Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai baru selesai. PRK diadakan kerana kematian YB Farid Rafik pada 21 September yang lalu. Arwah ini mati muda. Umurnya baru mencecah 42 tahun.

Tulisan ini bukan bertujuan untuk menganalisis kenapa Pakatan Harapan kalah. Atau membuktikan dengan tuntas wujud unsur sabotaj yang menjadikan calon Pakatan kalah teruk. Atau mengabsahkan berita bahawa ada gerombolan dalam Pakatan yang mahu Pakatan kalah untuk memberi tekanan kepada Mahathir Muhamad. Bukan, Bukan. Bukan. Tulisan ini bukan tentang semua ini.

Tulisan ini tentang gemuk. Tentang sosok gemuk. Tentang orang gemuk gedempol. Amin

Saya menolak penggunaan perkataan obese. Obese ini tidak memiliki makna yang lengkap dan mendalam dalam budaya Melayu. Ini sama seperti pengunaan perkataan penis untuk pelir, atau faraj untuk pu** atau menggunakan khinzir untuk babi. Perkataan sedemikian tidak ada membawa isi budaya Melayu. Perkatan ini tidak dapat dihayati sepenuhnya.

Cuba hamburkan “Kamu obese” kepada anak muda yang gemuk. Kemudian cuba hamburkan “Kamu gemuk, kamu gedempol, kamu gedebab”. “Kamu obese” tidak membawa apa-apa inti pati untuk menimbulkan kebencian dan kemarahan kerana perkataan ini muncul dari budaya asing.

Bahasa Melayu kaya dengan perbendaharaan kata-kata. Jika tidak wujud perkataan tersebut seperti perkataan komputer atau radio maka untuk saya tidak menjadi kesalahan mengambil dari bahasa asing. Saya tidak memiliki sikap extremis seperti Akademi Perancis yang ditubuhkan semenjak tahun 1635 dahulu. Seramai 40 orang ahli akademi ini mengawal kesucian Bahasa Perancis dari dicemari oleh bahasa asing.

Malah ketika saya belajar Bahasa Perancis ini di Belgium, cikgu saya telah menerangkan bahawa mengunakan ayat “Le bon week-end” (santai hujung minggu) adalah kurang tepat. Ini campuran Perancis dan Inggeris.

Hakikatnya kita tidak perlu berselindung kerana malu nak menyebut pu** atau bu**t. Lalu berselindung di belakang jubah Arab. Sayugia dingatkan bahawa perkatan-perkataan yang wujud dalam perbendaharaan kata-kata adalah penyambungan sejarah bangsa dan budaya Bani Melayu. Justeru jangan malu dan jangan segan. Gunakan gemuk bukan obese. Obese ialah gedempol dan gedebab. Amin.

Darurat gemuk

Kenapa saya merungkai pekara gemuk ini? Pada hemat saya gemuk adalah perkara darurat yang wajib kita selesaikan dengan serta-merta. Untuk saya politik gemuk ini lebih memerlukan perhatian dari politik siapa yang akan menggantikan Mahathir selepas Mahathir berundur. Politik gemuk gedempol sedang mendesak anak semua bangsa.

Saya menimbulkan politik gemuk ini hasil dari pengalaman berkempen dalam PRK Tanjung Piai. Saya lihat sosok sosok gemuk di mana-mana saya berkempen. Gemuk dan gedempol gedebab bertaburan.

Kematian arwah YB Farid Rafik memaksa saya untuk menggarap tulisan ini. Saya tidak kenal arwah ini. Saya tidak tahu sama ada arwah ini gemuk atau tidak. Yang pasti kematian arwah mewajibkan satu PRK diadakan. Arwah mati ketika masih muda belia. Ketika umur sedang rancak di puncak. Kematian arwah menjadi satu kerugian untuk warga Tanjung Piai dan negara. Arwah mati muda ertinya kesihatan tidak dijaga. Amin.

Saya dari awal lagi telah menentang gemuk. Malah diri saya sendiri juga sedang berjuang, berperang melawan gemuk. Gemuk ini wajib dilihat sebagai musuh utama oleh anak semua bangsa. Gemuk dan gedempol menyerang kita tanpa kita sedari. Gemuk menyerang tanpa mengira bangsa dan agama. Tidak ambil kira kamu ini jantan betina mahupun sida.

