Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Kolum
KOLUM | Bila rektor al-Azhar dan pope ajak doa sama-sama

Mungkin kita mengenali tokoh ilmuwan muda Islam yang sedang mencipta nama dunia pada hari ini seperti Syaikh Dr Jaseer Auda, Syaikh Dr Sa’id Kamali, Syaikh Dr Hamza Yusuf dan Syaikh Usama al-Azhari.

Syaikh Dr Sa’id Kamali terkenal dengan kemahiran dan hafalan beliau dalam tradisi ilmu hadis dari sudut sanad dan matan.

Syaikh Dr Hamza Yusuf terkenal dengan kemahiran dalam tradisi ilmu kalam, falsafah dan tasawuf.

Syaikh Usama al-Azhari, ulama muda daripada Universiti al-Azhar, mahir dalam tradisi ilmu kalam, ilmu usul al-fiqh, maqasid syariah, falsafah, hadis, tasawuf. Beliau malah terkenal dengan hafalan yang kuat.

Antara penulis yang juga seorang ilmuwan muda yang mahir dalam bidang ilmu Islam di era ini adalah Syaikh Dr Mu'taz al-Khatib. Nama beliau semakin terkenal di dunia Islam.

Beliau berasal dari ibu kota Syria, Damsyik. Beliau banyak menulis dalam beberapa tradisi ilmu Islam, terutama dalam bidang ilmu usul fikah, maqasid syariah dan usul hadis.

Saya mengenali beliau melalui karya-karya beliau berkaitan kaedah usul hadis - kaedah mengkritik matan hadis - seperti buku bertajuk Rad al-Hadis min jihhah al-Matan, Qabul al-Hadis dan Dirasah Fi Manahij al-Muhaddisin wa al-Usuliyin.

Usul hadis ialah pendekatan ulama hadis turun-temurun dalam menilai sama ada sesuatu hadis boleh dijadikan sandaran hujah atau tidak,

Baru-baru ini beliau ada menulis sebuah artikel dalam laman web Al Jazeera.

Beliau memberi komentar berkenaan beberapa isu di negara Arab sempena serangan wabak Covid-19.

Perkara dibangkitkan seperti isu gereja membuka ruang kepada orang Islam menunaikan solat dan memberi zakat kepada bukan Muslim yang berhadapan masalah kewangan ekoran serangan wabak itu.

Antara isu menarik yang dibangkitkan beliau adalah amalan Muslim dan bukan Muslim berhimpun bersama-sama mendoakan agar tuhan menghindari manusia daripada penyakit wabak.

Membaca tajuk artikel tersebut, ada dua perkara yang terpancul dalam fikiran saya.

Pertama, sebelum ini amalan tersebut sudah diamalkan beberapa kali di Indonesia. Namun orang yang mengamalkan itu dituduh sebagai penganut ajaran liberalisme dan pluralisme, lalu mereka dituduh sesat.

Kedua, saya sebelum ini pernah ditanya oleh seorang rakan dari Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), berkenaan tindakan seorang anggotanya hadir majlis pelbagai agama.

Saya diberitahu, dalam majlis tersebut, dia diminta membaca doa, lalu penganut agama lain yang hadir mengaminkan.

Dikatakan bahawa individu terbabit mendapat kecaman dari sebilangan penggerak Islamisme dan beberapa individu Muslim tertentu sehingga dia dituduh penganut liberalism dan pluralisme.

Apabila saya ditanya soalan itu, saya menjawab begini: Si Muslim berdoa mengikut ajaran Islam, lalu penganut agama lain aminkan.

Takkan itu salah? Takkan si Muslim itu dituduh sebagai penganut pluralisme juga? Sepatutnya, bukan Muslim itu yang patut dituduh penganut pluralisme.

Ini sudah pasti berbeza jika penganut agama lain yang berdoa mengikut agama mereka, lalu si muslim aminkan apa yang mereka doakan.

Tetapi, apakan daya wacana Islam di Malaysia lebih kepada mengangkat sentimen berbanding melihat rasional hujah, menyebabkan individu terbabit menjadi mangsa kecaman dalam perkara yang terbuka kepada penghujahan agama.

Syaikul Azhar

Apabila ada Muslim dan bukan Muslim berdosa bersama-sama di satu tempat dan masa, jika di Malaysia, sudah pasti Muslim terbabit akan mendapat tuduhan kononnya menganut fahaman Islam liberal atau penganut fahaman pluralisme.

Namun, bagaimana pula kalau amalan ini melibatkan dua tokoh agama terkenal dunia, iaitu Syaikhul Azhar, Dr Ahmad Taib - ulama besar Islam - dan Pope Vatican, ketua agama Kristian?

Perkara inilah yang dibangkitkan oleh Dr Mu'taz al-Khatib dalam artikel beliau tersebut.

Kelihatannya ulama muda Syria itu menyokong apa yang dilakukan oleh Syaikhul Azhar tersebut.

Lebih menarik lagi, beliau turut mendatangkan penghujahan berdasarkan pandangan dan amalan ulama-ulama terdahulu.

Beliau berhujah bersandarkan pandangan ulama mazhab Maliki, Syafie dan Hanbali yang berpendapat bahawa bukan Muslim tidak dihalang keluar berdoa dalam usaha diangkatkan penyakit dan wabak.

Beliau menukilkan perkataan Makhul (seorang fuqaha dalam kalangan tabiin yang meninggal pada tahun 112H) yang berkata:

"Tidak mengapa orang bukan Islam (ahli zimmah) dikeluarkan untuk meminta hujan (solat istisqa) bersama dengan orang Islam."

Al-Imam al-Awzaie (meninggal 157H), ulama fikah daripada Syam pernah menyatakan:

“Yazid bin Abdul Malik (khalifah) menulis kepada pegawai-pegawainya agar mereka mengeluarkan juga orang bukan Islam (ahli zimmah) untuk berdoa meminta hujan (istisqa). Beliau turut menjelaskan bahawa, tidak ada seorang pun yang membantah tindakan Yazid tersebut.”

Juga dikemukakan kenyataan Abdul Malik Habib (meninggal 238H), imam fiqh dalam mazhab Maliki, yang menyatakan bahawa orang Yahudi dan Kristian tidak boleh dihalang keluar berdoa meminta hujan.

Sementara itu, Dr Mu'taz al-Khatib juga menjelaskan, apakah doa orang bukan Islam itu turut dimustajabkan?

Dalam hujah, beliau menyatakan, andai doa orang bukan Islam itu tidak mustajab, sudah pasti pandangan ulama yang membenarkan bukan Muslim berdoa meminta hujan sebagai sia-sia.

Demi mengukuhkan pendapat tersebut, beliau kemukakan pendapat ulama mazhab Maliki mutakhir yang menyatakan dalam hal minta hujan, doa yang makbul tidak dibatasi kepada Muslim sahaja.

Beliau turut menyatakan bahawa ulama mutakhir dalam mazhab Syafie menyatakan keizinan mengaminkan doa bukan Muslim.

Kupasan Dr Mu’taz al-Khatib ini sangat berasas. Beliau bukan kemukakan pendapat datang daripada hawa nafsu, sebaliknya beliau menyokong tindakan Syaikhul Azhar, Dr Ahmad Taib dengan disertakan penghujahan berdasarkan kitab turath dan pandangan ulama kontemporari.

Walaupun begitu, saya tidak nafikan bahawa kemungkinan besar beliau juga akan dapat tuduhan penganut pluralisme.


WAN JI WAN HUSSIN ialah pendakwah dan pengarah akademik Saudara Research Centre.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS