Apabila kerajaan Malaysia mengumumkan keputusan membatalkan pembinaan jambatan bagi menggantikan Tambak Johor pada 12 April 2006, ia 'mengejutkan' semua pihak , termasuk kerajaan Singapura.

Pada hal pada 13 Mac 2006, menurut laporan Republika Online, Menteri Luar, Datuk Seri Syed Hamid Albar menjelaskan, hasil beberapa tahap rundingan yang kini memasuki pusingan kelima, secara prinsipnya, sudah ada beberapa kesepakatan dicapai. Kini kedua belah pihak hanya perlu memperincikannya sebelum dijadikan satu perjanjian rasmi.

Duta Tugas-tugas Khas Kementerian Luar Negeri, Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak juga mendedahkan suatu pilihan telah dikemukakan oleh delegasi Malaysia melalui Persefahaman Politik Umum (BPU) bagi menjayakan projek jambatan lurus itu.

BPU memberi asas bagi perundingan teknikal dan perundangan yang terperinci, termasuk menimbang permintaan Singapura agar larangan tahun 1997 mengenai eksport pasir dibatalkan dan hak menggunakan ruang udara Malaysia dikembalikan, sebagai pertukaran pembinaan jambatan lurus.

Tegas Ahmad Fuzi: "Sebagai sebuah kerajaan yang kuat dengan mempunyai majoriti lebih daripada dua pertiga dalam Parlimen, kerajaan boleh juga meneruskan perundingan mengikut BPU dan selepas itu memujuk rakyat Malaysia untuk menerima tolak-ansur bagi membina jambatan baru di Selat Tebrau itu".

Sebenarnya Syed Hamid sudahpun cuba memujuk rakyat Malaysia apabila beliau berkata; "Apabila kita sepakat dan mengizinkan ruang udara negara digunakan oleh tentara udara Singapura sebagai ganti jambatan yang lurus, kita akan memastikan ia tidak mengganggu kesejahteraan dan ketenteraman rakyat, terutama penduduk Johor, di samping tidak mengizinkan pesawat tersebut mundar-mandir di ruang udara kita."

Selewat 9 April 2006, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, apabila ditanya wartawan di Alor Setar, tetap mempertahankan pembinaan jambatan lurus yang digelar sebagai 'Jambatan Persahabatan'.

"Singapura adalah jiran kita, kita tidak boleh bermusuhan dengan jiran kita," katanya apabila ditanya wartawan sama ada menjual pasir kepada Singapura untuk menambak laut republik itu akan mengakibatkan kehakisan pantai kita.

Nazri berkatanya, pasir digali dari dasar laut tiga batu nautika daripada pantai, ia tidak akan mempengaruhi pantai kita, sebaliknya akan mendalamkan dasar laut kita.

Dasar Pak Lah dan Dr M

Setakat itu, harapan bagi satu perjanjian muktamad mengenai jambatan lurus untuk menggantikan tambak Johor, dicapai melalui rundingan terperinci berasaskan BPU, agak cerah. Pihak Malaysia juga nampaknya bersedia menimbang memberi konsesi penjualan pasir dan penggunaan ruang udara Malaysia sebagai tukaran.

Inisiatif BPU dan kesediaan untuk bertolak-ansur delegasi Malaysia pada peringkat awal ini menunjukkan perubahan sikap kerajaan, dari sikap tegas ketika era Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad kepada sikap mesra yang merupakan dasar Datuk Abdullah Ahmad Badawi yang mempunyai pengalaman luas dalam politik antarabangsa dan lebih mengutamakan hubungan baik Malaysia-Singapura.

Sikap diplomasi ini memang berbeza dengan sikap tegas yang ditunjukkan oleh Dr Mahathir yang mengambil keputusan unilateral untuk mengadakan upacara pecah tanah projek Jambatan Indah pada 14 Februari 2004.

Selepas dua tahun projek tersebut dihentikan, kerana proses perbincangan, pada 10 Februari 2006, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan pendirian Malaysia untuk meneruskan pembinaan jambatan itu sama ada dengan persetujuan Singapura atau tidak.

Pengumuman ini menunjukkan seolah-olah Malaysia kembali kepada sikap tegas. Ia mungkin membayangkan tekanan dari 'sentimen rakyat' yang diapi-apikan oleh pihak tertentu, atau strategi perundingan untuk mencegah delegasi Singapura daripada mengemukakan permintaan yang melampau.

Suasana menjadi tegang apabila Menteri Luar Singapura, George Yeo mengeluarkan kenyataan dalam Parlimen negara itu pada 2 Mac 2006, yang mendakwa sebarang langkah Malaysia meroboh Tambak Johor dan menggantikannya dengan jambatan separuh, akan membawa implikasi serius.

Hujah Menteri Luar Singapura tersebut ditolak oleh Abdullah pada keesokannya. Pada 17 Mac 2006, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pula menegaskan, pembinaan jambatan indah itu adalah hak Malaysia kerana ia dibangunkan di perairan negara ini dan tiada siapa yang boleh menafikan hak Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat .

Dari latarbelakang dan urutan perkembangan di atas, ternyata ada dua pendirian yang bersaing antara satu sama lain. Abdullah nampaknya cuba berusaha untuk 'meluruskan' jambatan indah yang ingin dibina oleh Dr Mahathir, melalui rundingan terperinci berasaskan BPU yang dikemukakan oleh delegasi Malaysia.

Sebaliknya jambatan indah lebih digemari Dr Mahathir dan pengikutnya, kerana ia merupakan salah satu projek mega yang melibatkan kepentingan pelbagai pihak.

Keputusan Abdullah untuk membatalkan pembinaan jambatan untuk menggantikan tambak Johor "setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat Malaysia keseluruhannya, terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara" serta "implikasi dan komplikasi undang-undang yang akan berbangkit kelak", menunjukkan kerajaan cuba melepaskan diri dari satu dilema besar.

Jika memberi konsesi bekalan pasir dan ruang udara untuk mendapatkan persetujuan Singapura agar jambatan lurus dapat dibina, maka kerajaan akan dituduh menjual maruah dan kedaulatan negara.

Kalau bertegas dalam membina jambatan indah, maka kerajaan terpaksa berdepan dengan implikasi dan komplikasi undang-undang yang semestinya akan menjejaskan lagi hubungan Malaysia-Singapura yang sudah berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Oleh itu, adalah logik bagi Abdullah membatalkan saja projek jambatan yang sudah menjadi beban kerajaannya!

Namun, apakah implikasi dari keputusan membatalkan pembinaan jambatan ini? Saya akan menghurainya minggu depan.