Saya tidak meminati sosok gemuk. Jauh lagi gedempol atau gedebab. Saya amat yakin ramai yang akan menuduh kata-kata saya ini kurang sopan. Lebih tepat lagi kurang ajar. Kata-kata saya dibaca kasar. Kenyataan saya ini dibaca sebagai bahasa politik yang salah. Hishamuddin Rais politically incorrect, saya celupar politik.

Sebelum menularkan tuduhan ini biar saya terangan kenapa saya tidak suka gemuk. Kenapa kita wajib melawan gedempol. Kenapa kita wajib bangun berjuang menentang politik gemuk.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Dunia – dari tahun 1975 – sosok gemuk telah meningkat sebanyak tiga kali ganda. Sebanyak 39 peratus warga dewasa dalam dunia adalah gemuk. Jumlahnya ialah 1.9 bilion. Seramai 13 peratus atau 650 juta warga dunia ialah jatuh ke tahap gemuk gedempol dan gedebab. Seramai 340 juta kanak-kanak antara umur 5 ke 19 tahun adalah gemuk. Seramai 41 juta kanak-kanak dibawah umur 5 tahun dalam dunia ini adalah gemuk.

Malaysia paling gemuk di Asean

Hakikatnya statistik membuktikan manusia dalam dunia ini makin menggemuk, makin gedebab dan makin gedempol.

Dalam 10 negara Asean Malaysia adalah negara tergemuk. Warga Malaysia paling ramai gemuk dan paling ramai gedempol.

Justeru berdasar statistik WHO dan statistik Asean maka masanya telah sampai untuk kita memerangi gemuk. Kita berjaya memansuhkan ISA. Kita sedang berjuang melawan akta hasutan, melawan rasuah dan menentang Sosma. Tidak ada sebab kenapa kita semua tidak boleh melawan gemuk dan gedempol.

Saya rasa masanya telah tiba. Tiupan sangkakala melawan gemuk telah kedengaran. Kita wajib mendirikan saf dan benteng untuk menyerang gemuk. Musuh kita pada ketika ini adalah gemuk. Barah gemuk sedang merebak.

Apa sangkut paut PRK Tanjung Piai dengan politik gemuk. Jawabnya terlalu banyak. Gemuk dan politik Malaysia tidak dapat dipisahkan.

Sesudah pilihan raya umum ke-12 (PRU12) Malaysia mengadakan 16 kali PRK. Sesudah PRU13 kita mengadakan 13 PRK. Ini untuk DUN dan Parlimen.

Sesudah PRU14 kita telah mengadakan 10 kali PRK. Semuanya kerana kematian penyandang kerusi YB. Rata-rata akibat dari YB gemuk justeru mendapat serangan jantung. Kecuali PRK di Port Dickson, di Rantau dan di Cameron Highland. PRK di Balakong kerana YB penyandang mati dalam kemalangan. Gemuk jelas dilihat sebagai musuh politik. Amin.

Apa maknanya ini? Maknanya para YB kita banyak yang gemuk. Ramai yang gedempol. Mereka senang mati. Mereka mudah dan cepat mati. Ada mati kerana serangan jantung. Ada mati disebabkan angin ahmar. Latar belakangnya ialah gemuk gedempol gedebab. Apabila YB mati ini akan menyusahkan orang ramai yang sedang hidup.

Kita terbaca berita YB pengsan dalam Parlimen. Kita terbaca YB ditandu ketika pertabalan Yang di-Pertuan Agong baru-baru ini. Kita terbaca ada seorang YB yang sedang terlantar di hospital. Semuanya kerana gemuk. Inilah yang saya takrifkan sebagai bahaya politik gemuk.

YB barat jaga kesihatan

Saya berkelana di Belgium dan di United Kingdom selama 15 tahun. Ketika saya di UK tidak sampai 10 kali diadakan PRK kerana wakil rakyat meninggal dunia. Malah di Belgium langsung tidak kedengaran.

Para YB di negara barat cukup setia menjaga kesihatan. Berbanding dengan YB kita dari Pakatan atau dari Barisan - terlalu ramai yang gemuk. Ramai yang gedempol. Jelas dalam bacaan politik saya gemuk dan gedempol adalah musuh politik kita.

“Datuk, you ni gemuklah. Turunkan sikit berat badan. Rakyat melabur harapan kepada Datuk sebagai menteri.”

Ini permintaan saya sejelas yang mungkin. Saya ajukan permintaan ini kepada Datuk Saifuddin Abdullah ketika dia memberi kuliah di Bangsar dua minggu lalu.

“Abang Mat, rakyat melabur harapan kepada sosok Abang Mat. Jagalah kesihatan, turunkan berat badan, nanti rakyat kecewa.”

Ini kata-kata jujur saya kepada Menteri Pertahanan Malaysia Saudara Mat Sabu.

“Saudara, jaga diri, rakyat melabur harapan yang tinggi. Mereka memilih Amanah. Dan bila tuan jadi menteri mereka merasa gembira. Pelaburan mereka jangan dikecewakan.”

Ini kata-kata saya kepada Mujahid di Temerloh tahun lalu ketika sambutan ulang tahun ketiga parti Amanah.

Seorang kenalan saya – tauke Cina - memberikan 10 paket daun herba. Saya diminta menyampaikan herba ini kepada Hanipa Maidin yang telah dilaporkan jatuh pengsan ketika berdebat dalam Parlimen. Tauke ini melabur harapan bukan hanya kepada YB Hanipa tetapi kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Saya merasa kempen Dr Zul melarang merokok ditempat awam adalah baik. Saya tidak menentang, tetapi pada hemat saya kempen Menteri Kesihatan ini tidak memadai. Antirokok dilihat agenda popular untuk dilawan. Maka pak menteri berani untuk menganjurkan perlawanan menentang rokok.

Bagaimana dengan gemuk? Bagaimana dengan gedempol? Bagaimana dengan gedebab? Bila nak serang gemuk? Bila nak serang gedempol?

Menteri Kesihatan tak berani lawan gemuk

Saya rasa Menteri Kesihatan tidak berani melawan gemuk. Tidak mahu ke hadapan menentang gedempol. Tidak berani memulakan kempen global antigemuk melalui WHO dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

Pada hemat saya Menteri Kesihatan wajib memperluaskan kempen jaga kesihatan untuk warga hingga ke akar umbi. Bukan sekerat jalan – hanya berani melawan rokok. Mati kerana gemuk lebih banyak dari mati kerana merokok. Malah mati kerana serangan jantung berkait rapat dengan rokok dan gemuk. Orang gemuk yang merokok berkemungkinan mati cepat.

Kenapa menteri kesihatan Malaysia tidak berani melawan gemuk? Tidak berani menimbulkan agenda gedempol dalam parlimen?

Apakah kerana kilang gemuk dimiliki oleh syarikat syarikat gergasi – multinasional - yang besar besar seperti Kentuky dan Mc Donald. Atau menteri kesihatan tidak berani berkempen untuk memberi pencerahan kepada anak semua bangsa bahawa makanan segera seperti Kentucky dan Mc Donald adalah punca gemuk gedempol.

Untuk permulaan para YB dan para menteri yang gemuk dan gedempol wajib dikuruskan. YB yang sihat akan menafikan PRK. Jika tak ada yang mati maka tak ada PRK. Rakyat tak susah. Dana selamat. YB yang kurus mereka wajib menjadi contoh ikutan.

Sosok contoh yang wajib menjadi ikon langsing cun dan bergetah pastilah sosok Dr Wan Azizah, Maria Chin Abdullah atau Nurul Izzah. Kenapa saya hanya memaparkan para YB yang gemuk gedempol. Walhal ramai lagi warga Malaysia yang gemuk. Kenapa saya tidak sebut nama mereka.

Ini kerana bila YB gemuk, mereka berpotensi akan dapat serangan jantung yang membawa maut. Bila mereka mati maka kita yang hidup menjadi susah. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajib menjalankan PRK dengan belanja yang mahal. Semua kerana si YB ini gemuk gedempol.

Ini hanya kritikan. Saya wajib bertanggung jawab mengajukan cadangan melawan gemuk. Cadangan akan muncul minggu hadapan. 


HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS