Tarikh 10 April 2006 merupakan hari yang dinanti-nantikan oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan penyokongnya,. Kes rayuan terhadap keputusan kerajaan menolak pendaftaran parti itu, didengar di Mahkamah Rayuan, Putra Jaya.

PSM merupakan parti politik pertama yang mengheret Kementerian Halehwal Dalam Negeri ke mahkamah berhubung isu hak berpersatuan. Permohonan pendaftaran parti tersebut telah diperjuangkan selama lapan tahun.

Oleh itu, kes mercu tanda ini amat dipandang berat dan mendapat perhatian di dalam dan luar negara. Surat sokongan mencurah-curah datang dari pelbagai negara.

Maklumlah di mahkamah Malaysia, memang bukan senang hendak menang kes seperti itu. Justeru, menjelang hari perbicaraan, PSM telah mengaku realiti tersebut, kerana segala keputusan mahkamah adalah keputusan politik.

Namun, tegas PSM, tujuan perjuangan parti itu adalah untuk mencapai kemenangan, bukan kekalahan.

Saya turut hadir di mahkamah untuk memberi sokongan solidariti pada hari berkenaan, dan dapati suasana di sekitar mahkamah amat hangat bersemangat dan optimis.

'Ancaman keselamatan'

Ratusan ahli dan penyokong PSM berkumpul dan duduk di atas anak tangga Palace of Justice, menunggu kesudahan perbicaraan. Mereka bertepuk tangan dan sorak sorai bila surat sokongan dari seluruh dunia dibaca kepada mereka satu persatu.

Pandangan awal hakim Mahkamah Rayuan, yang di ketuai oleh Datuk Gopal Sri Ram yang terkenal dengan keberanian dan kebijaksanaannya (dua hakim lagi ialah Datuk Mohd Ghazali Mohd Yusoff dan Datuk Hashim Yusoff), rasanya amat memihak kepada PSM.

Gopal telah memberi arahan kepada Peguam Kanan Persekutuan Mary Lim agar memberi alasan dan bahan yang konkrit untuk membuktikan kemunasabahan kerajaan dalam menggunakan dasar yang tetap (fixed policy) dan alasan ancaman keselamatan untuk menolak pendaftaran PSM.

Gopal memberi misalan: "Dasar tetap umpama hanya membenarkan tanaman enam pokok rambutan, dan setiap pokok mesti bercabang tujuh pula." Tambah beliau, Cara pemikiran dasar yang tetap menyekat fleksibiliti budibicara, dan menjadi kongkongan.

Berkaitan alasan ancaman keselamatan negara, beliau berpendapat, bahan yang konkrit mesti dikemukakan untuk membuktikan bagaimana parti berkenaan akan mengancam keselamatan negara. Beliau memberi misalan lagi: "Menjual ayam juga boleh dianggap sebagai mengancam keselamatan negara, siapa tahu!" Tetapi mesti ada bukti yang konkrit, jika tidak, bermakna tiada bukti.

Suasana optimistik pada 10 April telah digerhana oleh penangguhan keputusan oleh Mahkamah Rayuan pada 12 April, dengan alasan ia memerlukan masa untuk menimbang hujah kedua belah pihak, seolah-olah faktor baru telah mempengaruhi pandang awal mahkamah yang memihak kepada PSM seperti tersebut di atas.

Menang atau kalah

Pada hari itu, Gopal di satu pihak, dengan tegas memberitahu Peguam Kanan Persekutuan Mary Lim bahawa Kementerian Halehwal Dalam Negeri tidak boleh menggunakan alasan 'mengancam keselamatan negara' untuk mempertahankan keputusan menolak pendaftaran PSM, kerana 'tidak ada bukti yang mencukupi untuk menyokongnya.'

Namun di pihak yang lain, beliau nampaknya tidak begitu pasti lagi tentang sama ada munasabah atau tidak, keperluan untuk sesebuah parti peringkat nasional mempunyai perwakilan dari sekurang-kurangnya tujuh negeri menganggotai jawatankuasa penajanya, sungguhpun peguam kanan Tommy Thomas telah berhujah bagi pihak PSM bahawa peraturan itu adalah salahguna budibicara dan bercanggah dengan perlembagaan.

Kini, PSM berpendapat kes ini menang atau kalah bergantung kepada sama ada pihak kehakiman akan memihak kepada kebebasan berpersatuan, hak perlembagaan dan keadilan semula jadi atau memihak kepada keperluan teknikal dan pentadbiran.

Hakim Mahkamah Rayuan, terutamanya Sri Ram yang berani dan bijak sepatutnya tidak akan membenarkan prinsip kebebasan berpersatuan, hak perlembagaan dan keadilan semula jadi, diatasi oleh keperluan teknikal dan pentadbiran yang merupakan syarat atau peraturan tambahan yang boleh dibatalkan oleh Mahkamah, melainkan ia hanya diperalatkan sebagai silap mata keputusan politik!

Bagaimanapun, jika hal ini berlaku, adakah PSM akan memenuhi keperluan teknikal tersebut dan membuat permohonan baru, atau terus berjuang tanpa mengindahkan sebarang 'silap mata' yang diada-adakan?