dari kerangka lama, maka segala pergolakan yang berlaku sekarang tidak lebih sebagai perbalahan antara beberapa orang individu. Politik kita masih bersandarkan ketokohan individu, sungguhpun kita tidak digalakkan untuk menyembah berhala. Sedar atau tidak sedar, kita mula menerima konsep seperti “Mahathir berkuasa penuh untuk menentukan pewarisnya”, atau “biarlah Mahathir menyiapkan kerja-kerja yang diingininya sebelum bersara”.

Ya, dari satu segi, kita menghargai sumbangan seorang perdana menteri yang masih berhempas-pulas pada usia 94 tahun, tanpa menafikan bahawa beberapa agenda reformasi telah dijana di bawah pemerintahannya. Namun, dari satu sudut pula, beliau juga seorang ahli politik yang sedang memegang kuasa tertinggi. Beliau adalah insan yang mempunyai kelemahan seperti manusia biasa yang lain, dan berpotensi untuk melakukan dosa dan silap jikalau tidak dipantau.

Bukan sahaja Mahathir Mohamad, tetapi juga Anwar Ibrahim. Justeru itu, ia bukan soal sama ada Mahathir yakin bahawa Anwar adalah calon terbaik untuk menggantikannya; jauh lagi soal sama ada Mahathir suka Anwar atau tidak, tetapi bagaimana institusi politik kita dibina untuk menguruskan persaingan kabilah politik, dan juga mekanisme peralihan kuasa perdana menteri – agar tiada lagi perdana menteri yang menggunakan segala kuasa dalam genggaman untuk menjahanamkan pesaing politiknya.

Jadi, jikalau Mahathir benar mahu menjatuhkan Anwar, maka cara terbaik adalah membina sistem semak imbang yang berkesan, agar rakyat Malaysia mampu menumbangkan Anwar pada masa depan jikalau terbukti Anwar menyeleweng. Mansuhkan semua akta yang menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun agar rakyat boleh mengkritiknya. Bina semula sistem pilihan raya yang bersih dan adil, agar gelombang suara rakyat mampu menggulingkannya.

Peralihan kuasa PM

Berbalik kepada mekanisme peralihan kuasa perdana menteri, perlu diingatkan bahawa Malaysia sebenarnya mengamalkan sistem Westminster Parliamentary, yang komponen parti pemerintah berkuasa untuk menentukan calon ketua kerajaan. Dengan kata lain, persoalan sama ada Anwar adalah PM ke-8, malah bila peralihan kuasa ini berlaku – harus diputuskan oleh anggota dalam Pakatan Harapan.

Berbeza dengan formula BN, yang calon perdana menteri semestinya datang daripada presiden Umno. Pakatan Harapan adalah satu formula baru yang masih dalam eksperimen, di mana komponennya memiliki kekuatan yang tidak sama rata (dari segi kerusi dalam Dewan Rakyat), tetapi diagihkan jawatan kabinet yang agak sama rata. Apapun, soal calon PM ke-8, bilakah peralihan kuasa berlaku – bukan ditentukan sama ada wujud atau tidak persetujuan lisan atau janji bertulis antara Mahathir dengan yang lain, tetapi apakah muafakat yang direstui PH sekarang.

Namun, mekanisme PH ini seolah-olah tidak berfungsi dengan baik. Bukan sahaja isu calon PM, malah soal dasar yang sedang dilaksanakan kerajaan pun tidak mencerminkan hasrat PH. Contohnya, projek kereta nasional ketiga, apakah cadangan ini termaktub dalam manifesto bersama PH? Adakah anggota PH merestuinya? Atau, kilang pemprosesan nadir bumi Lynas, apakah pendirian kerajaan sekarang dan keputusan yang akan dibuat pada masa depan, selari dengan janji PH?

Apabila agendanya kelihatan terlalu didominasi seseorang PM, maka sudah tentu sesetengah rakyat bersikap sinis terhadap PH. Misalnya, pada 5 Julai 2019, Mahathir selaku pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia menyeru agar semua pemimpin parti Melayu bersatu dalam satu parti – semestinya ia tidak selari dengan jalur politik yang dibentangkan PH dahulu. Lebih ketara, apabila beberapa orang tokoh yang menampilkan imej menolak perkauman sebelum ini, cuba mempertahankan kenyataan Mahathir.

Pembunuhan karakter tokoh

Tiada manusia yang sempurna kejahatan dan kemuliaannya. Sesungguhnya tidak adil untuk menuding jari kepada seseorang individu, agar segala kerosakan yang berlaku dipertanggungjawab kepadanya, agak terlebih juga seandainya segala kejayaan dirangkul sebagai sumbangan seseorang individu sahaja. Tanpa meremehkan tekad dan kepimpinan individu, kita memerlukan satu pasukan pemerintah yang cekap, amanah dan berwibawa untuk mencorakkan masa depan Malaysia.

Seandainya kita gagal berganjak daripada politik yang menyembah ketokohan seseorang, kepada politik yang berlandaskan tanggungjawab kolektif; seandainya kita gagal membina institusi semak imbang dan mekanisme peralihan kuasa yang berkesan, maka pergelutan kuasa akan menyaksikan perbalahan “tokoh” dengan segala taktik yang kotor. Pembunuhan karakter individu akan berlaku dengan penyebaran video hitam putih, malah politikus akan saling membaling najis, termasuk kepada bayang dalam cermin.

PH harus sedar, bahawa apa yang berlaku sekarang dalam PH sebenarnya sedang mencabar kesabaran penyokongnya. Dalam senario politik pasca 9 Mei 2019, Mahathir perlu faham, bahawa legasinya bukan mewariskan seorang pengganti yang baik, tetapi satu sistem semak-imbang yang berkesan. Anwar harus tahu, sokongan satu pasukan yang utuh adalah syarat utama jikalau beliau mahu bertakhta. Anwar perlu membuktikan keupayaannya untuk mentadbir partinya sebelum diberi keyakinan untuk mentadbir negara. Dan anggota PH harus memainkan peranan mereka, untuk meletakkan Malaysia di landasan yang betul.

Moga-moga, politik Malaysia terselamat daripada video seks pada 20 tahun akan datang.




LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif SAUDARA (penyelidikan sosio budaya).

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis serta tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS